Showing posts with label Mahasiswa. Show all posts
Showing posts with label Mahasiswa. Show all posts

04 January, 2012

Jangan layan mahasiswa dengan cara 'kebinatangan'


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

KOTA KINABALU, 1 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah hari ini mengutuk sekerasnya tindakan keganasan terhadap sekumpulan mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, tindakan memukul dan membelasah mahasiswa tersebut untuk menyeleraikan mereka sebagai satu tindakan yang bersifat ‘kebinatangan’ dan terkeluar dari norma manusia beragama.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan dan lebih kepada kaedah ‘kebinatangan’ dalam menyuraikan kemaraan mahasiswa dan anak muda ini,” katanya.

Menurutnya, polis perlu menghormati peruntukkan yang sedia ada dan tidak sepatutnya dalam keadaan jahil dengan menuruti apa sahaja kehendak parti politik tertentu.

“Jangan jadi budak hingusan kepada UMNO/ BN. Tugas anda menyelamatkan hak rakyat… bukan melindungi pemimpin zalim.

“Berlaku adillah kepada semua pihak,” tegas beliau.

Beliau turut menyifatkan agenda transformasi politik yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya politik murahan yang sebenarnya langsung tidak membawa apa-apa pengertian.

“Jangan termasuk dikalangan petanda dan ciri-ciri golongan munafik. Apabila bercakap, tidak menepati apa yang diucapkan.

"Sudah-sudahlah berjanji menggula-gulakan kehidupan rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, insiden yang berlaku terhadap mahasiswa bukan sahaja dirasai golongan itu, malah turut dirasai golongan anak muda seluruh negara.

Dalam insiden malam tadi, kira-kira 17 mahasiswa ditahan dan dua orang cedera parah dalam perhimpunan aman Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, malam tadi.

28 December, 2011

"Selamat duduki peperiksaan akhir semester" - PAS Sepanggar


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com


KOTA KINABALU, 28 Dis: PAS Sepanggar hari ini mengucapkan selamat berjaya kepada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang akan menduduki Peperiksaan Akhir Semester yang akan bermula minggu hadapan.

Ketua Penerangan, Mohd Julpikar Abd Mijan menerusi kenyataannya memberi sokongan dan galakkan kepada mahasiswa yang akan menduduki peperiksaan tersebut.

"Kepada mahasiswa UMS, semoga berjaya dalam peperiksaan.

"Semoga beroleh kejayaan dan keputusan yang cemerlang," doa beliau.

Beliau turut menasihatkan mahasiswa agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan melakukan persiapan awal bagi memastikan perjalanan untuk menduduki peperiksaan berjalan dengan baik.
"Persiap diri dengan segala kemudahan yang ada. Usaha dan banyakkan berdoa.

"Kejayaan sudah dihadapan, cumanya menanti usaha diri anda," katanya.

31 October, 2011

Kongres Gerakan, Pingat Untuk Lebih Bekerja


sumber: http://bayugunung.blogspot.com



Untuk mengucapkan tahniah, saya ada sedikit kerisauan. Bimbang, dengan mukaddimah sedemikian rupa, habis isi-isi penting yang saya hendak sampaikan selepas itu tidak di endahkan lagi.

Kepada aktivis mahasiswa yang hadir ke Kongres tersebut, anda sememangnya mahu dan mampu untuk bekerja demi ummat. Saya ketepikan perasaan risau, selesai kongres tersebut tidak timbul lagi soal kita tidak 'bekerja' untuk dakwah ini.

Mahasiswa atau aktivis yang hadir juga tidak perlulah pulang dengan kesan fikrah yang longgar atau celaru. Perkara ini jelas dan tidak ada perlunya ia dibincangkan disini. Tema penting program ini iaitu kita mahu lahirkan mereka yang 'bekerja'.

Sebelum itu, saya mengambil masa yang lama untuk berbincang apa juga bentuk perubahan khususnya yang melibatkan aktivisma mahasiswa. Cuba mengelak sebaik mungkin agar setiap baris lontaran tidak menyakiti sahabat yang sekian lama berkhidmat untuk parti dengan pengalaman yang tidak sedikit.

Usaha ini sebenarnya untuk mencari beberapa pencerahan kepada perbezaan pandangan yang mana jika perbezaan ini dapat diuruskan dengan baik, pasti memberikan banyak peluang kepada pakej dakwah kita sampai ke setiap tahap yang diperlukan.

