Showing posts with label Catatan Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Catatan Dakwah. Show all posts

16 September, 2012

SABAH: BANTAHAN TERHADAP FILEM MENGHINA RASULULLAH S.A.W DI KOTA KINABALU DAN TAWAU

BANTAHAN DAN KECAMAN OLEH UMAT ISLAM DIADAKAN DI 2 LOKASI SELEPAS JUMAAT SEBENTAR TADI.



UMAT ISLAM BERSATU MEMBANTAH KEBIADAPAN PAPARAN FILEM PENDEK YANG MENGHINA RASULULLAH S.A.W.

25 April, 2012

Kerajaan BN Sabah sudah lama tipu rakyat


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

KENINGAU, 24 April: Pemuda PAS Sabah melahirkan kekesalan terhadap pihak tertentu yang cuba mempolemikkan isu mengenai taraf kehidupan rakyat terutama yang melibatkan rakyat di kawasan pedalaman negeri ini. 
Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu mendakwa, peningkatan taraf kehidupan rakyat di negeri ini merupakan hasil usaha dan titik peluh yang dibangunkan sendiri oleh rakyat dan bukannya ditentukan oleh usaha kerajaan.


“Peningkatan kehidupan yang kian bertambah baik yang dinikmati oleh penduduk pedalaman pada hari ini bukan hasil usaha kerajaan, namun hasil keringat dan kudrat rakyat itu sendiri.

“Peningkatan pendapatan ekonomi rakyat terutama yang melibatkan pertanian adalah didorongi oleh permintaan komoditi pasaran dunia dan bukan disebabkan rancangan pihak kerajaan negeri.

“Makanya, rakyat perlu sedar bahawa selama ini kerajaan cuba hendak menjadi hero dan seolah-olah menunjuk-nunjuk kehebatannya sedangkan sedikitpun usaha itu adalah disebabkan rakyat,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Keningau.

Lahirul bersama rombongan pemuda PAS Sabah ditemui ketika mengadakan kunjungan dan lawatan kerja selama sehari ke kawasan-kawasan pedalaman Sabah.

Berdasarkan tinjauan dan kajian yang dilakukan oleh Institut Kajian Politik dan Strategik Pemuda PAS Sabah mendapati bahawa, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang diamanahkan oleh kerajaan negeri bagi membangunkan industri dan pendapatan rakyat tidak memenuhi keperluan sebenar apatah lagi LIGS menawarkan harga pasaran getah yang jauh lebih rendah berbanding harga yang ditawarkan di Semenanjung Malaysia dan pasaran dunia.

“Kerajaan negeri tidak berperanan sebagai agensi khusus sebaliknya menjadi dalang utama yang menyekat peningkatan ekonomi pertanian.

“Kita (PAS) bimbang dengan perkembangan ini yang seolah-olah kerajaan langsung tidak peka dan prihatin terhadap keluhan dan rintihan peneroka getah.

“Kerajaan bukan sahaja menampakkan ianya telah gagal mengurus ekonomi negeri, malah gagal juga dalam mengarah dan mengurus LIGS supaya mengoptimumkan harga pasaran getah agar lebih selaras dengan harga pasaran dunia.

Selain itu, beliau turut menegur kerajaan negeri agar memastikan pengilang kelapa sawit tidak mengambil kesempatan membeli sawit dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang sepatutnya diterima peneroka.

“Kerajaan negeri perlu melihat perkara ini sebagai satu masalah serius dan perlu ditangani dengan segera. Jika ianya berleluasa, isu ini akan menjadi barah dan meminggirkan serta menindas golongan peneroka.

“Masakan pihak kerajaan negeri tidak mengetahui perkembangan ini, sedangkan lessen pemilik dan pengusaha kilang, dikeluarkan oleh kerajaan negeri sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, harga sawit mentah yang dibeli oleh kilang hanya sekadar RM 800.00 setan namun hampas (bio-mass) sawit dimiliki oleh pekilang. Harga hampa (bio-mass) di pasaran dunia adalah diantara RM 1,200.00 hingga RM 1,500.00 setan.

“Ini bererti, pekilang kelapa sawit mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan cubaan menipu dan menindas rakyat kampung.

