Showing posts with label Pilihanraya. Show all posts
Showing posts with label Pilihanraya. Show all posts

07 May, 2012

BERSIH 3.0 PEMANAS BADAN BERSIH 4.0 (update)


sumber: http://islamreturn.blogspot.com

Salam perjuangan..

Kisah bersih 3.0 menceritakan kesengsaraan rakyat menuntut hak sebagai seorang rakyat yang dinafikan oleh kerajaan UMNO/BN. Kisah ini akan aku tulis sebagai catatan sejarah perjuangan anak muda 'generasi Al-Quran' yang inginkan perubahan kepada suatu pemerintahan yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

.............................................................................

Aku masuk KL pukul 2 pagi (tido di KL Central). Sepatutnya aku sampai KL lebih awal, tetapi akibat terkandas di Airport Kota Kinabalu hampir 5 jam, hanya gara-gara kerana masalah pada landasan. Hampir-hampir juga perjalanan penumpang ke KL terpaksa ditangguh keesokannya. Kes yang berlaku di T2 KKIA menyebabkan aku bagi satu bintang saja pada AirAsia kali ini (pengurusan penumpang yang hancus).

Terpaksa praktis 'Duduk Bantah' di T2 KKIA

Bergerak ke Masjid Jamek seawal jam 9 pagi.

Keadaan di dalam LRT yang penuh sesak macam tin sardin


Pekena roti nan, perut mesti berisi sebelum beraksi


Saudara jul (anak jati Sabahan) bersama jurugambar OKU di hadapan CM


Ini pulak geng Unit Amal yang paling cool aku jumpa, terbaaeekkk...


Daya Bumi menjadi saksi lautan bersih yang hadir

Solat zohor sebelum bergerak ke Dataran

Sempat panjat pentas sebelah CM untuk mendapatkan gambaran terbaik lautan bersih, tengah-tengah panjat, orang ramai dah gerak ke Dataran.. hampeh..

 Klon Hitler dijumpai di Malaysia

Gelombang kuning bertemu disini (Jalan Masjid Jamek) sebelum polis mencetuskan huru hara

Serangan awal pihak polis menyebabkan keadaan tidak terkawal


uncle nie aku istiharkan 'uncle bersih'
Kesengsaraan warga emas berhadapan dengan tindakan membuta tuli pihak berkuasa
Akibat tidak tahan dengan situasi dihadapan mata.. apa lagi 'BERTUKAR'..
Kibaran bendera dibawah bayu 'Sabah Negeri Merdeka'


Kibaran semangat Palestin bersama-sama dengan gelombang BERSIH.. mamat sebelah tu cedera sebab tentera Israel tembak peluru getah agaknya.. haha..
Badan dah mantap bro.. patut duk kat 'front line' la beb.. haha..


St. John Ambulans turut membantu memberi air mineral percuma kepada rakyat
 

 Kenderaan yang rosak akibat dari tembakan melulu pihak polis.. betul-betul terjadi di depan mata, nasib baik pemilik kenderaan cepat meninggalkan kenderaan
 Mamat india ada kisahnya tersendiri.. setelah penat, aku singgah jab minum kat kedai mamak.. apa lagi order lah teh o ais.. dia cakap tiada.. lepas tu aku try order teh ais.. dia cakap teh ais ada.. apa punya ter... (pengajaran, lain kali kasi training betul-betul pekerja sebelum ambik)


 Inilah aksi terbaik aku tahun ini.. cubaan untuk melontar semula 'bom asap'.. tapi nampaknya tak berjaya, cubaan seterusnya akan dilakukan pada BERSIH 4.0 nanti.. terima kasih kepada saudara Jijul kerana ambik gambar yang tak bermakna nih...


 ..........................................................................................

Perjalanan aku di BERSIH 3.0 ini, aku ucapkan terima kasih kepada sponcer-sponcer tiket kapal terbang aku dari kk ke kl. Kalau harap duit sendiri comfirm makan magee hujung bulan satu keluarga. Jasa korang akan ku kenang...

Bertemu lagi BERSIH 4.0.. Allahuakbar! 

31 October, 2011

PAS Sabah bersedia menghadapi pilihanraya


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

KOTA KINABALU, 30 Okt: PAS Sabah kini menumpukan usaha untuk menawan Sabah yang kini diterajui kerajaan pimpinan UMNO/ Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum Ke-13.

Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah Hishammudin Sulaiman (gambar) berkata, PAS kini bersedia memikul amanah mengurus negeri Sabah daripada BN kerana kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Musa Aman sekarang tidak membawa apa-apa perubahan yang signifikan sejak BN menguasai negeri itu.

“Sudah sampai masanya UMNO/ BN mengangkat bendera putih,” kata Hishammudin dalam Sidang Media selepas perasmian Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Kota Kinabalu Kali Ke-21 di Dewan Saadah, Wisma MUIS disini pagi tadi.




“Kerajaan Sabah dilihat begitu banyak kepincangan dan ketirisan sama ada sektor pentadbiran atau pengurusan. Tidak banyak pembangunan yang dibuat berlandaskan kepada keselesaan rakyat,” tambah Hishammudin lagi.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Pensiangan ini mendakwa kebanyakan janji-janji yang ditaburkan UMNO/ BN kepada rakyat hanyalah seperti menanam tebu dibibir.

“Kita sudah ada negeri contoh seperti Kelantan dan Kedah. Negeri Kelantan sudah diperintah hampir 25 tahun oleh PAS, sudah banyak contoh yang boleh diambil untuk ditiru oleh negeri-negeri yang UMNO/ BN perintah,” ujarnya.

Hishammudin berkata, kepimpinan PAS Sabah sudah mula menggerakkan jentera kawasan sebagai langkah awal mendendang paluan gendang untuk menanti pilihanraya.

“Kita juga telah melancarkan jentera pilihanraya setiap kawasan di Sabah. Itu persediaan awal yang kita buat,” katanya.

Selain itu, Hishammudin juga berkata PAS Sabah akan memberi saingan sengit kepada UMNO/ BN dan tidak akan membiarkan UMNO/ BN berada dalam keadaan selesa setiap masa.

Ketika ditanya mengenai hubungan antara Pakatan Rakyat Sabah, Hishammudin mengatakan bahawa hubungan yang dijalinkan bersama DAP dan PKR sangat baik.

“PAS menyeru kepada semua rakyat, bahawa PAS akan menjadi mata, telinga, tangan, lidah dan kepala rakyat untuk mengangkat kehidupan rakyat ke arah kesejahteraan dan keluar dari kepompong kezaliman,” jelasnya.