Saya mengukur sejauh mana kesan masa hadapan, meninjau jauh ke dasar keperluan parti, menimbang diantara beberapa keutamaan dan beberapa pilihan yang tersedia dihadapan kita. Kerana saya akur bahawa inilah dunia perjuangan yang harus kita tempuhi. Tidak dengan hanya hitam putihnya sahaja, tetapi dengan pelbagai warna dan sudut. Marah-marah sayang pun kita tidak dapat menolak akhirnya pelbagai pula rangkaian jamaah Islam muncul dan kita tidak dapat mengelakkannya. Ia bermula dengan perbezaan fikrah.

Bagaimana kita menghadapi kepelbagaian ini? adakah dengan emosi atau bersikap rasional?

Tema saya jelas, agar setiap peluang dan pilihan yang mencetus kekuatan untuk lebih 'bekerja' perlu diberikan peluang. Ya, ada kerisauan yang perlu diambil kira namun jika dibandingkan dengan bukti yang telah ada dihadapan kita saya kira, masalah kita sebenarnya iaitu kita berhadapan dengan golongan yang tidak 'bekerja'. Turunlah ke bawah dan tanya kawan-kawan yang sudah lama bekerja. Persoalan 'mana aktivis kita' terus ditanya dari satu generasi ke satu generasi. Kalau seorang pegang sampai 5 jawatan?...kasihan aktivis fulltime parti, sebab yang ada kemampuan tidak 'bekerja' untuk membantu.

Mereka yang tidak 'bekerja' itu, ada dikalangannya lahir dari rahim usrah kita sendiri.

Lihat pula dengan penuh pertimbangan, kerosakkan yang berlaku terhadap rakyat. Adakah perlu 5 tahun lagi untuk mereka menanti perubahan. Tentu sekali tidak, kerana dengan bencana yang menimpa sekrang ini, mereka perlu berubah pada saat ini juga. Perubahan pada rakyat berlaku bila kita semua sama-sama 'bekerja'. Sebaliknya, kerosakkan dan kemunduran masyarakat ketika ini kerana ada dikalangan kita tidak mahu 'bekerja'.

Jika yang 'tulus' fikrahnya juga belum mampu menggerakkan perubahan dan pada masa yang sama kita diasak untuk memperbaiki masyarakat yang semakin kritikal, maka dengan wasilah atau jalan apakah yang kita pilih untuk meneruskan jalan perubahan? Kita bukan kader yang lemah dengan hanya pemerhati dari jauh atau menjadi tukang penembak tepat. Biar pecah kepala berfikir, mencari ruang dan peluang untuk mencetus perubahan melahirkan golongan yang 'bekerja'. Jika ada tersedia di depan mata, lalu apa yang ditunggu lagi?

Saya tidak sekadar mengeluh tetapi juga berusaha mencari kaedah untuk meletakkan hasil tarbiah kita dikampus ke setiap post penting parti. Namun cabarannya tidak semudah yang dijangkakan dan ini membuatkan saya akur bahawa disana ada kekurangan dan kelebihan yang bukan milik kita yang mesti kita hadapi.

Faham denyut nadi kerisauan sahabat-sahabat dan teman-teman tentang kesan kepada fikrah, insaf akan keperluan parti yang begitu mendesak, sedar dengan kekurangan dan kelebihan yang ada, akur dengan perbezaan pandangan yang timbul maka saya berpendirian kongres kali ini adalah pingat untuk anda lebih 'bekerja'.

Kita risau anak kecil yang masih bertiarap sudah mula berjalan. Bimbang terhantuk dinding, terperusuk masuk ke longkang. Namun anak kecil itu pada suatu masa, dinding itu sudah dipanjatnya, longkang tadi sudah di lompatinya. Akhirnya kita tidak lagi risau dengan dinding tersebut atau dengan longkang tersebut tetapi kita lebih risau benda yang lebih besar dari itu.

....kerana kita akur dengan perubahan itu, dan tidak sesekali kita hanya jadi pemerhati saja. Tentu kita sedar bahawa untuk mendepani perubahan itu, kita perlu 'bekerja'.

27 October, 2011

Pra Kongres Gerakan Mahasiswa Sabah 1.0

Sumber: http://puteramujahid.blogspot.com

Salam mahasiswa,

Sebelum sampai hari berlangsungnya Kongres Gerakan Mahasiswa Sabah 1.0, yang pertama
kali dilakukan di Sabah, terdapat beberapa perkara yang perlu dinilai semula mahasiswa.

11 May, 2011

USUKAN pun boleh bah!!

sumber: http://yuyushira.blogspot.com


USUKAN PUN BOLEH BAH!!