“Kerajaan juga menunjukkan sikapnya yang langsung tidak pandai mengurus kebajikan dan ekonomi rakyat,” jelasnya dalam nada kecewa.

Pemuda PAS juga katanya, turut mempertikai kehadiran pelbagai agensi persekutuan ke Sabah yang hanya berminat memungit hasil namun tidak memberi sumbangan kepada negeri ini.

“Kita boleh senaraikan seberapa banyak agensi persekutuan yang datang ke Sabah ini seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM), RISDA, MPOB, MTAB dan juga Lembaga Koko Malaysia.

“Untuk apa agensi-agensi ini datang ke Sabah, sedangkan mengikut Perlembagaan Malaysia ada menyebut bahawa pertanian adalah hak mutlak kerajaan Negeri Sabah.

“Dan, perkara ini juga bercanggah dengah Perjanjian Malaysia 1963,” jelas beliau.

15 April, 2012

PEKAN TELUPID

Telupid merupakan pekan kecil yang berada di bawah pentadbiran daerah Beluran. Pengguna jalanraya dari Kota Kinabalu ke Sandakan akan melalui pekan ini yang terletak di tengah-tengah perjalanan antara Ranau dan Sandakan. Menurut catatan wikipedia, Pekan Telupid dianggarkan 98 km dari pekan Ranau, 100 km dari pekan Beluran, dan 130 km dari bandar Sandakan.
Setiap sabtu akan diadakan pasar tamu di satu perkarangan yang luas di pekan ini, tidak jauh dari masjid daerah yang baru. Hanya dalam persinggahan kami melihat kawasan pasar tamu ini tidak dijaga sepenuhnya. Alangkah baik jika kawasannya diturap, paling tidak dengan simen untuk kemudahan rakyat juga. Begitu juga gerai-gerai mereka patut dibantu untuk dibinakan gerai yang lebih baik atau seragam.
Kami meronda-ronda sebentar di kawasan pekan memandangkan seorang rakan musafir kami ini adalah anak kelahiran Telupid yang kemudian berhijrah ke Semenanjung dan kemudian kembali ke Kota Kinabalu pula. Bagi kami, Telupid berpotensi dikembang dan dimajukan apatah lagi ia menjadi laluan penting pengguna jalanraya termasuk menjadi lokasi persinggahan bas-bas ekspress dari Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Kembara Dakwah Tanjong Batu

sumber: http://muridkyai.blogspot.com



Lebih tiga tahun lalu, aku telah meninggalkan Tanjong Batu. Tanjong Batu merupakan tempat pertama aku berkhidmat sebagai guru. Di Tanjong Batu, aku mencedok ragam pengalaman yang amat berharga terutama dalam medan dakwah. Banyak memori pahit manis yang terselit di celah perkhidmatanku sebagai guru agama di sana. Ia sukar untuk dilupakan dan ia membuka ruang perkenalanku dengan aneka ragam rencah kefahaman tempatan dan liku dakwah mengenainya.

Setelah lebih tiga tahun bumi Tanjong Batu aku tingalkan, siang tadi aku jejaki semula ke sana. Aku bergabung bersama sahabat-sahabat seperjuangan dari badan amal yang kami namakan sebagai Unit Amal dan berusahasama dengan Syarikat Takaful Ikhlas menyampaikan sumbangan kepada penduduk. Syarikat Takaful Ikhlas menyediakan sejumlah peruntukan zakat untuk penduduk pendalaman yang miskin dan pemuda dari Unit Amal membantu melestarikannya.

Siiru 'Ala Barkatillah!
Kebanyakan peserta adalah dari Kinabatangan dan dibantu oleh guru-guru Sk. Tanjong Batu. Aku menyertai kumpulan amal Islami tersebut hanya selepas selesai urusan persekolahan hari Sabtu yang nampaknya tahun ini kian sarat. Seperti yang pernah kualami dahulu, menunggu bot kapal penambang ke Tanjong Batu adalah amat melelahkan. Pergi sendirian, terpaksalah mengharapkan kapal penambang. Aku hampir memutuskan untuk tidak pergi sahaja apabila tiba-tiba ada sahabat memaklumkan ada bot yang disewa khas sedang keluar berurusan ke bandar. Dengan bot tersebut aku ke Tanjong Batu. Kebetulan pula ada seorang pegawai JHEAINS Kinabatangan ikut serta kerana beliau dijemput untuk mengendalikan Kursus Pengurusan Jenazah.

