Showing posts with label Sabah. Show all posts
Showing posts with label Sabah. Show all posts

15 August, 2012

Ada lagi pemimpin Umno keluar parti selepas Aidilfitri - Lajim

sumber: http://masdarwahid.blogspot.com


Masdar Wahid

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin mengesahkan akan ada lagi pemimpin Umno Sabah yang akan keluar parti dalam masa terdekat atau seawalnya selepas sambutan Aidilfitri hujung Ogos ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada rangka lawatannya ke Sarawak atas jemputan KEADILAN negeri 12 Ogos lalu yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Sarawak.

Lajim bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenainya walau didesak berkali-kali dan hanya menegaskan, "Mungkin selepas Hari Raya."

Lajim berkata, tindakan rakan-rakannya kelak meninggalkan Umno adalah sama dengan beliau iaitu enggan menerima salah guna kuasa dan penyelewengan Umno BN terhadap rakyat.

"Kami mahu kerajaan persekutuan mengambil maklum dan menyelesaikan masalah di Sabah, tetapi selepas 18 tahun banyak isu kekal tidak diselesaikan.

"Jika satu pihak gagal menyelesaikan masalah, apa yang untuk kita tunggu lagi? Oleh itu, kita beralih kepada pihak lain (Pakatan Rakyat) yang boleh membantu rakyat dan bukan untuk kepentingan peribadi," katanya lagi.

Selepas mengumum meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Pengerusi Umno BN Beaufort pada 29 Julai lalu, Lajim turut menubuh Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang memfokuskan pengundi Melayu Muslim Sabah pada PRU akan datang.

Dilema Pengundi Sabah

sumber: http://perantausenja.blogspot.com


Masa Untuk Berubah,Ubah Sekarang.Cogankata yang berkesan dan membawa impak yang cukup positif di kalangan pengundi-pengundi di Sabah.Tidak keterlaluan kalau saya katakan mengalahkan Janji Ditepati berdasarkan senario sekarang.Rata-rata yang saya temui mahukan perubahan pentakbiran dan disatu pihak lagi inginkan perubahan dalam kepimpinan.Bagi saya mendatangkan keuntungan kepada pembangkang apabila pengundi akar umbi yang cenderung atau pro kerajaan inginkan perubahan kepimpinan Sabah.

Monopoli dan enggan berundur adalah satu penyakit kronik dalam UMNO/BN tidak kira dinegeri mana sekali pun.Apabila berkuasa dan memerintah terlalu lama,akan timbul sikap atau rasa sayang yang teramat sangat dengan jawatan yang disandang.Lebih-lebih lagi apabila jawatan itulah dijadikan sumber kewanga atau periuk nasi untuk diri,keluarga dan kroni-kroni.Tidak boleh tidak dipertahankanlah jawatan itu dengan apa cara sekali pun walaupun dengan prinsipmatlamat menghalalkan cara.Maka berlakulah pembentukan atau perpecahan dalaman dan terbentuklah team untuk jatuh-menjatuhkan sesama UMNO.Itulah hakikatnya yang berlaku dalam UMNO sekarang ini.Perkara yang berlaku dalam UMNO ini sewajarnya dijadikan iktibar kepada semua parti pembangkang di Sabah.

Umum mengetahui,matlamat parti pembangkang adalah menjatuhkan atau mengalahkan Barisan Nasional/UMNO.Tetapi itu hanya akan menjadi mimpi ngeri dan bualan kosong di kedai kopi seandainya pembangkang tiada kesepakatan dan kerjasama.Apa yang kita lihat hari ini,sesama pembangkang masih bercakaran dan masih belum bersatu.Masing-masing menegaskan parti merekalah yang terbaik.Seandainya ini berterusan,pengundi (terutama pengundi atas pagar) akan keliru dan tidak yakin dengan pembangkang.Mungkin disebabkan faktor sekiranya menang,siapa yang akan jadi Ketua Menteri.Seolah-olah penyakit UMNO telah menyerap ke dalam jiwa parti pembangkang.

Rakyat sebagai pengundi menilai semua yang berlaku ini.Pimpinan parti pembangkang seharusnya duduk semeja berunding mencari jalan penyelesaian ke arah muaafakat dan penyatuaan lantas membentuk Pakatan Sabah.Semua parti pembangkang di Sabah harus bergandingan dan jangan tamak kuasa.Kesepakatan dan kerjasama yang baik di kalangan pembangkang pasti membuahkan hasil yang baik dalam mencapai matlamat menumbangkan UMNO/BN di Sabah.

Kutipan Dana Bangunan Pusat Pendidikan Islam An-Nur (PPIAN) Tahfiz

sumber: http://mujahideen-islam.blogspot.com

Info Sekolah

Pusat Pendidikan Islam An-Nur (PPIAN), Kota Kinabalu Sabah dengan mottonya “Membina Generasi Al-Quran” berdaftar dengan JHEAINS pada tahun 2011. PPIAN juga antara sekolah rendah Islam terawal yang dibina di Borneo.

