sumber: http://bayugunung.blogspot.com
Untuk mengucapkan tahniah, saya ada sedikit kerisauan. Bimbang, dengan mukaddimah sedemikian rupa, habis isi-isi penting yang saya hendak sampaikan selepas itu tidak di endahkan lagi.
Kepada aktivis mahasiswa yang hadir ke Kongres tersebut, anda sememangnya mahu dan mampu untuk bekerja demi ummat. Saya ketepikan perasaan risau, selesai kongres tersebut tidak timbul lagi soal kita tidak 'bekerja' untuk dakwah ini.
Mahasiswa atau aktivis yang hadir juga tidak perlulah pulang dengan kesan fikrah yang longgar atau celaru. Perkara ini jelas dan tidak ada perlunya ia dibincangkan disini. Tema penting program ini iaitu kita mahu lahirkan mereka yang 'bekerja'.
Sebelum itu, saya mengambil masa yang lama untuk berbincang apa juga bentuk perubahan khususnya yang melibatkan aktivisma mahasiswa. Cuba mengelak sebaik mungkin agar setiap baris lontaran tidak menyakiti sahabat yang sekian lama berkhidmat untuk parti dengan pengalaman yang tidak sedikit.
Usaha ini sebenarnya untuk mencari beberapa pencerahan kepada perbezaan pandangan yang mana jika perbezaan ini dapat diuruskan dengan baik, pasti memberikan banyak peluang kepada pakej dakwah kita sampai ke setiap tahap yang diperlukan.
Saya mengukur sejauh mana kesan masa hadapan, meninjau jauh ke dasar keperluan parti, menimbang diantara beberapa keutamaan dan beberapa pilihan yang tersedia dihadapan kita. Kerana saya akur bahawa inilah dunia perjuangan yang harus kita tempuhi. Tidak dengan hanya hitam putihnya sahaja, tetapi dengan pelbagai warna dan sudut. Marah-marah sayang pun kita tidak dapat menolak akhirnya pelbagai pula rangkaian jamaah Islam muncul dan kita tidak dapat mengelakkannya. Ia bermula dengan perbezaan fikrah.
Bagaimana kita menghadapi kepelbagaian ini? adakah dengan emosi atau bersikap rasional?
Tema saya jelas, agar setiap peluang dan pilihan yang mencetus kekuatan untuk lebih 'bekerja' perlu diberikan peluang. Ya, ada kerisauan yang perlu diambil kira namun jika dibandingkan dengan bukti yang telah ada dihadapan kita saya kira, masalah kita sebenarnya iaitu kita berhadapan dengan golongan yang tidak 'bekerja'. Turunlah ke bawah dan tanya kawan-kawan yang sudah lama bekerja. Persoalan 'mana aktivis kita' terus ditanya dari satu generasi ke satu generasi. Kalau seorang pegang sampai 5 jawatan?...kasihan aktivis fulltime parti, sebab yang ada kemampuan tidak 'bekerja' untuk membantu.
Mereka yang tidak 'bekerja' itu, ada dikalangannya lahir dari rahim usrah kita sendiri.
Lihat pula dengan penuh pertimbangan, kerosakkan yang berlaku terhadap rakyat. Adakah perlu 5 tahun lagi untuk mereka menanti perubahan. Tentu sekali tidak, kerana dengan bencana yang menimpa sekrang ini, mereka perlu berubah pada saat ini juga. Perubahan pada rakyat berlaku bila kita semua sama-sama 'bekerja'. Sebaliknya, kerosakkan dan kemunduran masyarakat ketika ini kerana ada dikalangan kita tidak mahu 'bekerja'.
Jika yang 'tulus' fikrahnya juga belum mampu menggerakkan perubahan dan pada masa yang sama kita diasak untuk memperbaiki masyarakat yang semakin kritikal, maka dengan wasilah atau jalan apakah yang kita pilih untuk meneruskan jalan perubahan? Kita bukan kader yang lemah dengan hanya pemerhati dari jauh atau menjadi tukang penembak tepat. Biar pecah kepala berfikir, mencari ruang dan peluang untuk mencetus perubahan melahirkan golongan yang 'bekerja'. Jika ada tersedia di depan mata, lalu apa yang ditunggu lagi?
Saya tidak sekadar mengeluh tetapi juga berusaha mencari kaedah untuk meletakkan hasil tarbiah kita dikampus ke setiap post penting parti. Namun cabarannya tidak semudah yang dijangkakan dan ini membuatkan saya akur bahawa disana ada kekurangan dan kelebihan yang bukan milik kita yang mesti kita hadapi.
Faham denyut nadi kerisauan sahabat-sahabat dan teman-teman tentang kesan kepada fikrah, insaf akan keperluan parti yang begitu mendesak, sedar dengan kekurangan dan kelebihan yang ada, akur dengan perbezaan pandangan yang timbul maka saya berpendirian kongres kali ini adalah pingat untuk anda lebih 'bekerja'.
Kita risau anak kecil yang masih bertiarap sudah mula berjalan. Bimbang terhantuk dinding, terperusuk masuk ke longkang. Namun anak kecil itu pada suatu masa, dinding itu sudah dipanjatnya, longkang tadi sudah di lompatinya. Akhirnya kita tidak lagi risau dengan dinding tersebut atau dengan longkang tersebut tetapi kita lebih risau benda yang lebih besar dari itu.
....kerana kita akur dengan perubahan itu, dan tidak sesekali kita hanya jadi pemerhati saja. Tentu kita sedar bahawa untuk mendepani perubahan itu, kita perlu 'bekerja'.
0 ulasan:
Post a Comment