Pada 6-8 Mei 2011, Persatuan Siswazah Sabah(PSS) telah dijemput untuk menguruskan Program Motivasi khas buat pelajar-pelajar tingkatan 6 yang berlokasi di SMK Usukan Kota Belud. Seramai 11 orang yang terdiri daripada ahli PSS dan dibantu oleh ahli Kelab Remaja Ukhuwwah(KRU) telah menyumbang tenaga menjayakan program bagi mencapai objektif dan memenuhi harapan guru-guru. sekitar 40 orang peserta telah menginap di asrama SMK Usukan bagi mengikuti program 3 hari 2 malam ini secara penuh. Program telah berlangsung di sekitar sekolah, berdekatan pantai dan Dewan Asrama Al-Firdaus yang menjadi kawasan utama pengumpulan peserta.

Pelbagai modul dan aktiviti diadakan bagi meningkatkan motivasi peserta serta berfikir secara kritis dan melahirkan generasi yang membudayakan ilmu. Aktiviti merangkumi kuliah dasar, latihan dalam kumpulan, pembentangan, diskusi dan sumbangsaran sebagai medium pembuka minda serta mengizinkan pertukaran idea berlaku. Turut dikedepankan beberapa slot perkongsian hidup bagi menyelami latar belakang sahabat dan diri sendiri. Ini bertujuan memupuk kesedaran dalam diri peserta untuk berinisiatif mengubah masa hadapan kepada kehidupan yang lebih cerah.





Dalam menyuntik motivasi, tidak lari dari mendidik jiwa-jiwa muda Usukan untuk kembali teguh mengamalkan cara hidup berpandukan al-quran dan as-sunnah. Pengisian rohani turut tidak tertinggal sebagai penerang kepada hati-hati generasi ini. Sepanjang program berlangsung qiamullail, solat berjemaah dan kuliah-kuliah ringkas turut menjadi agen pembentuk peribadi.




Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Setiap bait lirik dihayati. Lagu tema yang menjadi pemangkin motivasi kepada para peserta untuk mencapai kejayaan. Masing-masing melontarkan harapan untuk mengenggam segulung ijazah kelak selepas membuktikan kecemerlangan dalam STPM pada tahun 2011. Semoga para pelajar ini akan berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam setiap perkara yang diceburi dan turut menyerlah di arena membangunkan masyarakat.

Checkpoint 'Tangki'

Checkpoint 'Darurat'

Checkpoint 'Tiru-Teka'

Checkpoint 'si Buta'

Checkpoint akhir - keindahan alam

semangat melangkah dengan kaki bertaut

Ponsikow Togumu!

Terima kasih di atas pihak sekolah yang memberi kepercayaan penuh kepada PSS untuk menguruskan perincian perjalanan program sepenuhnya. Juga buat para peserta di atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dan kejutan hadiah buat para fasilitator. Selamat menginjakkan kaki ke menara gading!

Lebih banyak gambar menyusul kemudian.
Kebanyakkan gambar, creadit to: TOIB Photography - Azizul Julirin

21 February, 2011

ANAK MUDA MENGGEGAR NEGARA

sumber: http://suaragunung.blogspot.com


Seluruh negara kini sedang dalam kehangatan untuk menyambut satu pesta yang kurang mendapat perhatian tapi penting untuk menentukan halatuju masa depan negara.

"Jika ingin melihat keadaan sesebuah negara kelak sama ada akan maju ataupun mundur, maka lihatlah generasi mudanya sekaran." Seorang pejuang pernah mengungkapkan perkataan tersebut. Sama ada benar atau tidak, kita cuba singkap sejarah, bagaimana pernah tercetusnya revolusi Iran satu ketika dulu yang dipelopori oleh anak muda. Kebangkitan intifadhah yang berlaku juga di barisan hadapannya ramai dikalangan anak muda yang berdarah panas. Revolusi kepimpinan Negara juga satu masa pernah mencatat sejarah bilamana ramai anak muda bangkit menentang kezaliman sehinggakan ada yang pernah dipenjarakan tanpa bicara. Dan yang terbaru bilamana melihat perkembangan menentang rejim kepimpinan zalim di kebanyakan Negara Timur Tengah juga dipelopori oleh anak-anak muda hinggakan ada yang menemui ajal di jalan-jalan utama negara semata untuk menunjukkan rasa cinta kepada keadilan dan kebaikan.

Kini dan hari ini masa untuk anak muda membuktikan yang kita mampu memberikan yang terbaik untuk memastikan masa depan negara kita lebih baik dengan pemerintahan yang lebih adil dan tidak lain manfaat akhir akan pulang kepada seluruh masyarakat dan bukan hanya kepada orang-orang yang TAMAK!!!....

Teruskan berjuang rakan-rakanku. Gembeling seluruh darah panas sementara ia masih membara sebelum ia mula mengecil dan terus padam.

