Showing posts with label Jelajah Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Jelajah Dakwah. Show all posts

15 April, 2012

PEKAN TELUPID

Telupid merupakan pekan kecil yang berada di bawah pentadbiran daerah Beluran. Pengguna jalanraya dari Kota Kinabalu ke Sandakan akan melalui pekan ini yang terletak di tengah-tengah perjalanan antara Ranau dan Sandakan. Menurut catatan wikipedia, Pekan Telupid dianggarkan 98 km dari pekan Ranau, 100 km dari pekan Beluran, dan 130 km dari bandar Sandakan.
Setiap sabtu akan diadakan pasar tamu di satu perkarangan yang luas di pekan ini, tidak jauh dari masjid daerah yang baru. Hanya dalam persinggahan kami melihat kawasan pasar tamu ini tidak dijaga sepenuhnya. Alangkah baik jika kawasannya diturap, paling tidak dengan simen untuk kemudahan rakyat juga. Begitu juga gerai-gerai mereka patut dibantu untuk dibinakan gerai yang lebih baik atau seragam.
Kami meronda-ronda sebentar di kawasan pekan memandangkan seorang rakan musafir kami ini adalah anak kelahiran Telupid yang kemudian berhijrah ke Semenanjung dan kemudian kembali ke Kota Kinabalu pula. Bagi kami, Telupid berpotensi dikembang dan dimajukan apatah lagi ia menjadi laluan penting pengguna jalanraya termasuk menjadi lokasi persinggahan bas-bas ekspress dari Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

11 August, 2011

ZIARAH WARGA KAMPUNG KIPORING

sumber: http://pustakaalghazali.wordpress.com/
Bersama dengan sahabat saya Ustaz Akob Baba bertolak dari Keningau ke Tambunan seusai solat Asar.
Kali ini untuk melawat Kampung Kiporing yang terletak sejauh 40km dari Pekan Tambunan. Untuk sampai ke kampung ini perlu melalui Kampung Pahu, Persimpangan Kampung Kumawanan dan Kampung Garas.
Memang menjadi rutin, setiap kali bulan ramadhan USIA Bahagian Tambunan akan melawat kampung khususnya cawangan USIA Tambunan untuk melihat sendiri permasalahan yang dihadapi komuniti muslimin.
Kehadiran kali ini juga disertai oleh sahabat ajk lain seperti Ustaz Azmi Haji Sidik, Ustaz Suhaidi, Cikgu Roslin dan Kak Nursuhana (banyak memberi semangat utk memasyarakatkan diri).
Seusai berbuka puasa dan solat maghrib, ustaz Akob memberi sedikit tazkirah yang berkisar mengenai perlunya kehidupan beragama dan perlunya ruh islami dihidupkan dalam diri setiap muslim.
Pada saya yang diberi sedikit ruang, menekankan bahawa Pertubuhan USIA adalah suatu entiti bukan badan kerajaan yang berjuang untuk memaklumkan pada pihak berwajib apa jua yang dihadapi masyarakat islam.
Pertemuan yang serba ringkas itu banyak memberi  manfaat, sekurang-kurangnya permasalahan yang dihadapi komuniti ini mampu di suarakan di pihak atasan.
Nota: Jalanraya yang menghubungkan kampung Kumawanan, Garas, Nukakatan, Kiporing, Libang dan beberapa kampung lain amat dahagakan pembinaan jalanraya yang selesa.
 

03 May, 2011

Ekspedisi Dakwah "Kembara Ilmu" Di Perkampungan Muallaf

sumber: http://mujahideen-islam.blogspot.com



Salam alayk'. Perjalanan berkampung selama dua hari iaitu pada 30hb April hingga 1 Mei 2011 di Kampung Senah Rayang, Padawan Sarawak memberikan seribu makna buat penulis. Program Ekspedisi Dakwah yang dinamakan "Kembara Ilmu" ini dianjurkan dengan oleh organisasi penulis dengan kerjasama daripada Darussyifa', Jabatan Kesihatan Negeri, Urusetia Saudara Kita (USK) dan juga JAKIM Cawangan Sarawak.


