Showing posts with label Ilmiah. Show all posts
Showing posts with label Ilmiah. Show all posts

04 June, 2012

Bedah Buku Fikah Perubatan

sumber: http://wardhatulsakinah.blogspot.com/

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Bedah Buku Fikah Perubatan & Seharum Kasturi Putih telah berlangsung pada 30 Mei 2012 (rabu) di Masjid Bandaraya. Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibn Sina (PAPISMA) cawangan Sabah dengan kerjasama oleh Yayasan Amal Malaysia (YAM) cawangan Sabah & Masjid Bandaraya (MBR) Kota Kinabalu. Penceramah disampaikan oleh Dr Awisul Islah Ghazali, merupakan Presiden PAPISMA.

Dalam program ini, Dr Awisul banyak mengupas buku Fikah Perubatan berbanding buku Seharum Kasturi Putih. Buku Seharum Kasturi Putih ini menceritakan pengalaman 20 orang doktor dalam merawat pesakit sepanjang kerjaya mereka. Pengalaman para doktor ini diterbitkan dalam bentuk cerpen sebagai iktibar & keinsafan buat semua yang sememangnya pasti ditimpa sakit.


Fikah Perubatan ini ditulis oleh dua orang pakar agama (Ustaz Shamsul Kamal Abdullah & Ustazah Wan Ainon Wan Abdullah) dan dua orang pakar perubatan (Dr Harmy Mohd Yusoff & Dr Rosediani Muhamad). Menurut Dr Awisul, buku ini merupakan karya pertama (asal) yang julung-julungnya diterbitkan di Malaysia & insyaAllah akan diterbitkan lagi untuk menyebarkan kefahaman kepada semua.

Fikah Perubatan menyentuh segenap aspek perubatan dan islam. Buku ini dilihat bukan sahaja pada hukum-hukumnya, malahan melihat teras akidah dalam perubatan dan aturan etika mereka yang terlibat. Fahami isu akidah dalam perubatan dan Islam. Antaranya:

Bolehkah perubatan dan Islam dipisahkan?
Bagaimana kita boleh jadi kafir dengan berubat.

Selami adab-adab doktor dan pesakit. Antaranya:
Adakah doktor dibenarkan memilih bagi mematikan pesakit?
Beliau lelaki dan saya wanita, bagaimana sepatutnya pengubatan ini dilaksanakan?

Jejaki kaedah-kaedah syariah dalam perubatan dan Islam. Antaranya:

Apakah itu perubatan Islam yang sebenar-benarnya?
Fisiologi manusia dan bagaimana Islam selari dengan kajian moden.
Cara beribadah dalam keadaan yang terhad dan berpenyakit.

Dengan isi yang tuntas dan bernas, Fikah Perubatan bukan hanya menawarkan teori dan pemahaman, malah membimbing kita terus dengan kaedah dan amalan yang sewajarnya.

Buku ini mengandungi 6 tajuk utama diiukti tajuk-tajuk kecil:

A) PERUBATAN ISLAM
1. Definisi Perubatan Islam Tibb Nabawi
2. Perubatan Arab Sebelum Kedatangan Islam
3. Etika Perubatan Islam
4. Sejarah Perkembangan Perubatan dalam Dunia Islam

B) ASAS FIKAH PERUBATAN
5. Pengertian Fikah
Pertama : Fikah Perubatan Berdiri Atas Prinsip Umum
Kedua : Hukum Asal Urusan Perubatan Adalah Harus
Ketiga : Fikah Perubatan Dibangunkan Dengan Mengambil Kira Illat (Sebab) dan Maslahat (Keperluan ataupun Kepentingan
6. Daruriyyat, Hajjiyat dan Tahsiniyat

C) HUKUM BERUBAT
7. Hukum Berubat Menurut Islam
8. Jenis Rawatan yang Diharamkan Islam
Rawatan yang Menggunakan Bahan-Bahan yang Haram
Rawatan yang Menggunakan Bahan-Bahan Najis
Rawatan yang Membawa Mudarat Besar dan Bencana yang Dahsyat Kepada Pesakit
Rawatan yang Berdasarkan Sihir, Khurafat dan Pemujaan
Perubatan yang Menggunakan Tangkal azimat
Rawatan Berdasarkan Jampi Mantera
Perubatan Menggunakan Jin (Makhluk Halus)
9. Hukum Menggunakan Benda-Benda Haram dan Najis
Pendahuluan, definisi ubat, definisi ubat yang Halal, Sumber Ubat.
10. Rasional Tidak Boleh Berubat dengan yang Haram

