Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

04 June, 2012

Bedah Buku Fikah Perubatan

sumber: http://wardhatulsakinah.blogspot.com/

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Bedah Buku Fikah Perubatan & Seharum Kasturi Putih telah berlangsung pada 30 Mei 2012 (rabu) di Masjid Bandaraya. Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibn Sina (PAPISMA) cawangan Sabah dengan kerjasama oleh Yayasan Amal Malaysia (YAM) cawangan Sabah & Masjid Bandaraya (MBR) Kota Kinabalu. Penceramah disampaikan oleh Dr Awisul Islah Ghazali, merupakan Presiden PAPISMA.

Dalam program ini, Dr Awisul banyak mengupas buku Fikah Perubatan berbanding buku Seharum Kasturi Putih. Buku Seharum Kasturi Putih ini menceritakan pengalaman 20 orang doktor dalam merawat pesakit sepanjang kerjaya mereka. Pengalaman para doktor ini diterbitkan dalam bentuk cerpen sebagai iktibar & keinsafan buat semua yang sememangnya pasti ditimpa sakit.


Fikah Perubatan ini ditulis oleh dua orang pakar agama (Ustaz Shamsul Kamal Abdullah & Ustazah Wan Ainon Wan Abdullah) dan dua orang pakar perubatan (Dr Harmy Mohd Yusoff & Dr Rosediani Muhamad). Menurut Dr Awisul, buku ini merupakan karya pertama (asal) yang julung-julungnya diterbitkan di Malaysia & insyaAllah akan diterbitkan lagi untuk menyebarkan kefahaman kepada semua.

Fikah Perubatan menyentuh segenap aspek perubatan dan islam. Buku ini dilihat bukan sahaja pada hukum-hukumnya, malahan melihat teras akidah dalam perubatan dan aturan etika mereka yang terlibat. Fahami isu akidah dalam perubatan dan Islam. Antaranya:

Bolehkah perubatan dan Islam dipisahkan?
Bagaimana kita boleh jadi kafir dengan berubat.

Selami adab-adab doktor dan pesakit. Antaranya:
Adakah doktor dibenarkan memilih bagi mematikan pesakit?
Beliau lelaki dan saya wanita, bagaimana sepatutnya pengubatan ini dilaksanakan?

Jejaki kaedah-kaedah syariah dalam perubatan dan Islam. Antaranya:

Apakah itu perubatan Islam yang sebenar-benarnya?
Fisiologi manusia dan bagaimana Islam selari dengan kajian moden.
Cara beribadah dalam keadaan yang terhad dan berpenyakit.

Dengan isi yang tuntas dan bernas, Fikah Perubatan bukan hanya menawarkan teori dan pemahaman, malah membimbing kita terus dengan kaedah dan amalan yang sewajarnya.

Buku ini mengandungi 6 tajuk utama diiukti tajuk-tajuk kecil:

A) PERUBATAN ISLAM
1. Definisi Perubatan Islam Tibb Nabawi
2. Perubatan Arab Sebelum Kedatangan Islam
3. Etika Perubatan Islam
4. Sejarah Perkembangan Perubatan dalam Dunia Islam

B) ASAS FIKAH PERUBATAN
5. Pengertian Fikah
Pertama : Fikah Perubatan Berdiri Atas Prinsip Umum
Kedua : Hukum Asal Urusan Perubatan Adalah Harus
Ketiga : Fikah Perubatan Dibangunkan Dengan Mengambil Kira Illat (Sebab) dan Maslahat (Keperluan ataupun Kepentingan
6. Daruriyyat, Hajjiyat dan Tahsiniyat

C) HUKUM BERUBAT
7. Hukum Berubat Menurut Islam
8. Jenis Rawatan yang Diharamkan Islam
Rawatan yang Menggunakan Bahan-Bahan yang Haram
Rawatan yang Menggunakan Bahan-Bahan Najis
Rawatan yang Membawa Mudarat Besar dan Bencana yang Dahsyat Kepada Pesakit
Rawatan yang Berdasarkan Sihir, Khurafat dan Pemujaan
Perubatan yang Menggunakan Tangkal azimat
Rawatan Berdasarkan Jampi Mantera
Perubatan Menggunakan Jin (Makhluk Halus)
9. Hukum Menggunakan Benda-Benda Haram dan Najis
Pendahuluan, definisi ubat, definisi ubat yang Halal, Sumber Ubat.
10. Rasional Tidak Boleh Berubat dengan yang Haram