PPIAN kini mengorak langkah memperkasakan sistem pendidikan Islam di bumi Sabah yang mempunyai kurikulum bersepadu (Kementerian Pelajaran Malaysia KSSR, JHEAINS & TAHFIZ) bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah yang mana untuk memberi peluang kepada ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi golongan Huffaz Professional dan bukan keuntungan semata.



Kini PPIAN Tahfiz mempunyai seramai 21 orang pelajar Tahun 1 (sesi 2012) yang giat dididik dan PPIAN akan membuat pengambilan kemasukan pelajar setiap tahun.

Info Dana:

Kutipan dana bangunan sebanyak RM 100, 000 (Fasa Pertama) diperlukan untuk membina beberapa buah kelas bagi menampung pelajar yang semakin bertambah. Bangunan kelas yang sedia ada kini tidak dapat menampung untuk pelajar aliran Tahfiz. Maka dengan itu, sumbangan dana daripada masyarakat amat diperlukan untuk dalam membantu pihak PPIAN.


(klik untuk besar)

Sumbangan anda diperlukan untuk membangunkan Pusat Pendidikan Islam An-Nur dalam memartabatkan sistem pendidikan Islam (kurikulum bersepadu) dalam melahirkan generasi Al-Quran yang ulul albab.

SUMBANGAN MELALUI AKAUN BOLEH DISALURKAN ATAS NAMA:
PUSAT PENDIDIKAN ISLAM AN NUR

10 0160 1008 4808

(BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD)

Untuk keterangan Lanjut, hubungi:

Pejabat Pusat Pendidikan Islam An Nur (telefon / fax) - 088 230 584
Ustaz Zulzaim Hilmee Bin Abidin (Mudir PPIAN) - 019 821 5393
Ustaz Dr. Norazamuddin Umar (Penasihat PPIAN) - 013 868 7704
Ustaz Jumat Bin Abdul Razak (Pengerusi PPIAN) - 019 536 7902

"Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya." (Hadith Riwayat Muslim)

PAS Sabah mahu dua penulis anggotai panel RCI

sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com



 Kota Kinabalu: PAS Sabah menggesa kerajaan pusat sebagai memasukkan dua pengarang yang menulis secara meluas mengenai ledakan luar biasa penduduk Sabah dalam panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang haram di negeri ini.

Mutalib Muhd Daud dan Dr. Chong Eng Leong telah menulis beberapa buah buku mengenai topik tersebut. Mutalib adalah anak kelahiran Kedah yang kini menetap di Sabah, manakala Chong menulis buku ketika beliau menjadi pemimpin PBS. Chong kini bersama PKR.

Ketua Publisiti Pemuda PAS Sabah, Mohd Firdaus Muhammad Nor berkata dewan itu tidak gembira dengan barisan anggota RCI kerana ia kekurangan pakar mengenai isu berkenaan

"Mutalib dan Chong telah terlibat dalam menulis pendedahan mengenai isu pendatang haram di Sabah," tegas Mohd Firdaus.

Beliau berkata seorang lagi tokoh pakar yang penting kepada panel tersebut ialah Tan Sri Simon Sipaun, yang telah melakukan penyelidikan terhadap topik tersebut ketika berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

"Tidak ada seorang pun yang terbabit dalam siasatan tersebut yang benar-benar boleh mewakili rakyat Sabah," katanya.

Sumber: Malaysiakini

17 July, 2012

Bekas Ketua Anak Negeri N48 Sukau sertai PAS

sumber: http://www.sabahkita.net

BUKIT GARAM ; Demi membela maruah rakyat Sabah yang terhina dibawah pemerintahan UMNO dan BN, Bekas Ketua Anak Negeri N48 Sukau , Sairin Muyong bertindak keluar UMNO dan menyertai PAS bersama 23 orang penyokongnya.

Borang penyertaan Sairin dan penyokongnya diserahkan kepada Bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ust Azman Sapawi dirumahnya di Kg Bukit Garam. Pengarah Pilihanraya PAS Kawasan Kinabatangan, Innah Tuton turut menyampaikan ucapan dalam majlis ringkas tersebut melahirkan rasa bangga atas penyertaan Sairin yang diyakini bakal memperkukuhkan PAS Kawasan Kinabatangan.

“ Rakyat Sabah sering dipermainkan oleh pemimpin BN bermula zaman Tun Datu Mustapa sehinggalah Musa Aman dengan janji-janji pembangunan yang mengkayakan pemimpin tertentu sahaja. Rakyat Sabah terus hidup melarat dihimpit kemiskinan.” Jelas Sairin yang juga bekas Setiausaha Parti Berjaya Kinabatangan.