IMPAK MAKSIMA!!!YOUTH POWER!!!

Seorang calon wanita pro-M UM dilapor hilang


Dua laporan polis dibuat ekoran kehilangan seorang calon pro-Mahasiwa (pro-M) Universiti Malaya (UM) yang bertanding kerusi umum dalam pilihan raya kampus yang akan berlangsung berlangsung esok.

Kehilangan calon wanita tersebut - Masturah Abu Bakar - dilaporkan oleh seorang rakannya, Nurhanis Wahidah Mohd Mansor, di balai polis Pantai, jam 12.20 tengah malam tadi.

Dalam laporannya itu, Nurhanis berkata pada jam 4.15 petang semalam, dia bersama Masturah, 22, berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam - yang menjadi tempat penginapan luar pelajar UM.

Katanya, ketika merada berada di antara blok D dan blok E pangsapuri tersebut, Masturah memberitahunya yang dia hendak pergi membeli tambahan kredit telefon dan memintanya menunggu di blok E.

Menurut laporan polis itu lagi, Nurhanis berkata, selepas lama menunggu, Masturah tidak muncul dan dia cuba menghubungi rakannya itu tetapi gagal.

universiti malaya pro m students pc on missing candidate 200211 1Selepas enam jam mencari bersama penduduk di situ, dan masih gagal menemui Masturah, Nurhanis membuat laporan polis pada jam 12.20 tengah malam tadi.

Dalam laporan polis itu juga, Nurhanis memberitahu bahawa seorang lagi rakannya telah menghubungi keluarga Masturah selepas insiden itu berlaku.

"Semasa kawan saya keluar, (dia) berpakaian baju kurung batik warna hijau merah jambu, bertudung warna merah jambu, kulit berwarna sawo matang bercermin mata, tinggi lebih kurang 173 (cm), berkot labuh warna hitam berkasut sandal berwarna putih," laporan polis itu dipetik.

Laporan polis itu juga menyebut bahawa sebelum itu, Masturah telah menerima kiriman SMS daripada seseorang yang tidak dikenali yang memberi amaran yang berbunyi "woi celaka jg sikit perangai kau, siapla kau lepas ni. Kau ingat kau bagus sangat".

Sehubungan itu, Nurhanis membuat laporan polis kerana "takut" tentang keselamatan Masturah di kemudian hari.

Sementara itu, wakil calon Masturah - Rohayu Rosli - pula membuat satu lagi laporan polis di balai yang sama pada jam 11.40 pagi tadi selepas menerima panggilan telefon yang mengugutnya supaya jangan membuat laporan polis berhubung kehilangan Masturah.

Salinan dua laporan polis tersebut diedarkan pada wartawan dalam sidang akhbar oleh sekumpulan pelajar pro-M yang diketuai oleh pengerusi pro-M UM, Farid Jalpah di depan Dewan Tuanku Canselor UM petang ini.

Dalam sidang media, Farid mendesak pentadbiran UM agar bertanggungjawab di atas kehilangan Masturah kerana penetapan tarikh kempen yang ditentukan pada hujung minggu bermula 18 Februari hingga 20 Februari.

Ini kerana katanya, penetapan tarikh itu menyukarkan proses berkempen disebabkan hampir semua pelajar universiti tidak berada di kampus, malah sebelum ini desakan pro-M meminta agar masa kempen ini diubah juga tidak dilayan.

Dakwanya, hampir seluruh kolej kediaman mengadakan sekatan kepada calon pro-M untuk berkempen dan pelajar yang mengakui diri mereka ahli jawatankuasa kolej turut didakwa menyekat kemasukan orang luar termasuk tempoh berkempen selama 10 minit.

"Oleh hal demikian, calon-calon pro-Mahasiswa mengambil inisiatif untuk menjalankan sesi ziarah ke luar kampus.

"Rentetan penetapan syarat-syarat yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa induk inilah memaksa para calon menjalankan sesi ziarah diluar yang secara jelas tidak menjamin keselamatan para calon," katanya.

Farid juga menuntut agar pihak universiti menunda pilihan raya kampus sehingga Masturah yang juga pelajar Akademi Pengajian Islam UM ditemui semula.

Ketika ditemui pemberita selepas sidang media itu, Farid berkata pihak universiti juga turut dimaklumkan berhubung kehilangan Masturah.

Sehingga selesai sidang akhbar tersebut kira-kira jam 5.15 petang tadi, Farid memberitahu pemberita bahawa pihaknya masih belum menerima apa-apa perkembangan berhubung kehilangan Masturah.

UM adalah antara lima universiti utama yang akan mengadakan pilihan raya kampusnya esok.