C) BENDALIR BADAN, APLIKASI DAN 'TAHARAH'
11. Haid
12. Istihadah
13. Penetapan Hukum Masalah Haid
14. Rawatan untuk Masalah Haid
15. Nifas
16. Aplikasi Hukum ke atas wanita Haid dan Nifas
17. Hukum Pendarahan Sewaktu Mengandung dan Air Ketuban
18. Bendalir Badan yang lain
19. Cecair Badan yang Lain dan Hukumnya

D) PERLAKSANAAN IBADAH SEMASA SAKIT
20. Manhaj Kehidupan
21. Taharah
22. Tayamum
23. Pesakit yang Tidak Dapat Mengelak daripada Najis
24. Kaedah Solat Semasa Sakit (Gambar)

E) PUASA DAN ISU-ISU PERUBATAN MODEN
25. Puasa
26. Hikmah Puasa
27. Perkara yang membatalkan puasa
28. Kaedah Rawatan Moden berhubung perkara yang Membatalkan Puasa

Lebih lanjut, boleh rujuk buku Fikah Perubatan. Untuk wanita, boleh baca buku Amalan 24 Jam Wanita Haid sebagai rujukan tambahan.


Pesanan tambahan, belajar melalui buku perlu berguru. Pastikan ada orang yang lebih faqih untuk dirujuk agar setiap ilmu yang dipelajari berada di jalan yang betul. InsyaAllah. Selamat membaca.