C) BENDALIR BADAN, APLIKASI DAN 'TAHARAH'
11. Haid
12. Istihadah
13. Penetapan Hukum Masalah Haid
14. Rawatan untuk Masalah Haid
15. Nifas
16. Aplikasi Hukum ke atas wanita Haid dan Nifas
17. Hukum Pendarahan Sewaktu Mengandung dan Air Ketuban
18. Bendalir Badan yang lain
19. Cecair Badan yang Lain dan Hukumnya

D) PERLAKSANAAN IBADAH SEMASA SAKIT
20. Manhaj Kehidupan
21. Taharah
22. Tayamum
23. Pesakit yang Tidak Dapat Mengelak daripada Najis
24. Kaedah Solat Semasa Sakit (Gambar)

E) PUASA DAN ISU-ISU PERUBATAN MODEN
25. Puasa
26. Hikmah Puasa
27. Perkara yang membatalkan puasa
28. Kaedah Rawatan Moden berhubung perkara yang Membatalkan Puasa

Lebih lanjut, boleh rujuk buku Fikah Perubatan. Untuk wanita, boleh baca buku Amalan 24 Jam Wanita Haid sebagai rujukan tambahan.


Pesanan tambahan, belajar melalui buku perlu berguru. Pastikan ada orang yang lebih faqih untuk dirujuk agar setiap ilmu yang dipelajari berada di jalan yang betul. InsyaAllah. Selamat membaca.

07 December, 2011

Gerhana bulan penuh 10 Disember


sumber: http://masdarwahid.blogspot.com/

KUALA TERENGGANU 4 Dis. - Gerhana bulan penuh dengan pemandangan seakan-akan bola raksasa kuning tembaga terapung di angkasa selama lebih 40 minit dijangka berlaku pada malam 10 Disember ini.

Unit Falak Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam satu kenyataan hari ini berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena itu dan melakukan solat sunat gerhana.

"Gerhana kali ini berlaku pada awal malam. Meriahkanlah fenomena ini dengan bacaan selawat dan tasbih serta solat sunat gerhana di masjid.

"Kejadian itu amat besar hikmatnya supaya manusia melihat dengan jelas tanda-tanda kekuasaan Allah dan memanfaatkannya dari segi rohani dan kajian saintifik," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa melalui paparan takwim pada petang Sabtu (10 Disember), bulan terbit di ufuk timur Kuala Terengganu pada pukul 6.44 petang, kira-kira 12 minit sebelum matahari terbenam.

Bulan yang beredar dengan had laju relatif 1,800 kilometer sejam akan mula memasuki zon bayang luar bumi pada kira-kira pukul 7.33 malam.

Bayang bumi akan mula menyentuh sisi sebelah kanan bulan tepat pukul 8.46 malam menandakan permulaan fasa gerhana bulan dan masa yang diambil oleh bayang gelap itu untuk menyapu keseluruhan muka bulan hanya 75 minit.

"Selepas itu bulan akan mengalami gerhana penuh selama kira-kira 48 minit, kelihatan seperti sebiji bola raksasa berwarna kuning tembaga kerana kesan serakan cahaya dari kawasan bayang luar," jelas kenyataan itu lagi.

Peringkat pertengahan gerhana penuh itu dihitung berlaku pada pukul 10.32 malam ketika ketiga-tiga jasad samawi iaitu bulan, bumi dan matahari berada dalam kedudukan satu garisan dan satu satah.

"Ia menandakan fasa purnama Muharam 1433 Hijrah yang sama dengan kemuncak gerhana penuh dan jangkamasa bulan melewati kawasan bayang dalam bumi ialah selama tiga jam 22 minit sehingga gerhana berakhir pukul 12.18 pagi," jelas kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, solat sunat gerhana bulan di negara ini boleh dilakukan sebaik sahaja bayang bumi mula kelihatan di permukaan bulan iaitu kira-kira pukul 8.46 malam.