23 September, 2011

Analisis Pakatan Rakyat menuju PRU 13 di Sabah

sumber: http://bm.harakahdaily.net
oleh: Siti Salasiah Salamun     

Pendahuluan
Pada 16 September yang lalu, bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia, Konvensyen Pakatan Rakyat Sabah telah berlangsung dengan jayanya di Convention and Event Center, Star City, Kota Kinabalu Sabah. Konvensyen ini dihadiri oleh semua penyokong dan ahli dari Pakatan Rakyat seluruh negeri.
Konvensyen yang bermula dari pukul 1.00 petang hingga 5.00 petang itu bertujuan untuk merasmikan Buku Jingga Pakatan Rakyat Negeri Sabah. Lim Kit Siang, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Wan Azizah antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut hadir memberikan ucapan dan sekaligus merasmikan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Tawaran PR
Tawaran baru Pakatan Rakyat (PR) untuk rakyat Sabah meliputi 20 perkara. Antaranya adalah mengenai agama, menjunjung kedaulatan negeri Sabah, menangani pendatang asing tanpa izin (PATI), pemuliharaan tanah Sabah, Borneonisasi, pengambilalihan Blok L dan M, 20 perkara autonomi Sabah, royalti minyak dan gas, dasar kabotaj, pengawalan cukai hasil negeri Sabah, kajian fungsi FELDA dan FELCRA, Yayasan Orang Asal, pembasmian kemiskinan, perumahan rakyat, peranan Yayasan Sabah dan lain-lain.
Penerimaan rakyat Sabah terhadap PR pada masa ini adalah pada tahap yang amat baik. Di sesetengah kawasan, wakil PR sama ada terdiri daripada PAS, DAP atau PKR, dijadikan rujukan utama oleh masyarakat setempat untuk memberitahu masalah dan mendapatkan penyelesaian kepada masalah itu, hal ini menjadi simbolik kepada ketidakcekapan wakil rakyat BN yang ada untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Menurut Ketua Penerangan Pas Sabah, Hisamudin Sulaiman yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Pensiangan, apabila beliau turun mendengar keluhan dan permasalahan masyarakat di kawasannya, di samping mendedahkan penipuan yang dilakukan oleh BN, pada ketika itulah masyarakat sedar bahawa selama ini mereka hanya ditipu dan tidak diambil berat langsung oleh wakil rakyat yang dipilih oleh mereka dalam PRU lalu.

Beliau juga mendakwa bahawa penduduk kampung memberikan kepada beliau beberapa pucuk surat yang mengandungi berbagai-bagai permintaan daripada penduduk kampung. Beliau menegaskan kepada penduduk kampung bahawa tugas wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya bukan hanya untuk memberikan beras sekilo dua ataupun memberikan ‘tandas segera’, tetapi ia lebih dari itu, iaitu mendengar dan menyelesaikan permasalahan yang wujud.

PAS mengukuh di Sabah 
Di kawasan Sandakan pula, penerimaan masyarakat terhadap PR juga pada tahap yang amat memberangsangkan. Masyarakat di sekitar Batu Sapi sangat teruja apabila mengetahui bahawa Tuan Guru Haji Hadi akan turun ke kawasan mereka, namun harapan mereka untuk bertemu dengan dengan beliau tidak kesampaian apabila beliau tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.
Namun kedatangan beliau di tempat lain seperti di Tawau, amat meriah dan disambut dengan baik.
20 perkara yang ditawarkan oleh PR untuk rakyat Sabah dalam PRU ke 13 yang diurakan-urakan bakal berlangsung dalam masa terdekat ini, merupakan antara isu yang sangat genting dan menjadi satu tuntutan kepada PR untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah jika PR berjaya menakluki ‘fixed deposit’ BN ini.

Antara isu yang cukup sinonim dengan rakyat negeri ini, adalah isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Di semua kawasan, terutamanya kawasan pedalaman, seperti di kawasan Pensiangan, kawasan Batu Sapi, dan kawasan Beluran serta di Merotai, penduduk kampung meneroka dan mengusahakan tanah-tanah tersebut untuk dijadikan kawasan petempatan dan pertanian atau penternakan. Apabila tanah-tanah tersebut diusahakan, ia sepatutnya menjadi milik penduduk yang mengusahakannya.
Namun, hal yang sebaliknya pula terjadi apabila kerajaan sewenang-wenangnya merampas tanah NCR tersebut. Pampasan yang dijanjikan hanya menjadi ‘pemanis mulut’ sahaja tanpa ada tindakan susulan. Rakyat dibiarkan turun naik ke mahkamah dan akhirnya kes ditutup.
Pembelaan yang sewajarnya dibuat oleh wakil rakyat seperti yang diharapkan oleh penduduk kampung, tidak terjadi. Malahan wakil rakyat pula hilang entah ke mana. Hanya akan muncul apabila ada program nyanyian, kebudayaan dan acara tari menari yang sememangnya sinonim dengan jiwa wakil rakyat BN negeri ini.

Tahun ini, PAS Sabah amat tekun dan gigih untuk memastikan Sabah tidak lagi menjadi ‘fixed deposite’ BN pada PRU akan datang. Pada Mei tahun ini, Konvensyen PAS Sabah yang berlangsung di Sabah Hotel, Sandakan yang bermatlamatkan “merakyatkan PAS di Sabah” telah mengusulkan juga beberapa tindakan lain antaranya untuk menyebarkan isi kandungan Buku Jingga, menarik undi masyarakat bukan Islam, mengenalpasti permasalahan masyarakat setempat, kursus pilihanraya kawasan dan penekanan kualiti ahli.

Pada 17 September yang lalu pula, Konvensyen Pas Negeri Sabah telah berlangsung di Yaho Hotel, Kota Kinabalu. Konvensyen pada kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran semua ahli PAS dari seluruh pelusuk negeri ini. Konvensyen yang berlangsung selama sehari ini turut mengupas mengenai Negara Berkebajikan: Tawaran Pas yang telah disampaikan oleh ahli parlimen Pasir Putih Kelantan, Ustaz Muhammad Husin.

Menariknya, konvensyen kali ini menggunakan buku MENEGAKKAN PERJUANGAN: Memenangi Pilihanraya Menerusi Persiapan Tarbiyyah yang ditulis oleh Ustaz Datuk Abu Bakar Chik yang turut digunakan ketika Ijtimak Tarbawi DPPP di Rusila Terengganu pada Oktober tahun lalu.
Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan iaitu ‘Menegakkan Perjuangan’, ‘Pilihanraya adalah Jihad dan Wasilah Perjuangan’ yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Sabah, Ustaz Nuruddin Abdullah dan pembentangan ketiga mengenai ‘Adakah PAS boleh menang dan memerintah Malaysia’ yang disampaikan oleh Ketua Penerangan PAS Sabah, Saudara Hisamudin Sulaiman. Majlis ini diakhiri dengan bacaan doa wehdah oleh Ketua Pemuda PAS Sabah, Saudara Lahirul Latigu.

