Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

18 November, 2011

BPPNS: Tangkapan Aktivis Islam DI Bawah ISA

KENYATAAN MEDIA 
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SABAH
  1. Masyarakat seluruh Tawau tergempar dengan berita penangkapan 10 pendakwah dan aktivis Islam di Tawau pada hari Isnin 14. November 2011. PAS Sabah mohon supaya pihak polis mengeluarkan kenyataan  bagi menjelaskan kedudukan sebenar supaya berita ini tidak disalah tafsir dan akan menimbulkan pelbagai sangkaan buruk terhadap setiap orang yang ditangkap.
  2. Tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga / Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).
  3. Penangkapan tanpa waran, tanpa notis atau dimaklumkan dilakukan di hadapan  isteri dan anak-anak terlalu tragis. Situasi ini dilakukan oleh pihak polis yang lengkap bersenjata dengan cara yang kasar bagai satu rompakan dan dirampas beberapa komputer riba (laptop) dan sejumlah wang tunai.
  4. Baru sahaja Perdana Menteri menghebahkan dengan gahnya bahawa ISA akan dimansuhkan kini kelegaan rakyat dikejutkan dengan tangkapan ISA. Di manakah kesungguhan Perdana Menteri,? Jujurkah beliau semasa membuat kenyataan pamansuhan ISA? Kini AKTA ISA yang “draconian” (mengerikan) itu menjelma kembali.
  5. Antara yang ditangkap adalah pendakwah yang disegani di seluruh Tawau. Apakah tangkapan ini menunjukkan sikap “bengis “kerajaan (UMNO-BN) terhadap kerja-kerja Islam? Masyarakat yang sakit moral kini sangat perlukan pendakwah kenapa mereka ditangkap. Anehnya pembawa punca keruntuhan akhlak dan moral dibiar berleluasa. tanpa tindakan yang proaktif.
  6. PAS Sabah sangat dukacita dan kesal terhadap tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang akan menyebabkan porak-poranda kepada seluruh keluarga orang-orang yang ditahan dan sekali gus memberi kesan atau impak yang negatif terhadap masa hadapan  anak-anak mereka.
  7. PAS Sabah menuntut, supaya semua tahanan tersebut dibebaskan serta merta tanpa syarat.
Mohd. Aminuddin Aling
Pesuruhjaya PAS Sabah

14hb November 2011

03 October, 2011

Allah, Al-Quran Dan Cinta

Sumber: http://abumiftahblog.blogspot.com/

AL-QURAN merupakan kitab yang lengkap dan sempurna, serta meliputi segala perkara yang dapat dijadikan sebagai panduan dan peringatan bagi manusia secara umum. Akan tetapi, terdapat sebahagian umat Islam yang hanya melihatnya sebagai kitab yang membicarakan tentang hal-hal yang bersangkutan dengan keimanan, ibadah, halal-haram mahupun tentang larangan-larangan Allah s.w.t. sahaja. 

31 August, 2010

LAILATULQADAR, ANUGERAH ALLAH KEPADA MEREKA YANG DIKEHENDAKINYA

sumber: http://kasihislami.blogspot.com

Kini, sepuluh terakhir Ramadhan menjelma lagi. Hanya beberapa hari, Allah
Taala menyediakan untuk hamba-hamba-Nya segala kebaikan, ganjaran,
keampunan, kelebihan yang tidak mampu dihitung oleh kita.

a) Lailatul Qadar.

Di dalam Ramadhan yang mulia ini Allah SWT menghadiahkan kepada hamba-hamba-Nya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar.
Malam ini dinamakan dengan Lailatul Qadar, diambil daripada kalimah al-Qadar yang bererti kemuliaan atau kedudukan yang tinggi, kerana malam ini adalah malam yang sangat mulia. Ataupun diambil daripada kalimah qadar atau taqdir, kerana pada malam ini Allah SWT memutuskan urusan-Nya dan
menetapkan taqdir segala perkara.

Firman Allah yang maksudnya: {Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu para malaikat dan malaikat Jibril akan turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu penuh dengan kesejahteraan sehinggalah terbit fajar}.[Surah al-Qadar: 1-5].