Tidak dinafikan dua tarikh program untuk ekspedisi ini menyebabkan penulis tidak dapat memberikan komitmen pada dua program yang lain kerana berlaku pertembungan. Sebelum itu, penulis meminta maaf kepada sahabat-sahabat kerana tidak dapat menghadirkan diri ke mesyuarat agung (muktamar) yang merupakan medan muhasabah khususnya untuk para-para penggerak dakwah di bumi kenyalang yang dijadualkan diadakan di Sibu dan juga kepada sahabat mahasiswa daripada UNIMAS yang telah menjemput penulis untuk memberi pengisian di dalam program yang dijalankan, namun permintaan itu tidak dapat penulis penuhi.


Jalan Masuk Kampung & Anak Angkat






Perjalanan masuk ke kampung Senah Rayang daripada jalan utama sangat 'mencabar'. Jalan yang rosak dan tidak diperbaiki menyebabkan penulis berasa semacam berada di dalam roller-coaster biarpun menggunakan kenderaan 'pick-up' Ford Ranger. Sedang dalam perjalanan, penulis mendengus di dalam hati, "Siapalah pemimpin masyarakat di daerah ini??"




Selesai slot pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh dua pihak iaitu Jabatan Kesihatan Negeri (perubatan moden) dan Darussyifa' (perubatan alternatif). Slot "Pembahagian Anak Angkat" bermula dengan melibatkan penduduk keluarga Kg. Senah Rayang yang majoritinya berbangsa Bidayuh Islam. Penulis yang mendapat "mak angkat" iaitu Puan Rohani dan tiga orang adik angkat iaitu Akhmal (Mai), Haikal dan Azri. Alhamdulillah, mereka sungguh mesra terutama gelagat Azri yang sentiasa tidak lepas dari memegang tangan penulis dan seringkali mengajar penulis berbahasa Bidayuh.


Forum Bicara Ummah: "Akhlak Islamiyyah"


Pada sebelah petang hari yang pertama pula diadakan program riadhah bersama penduduk kampung iaitu dengan acara-acara menarik seperti perlawanan bola sepak (lelaki/bapa/belia), mengupas kulit epal (wanita/ibu) dan sukaneka (kanak-kanak), pada sebelah malamnya pula diadakan "Forum Bicara Ummah" dengan tajuknya "Akhlak Islamiyyah".


Dengan taklifan penulis yang menjadi moderator forum dan dibarisi oleh tiga orang ahli panel iaitu Ustaz Kariah Bin Abd Rahman (Pen. Pengarah Bahagian Dakwah, JAKIM Sarawak yang juga lulusan Ijazah Sarjana Dakwah & Kepimpinan dari UKM), Ustaz Mohd Syahnan Bin Mohd Zain (Pensyarah Politeknik Kuching dengan kelulusan Ijazah Sarjana Pendidikan Islam dari UTM Skudai) dan Ustazah Zainab Binti Mohd Ahmad (Pensyarah Politeknik Kuching lulusan Ijazah Sarjana Syariah Islamiyyah (Jinayah & Siasah) dari Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara). Dengan kemantapan tiga orang ahli panel ini, slot forum pada malam itu berjalan dengan lancar dan proses perkongsian ilmu menjadi lebih mudah ditambah dengan senda gurau yang menjadi daya tarikan ahli panel.


Air terjun Kg. Senah Rayang

Pada hari terakhir, ceramah motivasi dilakukan di dua tempat pada masa yang sama iaitu Seminar Keibubapaan (ibu/bapa) di Surau dan Motivasi Pelajar (belia/kanak-kanak) di Dewan Serbaguna Kg. Senah Rayang. Majlis perasmian penutupan program ini diadakan pada jam 11.30 tengahari juga di dewan serbaguna kampung tersebut.


p/s: Penulis insyaALlah akan 'upload'kan keseluruhan gambar pada entri yang seterusnya. Waterfall Kg. Senah Rayang, tidak akan kulupakan!

27 September, 2010

Kiblat di Tambunan

sumber: http://albelurani.blogspot.com

Bismillah...

Bermulalah musafir saya ke beberapa daerah bagi gerak kerja menentukan arah kiblat. Jadual telah disusun dan memulakan langkah pada 23hb September 2010 (Rabu) ke daerah tambunan bagi menentusahkan 2 buah lokasi iaitu :

1. Hospital Daerah Tambunan :

Hospital daerah ini terletak sebelum pekan Tambunan jika melalui jalan gunung emas. Bangunannya tidaklah terlalu besar dan saya beranggapan ianya lebih kurang seperti Hospital daerah Beluran.