Jaringan PAS dan NGO
Konvensyen PAS kali ini juga disertai oleh beberapa wakil NGO yang turut serta bersama-sama memperjuangkan isu setempat, antaranya NGO ini bekerjasama dengan PAS Sabah untuk menangani isu alam sekitar yang melibatkan pembukaan lombong arang batu di Felda UMAS. Hasilnya, mereka berjaya menghentikan pembukaan lombong tersebut. Hal ini secara tidak langsung menampakkan bahawa PAS adalah sebuah parti yang universal, tidak hanya merangkumi hal ehwal keagamaan semata-mata.
Di Sabah, pilihanraya Parlimen Batu Sapi yang diadakan tahun lalu adalah cerminan kepada usaha PR di Sabah, khususnya di Sandakan. Walaupun ketika itu wakil dari PKR yang menjadi calon bertanding, namun usaha untuk memenangkan calon ini turut dibantu oleh jentera dari semua parti PR. Hasilnya, lebih 3000 pengundi yang mengundi calon PKR ini. Ia merupakan satu ‘hint’ awal betapa rakyat Sabah mahukan perubahan yang lebih baik dan wakil rakyat dipilih biarlah menjadi mata dan telinga kepada rakyat di parlimen nanti, bukan hanya melihat dan membiarkan rakyat terseksa.

Keberkesanan pendidikan rendah PAS
Penerimaan masyarakat terhadap PAS juga turut dilihat melalui peningkatan murid yang berdaftar di PASTI yang ada di seluruh negeri. Hal ini menunjukkan kepercayaan yang tinggi oleh masyarakat agar anak-anak mereka dapat dididik dengan baik dan berkonsepkan Islam.
Dakwah Islamiyyah turut dapat disebarkan secara ‘bil hikmah’ melalui PASTI. Rata-rata ibu bapa pelajar yang menghantar anak-anak ke sekolah PASTI, berpakaian tidak menepati syariat Islam dan disinilah peranan guru ditonjolkan. Beretika pakaian yang sopan dan menutup aurat merupakan tuntutan wajib untuk semua guru PASTI.

Pada masa ini juga, PASTI beroperasi di seluruh tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan tidak hanya tertumpu pada sesuatu kawasan sahaja. PASTI ada di bandar-bandar besar, di flat-flat mewah dan ada juga di kawasan perumahan elit. Hal ini menunjukkan bahawa PAS mampu untuk memberikan pendidikan bukan hanya kepada golongan sasaran tertentu sahaja tetapi merangkumi kepada semua golongan.

Rintangan seteru politik
Namun, kepastian yang nyata adalah pihak BN tidak akan pernah untuk berdiam diri membiarkan Sabah jatuh ke tangan PR. Ternyata pelbagai usaha difokuskan kepada negeri ini untuk memenangkan BN di Sabah pada pilihanraya akan datang.

Ketika syawal baru-baru ini pun, Ketua Menteri turun ke semua masjid yang ada untuk menyampaikan sumbangan dan membuat rumah terbuka menjamu rakyat yang dahagakan janji ketika PRU lalu. Pemberian beras dan barang-barang keperluan lain kepada golongan sasaran seperti ibu tunggal atau orang kurang upaya sudah menjadi kelaziman untuk wakil BN apabila turun bertemu masyarakat.
Malangnya wakil BN menganggap bahawa itu sudah cukup untuk memadamkan janji-janji yang dibuat ketika PRU lalu. Rakyat Sabah sudah bertahun hidup dalam keadaan yang sama, tidak ada perubahan yang drastik walaupun Sabah merupakan negeri yang kaya pada suatu ketika dahulu. Jalan raya misalnya, hanya dibaiki apabila tiba musim pilihanraya, jambatan di kampung hanya akan dibaiki apabila wakil rakyat BN akan melawat kampung tersebut dan jalan yang berlubang hanya akan ditampal apabila Ketua Menteri melawat kawasan tersebut.

Fenomena yang amat menyedihkan. Adakah rakyat yang tinggal di kawasan itu tidak berhak untuk mendapat kemudahan yang baik? Kenapa perlu tunggu ‘orang besar’ masuk ke kawasan tersebut baru semuanya akan dipulihkan? Saya menyarankan agar Ketua Menteri dan jemaah menterinya berulang alik dari Sandakan ke Kota Kinabalu, atau dari mana sahaja, dengan menaiki kereta melalui jalan raya yang ada. Biar mereka turut merasai betapa sistem perhubungan jalan raya yang ada di negeri ini berada pada tahap yang amat teruk.

Di kawasan Sandakan, misalnya di kawasan pedalaman Batu 12, sehingga saat ini penduduk masih belum mendapat bekalan air bersih walhal tempat tersebut mempunyai sekolah dan petempatan. Penduduk di kawasan itu juga perlu menunggu 11 tahun untuk mendapatkan sistem perhubungan jalan raya yang lebih baik.

Logik atau tidak rakyat perlu menunggu bertahun lamanya untuk mendapat kemudahan yang lebih baik? Sedangkan BN memerintah Sabah lebih lama daripada tempoh itu. Jika anda berkesempatan ke Sandakan, anda akan melihat sepanjang jalan dari Batu 14 hingga ke Batu 12, jalan raya sedang dalam proses pembesaran. Hal ini rentetan daripada jumlah kenderaan yang semakin bertambah. Satu langkah yang amat baik dan disambut baik oleh semua penduduk namun persoalan yang timbul, kenapa sekarang usaha itu dibuat?

Kenapa tidak selepas sahaja kemenangan BN di Sabah pada PRU lalu? Bergerak pula ke kawasan bas ekspres Sandakan, anda akan melihat satu kawasan yang amat daif. Kawasan bas ekspress ini hanya terdiri daripada beberapa pondok tiket bas dan tandas serta beberapa gerai jualan makanan. Dan lebih malang lagi, kawasan bas ekspres ini tidak berbumbung.

Namun, jika anda ke Tawau atau Kota Kinabalu, anda akan dapat merasakan bahawa stesen bas ekspres yang ada setaraf dengan stesen bas ekspres di bandar utama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Cukup lengkap dan gah. Walhal, Ketua Menteri Sabah adalah anak jati Sandakan, namun mengapa Sandakan seakan-akan dianaktirikan, sedangkan Sandakan merupakan bandar terpenting selain Kota Kinabalu dan Tawau.

Stesen bas harian yang terletak di tengah-tengah bandar Sandakan turut mengalami nasib yang sama, dianaktirikan daripada pembangunan. Stesen bas ini tidak berbumbung, (kecuali stesen bas Labuk yang merupakan stesen bas swasta) dan ia sangat menyukarkan pengguna apabila hujan. Hal ini bertambah sukar apabila terdapat bas sesuatu kawasan yang adakalanya jauh dari tumpuan orang ramai.
Hal ini sudah wujud bertahun lamanya tanpa ada apa-apa tindakan daripada pihak kerajaan negeri. Perkara ini patut dipandang dengan serius kerana kebanyakan penduduk menggunakan bas sebagai pengangkutan utama. Jika hal ini tidak ditangani dengan baik, ia akan membebankan rakyat. Jika alasan sempit dan tidak ada ruang yang diberikan, ia adalah tidak relevan kerana kemudahan ini adalah lebih penting daripada pembinaan kompleks membeli belah (Harbour Mall) yang semakin pesat dibangunkan di pinggir bandar Sandakan. Jika kompleks ini ada tempatnya di bandar ini, kenapa pula tidak boleh diperuntukkan tempat untuk stesen bas harian?