CINTA ASYURA


.[PERTANYAAN] Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ya ustaz.. Saya ingin bertanyakan soalan, ustaz. Maaf jika mengambil masa ustaz. Isunya tentang Karbala. Tentang Asy-Syahid Sayyidina Al-Husein bin Sayyidina Ali r.a., yang kita cintai.
Sebelum itu, saya ingin nyatakan pengamatan saya (yang masih sedikit).. saya rasa kurangnya pendedahan di rantau ini, dari kalangan ulama tradisi Ahlus-Sunnah wal Jamaah tentang perkara yang akan saya sebutkan ini. Harap ustaz dapat ulaskan, (jika benar pemerhatian saya), mengapa terjadi yang sedemikian itu, dan hikmah di sebaliknya.
Bagaimana kita seharusnya memandang peristiwa Karbala dan syahidnya Sayyidina Al-Husein r.a. ini, supaya tercermin cinta kita kepada Ahlul-Bait baginda Rasulullah s.a.w. Bagaimana jua harus kita berpendirian tentang para pembunuhnya, dan sang pemerintah, Yazid kala itu..
Ya ustaz, apakah cara terbaik untuk menunjukkan kepedulian kita (perlukah dibangkit-bangkitkan peristiwa ini?, contohnya), dan setakat mana patutnya perasaan kecintaan & kebencian kita.. berhubung peristiwa ini, supaya selari dengan pegangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah, dan tidak melampaui batas-batas yang memagari akidah kita. Sangat-sangat berharap agar ustaz dapat membantu.. Terima kasih atas perhatiannya.
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Mohd Shafiq)
[JAWAPAN, oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis b Raja Jamaludin]
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Sungguh hari Asyura juga mengingatkan kita tentang peristiwa syahidnya Jaddina Al-Husein bin Sayyidina Ali r.a., cucu Baginda s.a.w.. Peristiwa Syahidnya Sayyidina Al-Husein ini adalah antara peristiwa yang sangat memilukan hati para pencinta Ahlul-Bait Nabi s.a.w.. Namun, para ulama’ Ahlus Sunnah tidak menjadikan peristiwa ini untuk dikenang dengan cara golongan Syiah yang mencederakan diri mereka semata-mata untuk menghayati penderitaan Sayyidina Al-Husein r.a..
Bahkan, para ulama’ Ahlus-Sunnah memperingati peristiwa Asyura dengan memperingati banyak peristiwa lain seperti peristiwa Nabi Nuh a.s., peristiwa pembebasan Nabi Musa a.s. dan sebagainya. Oleh sebab itulah, dominasi emosional para ulama’ Ahlus-Sunnah bercampur antara kegembiraan dan kesedihan kerana Rasulullah s.a.w. meraikannya dengan kegembiraan (kerana belum berlaku peristiwa Karbala).
Bahkan, menurut sebahagian ‘Arif biLlah, Rasulullah s.a.w. sengaja memperingati Asyura dengan kegembiraan walaupun Baginda s.a.w. tahu tarikh tersebut, setelah kewafatan Baginda s.a.w., akan menjadi tarikh syahidnya cucu Baginda s.a.w. yang tercinta. Ini kerana, Rasulullah s.a.w. sudah diberitahu oleh Jibril a.s. tentang cucu Baginda s.a.w. yang akan dimusuhi oleh kaumnya sendiri. Namun, Baginda s.a.w. memperingati Asyura dengan dominasi kegembiraan kerana umat Islam adalah ummat yang sentiasa berfikiran positif dan menjadikan segenap peristiwa yang sedih untuk mengambil pelajaran.
Kita lihat sebagai contoh, peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w. diingati dengan peristiwa kelahiran Rasulullah s.a.w. kerana tarikhnya sama, bagi mendominasikan rasa kegembiraan terhadap nikmat kelahiran Rasulullah s.a.w.. Bahkan, sebahagian ulama’ berkata, kegembiraan umat Islam pada maulid Nabi walaupun tarikh tersebut juga adalah tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w. kerana Rasulullah s.a.w. tidak pergi meninggalkan kita sebaliknya masih bersama-sama kita di alam yang berbeza.