07 December, 2011

CINTA ASYURA


.[PERTANYAAN] Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ya ustaz.. Saya ingin bertanyakan soalan, ustaz. Maaf jika mengambil masa ustaz. Isunya tentang Karbala. Tentang Asy-Syahid Sayyidina Al-Husein bin Sayyidina Ali r.a., yang kita cintai.
Sebelum itu, saya ingin nyatakan pengamatan saya (yang masih sedikit).. saya rasa kurangnya pendedahan di rantau ini, dari kalangan ulama tradisi Ahlus-Sunnah wal Jamaah tentang perkara yang akan saya sebutkan ini. Harap ustaz dapat ulaskan, (jika benar pemerhatian saya), mengapa terjadi yang sedemikian itu, dan hikmah di sebaliknya.
Bagaimana kita seharusnya memandang peristiwa Karbala dan syahidnya Sayyidina Al-Husein r.a. ini, supaya tercermin cinta kita kepada Ahlul-Bait baginda Rasulullah s.a.w. Bagaimana jua harus kita berpendirian tentang para pembunuhnya, dan sang pemerintah, Yazid kala itu..
Ya ustaz, apakah cara terbaik untuk menunjukkan kepedulian kita (perlukah dibangkit-bangkitkan peristiwa ini?, contohnya), dan setakat mana patutnya perasaan kecintaan & kebencian kita.. berhubung peristiwa ini, supaya selari dengan pegangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah, dan tidak melampaui batas-batas yang memagari akidah kita. Sangat-sangat berharap agar ustaz dapat membantu.. Terima kasih atas perhatiannya.
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Mohd Shafiq)
[JAWAPAN, oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis b Raja Jamaludin]
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Sungguh hari Asyura juga mengingatkan kita tentang peristiwa syahidnya Jaddina Al-Husein bin Sayyidina Ali r.a., cucu Baginda s.a.w.. Peristiwa Syahidnya Sayyidina Al-Husein ini adalah antara peristiwa yang sangat memilukan hati para pencinta Ahlul-Bait Nabi s.a.w.. Namun, para ulama’ Ahlus Sunnah tidak menjadikan peristiwa ini untuk dikenang dengan cara golongan Syiah yang mencederakan diri mereka semata-mata untuk menghayati penderitaan Sayyidina Al-Husein r.a..
Bahkan, para ulama’ Ahlus-Sunnah memperingati peristiwa Asyura dengan memperingati banyak peristiwa lain seperti peristiwa Nabi Nuh a.s., peristiwa pembebasan Nabi Musa a.s. dan sebagainya. Oleh sebab itulah, dominasi emosional para ulama’ Ahlus-Sunnah bercampur antara kegembiraan dan kesedihan kerana Rasulullah s.a.w. meraikannya dengan kegembiraan (kerana belum berlaku peristiwa Karbala).
Bahkan, menurut sebahagian ‘Arif biLlah, Rasulullah s.a.w. sengaja memperingati Asyura dengan kegembiraan walaupun Baginda s.a.w. tahu tarikh tersebut, setelah kewafatan Baginda s.a.w., akan menjadi tarikh syahidnya cucu Baginda s.a.w. yang tercinta. Ini kerana, Rasulullah s.a.w. sudah diberitahu oleh Jibril a.s. tentang cucu Baginda s.a.w. yang akan dimusuhi oleh kaumnya sendiri. Namun, Baginda s.a.w. memperingati Asyura dengan dominasi kegembiraan kerana umat Islam adalah ummat yang sentiasa berfikiran positif dan menjadikan segenap peristiwa yang sedih untuk mengambil pelajaran.
Kita lihat sebagai contoh, peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w. diingati dengan peristiwa kelahiran Rasulullah s.a.w. kerana tarikhnya sama, bagi mendominasikan rasa kegembiraan terhadap nikmat kelahiran Rasulullah s.a.w.. Bahkan, sebahagian ulama’ berkata, kegembiraan umat Islam pada maulid Nabi walaupun tarikh tersebut juga adalah tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w. kerana Rasulullah s.a.w. tidak pergi meninggalkan kita sebaliknya masih bersama-sama kita di alam yang berbeza.
Dengan maksud ini juga, seorang syiah bertanya Sayyidina Abdul Qadir Al-Jailani:
“Mengapa Ahlus-Sunnah menyambut Asyura dengan kegembiraan dan berpuasa, padahal hari tersebut adalah hari berduka?”
Sayyidina Abdul Qadir Al-Jailani menjawab:
“Orang yang berduka pada hari ini melihat Sayyidina Al-Husein dibunuh, padahal kami bergembira kerana melihat hari ini Sayyidina Al-Husein diberi anugerah Syahid yang sangat agung di sisi Allah s.w.t.”
Dalam sejarah umat Islam, banyak lagi peristiwa yang menyedihkan seperti syahidnya Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali r.a.. Namun, peristiwa-peristiwa tersebut tidak dijadikan sebagai peristiwa khusus untuk memperingatinya kerana umat Islam mengambil pelajaran dan pengajaran terhadap peristiwa-peristiwa tersebut untuk terus membagun ummah, bukan sekadar menzahirkan kesedihan saban tahun. Rasulullah s.a.w. juga mempunyai banyak peristiwa sedih dalam kehidupan Baginda s.a.w., namun tidak memperingatinya secara berulang-ulang kerana mempunyai banyak tanggungjawab yang terus dilakukan. Ini tidak bererti Rasulullah s.a.w. tidak peduli tentang kewafatan Sayyidatina Khadijah, kematian anak-anak Baginda s.a.w., kesyahidan Sayyidina Hamzah r.a. dan sebagainya.
Bahkan, ketika Sayyidina Uthman r.a. dibunuh, Sayyidina Ali r.a. lebih berusaha menumpukan perhatian terhadap pembangunan ummah berbanding mencari pembunuh Sayyidina Uthman r.a. kerana ianya sukar dilakukan dan akan menjadikan sibuk dengan perkara tersebut berbanding urusan pentadbiran yang lebih besar. Hal ini juga tidak dipersetujui oleh Sayyidina Mu’awiyyah yang menganggap Sayyidina Ali r.a. tidak mempedulikan Sayyidina Uthman r.a., padahal jauh dalam hati Sayyidina Ali r.a., kecintaan beliau terhadap Sayyidina Uthman lebih besar berbanding kecintaan Muawiyyah terhadap Sayyidina Uthman r.a..
Kita digalakkan untuk memperingati segala peristiwa yang berkaitan dengan sejarah Islam. Tetapi, umat Islam mempunyai banyak tanggungjawab yang lebih besar dalam membangunkan ummah berbanding menzahirkan kesedihan dalam peristiwa-peristiwa tertentu. Kesedihan dalam diri secara individu adalah suatu tanda mahabbah terhadap apa yang disedihkan tersebut. Namun, ianya lebih bersifat individual semata-mata, berdasarkan ukuran mahabbah seseorang.
Menzahirkan kecintaan sudah cukup berbanding menzahirkan kebencian. Inilah ukuran para ulama’ Ahlus-Sunnah wal Jamaah. Tidak mengapa memperingati peristiwa-peristiwa sedih tersebut, dalam masa yang sama ianya bertujuan untuk mengambil pelajaran terhadap ketentuan hukum Allah s.w.t. tersebut dan menzahirkan kecintaan kepada mereka yang disebut. Tetapi, perlu disertai dengan pelajaran yang dapat diambil agar masa lepas boleh menjadi pedoman untuk membangun masa hadapan. Inilah konsep Ahlus-Sunnah wal Jamaah.
Cara terbaik untuk melahirkan kecintaan dan kepedulian kita terhadap peristiwa Karbala adalah dengan mencintai dan menzahirkan kecintaan kita kepada keturunan Rasulullah s.a.w. (Ahlul-Bait) setiap waktu. Inilah yang diingini oleh Rasulullah s.a.w., iaitu mawaddah pada kaum kerabat Baginda s.a.w.. Perlulah kita mendekati dan mencintai Rasulullah s.a.w. melalui kecintaan kita kepada Ahlul-Bait Nabi s.a.w. dan pada memuliakan mereka.
 Wallahu a’lam.
[*] http://firusfansuri.blogspot.com/2009/12/cinta-asyura.html