Ketika ditanya, penyertaannya ke dalam PAS kerana berminat untuk menjadi calon PAS di N48 DUN Sukau, Sairin menafikan dakwaan itu kerana PAS sebuah parti yang cukup cermat dalam pemilihan calun dan matlamat perjuangannya adalah jelas untuk Islam. Penyertaan beliau adalah untuk mencari redha Allah dengan baki kesihatan yang dianugerahkan Allah ini. Namun Sairin berjanji akan bersungguh-sungguh menggunakan pengalaman politiknya untuk membantu PAS dalam pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Bekas Ketua Cawangan UMNO itu juga melahirkan keyakinan kepada PAS yang dilihat lebih telus dalam pengurusan dan sentiasa mendidik pemimpin dan ahlinya supaya amanah dalam memikul tanggungjawab Negara disamping keikhlasan ahlinya berkorban untuk meninggikan syiar Islam.

Ketika menyerahkan borang keahliannya kepada Ust Azman, Sairin berkata : “ saya menyerahkan borang ini berserta dengan jiwa dan raga saya kepada perjuangan Islam yang dibawal oleh PAS”. Kata-kata beliau disambut dengan laungan takbir oleh hadirin yang hadir.

Sementara itu, Ust Azman turut melahirkan kegembiraan atas kesediaan Sairin dan penyokongnya untuk menyertai PAS. Senario penyertaan masyarakat kepada PAS dan Pakatan Rakyat semakin rancak, bahkan dimana-mana yang beliau pergi, masyarakat akan bertanya tentang tarikh pilihanraya. Ini membuktikan rakyat sudah muak dengan UMNO BN dan sudah tidak sabar-sabar untuk menguburkan parti yang memerintah sekarang ini.

Menurut Ust Azman lagi, rakyat semakin takut dengan gaya pemerintahan Datuk Najib yang boros dan bocor di mana-mana.

“ UMNO BN bergaduh dengan semua peringkat masyarakat, bermula dengan pelajar university sehinggalah peneroka FELDA sehingga tergamak mengeluarkan kata-kata kesat kepada peneroka FELDA”. Jelas Ust Azman lagi.

13 June, 2012

Politeknik Kota Kinabalu tidak selamat?




sumber: http://bm.harakahdaily.net

KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu yang siap dibina pada tahun 2003 dikatakan mengalami keretakan yang agak kronik pada satu blok bangunannya berikutan struktur pembinaan yang tidak bermutu.

Pemuda PAS Sabah difahamkan bahawa Politeknik Kota Kinabalu ini tidak pernah mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Namun apa yang menjadi tanda tanya ialah bagaimana Politeknik ketujuh di bawah kelolaan dan seliaan Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) beroperasi selama hampir 9 tahun.
Malah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga dikhabarkan telah mengeluarkan surat bahawa institusi ini tidak selamat.

Demikian kata Lahirul Latigu, Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah dalam satu kenyataannya hari ini.
Politeknik ini menawarkan pengajian peringkat diploma selama tiga tahun.

Menurutnya, daripada tinjauan yang telah dilakukan, dakwaan sesetengah pihak berkaitan dengan isu ini ada benarnya.

Terdapat beberapa gambar yang disertakan telah menunjukkan memang benar berlaku keretakan di beberapa blok bangunan ini selain daripada bangunan di Blok B yang sedang dibaik pulih tersebut mengalami masalah mendapan yang amat serius serius.

(Antara tanda-tanda bangunan ini dalam bahaya)

Berikutan permasalahan berkenaan, Pemuda PAS turut difahamkan bahawa pihak Politeknik berkenaan tidak lagi menerima kemasukan pelajar baru sesi Jun 2012.

Hal ini menimbulkan keresahan dan kesusahan bukan sahaja kepada pelajar yang terbabit, malah kepada ibu bapa mereka juga turut menerima kesan yang sama dengan terpaksa menghantar anak mereka ke Politeknik lain sama ada di Sarawak dan Semenanjung yang memakan perbelanjaan yang agak tinggi.

Apa yang dikesalkan ialah, isu ini dipandang remeh oleh KPT dan JPP walaupun ianya melibatkan nyawa dan seakan pihak KPT melalui Kerajaan Malaysia telah langsung memperjudikan nyawa ribuan pelajar yang tidak bersalah dalam mencari peluang pengajian.

Pemuda PAS turut menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar mengambil langkah segera dengan membuat siasatan rapi termasuklah beberapa kemungkinan terdapatnya unsur penyalahgunaan kuasa serta rasuah dalam pengurusan tersebut.

Pemuda PAS, kata Lahirul, turut menyelar pihak KPT yang berselindung disebalik kemegahan Politeknik tersebut yang jelas mempertaruhkan masa depan anak-anak serta pelajar-pelajar dan langsung tidak mencerminkan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

07 May, 2012

Sabah kaya: Mahathir baru terjaga dari tidur?


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

KOTA KINABALU, 3 Mei: Dewan Pemuda PAS Sabah menyelar sikap bermuka-muka bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan kekayaan negeri Sabah yang disembunyikan faktanya tanpa memikirkan tanggungjawab dan rasa hormatnya terhadap rakyat di negeri ini.

