Showing posts with label PSS. Show all posts
Showing posts with label PSS. Show all posts

29 August, 2011

Sumbangan Beras sempena Ramadhan.

 sumber: http://madi2mudamudi.blogspot.com



Alhamdulillah, sehari seusai sampai di bumi Negeri Di Bawah Bayu, Sabah, saya berkesempatan, bersama-sama sahabat-sahabat dari Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan Kelab Remaja Ukhuwah (KRU) menyampaikan sedikit sumbangan sekampit beras sekeluarga ke Kampung Sambah dan beberapa kampung sekitar Tuaran,Sabah.
Perjalanan ke kampung tersebut memakan masa lebih kurang 40 minit dengan menaiki bot dengan meredah sungai dan kawasan bakau. Pemandangan sepanjang perjalanan sangat menginsafkan dan menenangkan hati.
Banyak kenangan yang diterima, antaranya, terasa sebak melihat seorang mak cik yang tidak dapat menahan air matanya dek kunjung kami ke rumahnya dengan sedikit sumbangan yang diberi.
Walaupun penat, namun tidak terbayar dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk kampung yang sangat ramah dengan kunjungan kami. Walaupun kadang-kadang kurang faham dengan dialek mereka, yang kebanyakkan berbangsa Bajau, namun, kemesraan jelas terbina di antara kami dan penduduk kampung.
Semoga kita ketemu lagi di waktu akan datang..

















24 June, 2011

Kem Remaja Islam Sipitang 2011. Allah!!! Dekat di Hati...

sumber: http://nahnujundullah.blogspot.com

Masjid Hj Awang Hashim pekan Sipitang
Perjalanan ke Sipitang
Setelah mengadakan program di Kota Kinabalu, kali ini merantau ke daerah jauh di selatan pedalaman Sabah iaitu Sipitang. Hampir satu jam lebih perjalanan daripada Beaufort (Kalau jalan tidak sesak la). Sudah hampir setahun tidak menjejakkan kaki ke sini. Kali terakhir aku menjejakkan kaki sewaktu hendak ke Sarawak. Itu pun hanya singgah makan. Namun pada kali ini, aku akan berkelana selama 3 hari 2 malam untuk membantu adik-adik kelab remaja ukhuwah dan sahabat daripada persatuan Siswazah Sabah cawangan Sipitang.

Pemandangan matahari terbenam di Espland

Sabar dan Ikhlas
"Allah!!! Dekat Di Hati." merupakan tema pilihan Kem Remaja Islam (KRIS) cawangan Sipitang pada tahun ini. Suatu tema yang cukup menarik. Entah mengapa tema tersebut buat aku jatuh hati. Opsss... Bukan pada orang yang mencadangkan tema tersebut, tetapi terhadap tema yang dicadangkan itu. Sungguh sinonim sekali, mengambarkan yang Allah sentiasa dekat dihati. Bukan setakat solat di masjid mahupun qiam di rumah, tetapi dimana-mana sahaja kita berada. Allah sentiasa bersama kita. Apa yang penting sama ada sedar ataupun tidak bahawa Allah sentiasa dekat dengan kita. Teringat petikan kata-kata daripada buku & filem ayat-ayat Cinta, tatkala seorang lelaki tua teman sepenjaranya fahri mengingatkan fahri peristiwa nabi Yusuf a.s. "Yusuf tahu Allah sentiasa berbicara kepadanya. Kau (fahri) mau tau apa yang di katakan Yusuf?"

Kata Yusuf,
"Ya Allah, jika memang kehidupan penjara lebih bererti bagiku berbanding dunia luar maka aku lebih memilih kehidupan dipenjara tetapi lebih dekat denganMu berbanding hidup dengan manusia penipu."