Masalah setinggan
Isu setinggan juga amat sinonim dengan negeri ini sama ada di Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau. Di Sandakan, kawasan setinggan BDC yang dulunya terletak di Batu 2 dirobohkan tanpa pembelaan yang wajar diberikan kepada penduduk yang terlibat. Kawasan tersebut kononnya akan digunakan untuk mendirikan Hotel Sri Malaysia namun sehingga ke hari ini, lebih dari 5 tahun kawasan setinggan itu dirobohkan, belum pun ada tanda-tanda pembangunan dilakukan. Semuanya hanya untuk menghapuskan kawasan setinggan agar negeri ini dikatakan ‘zero setinggan’ walhal hakikatnya rakyat merempat dan terpaksa mencari tempat tinggal yang lebih mahal kosnya.

Adakah ini langkah yang betul-betul bijak mengurangkan kemiskinan di Sabah? Penduduk masa kini yang tinggal di kawasan setinggan bagaikan telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja tempat mereka akan dirobohkan. Ketika berkunjung ke Batu Sapi Ramadhan lalu, rumah penduduk di kawasan Kampung Lupak Meluas juga ingin dirobohkan dan tidak ada seorang pun wakil rakyat yang turun menjadi ‘front liner’ mempertahankan penduduk.

Apabila ditanya kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab merobohkan kawasan tersebut, mereka hanya menyatakan bahawa wakil rakyat mereka yang memberikan arahan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa wakil rakyat yang dipilih oleh mereka hanya ‘menyayangi’ mereka apabila tiba musim pilihanraya sahaja.

Isu PATI
Kebanjiran PATI di Sabah juga tidak dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan Negeri. Tawaran PR untuk PRU akan datang adalah menyempurnakan penubuhan Suruhanjaya DiRaja bagi mencari jalan menyelesaikan kemelut pendatang asing tanpa izin di negeri ini. Pendaftaran PATI sebagai penduduk tetap yang dijalankan oleh kerajaan bulan lalu amat membimbangkan.

Penduduk amat takut jika hak yang sepatutnya dimiliki dirampas dan diberikan kepada PATI. Pendaftaran yang dilakukan juga amat merobek hati penduduk, kerana ada antara penduduk tetap negeri ini yang terpaksa berurusan ke Putrajaya semata-mata untuk mendapatkan kad pengenalan penduduk tetap, tetapi kerajaan sewenang-wenangnya memberikan hak tersebut kepada PATI.

Rakyat menghabiskan ribuan ringgit dan perlu menanti bertahun-tahun untuk mendapatkan kad pengenalan, PATI pula mendapat kerakyatan hanya dalam masa beberapa jam. Bukan itu sahaja, kebanjiran PATI di Sabah turut menyebabkan kadar jenayah meningkat. Pecah rumah, mencuri, penyeludupan rokok dan sebagainya turut membimbangkan masyarakat tempatan.

Pelbagai isu yang boleh dicanang untuk menjatuhkan BN di Sabah, point utamanya adalah menyampaikan kepada masyarakat tentang maklumat dan kebenaran yang sepatutnya mereka ketahui.
Meraih kepercayaan penduduk tidak mudah, tapi apabila kita menyampaikan kebenaran insya Allah mereka akan dapat berfikir pilihan yang lebih baik. Jika tempat mereka tidak boleh diakses menggunakan internet, kita perlu turun menyampaikan. Keadaan di Sabah amat berbeza dengan kawasan lain.
Di Sabah ada tempat yang perlu untuk menaiki kereta pacuan empat roda, ada tempat yang hanya boleh menggunakan pengangkutan air, dan ada jalan yang tidak berturap, dan tanah merah. Namun semua ini bukan halangan untuk kita membantu menyampaikan kepada masyarakat. Saya amat yakin dan percaya bahawa rakyat di bawah bayu ini mahukan perubahan kerana semuanya sudah muak menderita di bawah pemerintahan BN yang tidak mempedulikan rakyat.

Penutup
 Bahang pilihanraya semakin terasa samada akan diadakan pada tahun ini atau tidak. Pelbagai usaha harus dijalankan oleh semua jentera pilihanraya kawasan. Penculaan, mengenalpasti permasalahan setempat, mendekati golongan sasaran, menarik undi bukan Islam, memantapkan kualiti ahli dan memperbanyakkan program dan aktiviti bersifat luaran, tidak hanya tertumpu aktiviti dalaman sahaja. Jika usaha sudah dibuat sebesar Gunung Kinabalu dan sedalam Lautan China Selatan, namun jika kemenangan masih belum diberikan, bersabarlah kerana Allah SWT beserta dengan orang-orang yang sabar.

20 June, 2011

PRU ke-13 pada 11.11.2011 berasas

sumber: http://masdarwahid.blogspot.com

Bayangan pilihan raya umum (PRU) ke-13 semakin hampir sekarang apabila Perhubungan Umno Negeri-Negeri difahamkan sudah diarah membuat persiapan.

Teki teka tarikh yang disebut banyak pihak sebelum ini iaitu November 2011 mungkin ada asasnya, memandangkan ketika itu Perdana Menteri baru selesai membentang Bajet 2012.

Bajet ‘gula-gula’ kepada penjawat awam dan beberapa kumpulan sasar lain dikatakan bakal menjadi modal bagi memancing hati rakyat.

Selain itu Perhimpunan Agung Umno juga selesai diadakan pada Oktober. Kemungkinan selepas Hari Raya Haji. Di pantai timur pula musim tengkujuh.

Malah Datuk Seri Najib Razak juga sudah mengadakan majlis pertunangan anaknya Nooryana Najwa dengan Daniyar Nazarbayev, kerabat kepada Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.

Majlis pertunangan secara inklusif itu dikatakan diadakan di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam. Ada laporan mendakwa majlis itu membabitkan kos agak tinggi.

Satu sumber menyebut pilihan angka 11 masih tidak dapat dipisahkan dengan Najib biar pun rakyat mulai meluah rasa tidak senang terhadap kepemimpinannya sekarang.Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) kini hanya bergantung sepenuhnya kepada jentera kerajaan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pasukan keselamatan bagi mengekalkan kuasa.

Ini dibuktikan projek khas yang dikatakan dilaksana agensi kerajaan terutamanya JPN dan SPR di Selangor hampir selesai.

”Umno akan menggunakan apa cara sekali pun bagi memastikan Selangor dapat dirampas kembali pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

”Projek itu tidak mampu dihalang lagi kerana mana-mana pegawai kerajaan pusat di Selangor yang kurang memberi kerjasama ditukar,” katanya di sini.