24 November, 2011

Tips Kiblat di Hotel dan Resort


sumber: http://albelurani.blogspot.com

Bismillah...

khasnya kepada penduduk dan masyarakat Sabah atau para musafir yang bermusafir ke Sabah dan menginap di hotel atau resort. Beberapa tips atau panduan bagi anda memastikan arah kiblat di hotel atau resort yang anda diami.

Alhamdulillah boleh dikatakan telah banyak kami tentusahkan arah kiblat di bilik-bilik hotel atau resort di negeri Sabah ini samada yang berbintang atau tidak ada langsung bintangnya. Kami berdasarkan permohonan bukan berdasarkan taraf bintang sesebuah hotel atau resort. Juga perkhidmatan kami adalah 100% percuma.

Setiap hotel atau resort yang telah diberikan pengesahan arah kiblatnya maknanya telah memenuhi syarat dan telah kami lawati ke hotel dan resort tersebut. Antara syarat yang perlu diketahui adalah :

1. Penandaan arah kiblat dibuat di keseluruhan bilik hotel dan resort tersebut, maknanya kami masuk ke bilik-bilik hotel tersebut tanpa ada terkecuali walaupun satu bilik untuk diletakkan tanda (stiker) kiblat yang betul.

2. Penanda arah kiblat diletakkan/dilekatkan di atas syiling bilik hotel atau resort. Jika anda melihat stiker arah kiblat dilekatkan selain dari syiling seperti dalam laci/almari maka hotel tersebut tiada pengesahan daripada kami ( Pejabat Mufti Negeri Sabah ). Jika pihak hotel mendakwa pihak kami ada memberikan pengesahan maknanya pengesahan dan sijil pengesahan terbatal serta merta disebabkan berlakunya gangguan terhadap penanda arah kiblat.

Jika syarat tersebut telah dipatuhi, surat dan dan sijil pengesahan dianugerahkan kepada hotel dan resort tersebut dan mereka akan paparkannya di ruang atau lobi hotel sebagaimana sijil halal. Ini memudahkan para pengunjung ke hotel tersebut mengerjakan solat berpandukan arah kiblat yang terdapat di dalam bilik hotel dan resort tersebut.

Jika surat dan sijil tidak dipaparkan anda berhak meminta untuk ditunjukkan sijil dan surat pengesahan tersebut agar dapat menghilangkan rasa was-was dalam melaksanakan solat. Itu pun jika pihak hotel dan resort mendakwa hotel dan resort mereka telah ditentusahkan kiblatnya oleh pihak kami. Berhati-hati, kerana kes sebegini pernah berlaku.