Dengan maksud ini juga, seorang syiah bertanya Sayyidina Abdul Qadir Al-Jailani:
“Mengapa Ahlus-Sunnah menyambut Asyura dengan kegembiraan dan berpuasa, padahal hari tersebut adalah hari berduka?”
Sayyidina Abdul Qadir Al-Jailani menjawab:
“Orang yang berduka pada hari ini melihat Sayyidina Al-Husein dibunuh, padahal kami bergembira kerana melihat hari ini Sayyidina Al-Husein diberi anugerah Syahid yang sangat agung di sisi Allah s.w.t.”
Dalam sejarah umat Islam, banyak lagi peristiwa yang menyedihkan seperti syahidnya Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali r.a.. Namun, peristiwa-peristiwa tersebut tidak dijadikan sebagai peristiwa khusus untuk memperingatinya kerana umat Islam mengambil pelajaran dan pengajaran terhadap peristiwa-peristiwa tersebut untuk terus membagun ummah, bukan sekadar menzahirkan kesedihan saban tahun. Rasulullah s.a.w. juga mempunyai banyak peristiwa sedih dalam kehidupan Baginda s.a.w., namun tidak memperingatinya secara berulang-ulang kerana mempunyai banyak tanggungjawab yang terus dilakukan. Ini tidak bererti Rasulullah s.a.w. tidak peduli tentang kewafatan Sayyidatina Khadijah, kematian anak-anak Baginda s.a.w., kesyahidan Sayyidina Hamzah r.a. dan sebagainya.
Bahkan, ketika Sayyidina Uthman r.a. dibunuh, Sayyidina Ali r.a. lebih berusaha menumpukan perhatian terhadap pembangunan ummah berbanding mencari pembunuh Sayyidina Uthman r.a. kerana ianya sukar dilakukan dan akan menjadikan sibuk dengan perkara tersebut berbanding urusan pentadbiran yang lebih besar. Hal ini juga tidak dipersetujui oleh Sayyidina Mu’awiyyah yang menganggap Sayyidina Ali r.a. tidak mempedulikan Sayyidina Uthman r.a., padahal jauh dalam hati Sayyidina Ali r.a., kecintaan beliau terhadap Sayyidina Uthman lebih besar berbanding kecintaan Muawiyyah terhadap Sayyidina Uthman r.a..
Kita digalakkan untuk memperingati segala peristiwa yang berkaitan dengan sejarah Islam. Tetapi, umat Islam mempunyai banyak tanggungjawab yang lebih besar dalam membangunkan ummah berbanding menzahirkan kesedihan dalam peristiwa-peristiwa tertentu. Kesedihan dalam diri secara individu adalah suatu tanda mahabbah terhadap apa yang disedihkan tersebut. Namun, ianya lebih bersifat individual semata-mata, berdasarkan ukuran mahabbah seseorang.
Menzahirkan kecintaan sudah cukup berbanding menzahirkan kebencian. Inilah ukuran para ulama’ Ahlus-Sunnah wal Jamaah. Tidak mengapa memperingati peristiwa-peristiwa sedih tersebut, dalam masa yang sama ianya bertujuan untuk mengambil pelajaran terhadap ketentuan hukum Allah s.w.t. tersebut dan menzahirkan kecintaan kepada mereka yang disebut. Tetapi, perlu disertai dengan pelajaran yang dapat diambil agar masa lepas boleh menjadi pedoman untuk membangun masa hadapan. Inilah konsep Ahlus-Sunnah wal Jamaah.
Cara terbaik untuk melahirkan kecintaan dan kepedulian kita terhadap peristiwa Karbala adalah dengan mencintai dan menzahirkan kecintaan kita kepada keturunan Rasulullah s.a.w. (Ahlul-Bait) setiap waktu. Inilah yang diingini oleh Rasulullah s.a.w., iaitu mawaddah pada kaum kerabat Baginda s.a.w.. Perlulah kita mendekati dan mencintai Rasulullah s.a.w. melalui kecintaan kita kepada Ahlul-Bait Nabi s.a.w. dan pada memuliakan mereka.
 Wallahu a’lam.
[*] http://firusfansuri.blogspot.com/2009/12/cinta-asyura.html

