Showing posts with label Tuan Guru Nik Aziz. Show all posts
Showing posts with label Tuan Guru Nik Aziz. Show all posts

01 November, 2011

Sabah boleh ditawan jika ada sorang lagi Nik Aziz



sumber: http://monazmuslim.blogspot.com

Menyentuh soal politik dan pilihanraya di Malaysia ni, adalah sukar membuat ramalan secara tepat atas beberapa faktor. Sekadar analisa secara rawak melalui pemerhatian di sudut isu tempatan, nasional dan antarabangsa. Dan antara faktor terbesar yang menyumbang kepada dominasi UMNO BN sepanjang 52 tahun ialah amalan politik 'machiavelli' dan pemusatan kuasa. Ianya menjadi lebih buruk lagi bila seluruh jentera kerajaan dijadikan alat politik UMNO BN. Pelbagai akta zalim seperti Akta Polis, AUKU, OSA, Akta Penerbitan dan Penyiaran dan lainnya digubal bukan untuk kepentingan awam tapi semata-mata untuk melindungi kepentingan parti pemerintah daripada tergugat. Yang paling mengecewakan bila tahap kesedaran politik rakyat begitu rendah, khususnya Melayu Bumiputera.
Selain wujudnya akta jakun itu, penguasaan media perdana oleh parti pemerintah telah menyebabkan majoriti rakyat hanya menerima maklumat dari sebelah pihak. Namun situasi ini mula berubah, walau tidak menyeluruh, bila kemudahan internet jalur lebar mula memasuki pasaran.

Mengikut kajian yang dibuat pada 2010, jumlah pengunjung website media alternatif termasuk milik Pakatan Rakyat telah meningkat secara mendadak, diikuti laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang kini menjadi pilihan rakyat untuk menyalurkan maklumat secara pantas.

Walaupun 'cyber wars' kini menjadi satu medan perang politik, namun penggunaannya masih tidak menyeluruh dan ditambah pula dengan corak pemikiran rakyat yang masih terbelenggu dengan politik sempit perkauman peninggalan penjajah yang menjadi amalan UMNO selama ini.

Sedarkah kita doktrin politik perkauman memang tektik keji penjajah bagi menguasai sesebuah negara. Kita sendiri lihat bagaimana krisis kebuluran yang melanda umat Islam Somalia. Semuanya ini berpunca daripada rakyat Somalia sendiri yang berpuak-puak dan berbunuh sesama sendiri angkara terpengaruh dengan hasutan pihak Barat.

Dan begitulah keadaannya di tanahair kita walau tidak seburuk keadaan di Somalia, namun sentimen pra-sangka antara kaum masih wujud hingga ke hari ini. Dalam sejarah politik tanahair, sentimen perkauman memang menjadi modal terakhir UMNO untuk mengekalkan kuasanya. Malah penulis juga percaya tragedi 13 Mei 1969 itu sendiri ada agenda politik UMNO jangka panjang.
Kaum di Sabah

Dalam konteks semangat perkauman, sentimen itu masih wujud di kalangan masyarakat Sabah walau di sesetengah kawasan/daerah sentimen tersebut kian berkurang ekoran taraf pendidikan dan hubungan pelbagai kaum semakin baik di tempat kerja dan di institusi-institusi pengajian tinggi. Secara tidak langsung ianya mempengaruhi pola pemikiran majoriti rakyat Sabah sekarang.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada sentimen negatif ini ialah pola penempatan suku kaumnya. Jika daerah Kota Belud dengan kaum Bajau dan Iranun, Ranau dan Tambunan dengan kaum Dusun/Kadazannya, Keningau dan Tenom pula dengan suku kaum Murut, Tawau dan Lahad Datu dengan suku kaum Bugis dan Bajau, Beaufort, Sipitang dan Papar dengan kaum Melayu Brunei dan Bisayak manakala Kudat, Kota Marudu dan Pitas dengan suku kaum Rungus dan Sungai.

Pola penempatan yang sedemikian rupa wujud ekoran faktor geo-fizikal negeri yang bergunung-ganang. Secara tak langsung hubungan antara kaum itu terpisah oleh bentuk fizikal mukabumi.
Politik

Apabila pola penempatan berkelompok dan terpisah di daerah masing-masing, tentunya tidak dapat dielakkan rasa sentimen kaum di dalam jiwa masyarakat Sabah itu sendiri. Bagi penulis ianya satu perkara lumrah di mana-mana saja. Justeru, sentimen kaum ini turut mempengaruhi pola politik Sabah hingga ke saat ini. Juga kepada undi dalam pilihanraya.