Ketuanya, Lahirul Latigu dengan sinis mengatakan bekas Perdana Menteri itu ‘baru terjaga dari tidur’ dengan bersandarkan kenyataan kajian daripada Petronas yang menunjukkan Sabah akan menjadi sebuah negeri terkaya tidak lama lagi.

“Beliau (Dr. Mahathir) ni sudah lama jadi Perdana Menteri. Kenapa semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulunya, beliau langsung tidak melihat negeri Sabah ini?

“Apakah beliau baru terjaga dari tidur, tiba-tiba bermimpi dan dikejutkan dengan penemuan dan kajian… baru beliau bingkas menyatakan kekayaan negeri Sabah?” soal Lahirul.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir yang ketika menyampaikan syarahan mengenai Pembangunan Sosio-Politik Sabah dalam Konteks Malaysia di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 1 Mei lalu berkata kajian Petronas telah menunjukkan Sabah tidak lama lagi akan menjadi negeri terkaya daripada segi sumber aslinya.

Menurut Bekas Perdana Menteri itu juga, beliau turut mencadangkan sebuah Fakulti Kejuruteraan Petroleum ditubuhkan di UMS berikutan kemunculan industri minyak dan gas di negeri ini.

Lahirul berkata, kenyataan Tun Dr. Mahathir tersebut tidak jelas dan hanya bersifat mengaburi mata rakyat Sabah.

“Apa yang disebut dan dinyatakan oleh beliau, secara kasarnya nampak kabur dan kurang jelas. Sebagai seorang yang pernah berkuasa dahulunya, dan tahu selok belok Sabah… beliau sepatutnya memberikan kepada rakyat dan negeri ini satu benda yang besar dan tidak bersifat kosmetik yang hanya menunggu pilihanraya.

“Apa yang lebih besar itu ialah, beliau memberikan serta memulangkan semula kuasa yang ada pada rakyat di negeri ini untuk mentadbir dan mengurus hasil buminya. Bukankah itu juga termasuk dalam Perjanjian Malaysia 1963,” jelas Lahirul.

Menurut Lahirul, kekayaan Sabah yang terbit dari hasil bumi dan dasar laut telah sepatutnya meletakkan Sabah sebuah negeri terkaya di Malaysia sejak tahun 1976 dan bukannya tidak lama lagi yang tidak diketahui bila tarikh dan tahunnya.

“Sabah ini sepatutnya sudah jadi negeri kaya dan terkaya di Malaysia sejak dulu tahun 1976 lagi.

“Bukannya sekarang dan tidak lama lagi seperti mana yang disebutkan oleh Dr. Mahathir. Kalau begitu, berikan kepada rakyat Sabah bila Sabah akan jadi negeri terkaya? Adakah tahun hadapan… atau dua tahun lagi, atau entah bila tahun itu?” ujar beliau.

Katanya, kemiskinan yang berlaku dan kekurangan yang ada pada negeri ini juga secara jelas telah disebabkan oleh pentadbiran kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang tempang dan rosak.

“Sabah ini jatuh dalam kemiskinan, terpinggirnya rakyat daripada arus pemodenan, hilangnya taring dan kuasa wakil rakyat… ini adalah punca kerakusan sistem pentadbiran kerajaan Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

25 April, 2012

Kerajaan BN Sabah sudah lama tipu rakyat


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

KENINGAU, 24 April: Pemuda PAS Sabah melahirkan kekesalan terhadap pihak tertentu yang cuba mempolemikkan isu mengenai taraf kehidupan rakyat terutama yang melibatkan rakyat di kawasan pedalaman negeri ini. 
Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu mendakwa, peningkatan taraf kehidupan rakyat di negeri ini merupakan hasil usaha dan titik peluh yang dibangunkan sendiri oleh rakyat dan bukannya ditentukan oleh usaha kerajaan.


“Peningkatan kehidupan yang kian bertambah baik yang dinikmati oleh penduduk pedalaman pada hari ini bukan hasil usaha kerajaan, namun hasil keringat dan kudrat rakyat itu sendiri.

“Peningkatan pendapatan ekonomi rakyat terutama yang melibatkan pertanian adalah didorongi oleh permintaan komoditi pasaran dunia dan bukan disebabkan rancangan pihak kerajaan negeri.

“Makanya, rakyat perlu sedar bahawa selama ini kerajaan cuba hendak menjadi hero dan seolah-olah menunjuk-nunjuk kehebatannya sedangkan sedikitpun usaha itu adalah disebabkan rakyat,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Keningau.

Lahirul bersama rombongan pemuda PAS Sabah ditemui ketika mengadakan kunjungan dan lawatan kerja selama sehari ke kawasan-kawasan pedalaman Sabah.

Berdasarkan tinjauan dan kajian yang dilakukan oleh Institut Kajian Politik dan Strategik Pemuda PAS Sabah mendapati bahawa, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang diamanahkan oleh kerajaan negeri bagi membangunkan industri dan pendapatan rakyat tidak memenuhi keperluan sebenar apatah lagi LIGS menawarkan harga pasaran getah yang jauh lebih rendah berbanding harga yang ditawarkan di Semenanjung Malaysia dan pasaran dunia.