Hospital ini adalah hospital pertama yang memohon untuk ditentukan kiblat setelah pihak pejabat kami menerima surat daripada Kementerian Kesihatan bahawa semua hospital - hospital di negeri Sabah ditentukan kiblat.

Saya telah disambut oleh beberapa orang staf hospital tersebut. Segala keperluan sepertimana yang telah saya maklumkan telah tersedia.

Pemerhatian awal apabila saya sampai ke lokasi hospital ini adalah kedudukan orentasi bangunan hospital kerana ini juga salah satu faktor bagi saya untuk menentukan kaedah yang sesuai dalam penentuan kiblat.

Alhamdulillah, kedudukan orentasi bangunan adalah selari dan sama. Kaedah yang saya gunakan iaitu dengan menggunakan kedudukan azimuth matahari atau lebih dikenali sebagai kedudukan terbitnya matahari.

Perhitungan telah dibuat dan alat penanda telah diukur untuk digunakan bagi menandakan arah kiblat agar stiker kiblat dapat dilekat dengan tepat berdasarkan bering arah kiblat.

Hampir keseluruhan bangunan hospital tersebut ditentukan kiblatnya seperti surau, wad lelaki dan perempuan, bilik makmal, kaunter ubat, wad hemodylysis, ruang menunggu dan sebagainya dan secara keseluruhannya adalah sebanyak 26 tempat di hospital tersebut.

Mungkin ada yang tertanya kenapa wad atau ruang menunggu pun ditentukan kiblatnya. Ini adalah permintaan mereka dan ada baiknya kerana sekurang - kurang tertegak juga syiar di hospital tersebut.


Terima kasih kepada staf yang memberikan kerjasama dan layanan yang baik kepada kami.

2. Mosalla Al-Taqwa, Puncak Damai :

Lokasinya terletak di gunung Emas iaitu perjalanan antara daerah Penampang dan Tambunan. Mosalla tersebut bersebelahan dengan Restoran Azam tetapi restoran tersebut telah ditutup dan akan diambil alih oleh orang lain.

Mosalla tersebut adalah tempat persinggahan untuk menunaikan solat bagi mereka yang melalui jalan Kota Kinabalu ke Tambunan. Saya pernah solat sebelum ini yang mana mosalla ini masih lagi bangunan kayu berbanding sekarang yang telah berkonkrit sepenunhya dan cantik.

Permohonan kami terima daripada pengurusan Restoran Azam, Puncak Damai iaitu sahabat saya al-Fadhil Ust. Ahadin. Walaupun restoran tersebut telah ditutup namun beliau dan beberapa orang lagi adalah pemegang amanah kewujudan mosalla tersebut.

Kiblat Mosalla tersebut telah ditentukan kiblatnya dan penanda atau stiker kiblat telah dipasang di atas syiling Mosalla ini. Jika anda singgah ke Mosalla ini dan mendapati tanda arah kiblat ada di atas lantai maknanya tanda tersebut adalah salah dan anda kena ikut arah seperti yang telah ditanda dan dilekatkan di syiling Mosalla tersebut.




Alhamdulillah, musafir saya ke Tambunan untuk kerja - kerja penentuan arah kiblat berjalan lancar dan musafir berikutnya adalah ke daerah Sipitang.


06 May, 2010

Maahad Tahfiz Sabah

Sumber: http://albelurani.blogspot.com

Bismillah...

 
Nazri... YDP Persatuan Pelajar (PERMATA)... bukan Permata Hijrah ye..

04 Mei 2010 ( selasa ), saya telah dijemput berceramah di Maahad Tahfiz Sabah yang terletak di kawasan kepayan. Bangunan Maahad Tahfiz Sabah berjiran dengan menara kawalan penerbangan dan berhampiran dengan landasan Airport Antarabangsa Kota Kinabalu.

Sudah sekian lama saya menaruh harapan semoga saya sampai dilokasi ini ingin melihat suasana seperti yang pernah saya alami walaupun berlainan tempat.


Minggu ini adalah minggu orentasi bagi pelajar - pelajar yang baru masuk dan bagi pelajar lama pula akan mendaftar pada hari jumaat untuk masuk semester baru.