"Allah sedang berbicara denganmu tentang sabar dan ikhlas." Sambung lelaki tua itu kepada Fahri. Sabar dan ikhlas, dua perkataan yang berlainan makna. Kedua-dua perkataan ini merupakan perkataan yang berbentuk abstrak kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar seorang manusia. Walau bagaimanapun, kedua-du makna ini bermula daripada hati. Ikhlas daripada hati dan sabar juga daripada hati. Kedua-dua perkataan ini saling berkaitan di anttara satu sama lain. Tanpa perasaan ikhlas sudah tentu Nabi Yusuf akan mudah untuk hilang sabar, tunduk kepada hawa nafsu, tergoda terhadap seorang wanita, dan mungkin juga akan terjerumus ke dalam lembah zina. Namun berkat keikhlasan terhadap penciptanya telah mengukuhkan perasaan sabarnya terhadap godaan dunia kerana dia yakin bahawa Allah jugalah tempat beliau meminta pertolongan sungguhpun sanggup memilih untuk dipenjara.

Pondok perhentian tempat kami qailullah
Nilai sebuah program.
Masjid Hj Awang Hashim. Itulah tempat untuk kami bertandang. Sampai sahaja di tempat program, kami dijemput oleh beberapa adik-adik KRU dan juga sahabat PSS. Nampak keletihan diwajah mereka. Terima Kasih kami ucapkan. Namun seperti biasa la apabila program sebegini rupa, perkara pertama yang saya setkan di dalam minda ialah tidak mengharapkan layanan yang istimewa. Walaupun kami hanya datang sebagai status "tetamu" sekalipun. Bagi kami cukup sekadar menerima kami untuk bersama-sama menjayakan program tersebut, itupun sudah cukup memadai.

Barisan Ajk Pelaksana

Hari kedua menjelang. Baru aku tahu bahawa peserta hanya sekitar hampir 60 orang.Itupun aku tahu setelah bersembang dengan beberapa orang ajk KRIS untuk mendapatkan kepastian. Tidak seperti KRIS yang aku hadiri sebelum-sebelum ini, selalunya mencapai sehingga 100-300 orang seperti di Kota Kinabalu mahupun di daerah lainnya. Tapi di Sipitang sekadar 60 orang sahaja. Itupun nisbah muslimin adalah lebih banyak daripada muslimat.Bagi aku mungkin jumlah tersebut adalah rileven bagi komuniti sebuah pekan pedalaman luar bandar jika dibandingkan dengan komuniti di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu. Namun, aku tidak peduli terhadap bilangan peserta, bagiku itu bukan nilai gambaran yang menunjukkan bahawa program KRIS tidak berjaya. Namun apa yang lebih penting adalah objektif KRIS iaitu untuk membina pendokong gerakan Islam yang akan menyambung rantai perjuangan di daerah Sipitang ini. Mungkin ada baiknya untuk mengawal bilangan peserta yang sedikit. InsyaAllah kuantiti yang sedikit mampu untuk membina peserta yang lebih berkualiti. Itu yang lebih penting.


Barisan peserta KRIS

Espland sebuah persinggahan.
Jam menunjukkan 11.30 pagi. Perut pun mula berbunyi.

"Zul, jom keluar makan, lapar pulak, pagi tadi kita tak sempat sarapan". Berkataku kepada seorang teman. "Bah, jom lah kita keluar jalan-jalan. Kita pergi Espland." Jawabnya. "Espland tu di mana?" Tanyaku lagi. "Alah, taman kat tepi pantai." Balasnya lagi.
"Tak kisah la, yang penting kita pergi makan". Sambil memegang perut yang sedang berbunyi..

Seperti kebiasaan bila da habis makan aku akan duduk sekejap. Biasa la perut perlukan pencernaan juga. Namun, sebelum kami balik tiba-tiba ada pula si kawan sorang ni nak singgah di pondok persinggahan. "Bang jom pergi pondok tu seronok pulak tengok orang manancing." Katanya. "Bah, jom la. Alang-alang dah lalu apa salahnya kita singgah." Jawabku pula.

Cuaca yang cerah dan angin yang sepoi-sepoi serta pemandangan laut yang luas terbentang membuatkan hatiku sangat tenang. Sempat jugak kami semua qailullah seketika. Wajar sekali ramai penduduk datang ke sini untuk memancing mahupun beristirehat. Kemudahan yang ada di sini pun cukup lengkap dengan tandas, tempat berjogging dan padang untuk bersukan.