“Kerajaan negeri tidak berperanan sebagai agensi khusus sebaliknya menjadi dalang utama yang menyekat peningkatan ekonomi pertanian.

“Kita (PAS) bimbang dengan perkembangan ini yang seolah-olah kerajaan langsung tidak peka dan prihatin terhadap keluhan dan rintihan peneroka getah.

“Kerajaan bukan sahaja menampakkan ianya telah gagal mengurus ekonomi negeri, malah gagal juga dalam mengarah dan mengurus LIGS supaya mengoptimumkan harga pasaran getah agar lebih selaras dengan harga pasaran dunia.

Selain itu, beliau turut menegur kerajaan negeri agar memastikan pengilang kelapa sawit tidak mengambil kesempatan membeli sawit dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang sepatutnya diterima peneroka.

“Kerajaan negeri perlu melihat perkara ini sebagai satu masalah serius dan perlu ditangani dengan segera. Jika ianya berleluasa, isu ini akan menjadi barah dan meminggirkan serta menindas golongan peneroka.

“Masakan pihak kerajaan negeri tidak mengetahui perkembangan ini, sedangkan lessen pemilik dan pengusaha kilang, dikeluarkan oleh kerajaan negeri sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, harga sawit mentah yang dibeli oleh kilang hanya sekadar RM 800.00 setan namun hampas (bio-mass) sawit dimiliki oleh pekilang. Harga hampa (bio-mass) di pasaran dunia adalah diantara RM 1,200.00 hingga RM 1,500.00 setan.

“Ini bererti, pekilang kelapa sawit mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan cubaan menipu dan menindas rakyat kampung.

“Kerajaan juga menunjukkan sikapnya yang langsung tidak pandai mengurus kebajikan dan ekonomi rakyat,” jelasnya dalam nada kecewa.

Pemuda PAS juga katanya, turut mempertikai kehadiran pelbagai agensi persekutuan ke Sabah yang hanya berminat memungit hasil namun tidak memberi sumbangan kepada negeri ini.

“Kita boleh senaraikan seberapa banyak agensi persekutuan yang datang ke Sabah ini seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM), RISDA, MPOB, MTAB dan juga Lembaga Koko Malaysia.

“Untuk apa agensi-agensi ini datang ke Sabah, sedangkan mengikut Perlembagaan Malaysia ada menyebut bahawa pertanian adalah hak mutlak kerajaan Negeri Sabah.

“Dan, perkara ini juga bercanggah dengah Perjanjian Malaysia 1963,” jelas beliau.

Bangkit 2.0 diadakan pada 28 April


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

KOTA KINABALU, 12 April: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) akan mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat atau Bangkit 2.0 pada 28 April ini, di Padang Merdeka. Kota Kinabalu.

Pengerusi Tabah, Hisammuddin Sulaiman berkata, perhimpunan tersebut bakal bergabung serentak dengan perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada tarikh serta lokasi yang sama.

 

“Tabah akan terus mengadakan perhimpunan aman ini tanpa melibatkan sebarang perarakan seperti mana yang diuar-uarkan akan dilaksanakan oleh Bersih. Tujuan kita hanyalah bagi menyuarakan perasaan rakyat dan orang kampung yang mengalami masalah tanah.

“Tabah juga akan memastikan setiap peserta mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mahu sebarang anasir liar dan jahat dimulakan oleh peserta. Kita mahu buktikan kepada seluruh dunia bahawa peserta perhimpunan aman ini semuanya baik dan mengikut peraturan,” katanya.

Menurutnya, Tabah akan menghantar surat pemberitahuan kepada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bagi memaklumkan perhimpunan berkenaan dan memohon kawalan keselamatan bagi sebarang kemungkinan provokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Tabah hanya akan mengadakan perhimpunan sahaja. Sebarang perarakan perlu bertanyakan kepada parti politik sama ada mereka mahu buat atau tidak,” ujar beliau dalam sidang media pelancaran Bangkit 2.0 di sini kelmarin.

Sementara itu, Setiausaha Tabah yang juga Ketua Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu memaklumkan bahawa persetujuan awal yang diperolehi semasa pertemuan bersama Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi Zakaria pada Mac lalu juga turut mengakui hanya dua lokasi yang dibenarkan untuk perhimpunan iaitu sama ada di Stadium Likas atau Padang Merdeka.

“Polis sudah memberikan persetujuan, hanya dua lokasi di sekitar Kota Kinabalu ini sesuai untuk berhimpun sama ada di Stadium Likas atau Padang Merdeka.

“Cumanya, kita diminta untuk memaklumkan kepada pihak pengurusan berkenaan bagi penggunaan tempat,” jelas Lahirul.