Firman-Nya lagi yang maksudnya: {Sesungguhnya kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang diberkati (Lailatul Qadar) dan sesungguhnya Kami lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah}. [Ad-Dukhan: 3-6].

Sabda Rasulullah,Maksudnya: “Sesiapa yang bangun(beribadat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan Ihtisab maka baginya keampunan untuk dosa-dosa yang lepas.” [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Beberapa kelebihan tentang Lailatul Qadar yang dapat diambil dari surah al-
Qadar antaranya ialah:

• Allah menurunkan al-Quran pada malam tersebut yang mana ia memberi petunjuk kepada manusia dan memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

• Ia lebih baik daripada 1000 bulan(83 tahun 3 bulan).

• Para Malaikat akan turun ke dunia pada malamnya dengan membawa kebaikan, keberkatan dan rahmat.

• Malam ini adalah malam kesejahteraan sehingga terbitnya fajar.laitu kesejahteraan daripada neraka dan azab Tuhan bagi hamba yang menghidupkannya dengan amal ibadah.

Rugilah orang yang mensia-siakan umurnya dengan perkara-perkara yang
tidak berfaedah. Tampunglah segera kelalaian yang lalu dengan mencari
Lailatul Qadar. Sesungguhnya ia menyamai umur manusia bahkan lebih
dari itu. Apakah tempoh 83 tahun 3 bulan,sesuatu yang singkat?

Bilakah Lailatul Qadar?
• Bulan Ramadhan. Tidak syak bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan berdasarkan ayat-ayat al-Quran bahawa aI-Quran diturunkan pada Lailatul Qadar,dan diturunkan pada bulan Ramadhan. Maka semestinya ia berlaku pada bulan Ramadhan.

Dalam satu hadis, Abu Zar ra bertanya kepada Nabi SAW, maksudnya: “Wahai
Rasulullah, khabarkan padaku tentang Lailatul Qadar, adakah ia pada bulan
Ramadhan?” Jawab Baginda SAW:“Bahkan pada bulan Ramadhan”. [HR:Ahmad dan Nasa’i].

• Sepuluh terakhir Ramadhan. Lebih dikhususkan pada sepuluh terakhir Ramadhan berdasarkan banyak hadis, antaranya hadis muttafaq alaih; Maksudnya: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir daripada Ramadhan”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Aisyah radhiallahu'anha(ra)meriwayatkan bahawa Rasulullah bersungguh-sungguh pada sepuluh terakhir melebihi kesungguhannya pada masa-masa lain.

Aisyah ra juga meriwayatkan, maksudnya: “Adalah Nabi SAW pada dua
puluh malam terawal mencampurkan antara solat dan tidur. Apabila tiba
sepuluh terakhir, Baginda bersungguhsungguh,dan mengetatkan kainnya”.HR:
Ahmad].

Menghidupkan malam bukan hanya dengan solat, malahan dengan pelbagai
jenis ibadah seperti zikir, membaca al-Quran, beristighfar, berdoa dan lain-lain.

Oleh itu, apa yang dimaksudkan oleh Aisyah ra: “Aku tidak mengetahui Rasulullah pernah mendirikan malam sehingga pagi”, maksudnya Rasulullah
SAW tidak pernah solat sahaja sepanjang malam.”

Rasulullah SAW juga mengambil peluang sepuluh terakhir Ramadhan ini
dengan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Baginda mahu supaya
mereka juga tidak ketinggalan di dalam mendapat kebaikan yang disediakan Allah SWT.

• Tujuh malam terakhir.Bagi mereka yang tidak mampu menghidupkan pada permulaan sepuluh terakhir, maka boleh memulakan pada tujuh malam terakhir.

Sabda Rasulullah SAW; Maksudnya: “Carilah pada sepuluh terakhir. Jika salah seorang di kalangan kamu lemah atau tidak berupaya, maka janganlah dia tertewas pada tujuh yang berbaki lagi.” [HR: Muslim].

• Malam-malam ganjil(21,23,25,27,29).

Malam-malam ini lebih diharapkan adanya Lailatul Qadar, kerana warid
bahawa Nabi SAW menyebut malam-malam tersebut.