Penulis ambil contoh Parlimen Kota Belud dan 3 DUN di bawahnya, Tempasuk, Kedamaian dan Usukan. Di parlimen ini hanya ada 2 suku kaum terbesar, yaitu Bajau dan Iranun. Di sudut sejarah, 2 suku kaum ini pernah bertelagah dan masih kuat sentimen perkaumannya. Malah beberapa kenalan penulis dari 2 suku kaum ini pernah mengatakan jika calon berbangsa Bajau yang bertanding, kaum Iranun tidak akan mengundi dan begitulah sebaliknya.

Katakan dalam Parlimen Kota Belud ditandingi secara one-by-one. BN diwakili calon Bajau dan PR diwakili calon Iranun. Jangan terkejut kalau calon Bajau BN akan mendapat undi dari pengundi Bajau yang menyokong BN dan PR. Dan begitulah juga dengan calon Iranun yang mewakili PR. Senario ini boleh berubah jika ada calon ketiga dari suku kaum lain seperti Dusun. Katakan SAPP meletakkan calon berbangsa Dusun. Kemungkinan besar calon SAPP akan mendapat undi dari kedua-dua kaum utama tadi yang tak suka BN dan PR.

Bagi kawasan yang masih kuat sentimen perkaumannya, PR perlu beri perhatian serius dalam meletakkan calon mereka. Jika tersilap percaturan, peluang kemenangan akan terlepas begitu saja. Sekiranya ada individu ahli parti yang dikenali, popular dan dihormati masyarakat tempatan, maka orang itu perlu diberikan laluan sebagai calon walau tidak memegang sebarang jawatan parti. Seterusnya perhitungan di sudut bangsa calon itu sendiri merupakan aspek penting yang boleh mempengaruhi undi.

Manakala di pihak BN, tentunya mereka cukup arif akan hal ini dan ditambah dengan amalan sogokan politik wang yang memberikan kelebihan pada mereka.
Azhar Idrus

Di Terengganu, khabarnya Ustaz Azhar Idrus akan diminta bertanding di salah satu kawasan DUN di negeri itu walau beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam parti. Hanya ahli biasa. Tentunya pucuk pimpinan parti melihat di sudut populariti dan pengaruh pendakwah bebas itu di kalangan masyarakat, khususnya golongan muda. Jelas di sini faktor pengaruh bakal calon dalam masyarakat itu amat penting kerana ia mampu meraih undi rakyat. Mugkin 3 golongan yang akan mengundi calon yang mempunyai kriteria seperti itu. Pertama, tentunya undi dari ahli parti sendiri tapi belum menjamin kemenangan. Kedua, undi para peminat calon itu sendiri dan ketiga, undi simpati.
Pandangan umum

Seorang wartawan NST, Jaswendar Kaur, memberi pandangan dengan mengatakan jika pilihanraya Sabah diadakan selepas 3 atau 4 hari pilihanraya umum di Semenanjung dan Pakatan Rakyat ada kekuatan di negeri itu, nescaya Sabah akan terlepas ke tangan pembangkang.

Katanya, pengundi, khususnya di luar bandar ingat bila Sabah mengundi menentang BN di awal 90an dulu. Selepas itu, kerajaan persekutuan membekukan bantuan kepada Sabah sehingga PRU berikutnya sebagai hukuman. Ekoran tidak bersedia untuk menjadi suara tunggal, akhirnya rakyat Sabah terpaksa mengundi BN kembali. Walau bagaimanapun, apabila PRN Sabah diserentakkan dengan PRU Semenanjung, calon-calon pembangkang memenangi undi popular.

Di Sabah, parti-parti pembangkang gagal mencapai kerjasama sebagaimana yang dicapai di Semenanjung. Akibatnya, wujud pilihanraya kaum dan ramai calon-calon diletakkan untuk bertanding menentang BN. Bila senario sebegini berlaku, undi kepada pembangkang berpecah dan menguntungkan BN sendiri. Dan fenomena inilah yang dimahukan oleh BN dalam PRU13 akan datang.