24 November, 2011

Tips Kiblat di Hotel dan Resort


sumber: http://albelurani.blogspot.com

Bismillah...

khasnya kepada penduduk dan masyarakat Sabah atau para musafir yang bermusafir ke Sabah dan menginap di hotel atau resort. Beberapa tips atau panduan bagi anda memastikan arah kiblat di hotel atau resort yang anda diami.

Alhamdulillah boleh dikatakan telah banyak kami tentusahkan arah kiblat di bilik-bilik hotel atau resort di negeri Sabah ini samada yang berbintang atau tidak ada langsung bintangnya. Kami berdasarkan permohonan bukan berdasarkan taraf bintang sesebuah hotel atau resort. Juga perkhidmatan kami adalah 100% percuma.

Setiap hotel atau resort yang telah diberikan pengesahan arah kiblatnya maknanya telah memenuhi syarat dan telah kami lawati ke hotel dan resort tersebut. Antara syarat yang perlu diketahui adalah :

1. Penandaan arah kiblat dibuat di keseluruhan bilik hotel dan resort tersebut, maknanya kami masuk ke bilik-bilik hotel tersebut tanpa ada terkecuali walaupun satu bilik untuk diletakkan tanda (stiker) kiblat yang betul.

2. Penanda arah kiblat diletakkan/dilekatkan di atas syiling bilik hotel atau resort. Jika anda melihat stiker arah kiblat dilekatkan selain dari syiling seperti dalam laci/almari maka hotel tersebut tiada pengesahan daripada kami ( Pejabat Mufti Negeri Sabah ). Jika pihak hotel mendakwa pihak kami ada memberikan pengesahan maknanya pengesahan dan sijil pengesahan terbatal serta merta disebabkan berlakunya gangguan terhadap penanda arah kiblat.

Jika syarat tersebut telah dipatuhi, surat dan dan sijil pengesahan dianugerahkan kepada hotel dan resort tersebut dan mereka akan paparkannya di ruang atau lobi hotel sebagaimana sijil halal. Ini memudahkan para pengunjung ke hotel tersebut mengerjakan solat berpandukan arah kiblat yang terdapat di dalam bilik hotel dan resort tersebut.

Jika surat dan sijil tidak dipaparkan anda berhak meminta untuk ditunjukkan sijil dan surat pengesahan tersebut agar dapat menghilangkan rasa was-was dalam melaksanakan solat. Itu pun jika pihak hotel dan resort mendakwa hotel dan resort mereka telah ditentusahkan kiblatnya oleh pihak kami. Berhati-hati, kerana kes sebegini pernah berlaku.

Setelah itu, jika pihak hotel dan resort telah menunjukkan sijil atau surat pengesahan arah kiblat, teramat penting juga anda hendaklah memerhatikan stiker arah kiblat di dalam bilik hotel tersebut ianya memenuhi syarat seperti di atas. Jika sebaliknya, anda hendaklah melaporkan perkara ini kepada kami di alamat berikut :

Pejabat Mufti Negeri Sabah
Tingkat 2, Blok B, wisma MUIS
Beg Berkunci 2070
88999 Kota Kinabalu

tel : 088218322
faks : 088263679

Atau anda boleh berhubung langsung dengan saya melalui FB : albelurani alfalaki atau ditalian 0195367902 untuk tindakan lanjut daripada kami. Kami juga amat berharap di atas kerjasama anda atas dasar " Bertolong-tolong dalam kebaikan dan tidak bertolong-tolong dalam kemungkaran dan kejahatan".

Seperkara lagi, stiker kiblat ( penanda arah kiblat ) di setiap hotel atau resort adalah berlainan ini kerana atas dasar menghormati pihak hotel dan resort agar penanda tersebut bersesuaian dengan mereka. Namun, sedikit masa lagi STIKER KIBLAT akan diselaraskan dan akan sama semuanya menunjukkan bahawa pengesahan tersebut adalah daripada pihak kami.

Semoga dengan sedikit tips dan panduan ini membantu dan memudahkan anda melaksanakan solat apabila anda menginap di hotel dan resort di negeri Sabah.

Barakaallahu fiikum.


22 November, 2011

Langkah Bermula Akademi Siasah Tun Datu Mustafa


sumber: http://bayugunung.blogspot.com



Alhamdulillah, Wacana Rakyat selesai..

Wacana Rakyat adalah antara beberapa pengisian yang menjadi program bersiri untuk mencapai misinya. Jadi, saya berharap ia bukan sekadar program yang kita hadiri sebelum ini.

Secara sedarnya, memang kita telahpun menghadiri banyak program yang berbentuk pemantapan kefahaman, tetapi saya dan sahabat-sahabat yang lain insaf akan betapa perlunya agar setiap program ini disusun dan dirangkum kepada suatu yang ber'visi' sifatnya.

Ia bermula dengan begitu emosi, apabila penangkapan Ketua Pemuda PAS Sabah, sdr Lahirul Latigu hanya kerana sentimen anti-BERSIH yang tidak berasas. Pada jangka masa 5 tahun akan datang, saya dapat melihat sedikit sebanyak gambaran bagaimana landskap lapangan tempur siasah pemuda di Sabah ketika itu. Hal ini menyuntik insaf agar menyusun idea-idea untuk diterjemahkan kepada bentuk realiti.

Pada masa sama, Bro Saifuddin dan Sdr Abdillah ada melontarkan pandangan yang serupa iaitu untuk membentuk satu institusi siasah yang bertujuan melahirkan pemimpin-pemimpin muda masa depan yang bijak caturan siasahnya.

Cetusan ini belum lahir sebagai sebuah dokumentasi yang boleh dibelek dari awal hingga akhir perinciannya. Sebagai langkah awal ini, kami menghimpun idea dan pandangan serantak dengan pelaksanaan yang difikirkan sesuai dengan visinya. Sedikit demi sedikit, keadaan ini akan tercantum satu persatu dan menjadi lebih tersusun pada fasa-fasa berikutnya.