Tanjong Batu sudah banyak berubah. Kerajaan telah berjaya membina beberapa unit rumah PPRT untuk penduduk. Tenaga elektrik bersumberkan Janakuasa Solar juga sudah beroperasi. Penduduk sudah menikmati bekalan tenaga elektrik 24 jam. Tidak seperti zaman aku berkhidmat di sana dahulu, tenaga elektrik hanya diandalkan kepada genset yang memerlukan petrol sebagai bahan api. 

Rumah PPRT

Ketika aku tanya En. Jumadul, Ketua JKK Tanjong Batu Laut mengenai kadar bil yang perlu dibayarnya setiap bulan, katanya sekitar RM40 hingga RM50. Ia jauh lebih murah berbanding zaman menggunakan genset dahulu yang mana setiap bulan perlu dibelanjakan sekitar RM300. Aku tumpang gembira dengan senyum senang orang kampung merasai nikmat pembangunan itu. 

Stesen Janakuasa Solar

Bersama sahabat-sahabat penyampai sumbangan, aku singgah di rumah Syarif Osman. Rupanya anak gadisnya yang dulunya sangat tegar watak tomboynya telah berkahwin dan beranak. Alhamdulillah. Manusia berubah dan dia berubah kepada fitrahnya. Kebanyakan warga Tanjong Batu masih ingat memori bersamaku di sana. Lima tahun aku bergaul bersama mereka dan mentarbiah anak-anak mereka di sekolah dan bersama mereka dalam pelbagai acara. Mereka menyambut mesra kehadiran kami.

Ust Wan Jemizan menyerahkan sumbangan.

Imam Hasan sudah meninggal. Demikian orang kampung mengkhabarkan ketika aku tanyakan tentang imam Hasan. Semoga Allah merahmatinya. Selain itu, Imam Abdul juga sudah meninggal. Pak Mail juga sudah meninggal ketika ditahan di Rumah Merah (PTS).Fazli, kawan yang agak akrab denganku semasa di Tanjong Batu dulu juga sudah tidak bermastautin di sana lagi. Menurut jiran rumahnya di Tanjong Batu, dia telah pindah ke Kota Kinabalu dan tinggal di sana. Rumah dihuni oleh orang lain. Mungkin adik isterinya.

Antara sekian ramai warga Tanjong Batu, aku paling merasa kasih kepada keluarga Pak Loman. Terutama sekali anaknya Rami yang menjadi pengikut setiaku pada usaha mengimarah surau Tanjong Batu pada masa lalu. Pada hematku, anak-anak Pak Loman itulah yang paling mudah dicanai untuk hidup beragama, terutamanya Rami. Sayang sekali aku tidak punya banyak kesempatan untuk itu. Ketika aku menemuinya di rumahnya, aku masih melihat potensi itu pada dirinya. Hanya kepada Allah aku berdoa agar membetulkan jalannya. 

Namun, tugas membangkitkan kesedaran agama di Tanjong Batu masih jauh sayup mata. Tentu Allah SWT ada pembela agamanya yang tidak pernah putus. Aku bersangka baik mengenai nasib Tanjong Batu. Setelah berganti generasi, generasi berikutnya akan menjadi lebih baik. Itulah harapanku. Guru-guru agama di Tanjong Batu mempunyai peranan untuk memandu perjalanan mencari kebaikan ini. Kita akan berkongsi ganjaran pada mata rantai dakwah yang berkesinambungan. 

Tanjong Batu memerlukan kesedaran agama. Kesedaran agama akan melahirkan watak rakyat yang merdeka kerana agama sentiasa memerdekakan manusia. Manusia beragama tidak akan menjadi hamba dunia dan tidak akan menjadi hamba kepada sogokan kebendaan. Perjuangan memberi kefahaman agama yang tepat adalah sama susahnya dengan perjuangan memerdekakan pemikiran manusia daripada perhambaan yang salah.