Kaedah terbabit pernah diguna di Terengganu pada PRU 2004, di mana peratusan keluar mengundi hampir 100 peratus. Kemungkinan besar ia berulang di Selangor.

Keberkesanan kaedah tersebut menjadi senjata akhir di Selangor pada PRU ke-13 nanti, biar pun agak sukar di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Ini dapat dilihat apabila pembongkaran media oposisi mengenai sindiket mendaftar penduduk Sabah mengundi di Selangor begitu aktif dilakukan awal tahun ini dengan kerjasama rapat JPN dan SPR.

Malah penafian berulang kali menteri dan pemimpin Umno mengenai sindiket terbabit tidak mampu merungkai persoalan.

Suhu kemarahan rakyat mulai kelihatan ekoran kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus. Aada pengguna terpaksa membayar bil baru dengan kenaikan sehingga lebih 100 peratus.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, biar pun kenaikan tarif baru elektrik diumumkan mulai 1 Jun lalu, namun ada pengguna sudah menerima bil baru mencatat kenaikan begitu tinggi.

”Ada pengguna yang sebelum ini menerima bil elektrik sekitar RM250 sebulan sekarang menerima bil baru sehingga RM500. Sedangkan belum sampai sebulan tarikh kenaikan berkuatkuasa,” katanya.

Berucap merasmikan pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Tumpat di Pantai Sri Tujuh dekat sini malam tadi katanya, rakyat sudah merasai kesan kenaikan tarif elektrik sekarang.

Hadir sama pada program itu Yang Dipertua PAS Tumpat, Datuk Ahmad Yakob, timbalannya, Mohd Zaki Ibrahim, Naib YDP, Che Abdullah Mat Nawi, anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rusdi Wan Ibrahim.

Program tersebut bermula dengan solat Maghrib diikuti solat hajat dan Isyak. Setiap unit peti undi PAS di Tumpat menghantar seramai 15 petugas.

Amarah rakyat dijangka berganda tahun hadapan apabila banyak lagi kesan sampingan dirasai.

Bagi mengelaknya, November depan merupakan masa terbaik selepas kemarahan rakyat disejuk dengan Bajet yang menghidangkan pelbagai janji.HD

9 Julai penentu akhir tarikh PRU 13

SUMBER: http://bm.harakahdaily.net/

HALAMAN Masjid Negara penuh sesak dengan lautan manusia. Fenomena itu masih diingati ramai. Ia berlaku pada tanggal 20 September 1998.

Rentetan peristiwa bermula selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim disingkir dengan cara mengaibkan. Orang Melayu bangkit menjadikan jalan raya dan tempat awam sebagai medan.

Ribuan anak muda Melayu mulai mengenal erti reformasi. Kejayaan rakan mahasiswa di Indonesia menyingkirkan rejim Suharto turut merebak ke Malaysia.

Ini bermakna perhimpunan ratusan ribu rakyat sudah lama berlaku di nusantara. Ia jauh lebih awal berbanding apa yang berlaku di wilayah Arab tahun ini.

Demontrasi bermula di Tunisia pada Januari lalu. Selepas itu merebak ke Dataran Tahrir di Kaherah. Babak demonstrasi di Tunisia dimulakan seorang anak muda.

Penjual sayur, Mohamed Bouazizi, 26 graduan sains komputer mencetus kebangkitan rakyat.

Kisahnya malangnya berlaku pada 17 Disember lalu. Barangan jualan disita polis di Kota Sidi Bouzid. Baouzizi memprotes, akhirnya kecewa dan membakar diri. Bouazizi meninggal pada 4 Januari 2011.

Peristiwa itu berjaya membakar amarah rakyat Tunisia. Kesannya Presiden Zine El Abidine Ben Ali terpaksa melarikan diri. Di Kaherah pula pada 3 Febuari pasukan bersenjata menembak penunjuk perasaan. Pada awalnya enam terbunuh dan lebih 800 cedera.

Setelah jumlah korban bertambah akhirnya Presiden Hosni Mubarak, 82 tinggalkan jawatan. Bantahan awal di Mesir juga dimulakan seorang lelaki. Dia menggunakan senjata facebook.

Dan selepas itu saki baki gerakan rakyat menular ke Libya dan negara Asia Barat lain. Yaman dan Syria masih berdepan dengan gelodak rakyat sehingga sekarang.

Semuanya itu berlaku sebagai usaha akhir bagi mengembalikan hak rakyat. Inilah yang dinamakan politik baru. Ia mulai muncul di negara-negara umat Islam.

Di negara umat Islam ruang demokrasi tidak mampu menggoncang pemerintah yang ada. Malah pilihan raya hanya menguatkan posisi kerajaan.

Akhirnya rakyat memilih jalan raya bagi meluahkan perasaan. Inilah yang berlaku di mana-mana negara umat Islam sekarang. Kejayaan demontrasi rakyat di negara Arab lebih hebat kerana dibayar nyawa dan harta benda.

Berlainan demontrasi jalanan dicetus di Indonesia dan Malaysia pada 1998. Tiada angka korban kecuali dikurung sementara di sel besi dan merasai pedih water canon.

PAS jadi ketua

Kejayaan demontrasi 1998 membolehkan 45 anggota parlimen Barisan Alternatif memasuki parlimen pada pilihan raya umum 1999. PAS menduduki kerusi ketua pembangkang apabila bilangan anggota parlimennya 27 orang.

Dan sekali lagi pada 10 November 2007 himpunan puluhan ribu rakyat menghantar isyarat awal buat kerajaan BN. Ia dikenali himpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih (Bersih).

Kesannya dirasai setahun kemudian. Pada 2008 Pakatan Rakyat berjaya menafikan kuasa dua pertiga kerajaan BN. Kejayaan pembangkang pada pilihan raya 1969 berulang semula pada 2008.

Cuma terbaliknya demontrasi diadakan pada 1969 selepas pilihan raya berlangsung. DAP meraikan kejayaan sehingga mencetus peristiwa 13 Mei.

Petunjuk jumlah peserta yang hadir dalam mana-mana demontrasi mampu menterjemahkan kekuatan sebenar kerajaan atau pembangkang.

Itulah yang berlaku pada 1999 dan 2008. Begitu juga pada 1977 di Kota Bharu. Demontrasi jalanan 1977 menolak kepimpinan Dato’ Mohamad Nasir memecahkan PAS dari dalam.

Maka bertitik tolak daripada pengalaman tersebut kerajaan BN cuba menghalang perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Sasaran Bersih 2.0 menghimpunkan lebih 500,000 rakyat. Mereka dijadual berarak ke Istana Negara bagi menuntut reformasi pilihan raya.

Berakar umbi kejayaan pembangkang menganjur demontrasi, maka pihak lain juga menggunakan medan sama bagi meluahkan perasaan.

Banyak NGO sekarang menggunakan medan serupa. Baru-baru ini Persatuan Perniagaan Kenderaan Negeri Melaka berhimpun bagi menyatakan tidak senang dasar baru kerajaan.