• Malam 27 Ramadhan. Boleh jadi malam yang sangat diharapkan ialah pada malam 27, ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ubai bin Ka'ab ra beliau berkata, yang bermaksud: “Demi Allah sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia, itulah malam yang mana Rasulullah SAW telah menyuruh kami untuk bangun beribadah,iaitu malam yang ke 27,” dan Ubai berkata lagi: “Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami bahawasanya matahari yang
akan terbit pada pagi harinya tiada sinarnya”.

Namun ramai ulama’ berpendapat malam Lailatul Qadar berpindah di antara
malam-malam witir, tetapi yang ghalib kebanyakannya pada malam 27, dan
bukanlah suatu yang tepat sekiranya kita menganggap pada malam tersebutlah
sahaja akan berlaku Lailatul Qadar.Wallahu a’lam.

Bacaan Malam Lailatul Qadar.

Aisyah ra berkata: ”Wahai Rasulullah,sekiranya aku dipertemukan dengan
malam Lailatul Qadar apakah yang harus aku ucapkan?” Rasulullah SAW bersabda; Maksudnya: “(Ucapkanlah) Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha
Pengampun lagi Pemurah dan suka mengampunkan maka ampunkanlah aku.”
[HR: Ahmad, at-Tirmizi, sahih].

09 August, 2010

Tahlil lepas solat maghrib

sumber: http://muridkyai.blogspot.com

Majlis tahlil arwah dibuat selepas solat Maghrib. Ahli jemaah surau dan masjid sering dijemput. Sememangnya ahli jemaah surau dan masjidlah yang sering diharapkan oleh keluarga yang mengadakan majlis tahlil arwah untuk hadir. Sungguhpan yang mengadakan majlis tahlil arwah itu tak pernah menjejaki kaki ke surau dan masjid. Mungkin, kalau jejak kaki ke masjid pun sekali seminggu iaitu pada hari jumuat.

Bagi sesetengah orang, mengadakan majlis tahlil arwah itu semacam sudah wajib. Lebih-lebih lagi bila tibanya bulan Sya'ban, yang dikenali sebagai bulan arwah. Kekadang dalam satu masa ahli jemaah surau dan masjid menerima beberapa jemputan untuk ke majlis tahlil arwah. Jenuhnya majlis tahlil arwah ini ketara apabila Sya'ban menjelang penghujung dan Ramadhan mula mendekat.

Persoalan tahlil arwah memang terdedah kepada pro dan kontra. Terdapat kalangan masyarakat yang membela majlis tahlil arwah dan menyifatkannya sebagai amalan yang baik dalam masyarakat. terdapat pula kalangan yang menyifatkan tahlil arwah sebagai amalan yang tidak punya dasar dalam agama malah menghukumkannya sebagai bid'ah. Golongan yang memilih pendekatan konfrontasi dengan kebiasaan tahlil arwah ini selalunya dianggap sebagai golongan wahabi.

Sama ada pro dan kontra, masing-masing bersandarkan hujah dan keyakinan masing-masing. Memang sukar mempertemukan kedua-duanya pada satu titik yang sama. Pendokong tahlil akan terus mewariskan amalan itu kepada generasi seterusnya. Penentang tahlil akan mengambil pendekatan mengikisnya. Ada yang keras membabi buta dan ada yang berhikmah.

Apa yang ingin kutulis bukan pro kontra dua pandangan ini. Biarkan masa menentukan pihak mana yang akan mendominasi pemikiran masyarakat.

Apabila dijemput ke majlis tahlil, aku hadir. Aku tidak menolak secara total. Beberapa penyimpangan memerlukan masa untuk dibetulkan. Pembetulan itu memerlukan kita hadir bersama. Jika perlu dan berpeluang, kita hendaklah menerapkan pembetulan tersebut secara perlahan-lahan agar ia mudah diterima.

Namun, jemputan ke majlis tahlil selepas solat maghrib sukar untuk aku bertasamuh dan raikan. Aku mengambil pendirian tidak akan menghadirinya sekalipun anjuran jiran atau sahabat sendiri. Selepas maghrib seharusnya kita isi dengan program kuliah-kuliah di masjid atau setidak-tidaknya menunggu masuknya waktu insya. Walhasil, kalau menghadiri majlis tahlil sesudah solat Maghrib, alamatnya terlepaslah solat insya berjemaah.