Bersama TPJ di Tanjong Batu Laut

Allahummahdina!

Bangkit 2.0 diadakan pada 28 April

sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

KOTA KINABALU, 12 April: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) akan mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat atau Bangkit 2.0 pada 28 April ini, di Padang Merdeka. Kota Kinabalu.

Pengerusi Tabah, Hisammuddin Sulaiman berkata, perhimpunan tersebut bakal bergabung serentak dengan perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada tarikh serta lokasi yang sama.

 

“Tabah akan terus mengadakan perhimpunan aman ini tanpa melibatkan sebarang perarakan seperti mana yang diuar-uarkan akan dilaksanakan oleh Bersih. Tujuan kita hanyalah bagi menyuarakan perasaan rakyat dan orang kampung yang mengalami masalah tanah.

“Tabah juga akan memastikan setiap peserta mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mahu sebarang anasir liar dan jahat dimulakan oleh peserta. Kita mahu buktikan kepada seluruh dunia bahawa peserta perhimpunan aman ini semuanya baik dan mengikut peraturan,” katanya.

Menurutnya, Tabah akan menghantar surat pemberitahuan kepada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bagi memaklumkan perhimpunan berkenaan dan memohon kawalan keselamatan bagi sebarang kemungkinan provokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Tabah hanya akan mengadakan perhimpunan sahaja. Sebarang perarakan perlu bertanyakan kepada parti politik sama ada mereka mahu buat atau tidak,” ujar beliau dalam sidang media pelancaran Bangkit 2.0 di sini kelmarin.

Sementara itu, Setiausaha Tabah yang juga Ketua Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu memaklumkan bahawa persetujuan awal yang diperolehi semasa pertemuan bersama Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi Zakaria pada Mac lalu juga turut mengakui hanya dua lokasi yang dibenarkan untuk perhimpunan iaitu sama ada di Stadium Likas atau Padang Merdeka.

“Polis sudah memberikan persetujuan, hanya dua lokasi di sekitar Kota Kinabalu ini sesuai untuk berhimpun sama ada di Stadium Likas atau Padang Merdeka.

“Cumanya, kita diminta untuk memaklumkan kepada pihak pengurusan berkenaan bagi penggunaan tempat,” jelas Lahirul.

Tambahnya, memorandum turut akan diserahkan semasa perhimpunan tersebut dengan diwakili oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

“Oleh sebab Ketua Menteri terlalu ego untuk berjumpa dengan rakyat semasa 123 Bangkit yang lalu, maka pada hari tersebut kita akan menyerahkan memorandum serupa kepada pimpinan Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan isu yang berbangkit.

“Kita mahu, hak rakyat Sabah ini dikembalikan kepada mereka, katanya

03 April, 2012

Ahmad Lutfi Othman bersama penggerak media di Kota Kinabalu


sumber: http://islamreturn.blogspot.com


Salam perjuangan..


Secara pribadi aku mengenali saudara Ahmad Lutfi Othman sejak dari belajar di universiti lagi, apabila minat dan kecenderungan pembacaan isu-isu semasa dan politik mula menguasai diri. Majalah DETIK dan seumpamanya akan menjadi pilihan bacaan pada sekitar era Reformasi 1998. Alhamdulillah.. akhirnya dapat juga bertemu sua dengan beliau dan bertukar-tukar pandangan.

Pada awal sesi pembentangan 'Etika Penulisan dan Kewartawanan Berintegriti' beliau banyak menyentuh tentang hak kebebasan media di Malaysia yang berada pada kedudukan yang teruk. Sebagai contoh, kementerian (kerajaan) boleh menamatkan, menggantung atau mengharamkan cetakan mana-mana terbitan tanpa apa-apa notis tunjuk sebab. Malah pihak yang terlibat tidak boleh mencabar keputusan tersebut pada mana-mana mahkamah.

Beliau juga mengingatkan bahawa seorang wartawan/penulis memerlukan integriti, kridibiliti dan fakta serta ideologi (kekuatan dalaman). Menjadi seorang penulis juga merupakan satu proses dan cabaran paling besar seorang penulis ialah istiqamah. Beliau memetik kata-kata Pak Sako, "Aku boleh sahaja meletak jawatan apabila dilantik sebagai raja, tetapi sekali aku menjadi penulis, tidak sesekali akan aku berundur". 