Mereka meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengkaji semula pindaan Akta Sewa Beli 1967 yang berkuatkuasa Jun ini.

NGO terbabit mendakwa peraturan baru digubal mendatangkan kesan terhadap pengguna dan juga industri penjualan kenderaan.

Naib Presidennya, Raymond Choo mendakwa akta berkenaan mengakibatkan pengguna terpaksa menanggung kos lebih tinggi. Lebih 100 pengusaha kenderaan terpakai dilapor berhimpun menbantah pindaan akta tersebut. Sebelum itu perhimpunan serupa juga berlaku di ibu negara.

Himpunan jalanan jadi pilihan

Perhimpunan aman lain juga dianjur pengusaha bot laut dalam. Kira-kira 500 nelayan dan pengusaha bot tunda berkumpul di kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Kuantan menuntut kerajaan mengembalikan subsidi super yang dinikmati mereka sebelum ini.

Puncanya nelayan laut dalam tidak lagi mendapat bekalan minyak pada harga super subsidi iaitu RM1.25 seliter. Sekarang mereka kena beli diesel pada harga RM1.80 sen.

Ekoran tindakan mogok nelayan laut dalam menyebabkan harga ikan dan makanan laut naik kira-kira 30 peratus. Bagi menyelesaikan kemelut tersebut menteri berkaitan pada awalnya mengugut mahu menarik balik lesen nelayan di zon A, B dan C.

Namun kemudian berlembut setelah nelayan tidak berganjak. Demontrasi ada kalanya membuah hasilnya.

Ternyata hari ini bukan sekadar parti politik berhimpun membantah ketidakadilan kerajaan, sebaliknya NGO dan pihak lain mengambil langkah serupa.

Ini kerana perhimpunan dianjur mampu mengubah sikap kerajaan. Buktinya perhimpunan membantah cadangan kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyebabkan ia ditangguh sehingga sekarang.

Maka menumpang kejayaan perhimpunan rakyat, kerajaan juga baru-baru ini menganjurkan perhimpunan sejuta belia di Putrajaya.

Biar pun nawaitunya berlainan, namun perhimpunan aman juga menjadi pilihan. Perhimpunan anjuran kerajaan hanya sekadar mahu hiburkan anak muda. Berbeza jauh berbanding perhimpunan dianjurkan pembangkang dan NGO. Mesejnya lebih jelas.

Cuma Dato’ Seri Najib Razak tiba-tiba tersasul memperalatkan perhimpunan sejuta belia anjuran kerajaan dengan mengajak anak muda mempertahan Putrajaya.

Sebelum ini Umno dan BN juga pernah menganjurkan perhimpunan yang dikenali Juara Rakyat. Program itu hanya mampu bertahan seketika.

Juara Rakyat atau apa sahaja perhimpunan yang dianjur Umno dan kerajaan tidak lebih sekadar menghimpunkan kakitangan awam. Lebih kurang sama seperti perhimpunan bulanan penjawat awam.

Contohnya pelancaran Gelombang Merah di Pasir Puteh, Kelantan April lalu mengerah semua guru di jajahan itu hadir. Pernah juga kedatangan Perdana Menteri ke Kelantan di era Tun Dr Mahathir Mohamed mewajibkan guru yang hadir menandatangani kedatangan.

Itulah taktik yang mungkin berulang 2 Julai ini. Najib sekali lagi dijangka datang ke Kelantan. Hasrat Umno mahu menghimpunkan 30,000 rakyat. Realiti itu boleh berlaku apabila semua guru dan kakitangan persekutuan dikerah datang. Kalau berjaya mungkin Perdana Menteri senang hati mengisytiharkan pilihan raya umum ke-13 November nanti.

Ketika itu bajet 2012 sudah dibentang dan perhimpunan agung Umno baru selesai.

Namun ilham PRU-13 Perdana Menteri boleh tersentak, sekiranya Himpunan Bersih 2.0 melepasi sasaran.

13 June, 2011

Senarai Penuh Kabinet PAS Pusat 2011/2013 dan PJ Negeri


Mesyuarat Pertama AJK Kerja PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Presiden sendiri telah diadakan hari ini di Pejabat Agong. Berikut adalah senarai penuh kabinet baru PAS Pusat termasuk AJK Kerja dan Pesuruhjaya Negeri yang dilantik.

Presiden : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Timbalan Presiden : Hj Mohamad Sabu

N.Presiden I : Hj Salahuddin Ayub

N.Presiden II : Hj Husam Musa

N.Presiden III : Hj Mahfuz Omar

Setiausaha Agong : Mustafa Ali

Pen SU I : Takiyuddin Hasaan

Pen SU II : Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi

Pen SU III : Ahmad Sabki Yusuf

Ketua Penerangan : Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Bendahari : Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman

Pengarah Pilihanraya : Dr Mohd Hatta Ramli

Ketua Pemuda : Ustaz Nasruddin Tantawi

Ketua Muslimat : Siti Zailah Mohd Yusuf

AJK Kerja :

1. Mazlan Aliman
2. Dr Hatta Ramli
3. Kamarudin Jaffar
4. Hanipa Maidin
5. Ustaz Azizan Abdul Razak
6. Dr Dzulkefly Ahmad
7. Dr Mujahid Yusuf Rawa
8. Hj Khalid Samad
9. Ustaz Ghani Shamsuddin
10. Hj Amiruddin Hamzah
11. Hj Abdul Wahid Endut
12. Ustaz Abu Bakar Chik
13. Nik Mohd Amar Abdullah
14. Dr Mahfodz Mohamed
15. Dr Siti Mariah Mahmud
16. Dr Hassan Mohd Ali
17. Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman
18. Ustazah Nuridah Salleh

AJK Yang Dilantik;

19. Nasharudin Mat Isa
20. Idris Ahmad
21. Hj Asmuni Awi
22. Anuar Tahir
23. Mohammad Nizar Jamaluddin
24. Zulkefly Mohammad Omar
25. Abang Ahmad Kerdee Masagus (calon PAS Beting Maro)

Pesuruhjaya Negeri (Kekal)

Kelantan - Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Pahang - Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Johor - Datuk Dr Mahfodz Mohamed
Perak - Ust Abu Bakar Husin
Kedah - Datuk Seri Azizan Abdul Razak
P.Pinang - Ust Salleh Man
Perlis - Ust Hashim Jasin
Wilayah Persekutuan - Ust Mohd Noor Mohamad
Sarawak - Ust Adam Ahid

Pesuruhjaya Baru ;

Terengganu - Abdul Wahid Endut
Negeri Sembilan - Mohd Taufek Abdul Ghani
Selangor - Dr Abd Rani Osman
Melaka - Adly Zahari
Sabah - Aminuddin Alin.