Bagiku melancong sambil berdakwah tidak akan lari dari hidupku. Namun matlamat yang utama adalah mardhatillah. Dan semestinya aku meletakkan dakwah yang utama. Cuma melancong itu hanya aktiviti sampingan. Maklumlah hidup hanya sekali. Belum tentu dapt datang lagi. Sebab tu aku lebih suka menghargai aktiviti yang ada. Bak kata pribahasa "sambil menyelam minum air". Namun tugas tidak di lupa dan pastinya mengngati matlamat yang utama. Walaupun di mana sahaja berada. Apa yang penting mencari MARDHATILLAH. "Dah masuk asar, jom kita balik. Takut dorang yang lain cari kita pula." Kataku sambil melihat jam di tangan. "Sebelum matahari terbenam kita datang ke sini lagi, pasti sangat cantik." Sambungku lagi. Namun kawanku hanya menganguk sahaja lalu kami pun terus jalan menaiki kereta meninggalkan makcik-makcik yang memancing di pondok itu...

Peserta KRIS dengan gaya lain.
p/s sebelum aku berundur mudah-mudahan kata-kata ini memberi motivasi untuk para pembaca


Tentang Waktu

Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.
Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Allah.
Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah musik yang menggetarkan hati.
Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.
Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga.


Anak kepada rakan seusrah dan senaqib semasa aku sekolah menengah dahulu Abg Karim Abd Rahim
Firman Allah,

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَتَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan ni'mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena ni'mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk."

Di bawah saya sediakan pautan berkenaan program dan aktiviti serta maklumat KRU dan PSS Cawangan Sipitang.

Gambar aktiviti KRIS Sipitang

Blog KRU & PSS Sipitang
http://krucawangansipitang.blogspot.com/




Review video Kem Remaja Islam Sipitnag 2011

11 May, 2011

USUKAN pun boleh bah!!

sumber: http://yuyushira.blogspot.com


USUKAN PUN BOLEH BAH!!

Pada 6-8 Mei 2011, Persatuan Siswazah Sabah(PSS) telah dijemput untuk menguruskan Program Motivasi khas buat pelajar-pelajar tingkatan 6 yang berlokasi di SMK Usukan Kota Belud. Seramai 11 orang yang terdiri daripada ahli PSS dan dibantu oleh ahli Kelab Remaja Ukhuwwah(KRU) telah menyumbang tenaga menjayakan program bagi mencapai objektif dan memenuhi harapan guru-guru. sekitar 40 orang peserta telah menginap di asrama SMK Usukan bagi mengikuti program 3 hari 2 malam ini secara penuh. Program telah berlangsung di sekitar sekolah, berdekatan pantai dan Dewan Asrama Al-Firdaus yang menjadi kawasan utama pengumpulan peserta.

Pelbagai modul dan aktiviti diadakan bagi meningkatkan motivasi peserta serta berfikir secara kritis dan melahirkan generasi yang membudayakan ilmu. Aktiviti merangkumi kuliah dasar, latihan dalam kumpulan, pembentangan, diskusi dan sumbangsaran sebagai medium pembuka minda serta mengizinkan pertukaran idea berlaku. Turut dikedepankan beberapa slot perkongsian hidup bagi menyelami latar belakang sahabat dan diri sendiri. Ini bertujuan memupuk kesedaran dalam diri peserta untuk berinisiatif mengubah masa hadapan kepada kehidupan yang lebih cerah.





Dalam menyuntik motivasi, tidak lari dari mendidik jiwa-jiwa muda Usukan untuk kembali teguh mengamalkan cara hidup berpandukan al-quran dan as-sunnah. Pengisian rohani turut tidak tertinggal sebagai penerang kepada hati-hati generasi ini. Sepanjang program berlangsung qiamullail, solat berjemaah dan kuliah-kuliah ringkas turut menjadi agen pembentuk peribadi.




Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Setiap bait lirik dihayati. Lagu tema yang menjadi pemangkin motivasi kepada para peserta untuk mencapai kejayaan. Masing-masing melontarkan harapan untuk mengenggam segulung ijazah kelak selepas membuktikan kecemerlangan dalam STPM pada tahun 2011. Semoga para pelajar ini akan berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam setiap perkara yang diceburi dan turut menyerlah di arena membangunkan masyarakat.