Tidak dinafikan, hari ini rakyat Sabah, khususnya masyarakat Cina sedang memerhati bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat memerintah dan mentadbir Pulau Pinang bagi mengukur sejauh mana kejayaan dan keberkesanan PR.

Dominic Lim, Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan Manusia Diocese Katolik memberitahu bahawa jika PR berjaya di Pulau Pinang, BN "akan hilang" pegangannya ke atas Sabah. Walau bagaimanapun, orang Sabah kurang 'berselera' dengan Anwar. Rakyat Sabah masih ingat ketika Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, apabila bercakap dia selalu meremehkan Sabah. Justeru, majoriti rakyat Sabah masih terkilan dengan Anwar.

Kata Dominic, Anwar mesti berusaha untuk memenangi hati rakyat Sabah melalui tindakan, bukan kata-kata. Anwar perlu membuktikan kepada rakyat Sabah bahawa dia bukan lagi seorang fundamentalis Islam. Ketidakpercayaan rakyat Sabah terhadap parti dari Semenanjung wujud disebabkan pengalaman mereka bersama UMNO selepas parti itu berjaya masuk ke negeri ini. Rakyat Sabah mengundi atas faktor merit calon pembangkang, bukan mengundi parti yang diwakili.

Parti pembangkang asal Sabah sebenarnya boleh mendapat sokongan yang kuat rakyat. Malangnya Sabah tidak mempunyai seorang pemimpin yang berkarisma yang mampu menyatukan seluruh etnik rakyat Sabah (Kadazan, Cina dan Melayu). Isu-isu utama yang mendominasi politik tempatan di Sabah semasa pilihanraya ialah status beribu-ribu pendatang haram yang tinggal di Sabah dan tanah yang disita oleh sektor swasta, kadang-kadang melanggar undang-undang adat peribumi.
Kesimpulan

Sebagaimana penulis sebut di awal tadi, sikap politik rakyat Sabah ini sangat unik. Mereka pernah menukar kerajaan sebanyak 4 kali.

Bemula USNO, Berjaya, PBS dan BN. Di samping itu, sentimen Sabah-Semenanjung yang ditanam sejak zaman USNO lagi masih berakar di dalam jiwa rakyat Sabah walaupun perasaan itu dah semakin berkurang.

Selaku Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang, rasanya tak salah kalau Anwar Ibrahim mencari seorang calon isteri di Sabah ni kalau itu jalan terbaik untuk mensirnakan rasa terkilan rakyat Sabah padanya dulu. Takkanlah Wan Azizah marah. Bukankah comel kalau Kak Wan ada 'adik' di Sabah ni. Tapi mungkin Anwar yang tak mahu sebab setianya pada Nonanya Azizah. Sorrylah Abg Anwar dan Kak Wan... penulis gurau je.

Masih ada masa untuk pakatan pembangkang di Sabah ni mengatur strategi terbaik. Mungkin nak mencari calon pemimpin terbaik yang mampu menyatukan seluruh etnik Sabah dalam jangka masa terdekat ni agak sukar, namun kena diusahakan juga. Bak kata pepatah Melayu, "Kalau tak dapat rotan, dapat akarnya pun jadilah".

Bagi penulis, jalan terbaiknya pakatan pembangkang mesti bersatu untuk menjatuhkan rejim UMNO BN demi kepentingan rakyat jelata. Ketepikan segala kepentingan dan sentimen parti masing-masing. Kalau BN boleh jatuh dengan cara itu, maka ianya wajar dilaksanakan segera. USNO, SAPP, PBRS, PAS, PKR dan DAP perlu berlapang dada.

Kalaulah ada seorang lagi Nik Aziz di Sabah ni, nescaya orang itu mampu menyatukan hati seluruh etnik di Sabah.

Wallahu'alam.