Setelah itu, jika pihak hotel dan resort telah menunjukkan sijil atau surat pengesahan arah kiblat, teramat penting juga anda hendaklah memerhatikan stiker arah kiblat di dalam bilik hotel tersebut ianya memenuhi syarat seperti di atas. Jika sebaliknya, anda hendaklah melaporkan perkara ini kepada kami di alamat berikut :

Pejabat Mufti Negeri Sabah
Tingkat 2, Blok B, wisma MUIS
Beg Berkunci 2070
88999 Kota Kinabalu

tel : 088218322
faks : 088263679

Atau anda boleh berhubung langsung dengan saya melalui FB : albelurani alfalaki atau ditalian 0195367902 untuk tindakan lanjut daripada kami. Kami juga amat berharap di atas kerjasama anda atas dasar " Bertolong-tolong dalam kebaikan dan tidak bertolong-tolong dalam kemungkaran dan kejahatan".

Seperkara lagi, stiker kiblat ( penanda arah kiblat ) di setiap hotel atau resort adalah berlainan ini kerana atas dasar menghormati pihak hotel dan resort agar penanda tersebut bersesuaian dengan mereka. Namun, sedikit masa lagi STIKER KIBLAT akan diselaraskan dan akan sama semuanya menunjukkan bahawa pengesahan tersebut adalah daripada pihak kami.

Semoga dengan sedikit tips dan panduan ini membantu dan memudahkan anda melaksanakan solat apabila anda menginap di hotel dan resort di negeri Sabah.

Barakaallahu fiikum.


03 August, 2011

1 RAMADHAN 1432 DI MASJID NEGERI SABAH



Ini suasana yang sempat saya rakamkan pada selesai solat zuhur di Masjid Negeri Sabah tengahari tadi. Lebih 3/4 kawasan dewan utama dipenuhi para jamaah khususnya para penjawat awam. Pemerhatian saya sebenarnya, kehadiran umat Islam menyertai solat zuhur berjamaah di Masjid Negeri Sabah semakin meningkat saban tahun. Pada zuhur luar Ramadhan, tidak kurang 300-400 jamaah yang hadir,  tanpa mengira kumpulan-kumpulan yang solat di aras bawah bertali arus selepas jam 1 tengahari.

Selepas kehadiran hampir 1000 jamaah pada zuhur Ramadhan di aras utama (juga tidak mengambil kira mereka yang solat di aras bawah @ masbuq), saya meyakini bahawa kehadiran jamaah zuhur selepas Ramadhan adalah semakin meningkat jika dibandingkan sebelum Ramadhan. Semoga suasana ini berterusan dan usaha-usaha memberi kefahaman tentang tuntutan solat fadhu dan solat berjamaah akan disampaikan kepada umat Islam yang lain. Sudah tentu ia tanggungjawab semua orang.

Dari satu sisi, Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah turut menganjurkan ‘Tazkirah Ramadhan’ selepas solat zuhur pada setiap hari (kecuali jumaat) membabitkan pendakwah dan penceramah terpilih yang membincangkan pelbagai topik termasuk masalah hukum hakam, aqidah, sirah, tasawuf, tokoh ulama dan sebagainya (bukan hanya berkisar topik puasa sahaja). Semoga ia bermanfaat untuk kita semua.

11 May, 2011

USUKAN pun boleh bah!!

sumber: http://yuyushira.blogspot.com


USUKAN PUN BOLEH BAH!!

Pada 6-8 Mei 2011, Persatuan Siswazah Sabah(PSS) telah dijemput untuk menguruskan Program Motivasi khas buat pelajar-pelajar tingkatan 6 yang berlokasi di SMK Usukan Kota Belud. Seramai 11 orang yang terdiri daripada ahli PSS dan dibantu oleh ahli Kelab Remaja Ukhuwwah(KRU) telah menyumbang tenaga menjayakan program bagi mencapai objektif dan memenuhi harapan guru-guru. sekitar 40 orang peserta telah menginap di asrama SMK Usukan bagi mengikuti program 3 hari 2 malam ini secara penuh. Program telah berlangsung di sekitar sekolah, berdekatan pantai dan Dewan Asrama Al-Firdaus yang menjadi kawasan utama pengumpulan peserta.

