Showing posts with label KRU. Show all posts
Showing posts with label KRU. Show all posts

30 December, 2010

Cemerlang Hidup, Semasa atau Sesudah Mati?

sumber: http://yuyushira.blogspot.com

"Ini salah kamu yang tak pandai asuh anak"

"Keputusan macam ni ikut kepala kamu la tu, anak dah terikut-ikut."

"Teruk betul keputusan kamu ni. Slip ni laku di tong sampah ja."

"Menyusahkan orang tua bagi makan."
Sejak keputusan PMR diumumkan beberapa hari yang lepas, terdapat adik usrah serta beberapa kenalan yang menghantar mesej berkongsi perasaan. Pada yang bersuka-suka, jangan terus terleka. Buat yang berduka, jangan pula terus mengalah. Terkilan mendengar luahan seorang pelajar yang bertimpa-timpa dilanda kekecewaan. Belum padam kesedihan dengan keputusan PMR, ditambah lagi dengan lontaran sindiran dari si ibu dan si ayah. Malah saling menyalahi sesama sendiri, juga memarahi anak dengan keputusan yang kurang memuaskan.

Saya bukanlah pakar psikologi juga bukan pakar kaunseling ibu bapa. Sekadar meluahkan pandangan yang juga mungkin atas dasar simpati. Antara saudara-saudari pasti ada yang masih mengingati kes 20 November 2007, kejadian di mana seorang pelajar India telah membunuh diri akibat keputusan UPSR. Mengapa ada yang terfikir untuk mati?? Puncanya? Kurang sokongan moral daripada ibu bapa mungkin boleh menjadi salah satu faktor menekan pelajar bertindak di luar batasan.

Dunia hari ini menyaksikan terdapat segelintir ibubapa yang meletakkan A sebagai pengukur tahap kepandaian dan kecemerlangan anak. Jadi anak boleh dibangga-bangga dengan jiran tetangga. Tidak ibubapa, pasti wujud juga manusia lain yang bermentaliti sebegini. Gemar melontarkan soalan "Berapa A?"

Ada apa pada A? Untuk memudahkan masuk universiti? Berjaya ke menara gading, lulus dengan cemerlang, berjawatan GM dan....harap matlamatnya tidak mati di situ.
Hakikatnya, kebanggaan cemerlangnya akademik itu hanya mampu diraikan di dunia jika tidak bertepatan dengan matlamat. Kenapa tidak lebih berbangga dengan kejayaan anak-anak yang bijak menjaga aurat dan pergaulan, mampu menjaga solat 5 waktu bahkan beradab dengan orang yang lebih tua. Kerana hanya anak yang soleh mampu memberikan pulangan saham yang lumayan di alam yang akan datang. Sungguh walau berpangkat doktor, berjawatan tinggi belum tentu dapat menyelamatkan ibubapa dari seksaan kubur dan neraka sekiranya ketiadaan iman dan amal dalam diri.

Hakikatnya, sesiapa saja pasti menginginkan keputusan yang cemerlang dalam akademik. Justeru, adalah lebih molek jika kecemerlangan yang dilakar biar selari dengan sahsiah dan peribadi diri. Jika keinginan tidak dimakbulkan, jangan sesekali menyalahkan ketentuan Allah, pasti pelangi akan menjelma di sebalik hujan. Sebaiknya, bersabar dan bersangka baik terhadap perancanganNya. Sebagai makhluk ciptaan, selayaknya kita hanya perlu pasrah dan terus mengharap rahmat Allah di samping tidak berputus asa dalam menghadapi segala kesusahan yang menimpa.