Ahli masjid tidak harus melayani jemputan tahlil arwah sebegini. Masyarakat perlu diajar agar menghargai solat berjemaah. Biar masyarakat sedar apakah nilai majlis tahlil berbanding solat berjemaah. Sesungguhnya, antara solat berjemaah dengan majlis tahlil tidak boleh dibandingkan. Solat berjemaah adalah sunnah yang pasti dan tuntutannya tinggi sekali. Sementara majlis tahlil, tidak boleh diletakkan dalam neraca sunnah pun. Sesetengah memandangnya sebagai 'hasanah' dan sesetengah menyifatkannya bid'ah. Sebaliknya, belum pernah ada ulama yang meragui sunnahnya solat berjemaah!

Apakah penganjur majlis tahlil tidak boleh bersabar sehingga selepas solat insya? Tidak malukah khalifah majlis tahlil dan tetamu-tetamu yang datang berzikir memuji Allah sedangkan saat itu azan sedang dilaungkan disurau dan masjid? Allah sedang melayani tetamunya di masjid dan surau sedangkan orang-orang yang bertahlil di rumah pula berzikir menyebut nama Allah dan meminta kepadaNya. Mungkinkah Allah akan memakbulkan permintaan mereka yang dengan sengaja tidak hadir ke majlisNYa?

Ma'assalamah...saya tidak akan menghadiri majlis tahlil selepas solat maghrib.Titik.

25 April, 2010

Bengkel Kaedah Penentuan Arah Kiblat


Bismillah...

Pada 23hb April 2010 jumaat, saya dan seorang sahabat Ust. Mohd. Salam telah mengendalikan Bengkel Kaedah Penentuan Arah Kiblat yang di adakan di Politeknik Kota Kinabalu.

Dianjurkan oleh bahagian latihan Politeknik. Seramai 40 orang peserta terdiri daripada pensyarah - pensyarah dan kakitangan Politeknik.

Asalnya program ini dianjurkan selama 2 hari yang akan membincangkan ilmu falak namun kesempatan yang ada hanya satu hari sahaja dan hanya memfokuskan tajuk kaedah penentuan arah kiblat. Sebenarnya dengan sehari memang tidak mencukupi bagi membincangkan mengenai tajuk tersebut.


Ini merupakan pusat pengajian kedua yang telah menjemput kami dalam membicarakan ilmu falak yang mana sebelum ini pihak MRSM Kota Kinabalu menjemput kami bagi membicarakan tajuk mengenai dengan cerapan malam.


Tiga slot saya telah saya bahagikan dalam bengkel ini :

Slot Pertama : jam 8.30 sehingga 10 pagi ( huraian mengenai taarif, hukum, kepentingan dan kaedah penentuan arah kiblat )


Slot Kedua : jam 10.30 sehingga 11.30 pagi ( bengkel : cara mendapatkan koordinat sesuatu lokasi dengan menggunakan bacaan peta dan google earth. Cara mendapatkan azimuth / bering kiblat dan bayang matahari harian searah kiblat menggunakan perisian khas. )


Slot Ketiga : 2.30 - 3.30 Petang ( Praktikal penetapan arah kiblat di perkarangan masjid Politeknik dan praktikal semakan masjid tersebut)


Slot Keempat : 4.00 - 4.30 petang ( Penjelasan Prosedur Pengesahan Arah Kiblat di Negeri Sabah dan kesimpulan keseluruhan bengkel ini).


Alhamdulillah, dalam bengkel ini saya rasa mudah mengendalikannya kerana ianya adalah terdiri daripada pensyarah yang ramainya daripada jurusan kejuruteraan awam yang ada kaitannya dengan pengukuran tanah secara langsung juga berkaitan dengan arah kiblat.

Maknanya penerangan dari segi peralalatan tidak perlu diperincikan hanya sekadar diperingatkan semula. Walau bagaimanapun tidak semua orang tahu bagaimana arah kiblat ditentukan dengan pelbagai cara selain daripada menggunakan peralatan (instrumen) moden ketika ini.