31 October, 2011

Tok Guru dan nasi bungkus RM2.50



sumber: http://monazmuslim.blogspot.com

Penulis tertarik dengan nukilan Rashidi Hassan yang mengisahkan darihal kezuhudan dan kesederhanaan MB Kelantan ketika menjamu selera bersama tetamu lain selepas merasmikan Persidangan ICT PAS di Taman Melewar, 22 Oktober lepas. Kalau Rashidi tidak cerita pun, majoriti rakyat pelbagai kaum di negara ini dah cukup kenal dan tahu akan kezuhudan Nik Aziz, khususnya rakyat Kelantan sendiri.
"ANTA dah makan," tegur Tok Guru tatkala melihat kelibat penulis memasuki bilik jamuan. "Alhamdulillah, sudah Tok Guru," jawab penulis sambil mengangguk.
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terus membuka bekas polystyrene yang berada di hadapannya. Bekas tersebut diikat dengan getah plastik. Di dalamnya ada nasi putih, seketul ayam, sebungkus kuah gulai dan sebungkus cili.

Tiada makanan ala buffet. Tiada air sirap, tiada teh dihidangkan. Yang ada hanya air mineral dan nasi bungkus.

Itulah jamuan untuk VIP PAS selepas Menteri Besar Kelantan itu merasmikan Persidangan ICT PAS di Taman Melewar, 22 Oktober lepas. Tok Guru Nik Aziz menjamu selera di bilik khas bersama Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dr Mohd Fadzli Hassan, Che Abdullah Nawi, Setiausaha Politik, Wan Nik Wan Yussof, Pengerusi Lujnah ICT PAS, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Pengarah Urusetia Penerangan Kedah, Zulkifli Yahya dan Pensyarah Unisel, Profesor Dr Azmudden Ibrahim.

Tok Guru dan para VIP kelihatan berselera sekali menjamah hidangan. Mereka menjamu selera dan berbual dengan nada yang amat santai.

Begitu pun, akhlak Tok Guru tetap terpelihara. Beliau mencarik-carikan isi ayam sedikit demi sedikit, dengan tangan kirinya menahan tulang ayam. Selepas secubit ayam dijamah, beliau menuangkan kuah gulai sedikit-demi sedikit, untuk dimakan dengan nasi. Begitulah selang-seli hidangan dimakan hingga habis.

Berbeza dengan kita. Kalau kita yang makan, kita akan ambil seketul-seketul ayam dan koyakkan dengan gigi sahaja. Biasa kalau kuah gulai tu, kita akan tuang sampai banjir dalam pinggan.

Sambil-sambil mereka makan, penulis memerhatikan tingkah laku mereka. Para VIP PAS, khususnya Tok Guru, tidak pernah merungut, walaupun pada pengamatan penulis, nilai sebungkus nasi dan air untuk hidangan VIP, tidak sampai RM2.50. Itulah juga hidangan yang disajikan kepada seluruh peserta hidangan. Sama sekali tiada beza.

Pada penulis soal harga tidak menjadi persoalan. Bukan soal mahal atau murahnya sesuatu hidangan. Tok Guru tidak pernah melarang sesiapa pun untuk menjamu selera dengan hidangan yang lazat-lazat. Asalkan mereka mampu dan tidak membazir.

Tok Guru juga tidak pernah menolak jika dijemput menjamu selera hidangan yang mahal dan mewah. Tok Guru biasa menghadiri majlis bersama Raja-Raja dan VVIP terkemuka. Moralnya, sama ada makan cara mewah atau makan cara marhain, adalah sesuatu yang lumrah, yang tidak perlu ditunjuk-tunjukkan.

Tetapi Tok Guru tetap Tok Guru. Sifat tawaduknya bukan dibuat-buat. Dah memang semula jadi sifat Tok Guru begitu. Hidangan yang simple dan murah. Makan digerai bersama rakyat kebanyakan sudah biasa baginya. Tidak perlu dihighlight dalam media, tidak perlu diheboh kepada satu dunia.

Bukan macam Perdana Menteri 1Malaysia kita. Pada penulis, elok juga ditegur Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kalau dah sifatnya bangsawan, hidup sentiasa dalam kantung emas, usah nak berlakon seolah-olah berasal dari gubuk yang buruk.

Kalau asal kehidupannya sejak dilahirkan dah standard, kehidupan sedia mewah, tiada salahnya. Teruskan sajalah, tidak perlu hendak dibuat-buat.

Lebih baik Najib jadi dirinya sendiri. Usah jadi macam artis yang boleh melakonkan apa sahaja watak. Berlakon jadi tok guru membaca tazkirah pun boleh, berlakon jadi kasanova sambil meneguk 'air kencing syaitan' di kelab malam pun boleh.