Allah berfirman:
"Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan sebarang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu"
(Surah Ath Thalaq ayat 3)

** Tahniah buat sahabat, adik-adik serta sepupu sepapat yang mendapat result cemerlangdalam PMR. Semoga kejayaan tersebut menjadikan diri kalian lebih tunduk dan patuh kepada sang pencipta. Jadilah ibarat resmi padi, semakin berisi semakin tunduk :)

24 December, 2010

Kem Islam Musim Panas!!?

sumber: http://yuyushira.blogspot.com


"Youth Now, Leader Tomorrow"

Bertempat di Batangan Baru Lagoon, Tuaran
17-19 disember 2010

Tiada ungkapan seindah ucaptama Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan program ini berlangsung dengan lancarnya. Seperti Islamic Summer Camp(ISC) yang sudah, ISC kali ke-4 ini tidak menghampakan para peserta dari sudut aktiviti yang berkonsepkan ketahanan fizikal, rohani dan mental. Kelasakan para peserta diuji dari pelbagai aspek bagi memupuk kekentalan jiwa sebagai individu yang bergelar daie. Input-input penting turut di highlight sebagai bekalan tambahan kepada generasi al-Fateh ini.

Preview ringkas, biarkan gambar berbicara


Mujahid berjiwa santai

Muslimah super

Panji-panji perjuangan

KD 1 : Kenapa Perlu Berdakwah??

Tazkirah Maghrib by akhi Arif

berkayak-kayak dahulu, mencari kekuatan

Checkpoint 3 Explorace
Selepas berkubang

Islam di mana-mana

Kekuatan fizikal untuk berjuang

Ada apa dalam khemah?

Berdiskusi di tepi tasik

Dimulakan dengan bismillah

Masa yang tinggal untuk memulihkan kondisi Islam semakin suntuk. Kini, kualiti dan kuantiti perlu seiring bagi menjamin dakwah yang berkesan dan berterusan dalam masyarakat sejagat. Cetusan daripada program tahunan ini, diharap para peserta yang hadir dapat menjadi insan yang bermanfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat. Hapuskan BAKAS!!!!

25 October, 2010

Hidupku, Matiku, Hanya untukMu...

sumber: http://yuyushira.blogspot.com

Syukur ke hadrat ilahi kerana dengan izinNya Program Qiammullail Kelab Remaja Ukhuwwah cawangan Kota Kinabalu dapat dilaksanakan pada 23-24 Oktober 2010. Seperti biasa, program KRUKK sekali lagi menjadikan Masjid Universiti Malaysia Sabah sebagai medan pembangunan remaja. Pada kali ini penyertaan adalah seramai 80 orang yang terdiri daripada 28 orang muslimin dan 52 orang muslimat. Tema "Transformasi Menuju Misi" sekali lagi digunakan tetapi lebih menjurus kepada matlamat sebenar diciptakan oleh Allah SWT di muka bumi.

Kuliah Dasar pada kali ini disampaikan oleh Ustazah jemputan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tebobon iaitu Ustazah Salwa binti Haji Ahmad dengan tajuk, "Matlamat dalam kehidupan".
Latihan dalam kumpulan(LDK) telah memecahkan peserta kepada 5 kumpulan muslimat dan 2 kumpulan muslimin. Adik-adik secara tidak langsung dilatih untuk berhujah dengan mengemukankan idea-idea bernas mengenai matlamat sebenar dalam kehidupan berdasarkan ceramah yang telah disampaikan. Tahniah buat semua! :)
Kali ini slot muhasabah turut diadakan bagi mengajak para peserta memperjelaskan bersama matlamat hidup yang sebenar. Slot ini disampaikan oleh Saudara Azizul Julirin(Persatuan Siswazah Sabah).

Qiammullail pada kali ini dibimbing oleh ust. Ezri dan beliau seterusnya menyampaikan kuliah subuh berkenaan "Matlamat dalam Perjuangan" yang turut menyelitkan sirah perjuangan sewaktu di zaman Rasulullah.Semoga adik-adik yang mengikuti program pada kali ini memperoleh pelbagai input untuk diaplikasikan dalam kehidupan.

Syukran jazilan buat semua yang sudi hadir dan sudi membantu dalam menjayakan program kali ini. Hanya Allah yang selayaknya mampu membalas jasa baik kalian.