Proses ini adalah proses 'up to date' kepimpinan di peringkat negeri, kawasan sampailah ke peringkat cawangan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang. Walaupun jangkauannya masih sangat luas dan nampak diawangan, saya yakin proses seterusnya akan disempurnakan oleh generasi akan datang. Yang penting, kita sudah bermula.

Cabaran pemuda hari ini adalah tempias cabaran pada masa akan datang. Saya menyimpulkannya kepada 2 perkara berikut iaitu :

1)Cabaran berbentuk perbezaan fikrah
2)Cabaran berbentuk Taktikal

Cabaran pertama, ia melihat bagaimana kita me respon terhadap isu-isu pemikiran samada perbezaan sesama fikrah mahupun teman-teman dalam Pakatan Rakyat Sabah. Sentimen kaum, agama dan 'semenanjung vs sabahan' adalah beberapa isu yang memerlukan penyelesaian yang berbeza secara tepat. Ia juga melibatkan perbezaan se fikrah kita dalam menafsir tindakan terbaik bukan dengan tindakan 'orientasi label'. Kita cuba memanfaatkan peluang secara optimal dan mengurangkan risiko dalam semua keadaan.

Cabaran kedua, bagaimana tindakan yang perlu diambil mengikut prosedur perlembagaan dan undang-undang negara ini dan perlembagaan negeri yang begitu rumit dan unik. Kita tidak dapat mengelak daripada menghalusi setiap akta dan ordinan mahupun sejarah yang membentuk sesebuah insitusi undang-undang. Justeru, kefahaman perlu dibina dengan lebih mantap lagi supaya setiap tindakan adalah satu 'mile age' politik yang melonjak pemuda ke hadapan.

Hari ini kita di hidangkan dengan pelbagai permasalahan dan saya berharap pada keesokkan harinya kita menyediakan plan yang lebih objektif langkah penyelesaiannya. Kerana saya percaya, setiap ujian selain sekadar ujian, ia adalah peluang untuk kita lebih baik pada hari-hari seterusnya.

Walaupun masih bertatih dan merangkak, Insya Allah bak kata iklan Milo tak silap saya, kita semua akan membesar dengan kuat dan sihat...alamilah 

05 September, 2011

Realiti Kemerdekaan Sabah

sumber: http://ikhwannain.blogspot.com


Sekali lagi penulis mengimbas pelajaran di bangku sekolah, subjek Sejarah yang amat bermakna. Dalam buku teks yang terhidang, kita hanya menerima bulat-bulat bahawa Sabah merdeka apabila tertubuhnya Malaysia. Baik sungguh usaha tun ku Abdul Rahman membawa Sabah merdeka. Maka saban tahun apabila berlakunya sambutan Hari Malaysia rakyat sabah akan merasa terhutang budi dengan tindakan tun ku Abdul Rahman. Tapi, itu juga satu penyelewengan sejarah.

Asal Usul Nama Sabah

Dipetik dari Wikipedia...
Nama negeri Sabah dikatakan berasal daripada perkataan ‘saba’ iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil pisang saba oleh masyarakat kaum Î’ajau, yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang saba ini juga dikenali sebagai pisang jaba oleh segolongan masyarakat Bajau dari suku yang serumpun. Negeri ini disebut sebagai Sabah kerana masyarakat di sekitar pantai barat negeri Sabah kebanyakannya menanam pisang jenis ini sebagai bahan makanan.Asal usul nama Sabah juga dikenali sebagai Seludang.Dalam bahasa Jawa seludang dinamakan sebagai Sabah ,sebab itulah Negeri Sabah dikenali sebagai Seludang.
Tarikh Sebenar Kemerdekaan Sabah


Sabah sebenarnya merdeka pada tarikh yang sama dengan merdekanya Malaya, iaitu pada 31 Ogos tetapi tahun yang berbeza, iaitu enam tahun selepas kemerdekaan Malaya. Antara pemimpin-pemimpin negara yang turut hadir menjadi saksi kemerdekaan sabah ialah ialah Tunku Abdul Rahman, Lee Kuan Yew, Donald Stephen, Mustafa Harun, Stephen Kalong Ningkan, pemimpin-pemimpin British dan lain-lain lagi. Bagi mengumumkan kemerdekaan sabah, maka Gabenor Borneo Utara (Sabah) ketika itu iaitu Sir William Goode, menyatakan secara rasmi :

“ …..Hari ini adalah hari bersejarah untuk negeri sabah, ia menandakan bermulanya pemerintahan sendiri dan kemerdekaan serta berakhirnya perjanjian” (Sabah Times, Jesselton, 31 Ogos 1963)

Tarikh sebenar kemerdekaan Sabah tercatat di dalam Wikipedia, tetapi tidak di dalam buku Teks Sejarah.