09 June, 2011

Tawan 10 Parlimen Sarawak - Mat Sabu

sumber: http://masdarwahid.blogspot.com

Pakatan Rakyat (PR) mensasarkan untuk memenangi minimia 10 kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Timbalan Presiden PAS, Mohd Sabu.

Antara kerusi itu, kata beliau termasuklah Parlimen Miri, Parlimen Baram dan Parlimen Sibuti.

"Walaupun pilihanraya Sarawak baru berakhir, kita jangan terlalu leka kerana PRU ke-13 kian hampir.

"Ada yang cakap (PRU akan diadakan pada) Julai atau November (tahun ini) atau awal tahun depan, maksudnya ia (PRU) akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya di Miri baru-baru ini.

Sebelum ini, Biro Sains dan Kesihatan KEADILAN, Dr Lee Boon Chye berkata, PR Sarawak hampir pasti menawan empat kerusi Parlimen di negeri itu berdasarkan keputusan pilihanraya Sarawak lalu.“Jika kita terjemahkan keputusan Pilihanraya Sarawak lalu kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) mendatang di Sarawak, saya berpendapat PR hampir pasti menambah empat lagi kerusi Parlimen berbanding dua ketika ini,” katanya pada majlis makan malam anjuran KEADILAN Stampin baru-baru ini.

Pada PRN lalu, PR menang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang, DUN Kota Sentosa dan DUN Batu Kawah yang terletak di bawah Parlimen Stampin, manakala DUN Repok dan DUN Meradong (Sarikei), DUN Bukit Assek dan DUN Dudong (Lanang) serta DUN Piasau dan DUN Pujut (Miri) dengan ke semua kawasan itu majoritinya masyarakat Cina.

Menurutnya, angin perubahan dalam PRN lalu tidak hanya berlaku dalam kalangan masyarakat Cina tetapi juga kaum-kaum lain seperti yang berlaku di DUN Beting Maro yang majoritinya masyarakat Melayu/Melanau apabila PR hanya tewas majoriti 391 undi.

“Pilihan raya ini membuktikan keputusan KEADILAN bersama DAP dan PAS untuk membentuk parti berbilang kaum adalah keputusan tepat dan pastinya usaha untuk memastikan sebanyak mungkin kerusi Parlimen di tawan PR pada PRU akan datang kian giat dijalankan di Sarawak," tambahnya.

Ketika ini PR Sarawak hanya memiliki dua Parlimen iaitu di Sibu dan Kuching yang diwakili DAP.Sementara itu, beberapa tahun lalu, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramah di Sabah menegaskan, bagi memudahkan PR menawan Putrajaya, gabungan KEADILAN, PAS dan DAP perlu menang minima 10 kerusi Parlimen di Sabah dan 10 lagi kerusi Parlimen di Sarawak.

17 May, 2011

Politik Itu Persepsi

sumber: http://legehiyyah.blogspot.com

Media berperanan penting dalam mencanang dan membuat propaganda bagi mengangkat dan menjatuhkan seseorang pemimpin atau parti politik. Media boleh mengubah persepsi seseorang daripada A kepada B. Begitulah sebaliknya.

" Kita melihat Utusan Malaysia terus menjadi alat Najib dan sekutunya sekalipun ianya mengetahui tidak digemari oleh para pembaca. Tetapi oleh , kerana politik itu persepsi, mereka akan meneruskan usaha untuk mengubah persepsi masyarakat." Kata Mohamed Sabu ketika berucap dalam ceramah Pakatan Rakyat Batu Sapi.

Mohamed meminta hadirin membayangkan, apa yang akan terjadi sekiranya PAS atau DAP yang lakukan :-

i. Menukar cuti umum di Johor dan Perlis dari hari jumaat kepada Ahad
ii. Menyekat bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat sedangkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil terus dibantu.
iii. Menukar biasiswa pelajaran kepada pinjaman
iv. menarik royalti minyak di Terengganu dan engan membayar royalti kepada Kelantan.
v. Tidak menambah kerusi Melayu dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya 2004

Semua ini dilakukan oleh UMNO BN. Rakyat seperti dapat menerima itu semua kerana persepsi baik rakyat kepada UMNO BN yang kononnya menjaga agama Islam dan ketuanan Melayu.

Mohamad Sabu turut melahirkan rasa kecewa dengan tahap manupulasi dan kebebasan media Malaysia yang menduduki rangking ke 166, lebih teruk daripada Zimbabwe dan Myamar.

" Persepsi juga menyebabkan rakyat ditakutkan dengan pengaruh DAP yang kononnya akan memerintah Malaysia. Mana boleh DAP memerintah Malaysia kerana DAP hanya bertanding 40 kerusi dan DAP bertembung dengan parti-parti bukan Melayu seperti MCA, MIC, SUPP dan sebagainya. Di Kerusi Melayu, PAS dan PKR akan bertembung dengan UMNO.Ini bererti, kalau UMNO kalah, PAS dan PKRlah yang akan menang. Ia tetap Melayu." Jelas Mohamed Sabu.

Persepsi rakyat mesti diubah dengan usaha penerangan yang berterusan dan menyangkal tohmohan-tohmohan yang telah membentuk persepsi yang salah selama ini.

19 April, 2011

KALAU ADA MARUAH DAN BERJIWA BESAR, HE SHOULD RESIGN FROM CONTINUING TO BE PRIME MINISTER

sumber: http://iskhandarzulkarnain.blogspot.com/

Walaupun Najib berkampung 6 hari di Sarawak semasa kempen PRN Sarawak Sabtu lalu, tetapi rakyat tetap menolak BN. Bukti Najib ditolak oleh rakyat ialah :-


1) BN hilang 8 kerusi tambahan menjadi 15 berbanding hanya 7 pada PRN 2006

2) Undi popular BN merosot dari 62 % kepada hanya 55 % iaitu kira-kira 7 - 8 %


Rakyat tetap tidak percaya kepada konsep 1Malaysia Najib dan tetap menolak BN walaupun berbilion projek pembangunan diumumkan oleh Najib.


Tidak pernah Perdana Menteri sebelum Najib duduk berkampung semasa kempen dalam sejarah PRN Sarawak. Keadaan ini menjadi bukti Najib ditolak oleh rakyat bersama-sama dengan konsep 1Malaysia beliau. Najib sepatutnya berasa malu dan wajar meletakkan jawatannya lantaran prestasi buruk beliau yang gagal memimpin BN mengekalkan rekod baik BN di Sarawak.


Jika beliau seorang yang bermaruah dan pemimpin berjiwa besar, beliau sepatutnya meletakkan jawatan atas kegagalan BN ini.

18 April, 2011

N20 Sadong Jaya: Catatan Akhir

sumber: http://islamreturn.blogspot.com

Salam perjuangan..