Sampai jumpa lagii~ insya-Allah :)

16 July, 2010

KRU-DIA Dalam Cahaya

sumber: http://nurilhakim.blogspot.com

Sudah bertahun-tahun DIA hidup sebegitu. Rumahnya tidak pernah mendapat elektrik. Mandi teraba-raba mencari sabun, masak menggunakan kayu api, tidur dalam kepanasan dan belajar menggunakan cahaya suram daripada lilin. Nasibnya tidak pernah diendahkan. Khabarnya jarang sekali ada yang bertanya. Bukan tidak ada yang peduli, tetapi DIA berat untuk berkongsi. DIA janggal menyusahkan orang lain. Ah, biarlah! DIA sudah serasi berkawan dengan malam. DIA sudah lali berbasah peluh di atas tilam. DIA sudah sebati bertemankan cahaya suram. DIA sudah biasa hidup dalam kelam...

Mujur nasibnya tidak kekal begitu. Mujur ramai yang terketuk hati. Mujur ramai yang masih sudi menghulur simpati. Mujur ramai yang masih mengerti. Malam itu, 13 Julai 2010, rumahnya disimbahi kerahan ukhuwwah sahabat-sahabat yang mahu terus memberi...

Set generator yang dihadiahkan kepada DIA,
hasil sumbangan penggerak-penggerak kempen Sinar 4 Sahabat

Terima kasih, KRU di pelosok negeri. Ponsikou, penyumbang-penyumbang kempen Sinar 4 Sahabat. Magsukul, hamba-hamba Allah yang masih sudi berkongsi. Syukran, insan-insan yang sanggup berbudi. Kalian pembukti, ukhuwwah Islam tempatnya di hati!

DIA, kau mendukung amanah kami membebaskan keluargamu dari belenggu itu! Mudah-mudahan kau istiqamah.

Tangki Air yang dihadiahkan kepada Surau Al-Aqsa, Kampung Kobuni Inanam
hasil titik-peluh KRU Tuaran & KRU Penampang dalam kempen 'Jom Remaja' Mei lepas.

Masih ada dua ahli KRU yang dikesan memerlukan bantuan generator. PSS menunggu maklumat dari kawasan-kawasan untuk menyalurkan bantuan kepada ahli yang memerlukan, dan meneguhkan tekad memelihara kebajikan penggerak-penggerak persatuan.


Sebutir Pasir

Aku bermula sebutir pasir
Terdampar di pantai kehidupan
Ditiup angin berterbangan
Dihembus ke kiri ke kiri
Dihembus ke kanan ku ke kanan

Tika ini
Hidupku tidak pernah sepi dari noda dan dosa
Tidak pernah sepi dari leka dan alpa
Lemas dalam jurang-jurang durjana
Tersasar jauh dari hakikat hamba

Suatu hari
Aku disapa Sang Pengembara
Aku diangkut ke medan mulia
Dibelai dakwah
Diusap tarbiyyah

Diriku diadun dengan airmata takwa
Disebati dengan tanah dan lumpur perjuangan pusaka

Lalu aku semakin teguh
Ditiang oleh aqidah
Disimen oleh ukhuwwah
Diteduh oleh atap mahabbah
Disusun dan diatur menjadi bangunan teguh yang tak bisa roboh
Tegak dan kukuh

Masa terus berlalu
Bangunan kian usang disalut debu
Di tapak kukuh mula tampak retak dan rekah
Debu putus asa dan marah
Retak oleh tarbiyyah ruhiyyah
Rekah oleh lemahnya thaqafah

Duhai pasir
Kau kini bukan lagi sebutir
Kau tidak boleh mengalah
Disisimu akan ada teman-teman yang sama melangkah
Yang sama bercita menuju mardhatillah

Duhai pasir
Jika kau hendakkan istiqamah
Jangan kau turuti nafsu serakah
Jika kau mahu kekal di jalan ini
Jangan kau cari cinta duniawi
Jika kau dambakan damai abadi
Jangan kau bergantung pada kasih insani

Carilah Ilahi

(nurilhakim, 5 September 2008)


Tahniah, Kelab Remaja Ukhuwwah. Perjuangan baru bermula. Teruskan melangkah.

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.