Pengampu-pengampu Najib pun satu hal. Tak usahlah nak malukan PM kita, kononnya PM berjiwa rakyat, sanggup makan nasi sepinggan RM4.00, kononnya Restoran 1Malaysia, begitu hebat menawarkan hidangan yang murah untuk rakyat.

Dalam sekelip mata rakyat dapat membuktikan, harga makanan yang dimakan Najib, seperti yang dihebohkan tok-tok dalang media pencacai bukannya RM4.00 tapi RM6.00 sepinggan.

Minggu lepas, semasa lawatannya ke Restoran Ukhwah, di Kuala Lumpur yang dikatakan menawarkan Menu Rakyat, Najib menjamah sepinggan nasi, dua ketul ayam, sepotong daging goreng, tauge, dan poppadom. Diriuhkan 1Malaysia bahawa harga sepinggan hidangan Najib itu RM4.00, malah ada media pengampu cuba hendak murahkan lagi dengan harga RM3.50.

Tembelang dan pembohongan Umno-BN terbongkar, dibuktikan apabila staf Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dihantar ke Restoran Ukhwah, mengambil lauk yang sama dengan Najib, dicaj dengan harga RM6.00.

Apabila didedahkan dalam media, Menteri Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob terkial-kial mempertahankan Menu Rakyat 1Malaysia, selepas promosinya untuk menaik dan mengampu Najib, jadi backfire kepada Umno-BN.

"Ketika itu ada beberapa lauk seperti ayam masak merah, ayam masak kicap dan daging, jadi PM hendak rasa kualiti lauk tersebut.

"Secara asasnya menu nasi putih, sejenis lauk dan segelas air memang RM4.00, malah ada yang lebih murah. Apabila kita ambil lebih daripada apa yang ditawarkan dalam menu, maka kita perlulah bayar lebih," kata beliau memberi alasan.

Namun, Ismail tidak mampu menjawab mengapa Najib hanya membayar RM4.00 untuk hidangan berkenaan. Kalau dah tau harganya memang bukan RM4.00, buat apa Ismail Sabri nak biarkan media pengampu membohongi rakyat? Ataupun Ismail Sabri memang kaki kelentong, sehingga memalukan bosnya sendiri.

Itulah hebat Umno-BN ini, punya lah nak menunjukkan pemimpin yang berjiwa rakyat, sampai menggunakan cara yang paling bodoh dan memalukan.

Nanti orang akan balas balik pada Najib, nanti rakyat akan kata, buat apa hendak menunjuk-nunjuk makan nasi RM4.00 sepinggan, sedangkan perbelanjaan mewah PM, isteri dan keluarga menelan belanja berjutajuta ringgit?

Macam mana Najib hendak jawab, pengubahsuaian rumah mewah Seri Perdana yang menelan kos berpuluh juta wang rakyat, dibandingkan ubahsuai rumah Tok Guru hanyalah beratap zink dan berdinding separuh kayu?

Apa Najib hendak beri alasan, jika rakyat mempersoalkan harga beg-beg tangan Rosmah, pelbagai fesyen, pelbagai jenama mewah, sehingga menelan belanja jutaan ringgit?

Apakah tidak dinamakan mewah, berbelanja jutaan ringgit untuk majlis pertunangan anak di Kazakhztan? Duduk di hotel mewah di Dubai dengan harga mencecah RM100 ribu satu malam? Bercuti dengan menggunakan perbelanjaan kerajaan di Perth?

Jika anda memang jenis hidup mewah dan membazir, usahlah berlakon kononnya susah macam rakyat kebanyakan, kononnya menjiwai perasaan dan kehidupan rakyat miskin.

Sedar dirilah, usahlah Najib berlakon hendak jadi tawaduk macam Tok Guru. Usah jadi bahan gelak ketawa rakyat. Rakyat pun dah muak dengan lakonan tidak menjadi ini. - harakahdaily

10 March, 2011

Nik Aziz, Farahana dan Ayah Pin

sumber: Harakah dialy

Sesungguhnya Allah memuliakan orang yang beriman dan berilmu di kalangan kamu dengan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah: ayat 11)

Mufti Kedah, Dato' Sheikh Baderuddin Ahmad menegur sikap seorang pemimpin NGO pro-Umno yang cuba menyamakan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pengasas ajaran sesat, Ayah Pin.