Checkpoint 'Tangki'

Checkpoint 'Darurat'

Checkpoint 'Tiru-Teka'

Checkpoint 'si Buta'

Checkpoint akhir - keindahan alam

semangat melangkah dengan kaki bertaut

Ponsikow Togumu!

Terima kasih di atas pihak sekolah yang memberi kepercayaan penuh kepada PSS untuk menguruskan perincian perjalanan program sepenuhnya. Juga buat para peserta di atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dan kejutan hadiah buat para fasilitator. Selamat menginjakkan kaki ke menara gading!

Lebih banyak gambar menyusul kemudian.
Kebanyakkan gambar, creadit to: TOIB Photography - Azizul Julirin

27 April, 2011

Qiamullail April KRUKK + Mesyuarat Agung Kali Ke-4

sumber: http://yuyushira.blogspot.com



Setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, dengan izinNya Kelab Remaja Ukhuwwah cawangan Kota Kinabalu dapat mengadakan qiamullail bulanan sekali lagi pada 23-24 April 2011. Alhamdulillah program yang berlokasi di Masjid Universiti Malaysia Sabah berjalan dengan lancar. Kehadiran pada kali ini agak memberangsangkan dengan seramai 122 orang peserta dari sekolah sekitar Kota Kinabalu.

Selain pengisian qiamullail yang menjadi tunjang program, Mesyuarat Agung KRUKK Kali Ke-4 turut menjadi agenda utama. Majlis telah dirasmikan oleh penasihat Persatuan Siswazah Sabah iaitu Sdra. Firdaus Fuad. Pimpinan sesi 2010/2011 telah meletakkan jawatan dengan selamat dan digantikan dengan pimpinan sesi yang seterusnya. Berikut adalah organisasi pimpinan KRUKK sesi 2011/2012;

Pengerusi: Azmeer Zainuddin
Timb. Pengerusi: Hafizatul Bazla Mohd Dahali
Setiausaha: Hashemi Hashim
Timb. Setiausaha: Satriani Burhan
Bendahari: Fariz Amirul Mohd Fauzi
Timb. Bendahari: Siti Hasmaliza

Ahli Lajnah:

Lajnah Tarbiyyah dan Dakwah
1. Muhammad Soffiq Saripin
2. Azree bin Munir
3. Nur Radiah
4. Sri Mulyati

Lajnah Kepimpinan dan Organisasi (LKO)
1. Nazree bin Munir
2. Mohd Fauzan bin Dahlan
3. Sarimah Massa
4. Fashella Vun@Faizah

Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan (LEK)
1. Mohd Arafat bin Uyong
2. Radzwan Syafique bin Ramlee
3. Nuraina Nabilah
4. Nur Masturah

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK)
1. Nik Mohd Akib
2. Azrin bin Adam
3. Nur Ain Sakinah
4. Nur Hikmah bin Sulaiman

Lajnah Penerbitan dan Informasi (LPI)
1. Mohd Soffian At-Thauri
2. Mohd Syahmi bin Osman
3. Zareena Jumat
4. Nur Hijrah


Buat ahli jawatankuasa yang baru, selamat menjalankan tugas baru yang diterima.
Salam 1 perjuangan.

11 April, 2011

Kem Remaja Islam Tuaran pembuka tirai.

sumber: http://yuyushira.blogspot.com

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT dapat juga menginjakkan diri ke Kem Remaja Islam(KRIS) yang diadakan di kawasan Tuaran semalam. Hampir saja tidak dapat ke sana atas kepadatan jadual di hujung minggu. Mujur Allah permudahkan urusan serta masih menetapkan keazaman dihati untuk turun menyumbang segala yang termampu.

Niat asal hendak membantu sepenuhnya di KRIS semua kawasan pada tahun ni tapi sungguh perancangan Allah itu adalah yang the best. Tidak ada manusia yang diciptakan punya kuasa Kage Bunshin No Jutsu seperti Naruto. Jika ada, pasti tanggungjawabnya juga akan sama berganda. Lebih pening kepala.

Tahniah kepada PSS dan KRU kawasan Tuaran yang telah berjaya melaksanakan program tahunan PSS. Sekaligus menjadi KRIS pembuka tirai untuk tahun 2011 pada 08-10 April. Penyertaan amat memberangsangkan dan saya yakin ianya turut mencapai kuota yang ditetapkan. 7 buah sekolah di sekitar Tuaran telah menghantar wakil dan menjadikan jumlah penyertaan mencecah seramai 100 lebih. Mabruk!