Pelbagai modul dan aktiviti diadakan bagi meningkatkan motivasi peserta serta berfikir secara kritis dan melahirkan generasi yang membudayakan ilmu. Aktiviti merangkumi kuliah dasar, latihan dalam kumpulan, pembentangan, diskusi dan sumbangsaran sebagai medium pembuka minda serta mengizinkan pertukaran idea berlaku. Turut dikedepankan beberapa slot perkongsian hidup bagi menyelami latar belakang sahabat dan diri sendiri. Ini bertujuan memupuk kesedaran dalam diri peserta untuk berinisiatif mengubah masa hadapan kepada kehidupan yang lebih cerah.





Dalam menyuntik motivasi, tidak lari dari mendidik jiwa-jiwa muda Usukan untuk kembali teguh mengamalkan cara hidup berpandukan al-quran dan as-sunnah. Pengisian rohani turut tidak tertinggal sebagai penerang kepada hati-hati generasi ini. Sepanjang program berlangsung qiamullail, solat berjemaah dan kuliah-kuliah ringkas turut menjadi agen pembentuk peribadi.




Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Setiap bait lirik dihayati. Lagu tema yang menjadi pemangkin motivasi kepada para peserta untuk mencapai kejayaan. Masing-masing melontarkan harapan untuk mengenggam segulung ijazah kelak selepas membuktikan kecemerlangan dalam STPM pada tahun 2011. Semoga para pelajar ini akan berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam setiap perkara yang diceburi dan turut menyerlah di arena membangunkan masyarakat.

Checkpoint 'Tangki'

Checkpoint 'Darurat'

Checkpoint 'Tiru-Teka'

Checkpoint 'si Buta'

Checkpoint akhir - keindahan alam

semangat melangkah dengan kaki bertaut

Ponsikow Togumu!

Terima kasih di atas pihak sekolah yang memberi kepercayaan penuh kepada PSS untuk menguruskan perincian perjalanan program sepenuhnya. Juga buat para peserta di atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dan kejutan hadiah buat para fasilitator. Selamat menginjakkan kaki ke menara gading!

Lebih banyak gambar menyusul kemudian.
Kebanyakkan gambar, creadit to: TOIB Photography - Azizul Julirin

27 April, 2011

Qiamullail April KRUKK + Mesyuarat Agung Kali Ke-4

sumber: http://yuyushira.blogspot.com



Setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, dengan izinNya Kelab Remaja Ukhuwwah cawangan Kota Kinabalu dapat mengadakan qiamullail bulanan sekali lagi pada 23-24 April 2011. Alhamdulillah program yang berlokasi di Masjid Universiti Malaysia Sabah berjalan dengan lancar. Kehadiran pada kali ini agak memberangsangkan dengan seramai 122 orang peserta dari sekolah sekitar Kota Kinabalu.

Selain pengisian qiamullail yang menjadi tunjang program, Mesyuarat Agung KRUKK Kali Ke-4 turut menjadi agenda utama. Majlis telah dirasmikan oleh penasihat Persatuan Siswazah Sabah iaitu Sdra. Firdaus Fuad. Pimpinan sesi 2010/2011 telah meletakkan jawatan dengan selamat dan digantikan dengan pimpinan sesi yang seterusnya. Berikut adalah organisasi pimpinan KRUKK sesi 2011/2012;

Pengerusi: Azmeer Zainuddin
Timb. Pengerusi: Hafizatul Bazla Mohd Dahali
Setiausaha: Hashemi Hashim
Timb. Setiausaha: Satriani Burhan
Bendahari: Fariz Amirul Mohd Fauzi
Timb. Bendahari: Siti Hasmaliza

Ahli Lajnah:

Lajnah Tarbiyyah dan Dakwah
1. Muhammad Soffiq Saripin
2. Azree bin Munir
3. Nur Radiah
4. Sri Mulyati