Menurut Sheikh Baderuddin kenyataan tersebut 'tidak betul' kerana kedua-dua peribadi itu jauh berbeza daripada segenap segi.

"Saya sendiri mengiktiraf Nik aziz sebagai tokoh agama dan mempunyai ilmu yang luas. Bagi saya kita mesti mempertahankan ilmuwan Islam yang ada dan bukannya mencerca.

"Tolak politik atau jawatan Nik Aziz sekarang, beliau sememangnya dikenali sebagai tokoh yang memahami al-Quran dan Hadis," katanya kepada Harakah.

Mingguan Malaysia bertarikh 6 Mac lalu menyiarkan kenyataan Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Farahana Jamaluddin yang mengecam Tuan Guru Nik Aziz berhubung beberapa pandangan tokoh ulama itu terhadap Umno dan mufti Perak.

Penulis tidaklah berhasrat untuk mengulas kenyataan Farahana kerana sebagai pengarah NGO yang menjadi kuda tunggangan Umno, beliau bebas untuk mengatakan apa sahaja tentang PAS dan para pemimpinnya apatah lagi melalui akhbar milik Umno.

Cuma eloklah kiranya Farahana dan mereka yang seangkatan dengannya membaca sekelumit kisah dua tokoh politik Umno negeri yang sengaja dirahsiakan identitinya untuk maslahat bersama.

Tokoh pertama ini ialah bekas anggota Exco negeri yang pernah didakwa atas kesalahan rasuah. Ketika masih memegang jawatan Ketua Bahagian Umno di Melaka dan menjawat Exco negeri, beliau ialah seorang yang paling celupar mengkritik PAS. Dalam kempen pilihan raya kecil di Dun Serkam pada awal dekad 90-an, beliau mahukan pengundi Serkam menghilangkan deposit calon PAS. Memang PAS tewas pada PRK itu tetapi tidaklah sampai hilang deposit. Bagaimanapun beberapa tahun kemudian, Exco terbabit didakwa atas tuduhan rasuah dan sejak daripada itu kerjaya politiknya menjadi suram dan gelap.

Exco terbabit hilang pangkat dan kedudukan manakala para pencacai yang selama ini sering mengelilinginya hilang entah ke mana. Ketika beratur membeli kuih udang di Pasar Menggong, Alor Gajah beberapa tahun lalu, penulis melihat sendiri bekas Exco itu makan sendirian tanpa sesiapa pun menemaninya. Khabarnya beliau kini menjadi ejen insuran dan pernah dimarahi rakan penulis kerana gagal menyediakan 'cover note' insuran seperti dijanjikan. Itulah nasib bekas Exco negeri yang keceluparan bicaranya memang diketahui umum!

Seorang lagi bekas Exco negeri ini ada pertalian keluarga dengan penulis walaupun sekadar bau-bau bacang. Asalnya dia hanyalah seorang penyelia Risda yang bertugas di pusat pengumpulan getah. Antara kesukaannya adalah 'bertepuk bertampar' dengan kakak-kakak dan mak cik-mak cik yang menghantar susu getah di pusat pengumpulan itu.

Bagaimanapun setelah menjadi wakil rakyat dan menjawat Exco, kemudian mendapat gelaran dato' pula, sikap ramah tamahnya mula berubah. Maklumlah sudah jadi pemimpin negeri. Pernah bapa penulis menelefon untuk mendapatkan kemudahan telefon bagi rumah bakal besannya yang terletak diceruk kampung. Namun tak dilayan. Beberapa tahun kemudian, Exco berkenaan ditahan di Johor Bharu dengan sejumlah wang dalam keretanya. Dia juga didakwa atas kesalahan rasuah.

Setelah tidak lagi terpilih sebagai calon dan bersara dari politik, beliau hanya menghabiskan masa bersama keluarga di kampung. Sesekali beliau dilihat membawa raga ke pasar borong untuk membeli ikan dan sayuran. "Tak ada orang pun tegur dia," ujar seorang rakan.

Penulis percaya nasib yang menimpa dua bekas Exco negeri itu tidak mungkin dilalui oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tanpa jawatan politik dan kerajaan yang disandang olehnya kini, Nik Aziz tetap dihormati kerana keilmuan dan jasanya dalam mentarbiyah masyarakat.