Penubuhan Malaysia


Selepas kemerdekaan Sabah, Tun Ku Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk mengajak Sabah serta beberapa negeri lain bagi menubuhkan Malaysia. Tawaran tersebut diterima oleh pemimpin-pemimpin Borneo Utara (Sabah) ketika itu dengan syarat bahawa harus ada 20 isi perjanjian antara Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri ketika itu, dengan para pemimpin Sabah yang mewakili seluruh etnik di sabah.

Perjanjian itu pun di materai bersama dengan nama Perjanjian 20 Perkara, yakni terdapat 20 Perkara Utama yang sangat mendasar serta sebab utama mengapa Sabah menyetujui tawaran Tunku Abdul Rahman ketika itu. Setelah ditandatangani persetujuan bersama, maka Sabah, secara sah bergabung dengan Malaya pada 16 September 1963. Tepatnya, penggabungan tersebut adalah ‘Bergabung Dengan Syarat’. Keseluruhan isi kandung 20 perkara tersebut adalah merujuk kepada Hak dan keistemewaan bagi rakyat dan negeri Sabah sendiri.

Ironinya hasil bumi yang melimpah ruah belum dapat mengeluarkan kebanyakkan rakyat Sabah dari belenggu kemiskinan selepas 48 tahun negeri ini merdeka. Dari hasil minyak sehinggalah kepada pendapatan balak bagaikan tidak pernah wujud dan utara borneo ini. Sedangkan matlamat pembentukan Malaysia ialah untuk memajukan sosioekonomi negeri-negeri yang terlibat.

Hakikat Perjanjian 20 Perkara

Kurangnya penekananan perjanjian 20 perkara dan penerangan yang mendasar terhadap anak-anak Sabah menjadikan perjanjian tersebut seolah-olah tidak pernah wujud. Bahkan menjadi duri dalam daging bagi rakyat Sabah.

Disamping tidak mengetahui tentang isi kandungan perjanjian 20 perkara yang diperkatakan, wujudnya satu stigma di dalam masyarakat Sabah pada hari ini. Perjanjian 20 perkara adalah isu sensitif dan tidak boleh dibicarakan dengan sewenang-wenangnya. Akhirnya rakyat Sabah sendiri gagal untuk mendapat manfaat daripada perjanjian yang telah diwartakan oleh pemimpin terdahulu.

Punca Krisis Yang Melanda

Ramai rakyat Sabah mula menyalahkan pihak persekutuan terhadap permasalahan tersebut. Antara yang paling hangat ialah pembahagian hasil bumi serta kebanjiran pendatang asing di bumi Sabah. Walhal kepimpinan negeri juga wajar diheret ke dalam permasalahan tersebut, kerana merekalah wakil untuk rakyat Sabah bersuara. Tapi mereka seakan membutakan mata dengan semua yang terjadi serta ikut tumpang sekaki. Memperjuangkan perjanjian 20 perkara seakan melepaskan batuk ditangga, sedangkan rakyat terus menderita.

Kesimpulan

16 September ialah hari penubuhan Malaysia manakala 31 ogos ialah hari kemerdekaan untuk Sabah. Mengimbau kembali hasrat penggabungan Sabah sebagai sebuah negeri di dalam persekutuan Malaysia iaitu ‘sabah maju jaya’, rakyat Sabah perlu bangkit kembali sebagai sebuah negeri benar-benar mempunyai jati diri. Anak-anak Sabah perlu berani bersuara untuk menuntut hak mereka.

Jika ada yang berkata “bersyukurlah sebab kita masih boleh menikmati keamanan dan kedamaian.” Maka katakanlah kepada mereka. “bersyukur tidak bermakna orang boleh menafikan hak kita!” Sabah bukan untuk Persekutuan dan Sabah bukan untuk kerajaan negeri, tapi…

“Sabah untuk orang Sabah!”

Kerajaan Johor iktiraf ketokohan Mat Indera

sumber: http://monazmuslim.blogspot.com

Sebelum kita disesatkan lebih jauh lagi oleh media-media parti pemerintah, eloklah kita semua kembali ke pangkal jalan, mengkaji dan memahami semula sejarah. Sebetulnya tatkala kali pertama saya menonton klip video ceramah Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai tragedi Bukit Kepong itu, hati saya telah terdetik "Apa sajalah yang UMNO akan merapu lepas ni". Dan memang saya mahu saksikan, label apakah yang hendak dicop kepada Mat Sabu rentetan daripada ceramah beliau.

Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan, kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia. Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya digelapkan oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis!

Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera

Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Siapa Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan

Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.

Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati. Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".

Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja. Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan. Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.

Rasional bukan emosi

Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang.

Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat?

oleh Mohamed Hadi al-Majwi

15 August, 2011

Peristiwa Ramadhan dan Relevansi Semasa

sumber: http://nurilhakim.blogspot.com

Intipati Kuliah Subuh Ihya' Ramadhan PPMS 2011
Penceramah : Ustaz Khalidi
Tokok Tambah : JK Pengisian Ihya' Ramadhan PPMS 2011
1. Saya tidak hadir ke sahur jamai’e kerana Nabi tak sebut sahur nasi lemak tapi Nabi sebut sahur dengan tamar.
2. Puasa tiga jenis (imam ghazali) – awam(hanya lapar dan dahaga),khawas (menahan semua benda dari benda yang membatalkan puasa), khawasul khawas (puasa para Nabi dan Rasul)
3. Nuzul Quran
- Bulan Ramadhan satu-satu bulan yang disebut dalam Al-Quran, dan adalah maklum bahawa apa yang disebutkan secara khusus di dalam Al-Quran mempunyai keistimewaan yang besar.
- Disebut juga diturunkan di bulan ini Al-Quran. Masyhur disebut Al-Quran diturunkan pada 17 Ramadhan (Nuzul Quran).
- Antara tanda Qiamat – Quran ditarik dari bumi.
- Matlamat membaca Al-Quran ialah penghayatan melalui tadabbur, bukan berlumba siapa paling banyak khatam.
- Quran diturunkan kepada Nabi secara berperingkat selama 23 tahun sedangkan Taurat, Injil dan Zabur diturunkan sekaligus. Tujuannya ialah supaya dapat diperhatikan apa yang telah turun sedikit demi sedikit. Adapun ayat yang melibatkan tingkahlaku individu, perlu cuba untuk diamalkan.
- Kemenangan umat terdahulu walaupun kuat berdepan mehnah, adalah berpunca kerana kuatnya berpegang kepada Al-Quran.
- Lalu usaha menjatuhkan umat ialah dengan menjauhkan orang Islam daripada Quran melalui Ghuzwatul Fikr (5S – Sex, Smoke, Screen, Sports dan Songs)
- Semua perkara disebutkan di dalam Al-Quran, sebagaimana kisah Tok Guru yang menjawab persoalan anak muridnya yang bertanya adakah diajarkan cara membuat roti canai di dalam Al-Quran, dengan menjawab ya dan membacakan ayat,
‘Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.’ (Al-Anbiyaa’ : 7)
4. Ghuzwah Badar Kubra
- Di dalam Surah Ali-Imran disebut peristiwa Badar. Diceritakan bagaimana Allah menolong ahli Badar. Dalam Al-Quran juga disebut ‘berapa banyak kaum yang sedikit mengalahkan kaum yang ramai’.
" Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah : 249)
- Kerana itu setiap kejayaan jangan lupa disandarkan kepada Allah. Surah Al-Anfal juga antara surah banyak memberi semangat jihad. Jadi sila bacalah.
5. Fathu Makkah
- Peristiwa yang diatur rapi strateginya oleh Nabi, sehinggakan para sahabat termasuk Abu Bakar dan Aisyah pun tidak mengetahuinya. Juga dalam peristiwa ini disebutkan kisah Hatib bin Abi Balta’ah yang membongkar rahsia negara dengan mengutus surat kepada ahli keluarganya di Mekah.
- Rasulullah s.a.w mendapat wahyu tentang pengkhianatan Hatib bin Abi Balta’ah, lalu mengutus Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam untuk bertanyakan kepada Hatib bin Abi Balta’ah tentang berita tersebut.
- Setelah Hatib bin Abi Balta’ah menceritakan perkara sebenar kepada Rasulullah s.a.w, lalu Umar bin al-Khattab meminta izin dari Rasulullah s.a.w untuk membunuh Hatib bin Abi Balta’ah.
- Maka Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Allah telah mengampunkan dosa-dosa orang yang menyertai perang Badar.
- Kerana itu dalam perjuangan perlu berhati-hati (hazar) kerana tujuan manusia berjuang macam-macam.
- Dalam peristiwa ini juga Abu Sufyan,sepupu Nabi memeluk Islam.

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.