Program Seminar Kewartawaan dan Media Baru Hadapi PRU13 ini dianjurkan oleh Jabatan IT PAS Negeri Sabah. Turut sama pada majlis tersebut ialah Saudara Suhaimi Embong, Pengarah JITP.


 Ahmad Lutfi ketika menyampaikan pengisian beliau

p/s: Kata-kata Ahmad Lutfi yang aku tag - "Dapatkan rahsia kehebatan disebalik satu penulisan"

13 February, 2012

Tanah adat: Kenapa perlu rampas hak anak Sabah?


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

KOTA KINABALU, 12 Feb: Pemuda PAS Sabah hari ini melahirkan rasa terkejut dan kekesalan terhadap kenyataan Peguam Negeri Sabah, Datuk Roderic Fernandez yang jelas bercanggah dengan Ordinan Tanah Sabah (OTS) berkaitan hak asasi anak negeri ke atas pemilikan tanah di Sabah.  
Ketua Penerangannya, Mohd Julpikar Abd Mijan menyifatkan tafsiran yang dibuat oleh Peguam Negeri Sabah berhubung tuntutan hak asasi oleh Anak Negeri Sabah selepas 1930 sebagai tidak sah, adalah tindakan menghina keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini yang mana telah mengiktiraf wujudnya hak asasi Anak Negeri walaupun selepas 1930.
 “Kita amat kesal dengan kenyataan Peguam Negeri Sabah ini. Ini bakal menjerumuskan kesulitan anak Sabah mengenai pemilikan tanah dibawah undang-undang yang sedia ada,” ujarnya.
 
Menurutnya, PAS cukup sangsi dengan keupayaan beliau sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan Anak Negeri Sabah.
 
“Isu ini bukan perkara yang sepatutnya dibuat main-main oleh kerajaan. Ianya perlu dibawa ke muka pengadilan yang seadilnya bagi memastikan tanggungjawab kerajaan mempertahankan hak Anak Negeri Sabah tidak terabai dan dipandang rendah,” jelasnya.
 
PAS juga berpendirian bahawa, hak asasi Anak Negeri Sabah mesti dipertahankan dan meminta mana-mana pihak yang merampas tanah-tanah adat negeri sama ada melalui pemalsuan dokumen dan identiti diri dapat memulangkan semula hak anak negeri tersebut kepada pemiliknya.
 
“Hak Anak Negeri Sabah perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin. Ini hak kita, ini tanah kita... kenapa perlu mereka merampas hak kita?
 
“Di mana suara pemimpin-pemimpin kerajaan kita... yang selama ini merekalah mendabik dada memperjuangkan hak. Di mana mereka ketika ini?
 
“Anak-anak Negeri Sabah hidup dibelenggu ketakutan dan ancaman,” jelas Julpikar.

Perjuangan itu meletihkan


sumber: http://muridkyai.blogspot.com/





Siapa yang mencampakkan diri ke medan perjuangan, dia hendaklah bersediakan untuk diletihkan. Dia juga hendaklah bersedia untuk di benci dan dicerca. Lebih-lebih lagi menjadi pemimpin perjuangan. Masa santai buat pemimpin perjuangan akan terus tiada. Sungguh hebat insan yang memimpin perjuangan.

Aku menyebutkan hal ini kerana mendengar satu sedutan ceramah Dr. Hasan Ali yang menyebutkan kesibukan jadualnya sepanjang minggu sehinggu bulan Mac. Sepertinya, dia merasa letih. Tentu sesiapapun akan menjadi letih memikul perjuangan lebih-lebih lagi satu gerombolan kecil yang cuba memulakan perjuangan. Sebab itu, kebanyakan orang lebih suka memberi wala' kepada pemimpin daripada menjadi pemimpin kerana tidak sanggup menghadapi jadual yang meletihkan.