Tambahnya, memorandum turut akan diserahkan semasa perhimpunan tersebut dengan diwakili oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

“Oleh sebab Ketua Menteri terlalu ego untuk berjumpa dengan rakyat semasa 123 Bangkit yang lalu, maka pada hari tersebut kita akan menyerahkan memorandum serupa kepada pimpinan Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan isu yang berbangkit.

“Kita mahu, hak rakyat Sabah ini dikembalikan kepada mereka, katanya.

15 April, 2012

Kembara Dakwah Tanjong Batu

sumber: http://muridkyai.blogspot.com



Lebih tiga tahun lalu, aku telah meninggalkan Tanjong Batu. Tanjong Batu merupakan tempat pertama aku berkhidmat sebagai guru. Di Tanjong Batu, aku mencedok ragam pengalaman yang amat berharga terutama dalam medan dakwah. Banyak memori pahit manis yang terselit di celah perkhidmatanku sebagai guru agama di sana. Ia sukar untuk dilupakan dan ia membuka ruang perkenalanku dengan aneka ragam rencah kefahaman tempatan dan liku dakwah mengenainya.

Setelah lebih tiga tahun bumi Tanjong Batu aku tingalkan, siang tadi aku jejaki semula ke sana. Aku bergabung bersama sahabat-sahabat seperjuangan dari badan amal yang kami namakan sebagai Unit Amal dan berusahasama dengan Syarikat Takaful Ikhlas menyampaikan sumbangan kepada penduduk. Syarikat Takaful Ikhlas menyediakan sejumlah peruntukan zakat untuk penduduk pendalaman yang miskin dan pemuda dari Unit Amal membantu melestarikannya.

Siiru 'Ala Barkatillah!
Kebanyakan peserta adalah dari Kinabatangan dan dibantu oleh guru-guru Sk. Tanjong Batu. Aku menyertai kumpulan amal Islami tersebut hanya selepas selesai urusan persekolahan hari Sabtu yang nampaknya tahun ini kian sarat. Seperti yang pernah kualami dahulu, menunggu bot kapal penambang ke Tanjong Batu adalah amat melelahkan. Pergi sendirian, terpaksalah mengharapkan kapal penambang. Aku hampir memutuskan untuk tidak pergi sahaja apabila tiba-tiba ada sahabat memaklumkan ada bot yang disewa khas sedang keluar berurusan ke bandar. Dengan bot tersebut aku ke Tanjong Batu. Kebetulan pula ada seorang pegawai JHEAINS Kinabatangan ikut serta kerana beliau dijemput untuk mengendalikan Kursus Pengurusan Jenazah.

Tanjong Batu sudah banyak berubah. Kerajaan telah berjaya membina beberapa unit rumah PPRT untuk penduduk. Tenaga elektrik bersumberkan Janakuasa Solar juga sudah beroperasi. Penduduk sudah menikmati bekalan tenaga elektrik 24 jam. Tidak seperti zaman aku berkhidmat di sana dahulu, tenaga elektrik hanya diandalkan kepada genset yang memerlukan petrol sebagai bahan api. 

Rumah PPRT

Ketika aku tanya En. Jumadul, Ketua JKK Tanjong Batu Laut mengenai kadar bil yang perlu dibayarnya setiap bulan, katanya sekitar RM40 hingga RM50. Ia jauh lebih murah berbanding zaman menggunakan genset dahulu yang mana setiap bulan perlu dibelanjakan sekitar RM300. Aku tumpang gembira dengan senyum senang orang kampung merasai nikmat pembangunan itu. 

Stesen Janakuasa Solar

Bersama sahabat-sahabat penyampai sumbangan, aku singgah di rumah Syarif Osman. Rupanya anak gadisnya yang dulunya sangat tegar watak tomboynya telah berkahwin dan beranak. Alhamdulillah. Manusia berubah dan dia berubah kepada fitrahnya. Kebanyakan warga Tanjong Batu masih ingat memori bersamaku di sana. Lima tahun aku bergaul bersama mereka dan mentarbiah anak-anak mereka di sekolah dan bersama mereka dalam pelbagai acara. Mereka menyambut mesra kehadiran kami.

Ust Wan Jemizan menyerahkan sumbangan.

Imam Hasan sudah meninggal. Demikian orang kampung mengkhabarkan ketika aku tanyakan tentang imam Hasan. Semoga Allah merahmatinya. Selain itu, Imam Abdul juga sudah meninggal. Pak Mail juga sudah meninggal ketika ditahan di Rumah Merah (PTS).Fazli, kawan yang agak akrab denganku semasa di Tanjong Batu dulu juga sudah tidak bermastautin di sana lagi. Menurut jiran rumahnya di Tanjong Batu, dia telah pindah ke Kota Kinabalu dan tinggal di sana. Rumah dihuni oleh orang lain. Mungkin adik isterinya.