Slot malam yang dihidupkan dengan suasana detik kematian mengambil masa sejam lebih. Semestinya di setiap pengisian yang hendak disampaikan, penyampai terutama perlu menyerapkan sedalam-dalamnya nilai penghayatan kepada diri terlebih dahulu. Bila penyampaian melalui hati insya-Allah dipermudahkan untuk sampai kepada hati-hati yang lain. Sungguhpun hanya bertugas di belakang tabir. Mari ke arah bertugas dengan ikhlas, jangan kerana tugas.

Memandangkan esoknya di awal pagi saya perlu mengikuti kursus guru PASTI, usai slot, di lewat jam 11 malam itu tekad juga untuk pulang ke rumah dengan mengekori sifu dari belakang. Harap perkara ini saya tidak perlu ulangi untuk jaminan keselamatan pada masa akan datang. Muhasabah kembali.

Apapun tahniah Tuaran atas pelaksanaan kerja yang sentiasa ke hadapan! :) Mari menantikan program KRIS di kawasan seterusnya, antara yang pasti Kota Belud - 06-08 Mei 2011 dan Kota Kinabalu - 03-05 Jun 2011.

21 February, 2011

KRU Mengucapkan Salam Perjuangan Buat Saudara Arif

SUMBER: Kelab Remaja Ukhuwwah


Tinggi-tinggi gunung Kinabalu,
Tinggi lagi sayang Sabah pada kamu,
Pemergianmu mengundang seribu rasa pilu,
Ada waktu, harap masih boleh bertemu.


Sunnatullah bila ada pertemuan pasti perlu mengharungi detik perpisahan. Tiada apa yang kekal melainkan Allah SWT yang mencipta seluruh alam.


Pada 19 Februari 2011, sebutir permata lagi telah kembali berlepas ke kampung halaman setelah sekian lama bertapak di bumi subur Sabah. Saudara Arif Ainuddin telah selamat berlepas semalam sekitar jam7.35 malam di Airport Air Asia Kota Kinabalu, Sabah diiringi beberapa orang sahabat taulan yang sentiasa menjadi peneman di saat suka dan duka.


Riangnya pasti dicari-cari, semangat juangnya pasti akan dirindui bukan saja dalam kalangan sahabat-sahabat seperjuangan tapi juga di dalam hati-hati penduduk Sabah khususnya adik-adik KRU yang pernah menerima sentuhan rohani dari beliau. Melalui kepetahan beliau dalam berbicara dan ayat yang berisi unsur ketuhanan sudah cukup memotivasikan sejumlah remaja Sabah untuk kembali menjalani hidup bersama Allah.


Perginya seorang senior PSS yang kerap memberikan dorongan dan bimbingan kepada adik-adik KRU sudah pasti mengundang seribu kepiluan di hati adik-adik yang telah lama bersama di medan dakwah. Apatah lagi pada sahabat-sahabat seperjuangan hinggakan air mata belum tentu dapat menzahirkan apa yang terbuku di dalam hati. Semoga Allah sentiasa menyatukan hati-hati para pejuang ini sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Sungguh, hanya Allah yang mampu membalas jasa baik, perkongsian idea dan pengorbanan dari pelbagai segi beliau sepanjang bermastautin di Sabah. Semoga dengan sekembalinya pejuang ini mampu membangkitkan semangat juang lebih ramai anak-anak Sabah dalam menegakkan Islam. Perjuangan tetap perlu diteruskan!

Adik-adik Kelab Remaja Ukhuwwah mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian saudara Arif Ainuddin dalam segenap tunjuk ajar dan segala motivasi yang diberikan. Semoga Allah sentiasa memurahkan rezeki dan memberikan kebaikan kepada abang Arif dunia dan akhirat. Amiin~


Patah tidak akan tumbuh lagi, hilang belum tentu dapat dicari ganti, kerana sifatmu yang tersendiri. Namun, nilai inspirasimu tetap di hati kami dalam mencapai cita-cita yang tertinggi. Salam perjuangan dari kami anak-anak jati Sabah. Semoga Allah masih pertemukan kita semua tidak di dunia, di akhirat Insya-Allah. Ma'assalamah.