Lajnah Kepimpinan dan Organisasi (LKO)
1. Nazree bin Munir
2. Mohd Fauzan bin Dahlan
3. Sarimah Massa
4. Fashella Vun@Faizah

Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan (LEK)
1. Mohd Arafat bin Uyong
2. Radzwan Syafique bin Ramlee
3. Nuraina Nabilah
4. Nur Masturah

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK)
1. Nik Mohd Akib
2. Azrin bin Adam
3. Nur Ain Sakinah
4. Nur Hikmah bin Sulaiman

Lajnah Penerbitan dan Informasi (LPI)
1. Mohd Soffian At-Thauri
2. Mohd Syahmi bin Osman
3. Zareena Jumat
4. Nur Hijrah


Buat ahli jawatankuasa yang baru, selamat menjalankan tugas baru yang diterima.
Salam 1 perjuangan.

12 January, 2011

Futsal Bersama Penduduk Kg Kobuni,Inanam,Sabah.

sumber: http://madi2mudamudi.blogspot.com

Bergambar bersama penduduk Kg Kobuni selepas perlawanan.

Walaupun penat dari program Qiam Perdana, mesyuarat PSS KK, kemudian terus ke Rumah Kak Nadrah untuk memenuhi jemputan kenduri kesyukurannya, namun kaki tetap kental memijak pedal minyak kereta memecut ke kampung Kobuni, Inanam untuk menyahut cabaran penduduk di sana untuk bermain futsal. Sesampai di sana, saya bersama sahabat saya bersolat asar dahulu di Surau Al-Aqsa, Kg Kobuni, Inanam, Sabah yang terletak betul-betul bersebelahan dengan gelanggang futsal. Hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan juga perlawanan. Setelah beberapa ketika, nampaknya hujan telah berhenti dan perlawanan semakin rancak berlangsung. Perlawanan berlangsung dengan penuh semangat muhibbah. Semoga aktiviti-aktiviti seumpama ini menguatkan lagi ikatan sillaturahim antara kita.
Solat Asar di Surau Al-Aqsa, Kg Kobuni, Inanam,Sabah.
Pemain sedang semangat bermain.

22 December, 2010

Peluk Islam semasa nonton TV

sumber: http://samzha.blogspot.com


http://www.guystuffcounseling.com/Portals/31983/images//bigstockphoto_Man_Watching_Television_1520079-resized-600.jpg

Dalam satu program bertajuk ONE FAMILY dalam saluran Majd Channel, Moderatornya ialah Dr.Yahya Alyahya (head of the CALL to Islam Committee) menceritakan sebuah kisah tentang seorang lelaki Amerika bukan Muslim yang berbincang dengannya mengenai Islam ketika sedang menonton siaran langsung Solat Isya’ dalam bulan Ramadhan di Makkah.

Lelaki Amerika itu sangat terkejut melihat keadaan umat Islam melalui kaca TV itu, melebihi 3 Juta orang yang berhimpit antara satu sama lain di dalam Masjidil Haram pada malam terakhir di dalam bulan suci Ramadhan itu, terlalu ramai dan sangat tidak terurus.

Sheikh tersebut bertanya kepada lelaki Amerika itu,

"Berapa lama kamu fikir mereka akan menguruskan diri masing-masing untuk berada dalam barisan dan memulakan solat?"

Lelaki Amerika itu menjawab,

”Sekurang-kurangnya 2-3 jam”

Sheikh itu berkata,

”Tetapi Masjidil Haram mempunyai 4 aras?”

Lelaki itu menjawab,

”Oh, kalau begitu pasti akan mengambil masa lebih kurang 12 jam!”

Sheikh itu berkata lagi,

"Kamu bayangkan bahawa mereka datang dari seluruh pelusuk dunia dengan berlainan bahasa, mungkinkah mereka dapat berada dalam satu barisan untuk memulakan solat?”

Lelaki Amerika itu menjawab,

”Jika begitu amat mustahil bagi mereka untuk menguruskan diri agar berada dalam satu barisan untuk memulakan solat!!”