Saya dimaklumkan bahawa keseluruhan pelajar di Maahad hanya sekitar 20 orang lebih. Paling sanior adalah semester 5. Pelajar baru yang baru masuk pula hanya 7 orang di mana 4 perempuan dan 3 lelaki.

" PENGURUSAN MASA ", itulah tajuk yang telah diamanahkan kepada saya untuk disampaikan kepada pelajar - pelajar baru dan lama di sana.

Ustazah Dg. Masnih salah seorang pensyarah di sana yang telah menjemput saya dan telah berpesan tajuk tersebut disesuaikan dengan pengalaman yang ada semasa menuntut di bidang tahfiz.

Muqaddimahnya diterangkan berkaitan dengan hidayah dan ilmu Allah SWT yang akan jatuh kepada beberapa jenis hati - hati manusia. Kemudian huraian beberapa surah yang berkaitan dengan masa seperti surah as-syams, al-lail dan ad-dhuha. Diselitkan dengan beberapa teknik pengurusan masa bagi seorang hafiz dan hafizah yang mesti mengurus masa untuk menghafal dan i'adah al-Quran dan sedikit pengalaman berkaitan dengannya.


Akhir sekali, saya ada berpesan beberapa perkara yang perlu diambil berat setelah menamatkan pelajaran di peringkat ini. Pesanan bagi pelajar banin ialah agar dapat menjaga keterampilan diri seperti cara berpakaian, berakhlak dan amat penting jagalah al-Quran dan isinya sebaik-baiknya.

sebagai contoh, bagi seorang yang menghafal al-Quran tidak wajar mempunyai sifat perokok. Mulut membaca kalamulllah tetapi seorang perokok . Ingat, perokok mempunyai saham dalam membunuh rakyat Islam di Palestin.


Pesanan bagi pelajar banat, jika di maahad semuanya berpakaian lengkap menutupi aurat. Tudung labuh dan berjubah. Jangan setelah meninggalkan maahad maka tudung labuh sudah menjadi singkat sehingga menampakkan hiasan yang sewajibnya ditutup. Inilah yang saya perhatikan memang ada terjadi. Maklumlah sudah masuk alam pekerjaan. Tetapi itu bukan alasan.

Buat apa menghafal al-Quran tetapi kita tiada beza dengan orang yang tidak menghafal al-Quran. Begitulah sedikit peringatan agar ianya bermanfaat kepada pelajar lama dan baru di maahad tersebut dan juga manfaat itu supaya saya juga memperolehinya.

Seronok dan sejuk hati melihat pelajar - pelajar tahfiz di sana. Teringat zaman nostalgia masa dahulu ketika menuntut ilmu seperti mereka.

Saya berharap agar ramai lagi anak - anak Sabah yang berkecimpung dalam bidang tahfiz ini memandangkan jumlah pelajar - pelajar yang ada tersangat sedikit berbanding dengan negeri - negeri lain terutamanya di semenanjung yang mana maahad tahfiz setiap negeri sudah mencecah ratusan orang.

Maknanya, lepasan tahfiz khususnya daripada maahad ini kena membantu mempromosikan pusat tahfiz ini bukan hanya menggunakan wasilah iklan bahkan dengan menunjukkan ketrampilan diri dihiasi dengan akhlak yang baik yang senantiasa turun bersama masyarakat terutamanya dalam gerak kerja dakwah.

Syukran Jazilan kepada pihak Maahad Tahfiz Sabah kerana jemputan ini moga ada manfaatnya.... insyaAllah.

Waallahua'alam.

23 February, 2010

PUM Ke Sipitang Lagi

Ini kisahnya.

Sebulan lalu, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah Ust Hj Muchlish Ali Kasim ada menghubungi saya.

Beliau memberitahu hasrat rakan-rakan dari Sipitang agar PUM Sabah datang lagi ke sana bagi mengisi program ceramah Maulid Nabi SAW secara serentak di lapan buah masjid dan surau.

Tahun lalu, kami datang ke sana untuk ceramah Isra’ Mi’raj seramai 7 orang di 7 buah masjid dan surau serentak pada satu malam dan itu dianggap berjaya.

Permintaan itu kami persetujui. Tarikh yang ditetapkan ialah 20 Februari 2010. Tugas saya berhubung dengan Imam Daerah Sipitang, Imam Rafaie dan menghubungi rakan-rakan yang bersedia untuk turut serta berceramah ke Sipitang.