Keluar dari jemaah itu mudah. Namun, membina jemaah itu bukan mudah. Kalau dulu meniti di atas aspal jemaah, kini terpaksa menyusun langkah di atas kayu-kayan hanyut untuk berjuang. Sekarang, tahulah tinggi rendahnya langit. Bukan senang memimpin jemaah. Itu belum lagi datang kafarah. Kafarah bukan sahaja menerpa pelarian jemaah, tetapi juga menimpa pelarian parti-parti biasa. Zaid Ibarahim dibantahi ahli partinya sehingga terpaksa diambil tindakan memecat mereka. Padahal, pecat pun tiada makna kerana partinya akan dibubarkan.

Pertubuhan Jati yang bakal dilancarkan oleh Hasan Ali tidak lama lagi itu, entah di mana nasibnya. Sebuah Jemaah bukan tertubuh dengan ledakan emosi semata-mata. Ia  perlu dijalari oleh satu sistem yang kompleks. Cukuplah sistem tarbiah jadi ukuran untuk memperakui sesebuah gerombolan itu sebagai sebuah jemaah. Mampukan Jati menyusun sistem tarbiah ahlinya. Jika tidak, jadilah Jati hanya sebuah NGO.

Berada dalam sebuah NGO amat rugi setelah pernah merasai berada dalam jemaah. Pahala berada dalam jemaah lebih besar dan berlipat. Satu masa kelak Hasan Ali akan merasai betapa sunyinya dia. Betapa ruginya dia.

17 January, 2012

KISAH PENGEMBARAAN MUSLIMAT HARAKI


sumber: http://wardahal-jannah.blogspot.com

Assalamualaikum wbt.. 



2 tiga minggu lalu merupakan minggu yang agak kritikal sehinggalah ke hari ini. Blog dah bersawang baru ada masa untuk mengisinya. Setiap hari diri di santap dengan jadual yang padat dengan pelbagai program yang memang menginsafkan. Teringat di zaman kampus dahulu. Jadual harian sememangnya sudah dirancang dengan baik. Bangun pagi sebelum masuk ke kelas ana suda wajibkan diri untuk menghadiri kuliah hadis, sebelah petang pula sebelum balik ke kolej kediaman pergi ke kuliah Tafaquh, hujung minggu berpersatuan dan begitulah seterusnya.  Berbanding bila sudah tamat pengajian, jadual berubah dengan mendadak. Kuliah ilmu susah hendak ditemui. Program pula mendadak disetiap hujung minggu yang mana pada masa dua hari itulah sepatutnya hari diluangkan bersama keluarga tercinta. Pergi bercuti, menonton tv bersama-sama, gelak tawa bersama berkebun bersama dan sebagainya. Namun itu hanyalah khyalan dihujung tanduk semata. Kerehatan hanyalah bila melelapkan mata dan di atas tikar sejadah. Allahurobbi..



Itu sebenarnya baru sedikit jika dibandingkan dengan perjuangan para nabi untuk membawa risalah Islam. Buat apa keluhan? buat apa merasa resah? Mahar Syurga terlalu mahal untuk kita membelinya. Tidak hanya goyang kaki di rumah kita boleh dapat syurga dengan mudah didepan mata. Perlu dengan 1001 pengorbanan. Orang yang hidupnya untuk perjuangan Islam pasti syurga menjadi idaman. Dan kerana itula akan digugar mehna tribulasi yang memang di hadiahkan buat seseorang yang bergelar anak haraki Islam!

31 Dec yang lalu merupakan suatau pengembaraan yang tidak dapat ana lupakan sepanjang ana bergelar muslimat haraki. Dewan Muslimat Pas KB telah mengiringi rombongan pimpinan Pas Pusat iaitu Ustazah Nuridah bersama Pesuruhjaya Pas Negeri Sabah iaitu Ust. Aminuddin Aling ke N3 Pitas, parlimen Kudat untuk melihat sendiri kemiskinan nombor 1 di Malaysia. Pemuda Pas KB pula ditugaskan untuk menyiapkan keperluan  ceramah umum pada sebelah malamnya di perkarangan rumah manatan calon PR iaitu Ust . Awang Laiman di Kg. Tamau Kota Belud.