- malaysiakini

03 November, 2010

Mahasiswa di Batu Sapi.

sumber: http://almuslim-alharaki.blogspot.com

BATU SAPI, 3 Nov : Sudah tiga hari mahasiswa Sabah berada di Batu Sapi bersama masyarakat untuk memimpin mereka mencorak masa depan yang terletak di tangan mereka sendiri.

Mahasiswa Sabah (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia-GAMIS Negeri Sabah).

Mahasiswa tidak memiliki kepentingan kepartian, apa yang penting bagi mahasiswa ialah prinsip bersih, amanah, telus dan adil perlu berfungsi sebaik mungkin di Batu Sapi.

Kedatangan mahasiswa ke Batu Sapi adalah bagi memastikan setiap pentas kempen sentiasa padat dengan kelantangan aktivis mahasiswa yang sentiasa optimis untuk membela rakyat.

Langkah yang baik diatur bagi menyampaikan amanah kepada masyarakat di Batu Sapi walaupun terpaksa berjalan di atas jambatan yang terlalu uzur. Inilah kegigihan mahasiswa yang patut dicontohi oleh seluruh mahasiswa yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.

Keadaan jambatan yang tidak selamat.

Perjalanan mahasiswa memasuki kawasan perkampungan di Batu Sapi.

Alhamdulillah, kedatangan mahasiswa mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat di Batu Sapi. Mereka (mahasiswa) sempat beramah-mesra dengan masyarakat di sini.

Dialog bersama rakyat Batu Sapi.

(Mahasiswa berbaju jingga).


"Kami mahukan Ketua Menteri turun ke kampung kami..13 tahun kami menderita...",antara suara permintaan beberapa orang penduduk Kampung Lupak Meluas, Batu Sapi.

Suara keperitan yang dialami oleh penduduk kampung yang telah dilontarkan kepada mahasiswa adalah satu bukti bahawa mahasiswa sudah diberikan kepercayaan oleh masyarakat untuk turun bersama masyarakat dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia yang akan datang.


Kelihatan penduduk kampung yang sempat beramah-mesra dengan mahasiswa.

(Mahasiswa berbaju hitam).


Mahasiswa (berbaju jingga) telah mengedarkan risalah kepada masyarakat di Batu Sapi.


Harapan mahasiswa Sabah kepada masyarakat Batu Sapi agar memilih (mengundi) pemimpin yang adil bagi menjamin kehidupan yang baik pada masa akan datang. Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa ayat 58 yang bermaksud :

“Sesungguhnya, Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar, Maha Teliti.”

"MEMURNIKAN GERAKAN, MEMAKNAKAN MAHASISWA"

14 October, 2010

Mahasiswa mahu Puspal batal konsert Lambert

sumber: http://www.harakahdaily.net

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan meluluskan konsert artis luar negara, Adam Lambert yang dijadual malam esok.

Bantahan itu disuarakan dalam satu memorandum kepada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) siang tadi.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Puspal di bawah bahagian perlesenan dan penguatkuasaan, Ramlah Amir di pejabatnya di bangunan Kementerian Penerangan dan Kebudayaan Malaysia, dekat sini.

Presiden Gamis, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, penganjuran konsert yang akan berlangsung di stadium Putra Bukit Jalil itu akan menambahkan barah gejala sosial terutamanya di kalangan anak muda di negara ini.

Ini kerana ujarnya, Adam Lambert memang sudah diketahui umum bahawa seorang remaja yang membawa ikon 'gay' di Amerika.

"Gamis menyatakan kekesalan kami di atas kelulusan konsert ini yang ternyata bakal membawa kesan negatif kepada anak muda.

"Dalam pada Datin Seri Rosmah (Mansor) dikatakan sibuk mencari formula untuk mengatasi gejala sosial, dalam masa yang sama satu konsert artis tidak bermoral diluluskan," kata Syazwan kepada pemberita sebelum penyerahan tersebut.

Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan memberi kelulusan kepada pihak penganjur mengundang artis itu.

"Apa sebab yang mendesak kerajaan untuk meluluskan kehadiran Adam Lambert sedangkan ramai lagi artis luar negara yang lain yang boleh dipanggil," katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ridhuan Othman berkata, SMM mendesak kerajaan khususnya kementerian terbabit mengkaji balik garis panduan konsert melibatkan artis luar negara serta membatalkan konsert tersebut.

"Kerajaan ada masa lebih kurang sehari lagi untuk membatalkan konsert Adam Lambert.

"Kalau konsert ini diteruskan, kami akan mengerahkan mahasiswa untuk turun beramai-ramai ke stadium esok untuk membuat bantahan dengan mengedarkan risalah dan sebagainya," katanya.