Pada awalnya ia tidaklah sukar mencari lapan orang dan meminta persetujuan mereka. Dua minggu lalu, Ust Hj Muchlish menarik diri kerana ada mesyuarat PUM Pusat pada tarikh yang sama. Itu tidak mengapa kerana masa masih banyak untuk mencari pengganti.

Alhamdullillah pengganti diperolehi. Awal minggu saya berhubung dengan penganjur di Sipitang untuk memuktamadkan jumlah masjid dan surau. Ia berkurang kepada tujuh buah, sama ketika program Isra’ Mi’raj dahulu.

Saya memikir seseorang untuk ditolak tetapi saya pendamkan sehingga saat akhir.

Malam jumaat, Ust Ithnin yang bertugas di SMK Bandaraya menyatakan hasrat menarik diri kerana bertembung dengan kuliahnya di UPM. Sementara pada Jumaat Ust Azam mohon sedia pengganti kerana kurang sihat dan masih berada di KL.

Jadi kami kekurangan seorang.

Pagi sabtu pula, Ust Zainuddin menarik diri kerana hal yang tidak dapat dielak. Saya mohon bantuan beberapa orang untuk sama-sama mencari pengganti. Menjelang jam 11 pagi, semua pengganti dapat dicari dan bersetuju untuk menyertai misi ke Sipitang.

Tetapi sepanjang 3 jam mencari dan bertelefon, saya memperolehi bermacam alasan. Tidak kurang 15 orang yang dihubungi. Belum lagi dihitung bantuan rakan-rakan lain yang menghubungi sahabat masing-masing.

Mereka yang mempunyai komitmen awal dengan program masing-masing, itu tidak mengapa. Tetapi ramainya tidak sanggup untuk berceramah dan kerana tidak sanggup berjalan jauh. Padahal ke sana dengan berkenderaan dan balik malam yang sama.

Sedih sangat diri saya ketika itu. Betapa kemampuan berceramah untuk acara yang begitu asas kepada orang kampung seperti maulid nabi tidak disanggupi. Walaubagaimanapun, itu menjadi cabaran dan pengajaran yang sangat berguna buat kami bersama.

Kami akan bergerak sekitar jam 2.30 petang. Jam 2 petang, seorang pengganti pula menarik diri kerana suaranya mula selsema. Ust Azam yang tiba tengah malam dari ibu negara menyelamatkan keadaan walaupun kesihatan zaujahnya tidak begitu mengizinkan.

 

Alhamdulillah, di Sipitang kami tidak menghadapi masalah. Kami solat maghrib di Masjid Daerah sebelum beredar ke restoran yang menaja makan malam kami. Setelah jamuan, kami bergerak ke masjid yang ditetapkan. 

Ust Bungsu Aziz di Masjid Daerah, Ust Nahar di Masjid Sindumin (sempadan Sabah-Sarawak), Ust Arbaen Syawal di Masjid Ulu Sipitang, Ust Sayuti di Kg Pelakat, Ust Azam di Masjid Banting, Sheikh Hannafi di Masjid Mesapol Lama dan saya di Masjid Kg Pantai.

Saya sendiri selesai ceramah jam 9 malam, berhadapan 6 soalan yang berkait dengan keadaan mereka. Antaranya berkait masalah mandi safar, solawat, menyambut kelahiran, dan kaedah menyambut maulidur rasul. Mau setengah jam menjawab persoalan mereka.

Selesai ceramah, kami berkumpul kembali di restoran dan masing-masing bercerita dengan pengalaman manis itu. Ust Arbaen tiba paling akhir dengan senyuman jam 10.20 malam. Di restoran, kami dikehendaki menulis nama masing-masing dan lokasi masjid atas permintaan Cawangan Khas.

Jam 10.40 malam kami bertolak pulang dengan dua kenderaan. Alhamdulillah, saya selamat tiba di rumah jam 12.30 malam.

Terima kasih JHEAINS Sipitang, semua imam daerah dan qaryah, JK masjid yang terlibat, penduduk kampung, penaja makan dan lain-lain. Kami memperolehi pengalaman, kenalan baru, layanan istimewa dan pelbagai kenangan.

Saya berkunjung ke Sipitang mengisi program bermakna pada hari saya dilahirkan 31 tahun lalu di daerah saya dilahirkan. Manis rasanya!

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.