Oleh itu, seawalnya saya telah meletakkan sasaran bahawa selepas bengkel ini para peserta dapat menentukan arah kiblat sendiri dalam apa keadaan samaada ketika bermusafir atau bermukim. InsyaAllah saya berkeyakinan ianya tercapai kerana saya perhatikan setiap peserta memberikan perhatian dengan penuh minat dalam bengkel ini, begitu juga yang telah dinyatakan oleh Tuan Haji Fikri, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Kota Kinabalu.


Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Politeknik Kota Kinabalu kerana sudi menjemput Pejabat Mufti Negeri Sabah dalam membincangkan ilmu falak ini. Moga ianya bermanfaat dan itulah sebenarnya misi pejabat kami iaitu memsyarakatkan ilmu falak di negeri Sabah ini.


Waallahua'alam.

Agama & Politik Di Hulu Selangor


Ahamdulillah, saya telah diberika kesempatan oleh Allah taala untuk berkunjung kekawasan pilihanraya kecil P094 parlimen Hulu Selangor pada hari khamis lepas. Saya bersama sahabat saya mengambil peluang meninjau suasana pilhanraya kecil yang dilihat antara pilihanraya yang hangat di Malaysia.

Saya dan sahabat berkesempatan untuk berhenti solat Isyak di salah sebuah masjid yang agak besar terletak ditepi jalan dari Tanjung Malim ke Hulu Selangor. Selepas solat Isyak semasa hendak keluar dari masjid saya mendengar perbualan sebahagian jemaah mengatakan ada ceramah kelompok oleh Pakatan Rakyat di kawasan berdekatan. Saya dan sahabat mengambil kesempatan ini untuk mendengar isu-isu terbaru pilihanraya.

Kami mengambil tempat dikalangan penduduk kampung untuk memenuhi kawasan lapang di tempat ceramah tersebut. Sementara menunggu kehadiran penceramah mengambil tempat saya melihat seseorang memakai jubah berserban berseroangan di suatu sudut. Saya mengambil kesempatan menegurnya kerana perwatakannya yang berlainan dari hadirin yang lain.

Setelah berlangsung sesi perkenalan ringkas saya mengetahui bahawa dia adalah merupakan imam masjid yang kami solat isyak tadi. Patutlah dia memakai jubah dan berserban. Disamping mendegar ceramah saya mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengannya.

“Saya dengar cerita ramai pemimpin PR memberi kuliah maghrib dan berkhutbah di masjid dan surau hulu selangor ni. Tak ada masalah ke?” Soal saya..

“Kami orang masjid ni bersifat terbuka. Siapa datang kami akan terima semua. Tak kira pihak kerajaan atau pembangkang”

“Tapi kenapa hanya timbul cerita pembangkang saja yang menggunakan masjid untuk kempen parti”

“Memang ya pun. Sepanjang kempen piliharraya ni saya lihat Pihak PR saja yang menggunakan masjid. Mereka datang untuk solat berjemaah setiap waktu solat. Setakat ni saya tak lihat pun petugas parti kerajaan datang solat kat masjid kami ni, pihak pimpinan pun tak pernah nampak muka”

“Mungkin mereka tak mahucampur urusan agama dengan politik kot” Saya bergurau.

“Hmm.. takkan mereka sibuk berkempen sampai lupa nak mengadap Allah. Tu.. markaz besar parti Kerajaan tak jauh je dari sini.. tak tau la pulak mungkin mereka buat surau kat markas mereka tu.. Prinsip kami sesiapa pun datang tak kira pihak kerajaan atau pembangkang kami layan semua. Kami pun terttunggu juga pemimpin kerajaan singgah solat kat masjid kami ni, boleh kami bagi peluang jadi imam solat, bagi peluang mereka berdoa dan kami aminkan doa mereka. Kami pun teringin juga nak dengar tazkirah atau kuliah agama dari pemimpin kerajaan. Tapi setakat ni tak ada yang singgah. Pemimpin pembangkang boleh dikatakan setiap waktu solat ada yang singgah solat di sini. Inilah peluang kami orang kampung nak dengar kupasan agama yang menarik, setakat ini saya tak nampak sangat ada unsur-unsur politik dalam tazkirah mereka. Semuanya kearah mengingati kebesaran Allah dan bertakwa padanya” Bersemangat imam ini bercerita. Di depan sana Dr Mujahid juga bersemangat bercerita tentang peristiwa di parlimen hari ini .