Kira-kira 20 aktivis mahasiswa berhimpun di hadapan bangunan kementerian itu sambil memegang kain rentang bantahan dan dikawal oleh pihak polis.

Sementara itu, dalam pertemuan kira-kira 20 minit dengan Ramlah di pejabatnya, mereka meminta Puspal menjelaskan sebab konsert berkenaan diluluskan di samping menyuarakan kembimbangan terhadap gejala hedonisme yang semakin membarah di kalangan anak muda.

Ramlah bagaimanapun berkata, Puspal tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan kerana ia melibatkan kementerian lain juga.

Namun beliau mengucapkan terima kasih kepada Gamis di atas inisiatif mereka mengadakan pertemuan dengan pihaknya.

22 September, 2010

Bebaskanlah Mereka!

sumber: http://fikrahnazifa.blogspot.com


Pada 29 Jun 2009 yang lalu lima mahasiswa Universiti Malaya telah diheret ke mahkamah atas tuduhan menghina isteri perdana menteri Rosmah Mansur dengan contengan hasutan ketika dalam lawatannya ke Universiti perdana itu. Bermula dari tarikh berkenaan sehingga ke hari ini kita dapati kes ini masih belum selesai sehinggalah pada 24 september ini kita bakal menantikan keputusan dakwaan itu samaada wujud kes atau dibebaskan.

RINGKASAN KRONOLOGI SEPANJANG PERBICARAAN

Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2)

1 JULAI 2009

OKT 1 dan 2 (Mohamad Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahrul Deen) dituduh ke mahkamah kali yang pertama dan mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dibaca di Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2) dan Mahkamah Majistret Jenayah 4 (MMJ4). Tarikh mula perbicaraan di MSJ2 ditetapkan pada 7 Disember 2009 bagi Seksyen 427,436/511 Kanun Keseksaan dan 447 manakala di MMJ4 bagi Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan pada 24 & 25 Jun 2010.



7 DISEMBER 2009

OKT 3, 4 dan 5 (Mohd Syazni Munir, Mohd Aizat & Muhd Saufi) dibacakan pertuduhan. Kesemua mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.Perbicaraan bagi OKT 1 dan 2 terpaksa ditangguhkan kerana pihak forensik masih belum menyediakan laporan kimia sepertimana yang dikehendaki.
Perbicaraan ditunda pada 15 Jun 2010.

15 Jun 2010

Saksi Pendakwaan (SP) pertama mengesahkan bahawa tiada sebarang bahan hidrokarbon meruap (petrol) dikesan dan tiada sebarang cap jari.

Mahkamah Majestret Jenayah 4 (MMJ4)

12 Julai 2010

Hakim MMJ4 memutuskan OKT 1 dibebaskan tanpa bela diri.

Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2)

28 Julai 2010

SP ke-17 iaitu pakar forensik multimedia mengesahkan laporan forensik terhadap simkad dan telefon bimbit OKT 1 dan 2 adalah negatif.

30 Julai 2010

SP ke-19 iaitu Pegawai Penyiasat kes, mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan saksi-saksi lain.

6 Ogos 2010

Kemenangan OKT 1 dalam perbicaraan di MMJ4 ditarik semula.Pihak pendakwaraya mengemukakan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi/Rayuan.

12 Ogos 2010

Rayuan diterima.

13 Ogos 2010

SP-19 (Pegawai Penyiasat) dipanggil memberi keterangan semula, beliau mengakui sepanjang penyiasatan wujud beberapa campurtangan dari Speacial Branch (SB) dan unit D7 ketika soal siasat dilakukan. Beliau juga mengakui beberapa arahan penangkapan OKT 3 dan 4 bukan dikeluarkan oleh beliau.

1 September 2010 (Sesi Penghujahan)

Barisan penguambela menyatakan pihak pendakwaraya gagal mewujudkan prima facie terhadap pertuduhan dan apa yang cuba dibuktikan hanya satu anggapan semata-mata tanpa ada sebarang bukti fizikal mahu pun laporan forensik yang menyokong andaian tersebut.

Hakim menetapkan 24 September ini sebagai tarikh menetapkan keputusan.

TUNTUTAN
Di peringkat mahasiswa, atas dasar menghormati perlembagaan dan undang-undang, kita mengharap agar mahkamah bersikap rasional dalam membuat keputusan, bebas dari sebarang unsur campurtangan dan tekanan politik. Badan kehakiman perlulah menjadi perunding yang baik kepada mahasiswa atau rakyat.
Mahasiswa amat menghormati dan meletakkan penuh kepercayaan terhadap kehakiman Negara. Sepanjang pemerhatian daripada kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan Ustazah Norliza Ishak.