Mungkin ramai juga yang menjengok blog ini untuk mendapatkan maklumat terkini, namun aku minta maaf kerana sepanjang hari pengundian yang lalu dan sehinggalah semalam, langsung tidak berkesempatan untuk menulis sebarang ulasan. Seawal pagi dah terpacak di depan Sek. Ren. Keb. Jemukan sebagai perayu undi. Kekuatan anggota yang tidak ramai dan kekurangan dari perayu undi tempatan menyebabkan aku tidak dapat meninggalkan kubu walaupun seketika. Bermula pukul 7.30 pagi hingga 3.30 ptg, aku bersama sdra mustaman dan lain-lain teman dari Sabah setia terpacak dipintu pagar sekolah sebagai perayu undi.

Petugas Sabah sedang bersarapan 'special menu' sebelum keluar bertugas pada hari mengundi

Setia menunggu sehingga saat-saat akhir pengundian (muka masing-masing dah keletihan)

Ini pula petugas yang dah merajuk (nak pujuk hati, makan sorang-sorang)

Pada awal proses pengundian, berlaku juga sedikit kekecohan kerana SPR tidak meletakkan garisan kuning sebagai sempadan perayu undi. Ini menyebabkan ada dikalangan parti yang bertanding membuka 'barong' di dalam kawasan sekolah. Sedikit yang memelikkan aku pada plihanraya kali ini ialah, BN langsung tidak keluarkan payung, topi atau t-shirt kepada petugas pilihanraya mereka semasa hari pengundian. Sehingga ada dikalangan petugas mereka berpayung dibawah payung PAS dek kerana kepanasan. Ada juga suara-suara yang menyatakan bahawa, kerana mereka menyangkakan bahawa mereka akan kalah pada PRN kali ini. Walllahhu'aklam.

Saudara Mustaman sedang bertemu bual dengan bekas pengerusi SPR (Abd Rashid). (ada iras-iras tak..?)

Petugas di barong panas, beberapa jam sebelum pusat pengundian ditutup (kanan sekali, kak faezah, s/u kerja PASTI kawasan Sepanggar, pilihanraya mana yang beliau tidak ada. Bagi pilihanraya kali ini, beliau suami dan anak lelaki mereka turun bersama)

Secara ringkasnya, kecenderungan mengundi pada hari terakhir telah memihak kepada BN. Mungkin benar juga kata salah seorang orang tempatan yang menyokong PAS kepada aku. Beliau menyebut bahawa, sifat penduduk disini kebanyakannya semangat (untuk undi selain BN) hanya 2,3 hari sebelum mengundi, tapi bila tiba hari mengundi semuanya sejuk. Sekiranya dilihat dari sudut jentera dan program/aktiviti, sebenarnya PAS telah mendahului, namun mungkin nasib pada kali ini masih lagi tidak memihak kepada PAS.

Sebelum bergerak ke Kuching pada pukul 4.30 petang kerana mengejar penerbangan MAS jam 8.50mlm, sempat juga aku membuat sedikit analisis ringkas pola pegundian UPU Jemukan. Walaupun undi salurun 2 sangat berkurangan memihak pada PAS berbanding pada PBB-BN, namun secara keseluruhan undi PAS pada kali ini ada peningkatan (walaupun angkanya sangat sedikit). Menurut orang tempatan, kebanyakkan pengundi muda yang memberi sokongan kepada PKR pada pilihanraya yang lepas, terpaksa bekerja diluar kawasan dan tidak sempat untuk pulang mengundi, inilah yang menyebabkan pengundi-pengundi saluran 2 berkurangan dan yang ada pun hanya mereka yang kerja di kampung dan tidak mendapat maklumat. Selain dari itu terdapat gangguan calon bebas yang turut bertanding disini, menyebabakan banyak undi yang berpecah.

Sekalung Penghargaan

Pada kesempatan ini, aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hj. Rashid (tuan rumah) sekeluarga kerana memberi kemudahan tempat tinggal kepada kami sepanjang PRN Sarawak. Beliau dan keluargalah yang menyediakan sarapan pagi buat kami (PAS Sabah) setiap kali selepas solat subuh. Bukan sekadar tempat tinggal dan makan minum, malah kenderaan beliau juga turut beliau berikan untuk digunakan. Sepanjang aku disana, kalau tidak kerana jasa motosikal beliau, mungkin aku tidak mampu untuk ke pekan Sadong Jaya dan ke serata tempat bagi mendapat sumber maklumat untuk 'update' blog ini. Semoga Allah melimpahkan rezki dan ketenagan pada beliau sekeluarga di atas jasa dan pengorbanan beliau.Terima kasih dari kami PAS Sabah dan jentera media SBS. Juga sekalung tahniah kepada jentera PAS Selangor yang bertungkus-lumus bekerja tanpa mengenal erti penat lelah.

Ketua pemuda Selangor (tengah) Timbalan Ketua (kiri) dan Naib Ketua (kanan) seiring berkerja


Petugas culaan dan perayu undi dari Dewan Muslimat Selangor bekerja keras tanpa mengenal erti penat dan lelah

Saudara Azmin (driver aku) setia membawa aku kemana sahaja untuk mendapatkan berita dan maklumat. Bergambar bersama unit amal Selangor yang sedang bertugas.

Keseluruhannya, aku bangga dengan sifat rakyat Sarawak yang mesra dan hormat-menghormati. Ada teman yang berpandangan, inilah sifat sebenar masyarakat setempat sekiranya parti yang bertanding bukan dari UMNO. Kerana sekiranya ideologi UMNO masuk ke dalam jiwa masyarakat, maka hati mereka akan menjadi kering dan akhirnya timbul sifat permusuhan. Namun, apa yang aku lihat di depan mata aku sendiri, walaupun mereka penyokong kuat PBB, namun sifat menghormati tetamu (orang luar) sangat-sangat mendalam di dalam jiwa dan perbuatan mereka.


Menjala ikan menjadi rutin mereka (masyarakat setempat) pada sebelah petang apabila air pasang
....................................................

Dalam Ingatan: Sadong Jaya Bumi yang Subur

Setiba aku di Sadong Jaya, perkara yang menarik perhatian aku ialah buminya yang subur. Kelihatan pelbagai tanaman ditanam dan ianya mendatangkan hasil yang sangat baik. Apa yang lebih mengujakan, semua tanaman ini hanya ditanam ditepi jalan sahaja. Berikut adalah antara tanaman yang sempat aku cilok untuk ambil gambar, selainnya aku tak berkesempatan. Semoga suatu hari nanti bumi yang subur ini akan tertegaknya sebuah kebangkitan Islam yang subur dengan rahmat dan kasih sayang dari Allah.


Tanaman kelapa sawit

Tanaman pisang

Tanaman padi

Kacang 'bendi'

Cili padi

Catatan akhir aku disini aku akhiri dengan, "Kami telah tinggalkan benih-benih 'fitrah' disana, semoga ianya tumbuh memagari rakyat dan rimbunannya nanti akan menaungi rakyat untuk menumpang berteduh".

Penyerahan borang keahlian PAS dari pemuda Jemukan pada pagi hari pilihanraya (Alhamdulillah.. hasil bermingguan berkampung di sana)

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.