Mengikut perbualan ringkas dengan beberapa penduduk setempat, saya dapati mereka semua amat gembira dengan pilihanraya ini lebih-lebih lagi berpeluang mendengar khutbah-khutbah yang amat segar dan membina semangat takwa.

“Tak pernah kami dengar khutbah yang begini.. langsung tak mengantuk.. menyentuh jiwa.. berbeza dari khutbah hari-hari biasa”

“Saya rasa kalau setiap minggu umat Islam dikhutbah dengan cara begini umat islam akan berubah”

Itulah antara suara-suara beberapa penduduk kampung sepanjang perbualan saya di beberapa masjid dan surau yang kami singgah untuk solat.

Tapi apakan daya.. bid’ah yang cukup besar masih melanda pemikiran umat Islam di Malaysia.. Agama tak boleh bercampur dengan politik.. hatta waktu kempen pilihanraya pun tak mahu mendekati masjid.. lantaran bimbang mengotori masjid dengan politik yang dikatakan bernajis.. lebih teruk lagi di samping kempen pilihanraya secara halusnya ada yang berkempen agar menjauhi masjid dan surau..

Masya Allah betapa kufurnya mereka dengan Allah..Mungkin bagi Sesetengah mereka Allah ni dipatuhi pada ketika tertentu sahaja, tidak pada masa yang lain. Atau Allah tak perlu sibuk mengambil tahu urusan manusia kerana manusia lebih tahu tentang urusan dunia!..

Semoga Allah ampunkan dosa kita semua dan di beri petunjuk ke jalan yang benar..Amin..

08 April, 2010

Fatwa Hiburan


Bismillah...


Kebanjiran industri hiburan di negara kita dan kegalakan pihak - pihak tertentu dalam menganjurkan hiburan berbagai bentuk adakalanya boleh mengancam masyarakat di negara ini.

Saya yakin sudah beberapa pihak yang telah merasai situasi dan keadaan ini yang mana mereka telah bertungkus lumus dalam membendung keadaan ini agar ianya tidak terus menerus mengancam dan merosakkan masyarakat di negara kita.

Dalam membicarakan hal hiburan ini, saya tertarik dengan sebuah buku yang bertajuk GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM yang telah diterbitkan pada cetakan pertama tahun 2007 oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Antara kandungannya:

HUKUM HIBURAN

Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian kepada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA yang bermaksud :
" Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang ansar pada hari peperangan Bu'ath. Aku berkata, kedua - dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? sedangkan pada hari ini adalah hari raya idulfitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita."

( Riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian.

Hiburan nyanyian ini adalah diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata - kata kotor, keji atau yang boleh memberansangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal.273).

FATWA HIBURAN

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke - 2 pada 12-13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:

a. Nyanyian yang seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat ( sesuatu perbuatan yang haram - Kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah ), tidak bercampur gaul antara lelaki dan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah (cubaan, gangguan, hasutan dan kekacauan - Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian al-Quran ) adalah harus ;

b. Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul antara lelaki dan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram ;

c. Pancaragam yang melalaikan ( perkataan dan sebagainya yang tidak mendatangkan hasil serta tidak memberi faedah dan manfaat - Kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah ) hukumnya haram;

d. Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah ; dan

e. Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Oleh itu, telah jelas hukumnya mengenai hiburan mana yang dibenarkan oleh Islam dan sebaliknya. Pandai - pandailah menilai untuk kesejahteraan hidup masing - masing.

Jika kenyataan dan kajian hukum ini telah dikeluarkan oleh pihak yang beraoutoriti iaitu salah satu jabatan kerajaan maka sewajarnya dan sewajibnya SEMUA ORANG yang mendokong kerajaan yang sedia ada ini menjunjung tinggi hukum yang telah ditetapkan. Jika sebaliknya.... IBARAT ANJING MENYALAK BUKIT.

Insyaallah, selepas ini saya bawakan garis panduan yang memisahkan sama ada hiburan itu boleh atau sebaliknya menurut Islam.

Waallhua'alam.