Kita yakin mahkamah cuba mempamerkan kredibiliti serta kejujuran dalam membuat sesuatu keputusan.

PERTUDUHAN:

1) Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan dan boleh dihukum denda maksimum RM300
2)Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang membawa hukuman dua tahun penjara.
3)Seksyen 436/511 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api mengakibatkan maksimum 10 tahun penjara
4) Seksyen 447 iaitu kesalahan melakukan pencerobohan jenayah membawa hukuman 6 bulan penjara.


05 April, 2010

Mahasiswa Dalam Kerangka Masa Kini

Sumber: http://muslimpkk.blogspot.com/

Perubahan masyarakat bersandarkan kepada ilmuwannya. Pada masa sekarang ini sudah banyak siswazah lepasan IPT bertebaran di seluruh Malaysia termasuk Sabah yang kini memiliki UMS, UiTM, Politeknik dan juga beberapa institusi pendidikan. Walau bagaimanapun, ironinya pembangunan masyarakat kita masih lagi kurang memberangsangkan. Bahkan lebih kebanyakkan siswazah masih lagi menanam anggur.
 sumber : http://polikk.edu.my
Sebagai seorang siswazah sepatutnya kitalah yang menjadi agen perubahan, apabila kita keluar daripada pusat pengajian manfaatkan ilmu yang dipelajari untuk kegunaan masyarakat.

Dalam memperkasakan siswazah sebagai agen perubahan, para siswazah perlu aktif dalam melibatkan diri dalam persatuan serta NGO tidak kira sama ada di dalam dan luar kampus. Seperti aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Budaya seperti ini merupakan langkah untuk menjana siswazah yang memiliki asas diri yang kukuh serta mampu untuk bersaing dalam arus semasa. Di samping ia mewujudkan ruang rangkai yang luas di dalam hidup seorang siswazah terutama dalam masyarakat. 

BUKAN SEKADAR CGPA

Jika kita perhatikan pada persekitaran kita kebanyakkan kita pada hari ini meletakkan CGPA sebagai satu-satunya matlamat perjuangan. Tidak kurang juga ada yang khayal dibuai keseronokan alam remaja. Namun, sedarkah kita para siswazah? Perjuangan kita bukanlah sekadar CGPA, dan IPT bukanlah tempat berseronok. CGPA bukanlah satu-satunya kayu ukur untuk menentukan kejayaan kita di luar kelak. Jika tidak masakan banyak graduan lepasan IPT yang masih menganggur?

Dalam bidang kerjaya contohnya, tidak semestinya kerjaya yang kita akan tempuhi adalah seperti yang kita pelajari semasa dalam tempoh pengajian. Oleh itu pada masa belajar yang sama kita perlu mempersiapkan diri dengan bermacam kemahiran disamping memperjuangkan CGPA sahaja. Seperti yang disebut, penyertaan dalam NGO mendedahkan dengan pelbagai kemahiran yang kita tidak boleh diperolehi dengan menghadiri kelas sahaja. Seperti kemahiran bercakap dan kemahiran pengurusan dan banyak lagi termasuk kemahiran berfikir.


IPT TEMPAT MENCARI KEBENARAN

Mungkin banyak yang tidak perasan, IPT ialah tempat untuk mencari kebenaran. Lebih-lebih lagi tentang kehidupan, bolehkah anda menjamin anda kenal akan kebenaran? Kadang kala, sesuatu yang kita lihat itu belum tentu kita mengenalinya, sekalipun ia amat dekat. Tidak kiralah sama ada ia politik, sosial, dan ekonomi masyarakat kita sendiri. Lebih-lebih agama, kerana agama merangkumi seluruh ruang kehidupan.

Contohnya  pada hari ini, orang Islam sungguh banyak, namun sejauh mana kita kenal Islam itu sendiri? Setujukah jika dikatakan sebahagian besar dalam kalangan kita hanya kenal Islam pada permukaannya?

Bila ditanya “Apa itu Islam?” Banyak yang akan menjawap, “Islam itu agamalah!”. Begitulah contoh-contoh jawapan yang sering kita dengar. Apa Islam sekadar sebutan itu?

Bagi mencari kebenaran di dalam IPT, para pelajar perlu meletakkan diri sebagai sebahagian daripada arus masyarakat, turut serta dalam perkembangan semasa serta tidak hidup dalam zon sendiri. Sentiasa mendamping dengan dengan masyarakat.