Antara sekian ramai warga Tanjong Batu, aku paling merasa kasih kepada keluarga Pak Loman. Terutama sekali anaknya Rami yang menjadi pengikut setiaku pada usaha mengimarah surau Tanjong Batu pada masa lalu. Pada hematku, anak-anak Pak Loman itulah yang paling mudah dicanai untuk hidup beragama, terutamanya Rami. Sayang sekali aku tidak punya banyak kesempatan untuk itu. Ketika aku menemuinya di rumahnya, aku masih melihat potensi itu pada dirinya. Hanya kepada Allah aku berdoa agar membetulkan jalannya. 

Namun, tugas membangkitkan kesedaran agama di Tanjong Batu masih jauh sayup mata. Tentu Allah SWT ada pembela agamanya yang tidak pernah putus. Aku bersangka baik mengenai nasib Tanjong Batu. Setelah berganti generasi, generasi berikutnya akan menjadi lebih baik. Itulah harapanku. Guru-guru agama di Tanjong Batu mempunyai peranan untuk memandu perjalanan mencari kebaikan ini. Kita akan berkongsi ganjaran pada mata rantai dakwah yang berkesinambungan. 

Tanjong Batu memerlukan kesedaran agama. Kesedaran agama akan melahirkan watak rakyat yang merdeka kerana agama sentiasa memerdekakan manusia. Manusia beragama tidak akan menjadi hamba dunia dan tidak akan menjadi hamba kepada sogokan kebendaan. Perjuangan memberi kefahaman agama yang tepat adalah sama susahnya dengan perjuangan memerdekakan pemikiran manusia daripada perhambaan yang salah.

Bersama TPJ di Tanjong Batu Laut

Allahummahdina!

08 April, 2012

Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah 2012 kali ke 25 (update)

sumber: http://islamreturn.blogspot.com

~Melangkah Menuju Kemenangan~


 Perwakilan sedang membahaskan Laporan Tahunan DPPS 2011
 
 Perwakilan yang hadir memenuhi setiap penjuru dewan

 Ucapan Dasar Mukatamar DPPS sedang disampaikan oleh Ketua Pemuda pada malam sebelumnya

Kehangatan para tetamu muktamar diserikan dengan pidato Sdra Abdullah Sany yang juga Ketua Pengarah Politik dan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tetamu yang hadir mendengar Ucapan Dasar Dewan Pemuda PAS negeri Sabah

21 March, 2012

Tanah: Musa Aman 'jaguh belakang pintu'


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

KOTA KINABALU, 21 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini menyifatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sebagai 'jaguh belakang pintu' yang hanya pandai melalak di sebalik tirai dengan tidak berani bersua muka di hadapan orang kampung bagi menyelesaikan masalah tanah di negeri ini.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, sifat hipokrit Ketua Menteri itu melukakan hati ramai pihak termasuk penduduk kampung yang teraniaya disebabkan isu tanah adat mereka yang dirampas tanpa pengetahuan mereka.

 

“Macam mana beliau boleh jadi Ketua Menteri kalau orang kampung pun beliau tidak boleh jumpa? Mereka bukan bawa senjata mau pergi buat rusuhan, mereka hanya bawa sekeping dua kertas yang didalamnya terdapat luahan hati rakyat.

“Bersembunyi disebalik pintu kaca tanpa menghiraukan hak rakyat, ini jelas menunjukkan Ketua Menteri ini tidak berani berhadapan situasi rakyat. Tidak berani tampil memperjuangkan hak rakyat, hanya melalak-lalak di dalam akhbar dan di media sahaja,” ujar beliau.

Boleh kekal, tapi sebagai pembangkang

Menurutnya, selaku Ketua Menteri yang dipilih, beliau bertanggungjawab memikul amanah rakyat, mendengar dan memahami isi hati rakyat dan menyelesaikan permasalahan berbangkit yang berkaitan rakyat.

Adalah malang baginya, Sabah mempunyai seorang Ketua Menteri yang hilang identiti kepimpinan tetapi cuba merayu dan menagih simpati untuk mengekalkan seorang Ketua Menteri yang ternyata lemah dan longlai berhadapan rakyat.

“Mereka merayu untuk terus kekal di Sabah. Kita boleh bagi mereka kekal. Tapi bukan sebagai Ketua Menteri, tapi jadi pembangkang Dun Sabah.

“Mana boleh kita kekalkan mereka yang lemah menguasai kerajaan ini. Ini kali kalau mereka itu kita kekalkan, maka semua hasil bumi dan tanah rakyat dirampas. Di mana kita mahu duduk?

“Kita berhimpun, tidak sampai 30 minit, tapi tanah yang rakyat usahakan hampir 30 tahun dirampas begitu sahaja. Tidakkah ini satu hipokrit yang besar yang dibawa oleh kerajaan Umno BN pada hari ini,” tegas Lahirul.

Justeru katanya, rakyat Sabah perlu sedar akan kepentingan memperjuangkan hak dan keadilan.

Tidak dinafikan, kekuatan rakyat Sabah bersatu dengan menumbangkan kerajaan sebelum ini telah cukup membuktikan bahawa kuasa rakyat adalah kuasa keramat yang tidak boleh dipertikai sama sekali.