Jangan Gunakan Alasan Ilmu Untuk Gadai Hak Milik Islam


RAKYAT Sabah mungkin bersetuju sangat dengan penegasan Yang di Pertua USIA, Tun Hj. Sakaran Dandai bahawa pengetahuan dan inovasi merupakan kunci kejayaan bagi umat Islam untuk mendapatkan kembali status sebagai pihak yang memiliki peradaban yang tinggi.

Tetapi, dalam masa yang sama, suka juga saya mengemukakan soalan kepada Tun Sakaran, apa itu yang beliau maksudkan dengan peradaban yang tinggi? Apakah pada kepercayaan Tun Sakaran bahawa USIA yang dipimpin beliau sudah dikira mempunyai peradaban yang tinggi sedangkan tanah miliknya yang kini bukan sahaja menjadi Pusat Maksiat, malah mengenepikan Umat Islam.

Tanah USIA yang didirikan 1Borneo Shopping Mall telah meminggirkan peluang usahawan Islam untuk turut sama terlibat dalam kegiatan ekonomi lantaran kos sewa ruangniaganya terlalu tinggi? Bagaimana dengan pesta maksiat yang mempamerkan penyanyi dan pelakon-pelakon dari Hong Kong yang sering membuat pementasan di 1 Borneo Shopping Mall?


Mana pemimpin-pemimpin USIA yang berilmu pengetahuan dan berinovasi sehingga tidak mampu membuat 'guideline' yang mesti dipatuhi oleh pemaju 1 Borneo Shopping Mall agar segala bentuk aktiviti di Shopping Mall tersebut tidak bercanggah dengan peradaban Islam yang menjadi pegangan kita sejak lahir.

Saya juga bertanya berapa banyak keuntungan yang telah diperolehi oleh USIA daripada aktiviti ekonomi seperti penjualan hasil balak di atas tanah miliknya di Bonggaya? Berapa hasil yang diperolehi daripada aktiviti di ladang sawit miliknya? Beberapa bidang tanah komersil yang masih dimiliki USIA di Sandakan, siapa yang mendapat keuntungan hasil daripada sewa yang dibayar oleh mereka yang menyewanya? Bangsa apa yang menyewa tanah-tanah milik USIA ini?

Satu ketika saya terbaca dalam akhbar tempatan bahawa USIA sedang dalam rangka untuk menubuhkan sebuah Kolej Islam di Sabah. Kenyataan ini tersiar dalam akhbar tempatan kira-kira 3 tahun lalu.

Bolehkah USIA menjelaskan di mana kolej tersebut didirikan? Apakah USIA sedar bahawa sekolah-sekolah rendah Islam yang terdapat di seluruh Sabah masih berkeadaan dalam serba kekurangan serta daif.

Apa pula usaha proaktif USIA untuk mempastikan agar sekolah-sekolah rendah Islam ini mempunyai kelengkapan yang setanding dengan sekolah-sekolah rendah Cina serta imbuhan untuk tenaga pengajarnya berwajaran dengan kos sara hidup semasa?.

Akhir sekali, saya suka menyarankan agar para pemimpin USIA meningkatkan iltizam untuk menjadikan pertubuhan tersebut sebagai sebuah pertubuhan yang mempunyai wawasan untuk ISLAM, bekerja demi Islam, bukan untuk kepentingan pemimpin sekular yang secara jelas menolak Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang diredhai Allah.

Bekerja tanpa memikirkan berapa imbuhan dan tuntutan perjalanan yang mesti dibayar oleh USIA terlebih dahulu, kemudian barulah boleh buat kerja. Pemimpin dan pendokong pertubuhan USIA mesti bersedia untuk mempersoalkan kepincangan yang berlaku dalam USIA supaya jangan nantinya ada pemimpin yang menjadikan ilmu pengetahuan dan inovasi untuk menggadai hakmilik USIA yang juga hakmilik umat Islam!