ILMU MENUNTUT TANGGUNGJAWAB


Kesimpulannya, keberadaan kita di IPT yang dikelilingi dengan pelbagai peluang sebenarnya menuntut satu tanggungjawab kepada masyarakat, lebih besar lagi kepada agama kita sendiri. Tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu serta mencorak masyarakat kita, tidak kiralah dari segi pemikiran dan budaya. Di akhirat nanti setiap daripada kita akan ditanya “Ke mana kita mempergunakan ilmu kita?” “Di mana kita mempergunakan usia dan  kita?” 

Persoalannnya, bersediakah kita untuk menjawab persoalan itu di hadapan Allah Subhana Wa Ta’ala kelak?

16 March, 2010

Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2010

Ditampal salin dari: http://mujahideen-islam.blogspot.com



Logo Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)


Salam alayk'.. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) atas kerjasama seluruh front mahasiswa yang bernaung dibawah SMM akan mengadakan sebuah kongres yang yang dinamakan sebagai Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2010. Kongres ini akan dilangsungkan pada 20hb Mac 2010, bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH). Kongres selama sehari ini dianggarkan akan melibatkan hampir 1500 orang aktivis mahasiswa daripada seluruh negara termasuk daripada Sabah dan Sarawak.


Logo Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2010



Kongres ini menandakan bahawa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini kembali sebagai satu wadah gerakan mahasiswa yang tersusun di peringkat nasional. Kongres ini juga adalah bertujuan untuk menyatukan kembali seluruh kumpulan mahasiswa anak muda dengan dengan satu wadah perjuangan untuk masa depan Malaysia.


Dengan bertemakan “Menjana Gerakan Baru Mahasiswa”, kongres ini bertujuan menyusun semula struktur gerakan mahasiswa di peringkat nasional serta menyusun semula agenda perjuangan mahasiswa. Kongres ini juga adalah medan pertemuan seluruh aktivis mahasiswa yang terselerak diseluruh negara untuk disatukan dalam usaha membangunkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sebagai sebuah gerakan mahasiswa yang kritikal dan progresif.

Perlu dikerahui bahawa Kongres Mahasiswa adalah satu perkara yang mustahak yang perlu dilakukan dalam negara ke arah mencapai negara maju. Kongres ini penting untuk aktivis mahasiswa khususnya membentuk gerakan yang bersifat yang lebih bersepadu, menyeluruh dan berkesan untuk memajukan negara pada masa akan datang.

SMM mengambil inisiatif untuk mengadakan kongres mahasiswa sebagai usaha untuk menyatukan idea-idea aktivis-aktivis di Malaysia bukan sahaja di peringkat mahasiswa malah aktivis negara. Program ini akan menjadi perintis ke arah SMM untuk menyatukan dan memperkasakan 'wajah' Malaysia agar menjadi negara yang unggul bukan sahaja dari satu aspek malahan meliputi keseluruhan aspek utama dalam mentadbir negara maju.

Jika dilihat kepada realiti kepada keadaan Malaysia pada hari ini, sewajarnya gerakan mahasiswa perlu diber nafas baru yang lebih segar seterusnya meninggalkan ciri-ciri mahasiswa lesu, bisu dan kaku yang akhirnya mencerminkan corak Malaysia akan datang. Oleh itu generasi bakal pemimpin perlu bersedia menggunakan daya intelektual yang ada bergabung suara dan tenaga supaya bakal pemimpin negara akan datang lebih berdaya maju, berkarisma dan prihatin kepada kebajikan masyarakat. Di antara objektif kongres adalah:

1. Menyusun semula gerakan mahasiswa peringkat nasional.
2. Memperkemaskan struktur gerakan di setiap peringkat ( Nasional dan Kampus )
3. Re-branding semula SMM sebagai satu wadah dan koalasi gerakan mahasiswa yang terbesar di peringkat nasional.

Di antara matlamat kongres pula adalah:

1. Memberi penerangan kepada semua aktivis mahasiswa berkenaan struktur gerakan serta halatuju dan matlamat SMM.
2. Memperkenalkan pimpinan setiap kampus kepada seluruh aktivis.
3. Menyusun semula perwakilan yang terpilih dalam satu organisasi di peringkat Nasional ( MPMN )
4. Membuka keahlian SMM secara terus dan menarik lebih ramai anak muda menyertai SMM
Justeru, Solidariti Mahasiswa Malaysia menjemput seluruh aktivis mahasiswa dan sosial, serta NGO tempatan dan luar negara untuk menghadiri yang kongres bersejarah ini. Diharapkan agar kongres ini memberi impak yang besar bukan sahaja kepada para aktivis mahasiswa, tetapi juga kepada masyarakat Malaysia.

p/s: Semoga gerakan mahasiswa di Malaysia semakin maju ke hadapan!!

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.