Dan apabila waktu solat sudah pun tiba, Sheikh Abdul Rahman As-Suddais berdiri tegak lalu melaungkan kalimah,

”Rapatkan Saf…“



Dan dalam beberapa saat saja, seluruh pemandangan di Masjdil Haram berubah serta merta dan 3 Juta Muslim sebentar tadi telah tersusun rapi dalam barisan hanya SEKELIP MATA.



Lelaki Amerika itu memandang kaca TV sejenak lalu beliau berkata,

“ASH-HADU ALLAH ILAHA ILLA ALLAH WA ASH-HADU ANNA MUHAMMADAN RASULULLAH"

I bear witness that there is none worthy of worship but ALLAH, and I bear witness that Mohammad is His Servant and Messenger

Lihatlah betapa ajaibnya Islam, hanya kerana saf solat saja boleh menarik penganut agama lain untuk yakin dengan agama mulia ini.

25 October, 2010

Hidupku, Matiku, Hanya untukMu...

sumber: http://yuyushira.blogspot.com

Syukur ke hadrat ilahi kerana dengan izinNya Program Qiammullail Kelab Remaja Ukhuwwah cawangan Kota Kinabalu dapat dilaksanakan pada 23-24 Oktober 2010. Seperti biasa, program KRUKK sekali lagi menjadikan Masjid Universiti Malaysia Sabah sebagai medan pembangunan remaja. Pada kali ini penyertaan adalah seramai 80 orang yang terdiri daripada 28 orang muslimin dan 52 orang muslimat. Tema "Transformasi Menuju Misi" sekali lagi digunakan tetapi lebih menjurus kepada matlamat sebenar diciptakan oleh Allah SWT di muka bumi.

Kuliah Dasar pada kali ini disampaikan oleh Ustazah jemputan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tebobon iaitu Ustazah Salwa binti Haji Ahmad dengan tajuk, "Matlamat dalam kehidupan".
Latihan dalam kumpulan(LDK) telah memecahkan peserta kepada 5 kumpulan muslimat dan 2 kumpulan muslimin. Adik-adik secara tidak langsung dilatih untuk berhujah dengan mengemukankan idea-idea bernas mengenai matlamat sebenar dalam kehidupan berdasarkan ceramah yang telah disampaikan. Tahniah buat semua! :)
Kali ini slot muhasabah turut diadakan bagi mengajak para peserta memperjelaskan bersama matlamat hidup yang sebenar. Slot ini disampaikan oleh Saudara Azizul Julirin(Persatuan Siswazah Sabah).

Qiammullail pada kali ini dibimbing oleh ust. Ezri dan beliau seterusnya menyampaikan kuliah subuh berkenaan "Matlamat dalam Perjuangan" yang turut menyelitkan sirah perjuangan sewaktu di zaman Rasulullah.Semoga adik-adik yang mengikuti program pada kali ini memperoleh pelbagai input untuk diaplikasikan dalam kehidupan.

Syukran jazilan buat semua yang sudi hadir dan sudi membantu dalam menjayakan program kali ini. Hanya Allah yang selayaknya mampu membalas jasa baik kalian.


Sampai jumpa lagii~ insya-Allah :)

06 October, 2010

SERTAI QURBAN BERSAMA PERSATUAN ULAMA

sumber: http://abunuha.wprdpress.com

Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Negeri Sabah akan mengadakan majlis qurban pada hari raya eidul adha 1431h di beberapa buah lokasi terutamanya perkampungan muallaf dan kawasan minoriti muslim. Umat Islam di seluruh Malaysia dan di mana juga yang dapat membaca maklumat ini dialu-alukan untuk menyumbang dalam ibadah qurban (atau aqiqah) ini. Kos bagi setiap bahagian ialah sebanyak RM400 sahaja. Banyaknya lokasi yang terlibat bergantung kepada banyak atau sedikit sumbangan umat Islam.

Untuk keterangan lanjut, dan bagi menyerahkan nama boleh berhubung kepada Saudara Aliakbar (013-8715971) selaku penyelaras program. Wang sumbangan qurban boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam 100 160 100 607 17. Tarikh tutup penyertaan ialah 10 November 2010 (seminggu sebelum hari raya qurban). Insya Allah nama-nama peserta qurban dan laporan program berkenaan akan disiarkan di blog ini nanti.

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.