“Sabah ada peranan tersendiri. Kali ini kita tukar baju sekali lagi. Baju yang kita pakai pada hari ini sudah koyak dan kotor. Kita tukar baju baru yang nampak lebih cantik, menarik dan tertawan semua pihak.

“Itulah baju yang kita namakan Pakatan Rakyat,” jelas Lahirul

23 February, 2012

Bantuan RM100: JHEAINS diminta tarik balik arahan


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

BEAUFORT, 20 Feb: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menarik balik arahan pembayaran balik Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM100 yang telah diberikan kepada semua pelajar di Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini berkuatkuasa serta merta.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, arahan penarikbalikan bantuan tersebut mencerminkan ketidakbertanggungjawab sebuah institusi agama yang menjadi nadi utama dan teras pembangunan akhlak dan kemasyarakatan di negeri ini.

“Ini satu bentuk ketidakadilan dan kezaliman yang seolah-olah mencerminkan tingkah laku pengurusan JHEAINS kepada pihak sekolah.

Selain itu, pihak JHEAINS katanya perlu meneliti setiap tindakan agar tidak membebankan pihak sekolah dengan kos tanggungan yang terpaksa ditanggung sekolah tersebut.

“Sebelum mengarahkan sesuatu, pihak JHEAINS perlu minta pandangan dan respon daripada pihak sekolah.

“Macam mana pihak sekolah mahu bayar balik, sedangkan duit dah diserahkan kepada pelajar. Jadi, nak salahkan pihak sekolah,” ujar Lahirul.

Pihak JHEAINS menerusi pekeliling kepada semua SAN dan SAR negeri pada 1 Februari lalu meminta agar mengembalikan semula peruntukan bantuan tersebut ke Bahagian Kewangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selewat-lewatnya pada 8 Mac ini.

Menurut surat itu juga, pelajar yang telah menerima bantuan berkenaan di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan tidak boleh menerima bantuan itu sekali lagi.

Bagaimanapun, pihak sekolah yang terlibat memberi reaksi tidak berpuas hati dengan arahan tersebut yang jelas mendiskriminasi pelajar sekolah agama.

“Pihak sekolah berasa kesal dengan arahan ini. Ini sekaligus menunjukkan juga berlakunya satu bentuk yang dinamakan diskriminasi kepada sekolah agama,” jelas Lahirul.

Sehubungan dengan itu, kira-kira 10 buah sekolah SAN dan SAR seluruh Beaufort membantah dan meminta agar JHAEINS menarik balik arahan ini berkuat kuasa serta merta.

13 February, 2012

UMS gedung ilmu, bukan gedung rasuah

sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com/


KOTA KINABALU, 5 Feb: Pemuda PAS Sabah hari ini melahirkan kebimbangan mengenai gejala rasuah dan penyelewengan yang didakwa berlaku melibatkan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terkemuka di negeri ini.

Ketuanya, Lahirul Latigu menyatakan kegusaran tersebut setelah hebat diperkatakan di media massa terutama beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatanDaily Express pada 3 Februari lalu.

“Kita (PAS) kecewa dengan perkembangan ini. Macam mana sebuah universiti boleh mula terjebak dengan gejala tidak bermaruah seperti ini.


“Kita (PAS) tidak kisah sekiranya Umno Bn yang terlibat sebab ini kerja dia. Tapi, ini universiti, yang tempatnya untuk mereka yang berilmu sahaja... kalau mereka itu budak-budak tak mengapalah... ini dah tua, ilmu banyak, akademik tinggi,” jelasnya dalam nada kecewa.

Pada 3 Februari yang lalu, akhbar Daily Express melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat beberapa pegawai Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung tuntutan palsu melibatkan kontrak bernilai RM43 juta bagi kerja mekanikal dan penyelenggaraan elektrik di universiti tersebut.

Turut dilaporkan ialah, seorang ahli politik Sabah bergelar Datuk yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian yang turut terheret dengan penyelewengan ini.

Menurut Lahirul, sekiranya laporan SPRM itu benar maka ianya akan menjejaskan nama baik UMS yang sememangnya terkenal dengan kepesatan pembangunan akademik dan keindahan kawasan persekitaran.

“Jika ini benar, maka untuk apa lagi UMS berselindung. Bersihkan segera institusi ini daripada ‘tangan-tangan jahat’.

“Ini gedung akademik. Pelajar datang nak belajar dengan cemerlang, dengan kemudahan yang mereka dapat, suasana yang diperoleh... bukan mereka merasai apa yang berlaku ini. Jangan ajar pelajar-pelajar ini rasuah dan menyeleweng,” tegas Lahirul.

Tambahnya, persepsi masyarakat terhadap universiti itu akan terjejas berikutan pendedahan tersebut.

“Ada juga kemungkinan, persepsi masyarakat akan terjejas. Oleh itu, perlu sekiranya langkah tindakan pantas SPRM dan UMS dilakukan dengan segera,” katanya.

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.