Sirru a'la barakatillah wa mardhatillah.

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu

Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..

30 December, 2010

Cemerlang Hidup, Semasa atau Sesudah Mati?

sumber: http://yuyushira.blogspot.com

"Ini salah kamu yang tak pandai asuh anak"

"Keputusan macam ni ikut kepala kamu la tu, anak dah terikut-ikut."

"Teruk betul keputusan kamu ni. Slip ni laku di tong sampah ja."

"Menyusahkan orang tua bagi makan."
Sejak keputusan PMR diumumkan beberapa hari yang lepas, terdapat adik usrah serta beberapa kenalan yang menghantar mesej berkongsi perasaan. Pada yang bersuka-suka, jangan terus terleka. Buat yang berduka, jangan pula terus mengalah. Terkilan mendengar luahan seorang pelajar yang bertimpa-timpa dilanda kekecewaan. Belum padam kesedihan dengan keputusan PMR, ditambah lagi dengan lontaran sindiran dari si ibu dan si ayah. Malah saling menyalahi sesama sendiri, juga memarahi anak dengan keputusan yang kurang memuaskan.

Saya bukanlah pakar psikologi juga bukan pakar kaunseling ibu bapa. Sekadar meluahkan pandangan yang juga mungkin atas dasar simpati. Antara saudara-saudari pasti ada yang masih mengingati kes 20 November 2007, kejadian di mana seorang pelajar India telah membunuh diri akibat keputusan UPSR. Mengapa ada yang terfikir untuk mati?? Puncanya? Kurang sokongan moral daripada ibu bapa mungkin boleh menjadi salah satu faktor menekan pelajar bertindak di luar batasan.

Dunia hari ini menyaksikan terdapat segelintir ibubapa yang meletakkan A sebagai pengukur tahap kepandaian dan kecemerlangan anak. Jadi anak boleh dibangga-bangga dengan jiran tetangga. Tidak ibubapa, pasti wujud juga manusia lain yang bermentaliti sebegini. Gemar melontarkan soalan "Berapa A?"

Ada apa pada A? Untuk memudahkan masuk universiti? Berjaya ke menara gading, lulus dengan cemerlang, berjawatan GM dan....harap matlamatnya tidak mati di situ.
Hakikatnya, kebanggaan cemerlangnya akademik itu hanya mampu diraikan di dunia jika tidak bertepatan dengan matlamat. Kenapa tidak lebih berbangga dengan kejayaan anak-anak yang bijak menjaga aurat dan pergaulan, mampu menjaga solat 5 waktu bahkan beradab dengan orang yang lebih tua. Kerana hanya anak yang soleh mampu memberikan pulangan saham yang lumayan di alam yang akan datang. Sungguh walau berpangkat doktor, berjawatan tinggi belum tentu dapat menyelamatkan ibubapa dari seksaan kubur dan neraka sekiranya ketiadaan iman dan amal dalam diri.

Hakikatnya, sesiapa saja pasti menginginkan keputusan yang cemerlang dalam akademik. Justeru, adalah lebih molek jika kecemerlangan yang dilakar biar selari dengan sahsiah dan peribadi diri. Jika keinginan tidak dimakbulkan, jangan sesekali menyalahkan ketentuan Allah, pasti pelangi akan menjelma di sebalik hujan. Sebaiknya, bersabar dan bersangka baik terhadap perancanganNya. Sebagai makhluk ciptaan, selayaknya kita hanya perlu pasrah dan terus mengharap rahmat Allah di samping tidak berputus asa dalam menghadapi segala kesusahan yang menimpa.

Allah berfirman:
"Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan sebarang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu"
(Surah Ath Thalaq ayat 3)

** Tahniah buat sahabat, adik-adik serta sepupu sepapat yang mendapat result cemerlangdalam PMR. Semoga kejayaan tersebut menjadikan diri kalian lebih tunduk dan patuh kepada sang pencipta. Jadilah ibarat resmi padi, semakin berisi semakin tunduk :)

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.