17 March, 2010

BABAK SURAH YUSUF


Kami mengaji Surah Yusuf di Surau Taman Limauan, Kinarut. Jika diperhati, Surah Yusuf ini mempunyai beberapa babak :
1) Nabi Yusuf menceritakan mimpi anehnya kepada bapanya, Nabi Yaakub AS.
2) Konspirasi abang-abang kepada Nabi Yusuf AS kepadanya sehingga dia dibuang ke dalam telaga.
3) Nabi Yusuf dipungut oleh rombongan musafir yang lalu dan kemudian dijual kepada keluarga pembesar.
4) Percubaan Zulaikha, isteri al-Aziz untuk menggoda Nabi Yusuf AS gagal.
5) Fitnah tersebar di kalangan isteri-isteri pembesar berkenaan kelakuan Zulaikha terhadap Yusuf sehingga Zulaikha mengadakan jamuan kepada ‘datin-datin’, supaya mereka melihat sendiri ketampanan Nabi Yusuf AS.
6) Nabi Yusuf AS dihumban ke dalam penjara dan bertemu dengan 2 banduan lain yang bertanya tentang mimpi mereka.
7) Nabi Yusuf AS menafsir mimpi raja Mesir sehingga dia terkeluar daripada penjara.
8) Nabi Yusuf AS diangkat sebagai Menteri Perbendaharaan Negara dan menyelesaikan masalah ekonomi negara.
9) Suasana kemarau melanda Mesir, keluarga Nabi Yaakub terpaksa meminta bantuan kepada kerajaan. Berlaku pertemuan pertama Nabi Yusuf dengan abang-abangnya.
10) Nabi Yusuf membuat helah agar adiknya Bunyamin tertawan seterusnya melakukan perancangan untuk bertemu semula keluarganya.
11) Pertemuan bersejarah Nabi Yusuf dengan bapanya Nabi Yaakub AS dan keluarganya. Mereka kembali bersatu sebagai sebuah keluarga.
Buat masa ini, kami baru sampai di babak yang ke 7. Insya Allah akan bersambung pada 28hb Mac 2010 akan datang.

16 March, 2010

KISAH MEMELUK ISLAM

Ditampal salin dari: http://abunuha.wordpress.com

Saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang muallaf dalam satu siri ceramah dan pengajian. Sebelum ceramah santai disampaikan, kami berbual ringkas berkenaan peribadi mereka.

HIDAYAH MELALUI MIMPI

Puan Nur Izzati, 42 tahun baru setahun memeluk Islam. Dahulunya ia seorang pagan.
Perjalanan hidup daripada tidak beragama kepada seorang muslimah bermula beberapa tahun lampau, apabila dia sering bermimpi cerita aneh.

Seorang imam berpakaian lengkap jubah dan berserban putih hadir dalam mimpinya mengajar al-Quran. Dalam masa yang sama, sawah kering di kampungnya menjadi subur dengan kehadiran orang misteri berkenaan.

Mimpi itu dialaminya beberapa kali. Akhirnya dia memutuskan untuk memeluk Islam. Kesungguhannya terhadap agama Islam terserlah apabila Nur Izzati memilih kekal dalam Islam walaupun terpaksa berpisah dengan suami yang enggan bersamanya.

Walaupun demikian, hubungannya dengan semua ahli keluarganya adalah baik dan dia berdoa agar suatu hari nanti mereka semua akan bersama-samanya di dalam Islam.

***

DENGKI DENGAN ORANG ISLAM

Nur Syafiqa, 19 tahun sudah dua tahun bergelar muslimah. Seronok mendengar kisahnya memeluk Islam hanya kerana dengki.

Keluarga Syafiqa begitu terbuka. Oleh yang demikian ada kalangan ahli keluarganya yang sebelum ini beragama Kristian kemudiannya memeluk Islam.

Syafiqa suka melihat kakaknya yang terlebih dahulu memeluk Islam mengenakan tudung dan bertelekung ketika solat. Perasaan ingin tahu membuak-buak di hatinya khususnya pada bulan Ramadhan.

Orang Islam berbuka puasa beramai-ramai bersama keluarga masing-masing dan solat berjamaah begitu meriah dalam bulan itu khususnya pada waktu malam. Dia seronok melihat orang Islam gembira dengan aktiviti ibadah mereka.

Dengan perasaan ‘dengki’nya itulah dia meluahkan hasrat untuk memeluk Islam. Kepada saya, diluahkan perasaan syukur dan gembiranya dan dia berharap terus konsisten dalam agama ini dengan mengikuti kelas-kelas pengajian agama Islam.

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.