Rombongan DMPKB yang mengiringi PJ sabah dan Ustazah Nuridah telah bertolak tepat jam 8.00 pagi daripada PASTI Al-Firdaus KB. Perjalanan kami telah diiringi dengan hujan yang sangat lebat. Kami telah berhenti di Check Point di Kota Marudu untuk bersarapan bersama YDP Kudat berserta tiga orang Pemuda Pas Kudat. Setelah bersarapan, kami meneruskan perjalanan ke Pitas dengan di temani hujan yang agak lebat. Ana di pertanggungjawabkan oleh Ketua DMP untuk membawa kereta Alzanya yang telah dimuatkan seramai 5 orang serikandi daripada KB. Manakala Ustazah Nuridah dan PJ Sabah pula menaiki kereta D-Max yang dipandu oleh seorang Pemuda KB berserta dua orang lagi muslimat daripada KB.

Hujan lebat yg terpaksa kami lalui bermula dr Kota Belud lg
Banjir, angin ribut di lalui dengan 1 misi melihat dan merasai sendiri penderitaan penduduk Pitas
Ana yang baru pertama kali menjejakkan kaki di daerah Pitas mula tercari-cari di mana letaknya pekan Pitas? yang hanya kelihatan hanyalah deretan kedai-kedai buruk di sepanjang perjalanan. Dengan jalan yang sangat teruk menyebabkan pemanduan ana lebih berhemah dan berhati-hati ^_^
rumah yg sepatutnya tidak logik wujud lagi Sabah kerana Sabah merupakan negeri yg terkaya deng hasil bumi. tetapi??
satu-satunya sekolah yg berdekatan dengan kg. Bongkol
Perjalanan kami diteruskan hinggalah sampai ke Kg. Bongkol. Semasa masuk ke simpang Kg. Bongkol, kami telah disajikan dengan jalan yang berlumpur akibat musim tengkujuh pada bulan Disember. Akan tetapi, jalan yang teruk tidak menjadi alasan untuk mematahkan semangat kami untuk bertemu dengan masyarakat  Kg. Bongkol dan beramah mesra bersama Dewan Himpunan Pas yang telah ditubuhkan di kampung tersebut. Perjalanan untuk sampai ke Kg. Bongkol memakan masa 4 jam dengan pelbagai rintangan yang dilalui. Hujan lebat, banjir, cuaca panas dan jalan yang berlumpur menguatkan lagi tekad kami untuk sampai ke destinasi dakwah kali ini.
kereta yg kami naiki telah masuk kedalam lumpur sebelum sampai kedestinasi
pemuda kB dan Kudat turut mencari idea untuk mengeluarkan kereta kami yang terbenam di dalam lumpur
ustazah Nuridah tidak melepaskan peluang menyaksikan kereta kami yg terbenam didalam lumpur
Alhamdulillah akhirnya kami sampai jg ke destinasi setelah melalui pelbagai rintangan
Kami disambut meriah oleh ahli2 Dewan Himpunan Penyokong PAS
kedatangan kami disambut dengan tarian tradisi Kaum Rungus dan paluan Gong selamat datang dari penduduk kampung
pengalaman yg pasti diceritakan oleh Ustazah di semenanjung :)
Ustazah Nuridah tergamam melihat tempat takungan air penduduk kg. Ini bukan perigi..


Setelah mengadakan sesi soal jawab bersama penduduk kampung, rombongan kami bertolak balik ke Kota Belud semula untuk program ceramah Umum bersama YB Nizar pula.

rombongan bertolak balik ke KB

Allah.. sekali lagi kereta kami terbenam di dalam lumpur. Ujian Allah.. Sabar..
sekali lagi pemuda membantu mengeluarkan kereta kami. Ini namanya kereta perjuangan :)
Alhamdulillah akhirnya kami selamat sampai di KB sebelum maghrib. Bergegas pula ke ceramah umum kerana kami yg menyediakan tentif program
Sambutan ceramah Yb nizar memang mantap. Semua penonton terpegun dan tergamam :)
Terima kasih "Sahabat Baik" kerana sentiasa menemani kami kemana-mana sahaja. Al-maklumla "Artisszzzzzz"
Sekian dahulu untuk kali ini. Wasalam.

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.