Walau apapun pandangan buruk dan tuduhan liar yang dilemparkan terhadap batang tubuh beliau, ia tidak memberi kesan kepada wibawa, kredibiliti dan ketokohannya sebagai seorang ulama. Alasannya cukup mudah. Fahami dan hayatilah mafhum ayat al-Qur'an di atas.

Tapi bagi para pemimpin Umno dan juak-juak yang melingkari mereka, nasib anda tidaklah seindah yang diimpikan ketika bersara kelak. Apatah lagi Umno bukanlah institusi yang mampu menghormati pesara politik walaupun ia pernah berjasa terhadap parti itu. Lihatlah tahun-tahun akhir hayat Bapa Kemerdekaan, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Beliau dihina dan dicerca para pemimpin Umno hanya kerana menyatakan sokongan terhadap Parti Melayu 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Dan antara akhbar yang paling lantang mencerca beliau adalah Utusan Malaysia, akhbar milik Umno.

Jika Tuan Guru Nik Aziz dicerca pemimpin Umno dan kumpulan NGO yang menjadi tunggangan Umno melalui akhbar milik Umno, ia bukanlah suatu yang pelik. Mereka boleh menghina bekas pemimpin yang berjasa dengan mereka kerana bagi Umno - kuasa, wang dan kedudukan lebih utama daripada ilmu dan kebenaran.

Imej Tuan Guru Nik Aziz tidak mungkin tercalar dengan tuduhan liar Farahana terhadapnya, kerana perisai diri beliau adalah iman, ilmu dan kebenaran.

16 February, 2011

Perutusan Maulidur Rasul 1432 Hijrah

sumber: http://www.blogtokguru.com

Bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal untuk tahun 1432 ini. Rabiul Awwal sebagaimana yang kita umat Islam sedia maklum merupakan bulan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Sekalipun seringkali saya ulangi, peristiwa kelahiran baginda tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul, kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia. Namun tidaklah dinafikan bahawa pada bulan inilah umat Islam, termasuk di Malaysia keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud di sana sini khususnya di Kelantan ini.

Sehubungan dengan itu, sukalah saya mencadangkan agar pengisian Maulidur Rasul pada tahun ini dapat ditumpukan kepada topik semasa yang sedang berlaku di sekitar umat Islam pada hari ini. Topik-topik semasa amat perlu diketengahkan memandangkan al-Quran sendiri sebagai sumber hukum di dalam Islam diturunkan selama 23 tahun. Tujuan penurunan al-Quran selama 23 tahun ini antara lainnya bertujuan untuk menyesuaikan penurunan ayat-ayatnya dengan peristiwa semasa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Kedua, para penceramah (kalangan pemimpin atau pendakwah serta pakar motivasi) perlulah mengingatkan masyarakat, khususnya umat Islam bahawa dunia ini milik Allah SWT. Setinggi manapun pangkat yang kita miliki, kita hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Sebagaimana kita menumpang di rumah orang lain, kita tidak bebas melakukan perkara yang kita ingini jika tidak dengan persetujuan tuan rumah. Di bumi ini, kita hanya boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh Tuan Punya bumi iaitu Allah SWT. Justeru, tidak ada kuasa yang akan kekal selama-lamanya melainkan kuasa Allah. Di Mesir dan Tunisia, kita baru menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat menentang rejim yang berkuasa begitu lama menunjukkan bahawa setiap penguasa pasti akan sampai saatnya, kuasa mereka akan diambil balik oleh Allah SWT.

Ketiga, kehebatan Rasulullah SAW sebagai pentadbir negara ditonjolkan undang dijadikan tauladan kepada mana-mana penguasa yang menjalankan amanah Allah SWT. Baginda mentadbir negara Islam Madinah dengan mengutamakan pembersihan kalbu terlebih dahulu. Sesuai dengan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang ahli politik yang dipandu oleh Allah SWT, baginda tidak meletakkan agenda pembangunan fizikal sebagai agenda utama sehingga mengenepikan pembangunan rohani. Justeru, kita boleh menyaksikan bagaimana sepanjang 10 tahun baginda menjadi ketua negara Islam Madinah, hanya sebuah sahaja bangunan yang didirikan iaitu masjid baginda sendiri. Ini kerana, baginda membangunkan hati dan roh. Lahirlah generasi sahabat yang hebat hasil dari tarbiyyah dan asuhan baginda. Melalui asuhan inilah, manusia mengenali halal, haram, dosa, pahala, syurga dan neraka. Hakikatnya, pembangunan modal insan yang kini disebut-sebut semula oleh sebahagian daripada kalangan kita telah lama disebut oleh Allah SWT (Al-Quran, Surah al-Alaq ayat 1-7)

bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia merasakan dirinya cukup (sebagai satu penyakit qalbu). Sekali-kali tidak, (penawarnya ialah meyakini) sesungguhnya kamu akan kembali kepada tuhanmu.

Perhatikanlah ayat-ayat di atas yang mengulangi perkataan al-insan yang bermaksud manusia sebanyak tiga kali. Inilah aspek yang perlu diberikan keutamaan pada hari ini. Apabila pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Islam, tidak akan berlaku lagi budaya khianat, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya di kalangan rakyat termasuklah pemimpin. Masyarakat pula khususnya remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah SWT akan menjauhi pergaulan bebas, zina, sumbang mahram, buang bayi dan sebagainya. Sekalipun perbuatan dosa ini tidak diketahui oleh manusia, ia tetap dihitung oleh Allah SWT. Inilah kejayaan asuhan Rasulullah SAW dan ini terbukti apabila pernah seorang wanita datang kepada baginda mengaku bahawa dirinya telah berzina serta memohon untuk dihukum hudud dengan segera ekoran ketakutannya menghadapi azab Allah SWT di akhirat kelak. Agenda pembersihan kalbu seperti inilah yang langsung tidak ada di dalam sistem sekular. Sekular yang hanya mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata pastinya tidak akan berbicara walaupun sepatah mengenai pembersihan kalbu.

Keempat, perlulah diingatkan bahawa Islam datang selari dengan fitrah manusia. Maulidur Rasul ini perlulah dijadikan satu kesempatan untuk menonjolkan kebaikan Islam kepada non-muslim bukan sekadar sambutan seperti perarakan besar-besaran sahaja, tetapi hendaklah juga menonjolkan nilai Islam yang bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia. Oleh itu, wajar sekali ditonjolkan bagaimana Islam melarang perkara-perkara mungkar yang sememangnya tidak diterima oleh fitrah manusia. Mencuri, merompak, berzina, rasuah, pecah amanah, khianat dan semua perkaranya dilarang oleh Islam dan hakikatnya juga tidak diterima oleh fitrah manusia. Demikianlah juga perkara-perkara maaruf seperti kerjasama, bantu membantu di dalam sebarang kerja amal kebajikan dan muafakat menjaga keharmonian hidup beragama amat yang digalakkan oleh Islam juga pada hakikatnya diakui oleh fitrah manusia sebagai amal maaruf yang baik untuk kerukunan hidup bermasyarakat.

Firman Allah SWT (Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 148)

Bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Akhir kata, saya mengharapkan sambutan Maulidur-rasul pada kali ini benar-benar memberikan manfaat untuk semua khususnya di dalam meningkatkan kefahaman kita kepada Islam yang syamil (komprehensif) yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
Sekian.

TUAN GURU DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN MERANGKAP
AL-MURSYIDUL AM PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

15 March, 2010

Solat Sunat Istisqa'

Sumber: http://albelurani.blogspot.com/

Bismillah...

Pagi tadi telah berlangsung solat sunat istisqa' (mohon hujan) oleh kerajaan negeri Kelantan.
Harakahdaily.net melaporkan :

" Hujan yang turun di sekitar bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi. Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut ".
Alhamdulillah, di kala kita diuji dengan ketiadaan air Allah SWT telah sediakan solat sunat Istisqa' , jika kita berhajat maka Allah telah syariatkan solat sunat hajat, jika kita mohonkan keampunannya Allah telah syariatkan solat sunat taubat.

Cara dan bagaimana kita memohon kepadaNYA segala-galanya sudah tersedia. Cuma hanya manusia bongkak, takabbur dan sombong sahaja tidak mahu tunduk dan patuh syariat yang Allah SWT telah sediakan.
Waallahu'alam.

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.