RAKYAT Sabah mungkin bersetuju sangat dengan penegasan Yang di Pertua USIA, Tun Hj. Sakaran Dandai bahawa pengetahuan dan inovasi merupakan kunci kejayaan bagi umat Islam untuk mendapatkan kembali status sebagai pihak yang memiliki peradaban yang tinggi.
Tetapi, dalam masa yang sama, suka juga saya mengemukakan soalan kepada Tun Sakaran, apa itu yang beliau maksudkan dengan peradaban yang tinggi? Apakah pada kepercayaan Tun Sakaran bahawa USIA yang dipimpin beliau sudah dikira mempunyai peradaban yang tinggi sedangkan tanah miliknya yang kini bukan sahaja menjadi Pusat Maksiat, malah mengenepikan Umat Islam.
Tanah USIA yang didirikan 1Borneo Shopping Mall telah meminggirkan peluang usahawan Islam untuk turut sama terlibat dalam kegiatan ekonomi lantaran kos sewa ruangniaganya terlalu tinggi? Bagaimana dengan pesta maksiat yang mempamerkan penyanyi dan pelakon-pelakon dari Hong Kong yang sering membuat pementasan di 1 Borneo Shopping Mall?
Mana pemimpin-pemimpin USIA yang berilmu pengetahuan dan berinovasi sehingga tidak mampu membuat 'guideline' yang mesti dipatuhi oleh pemaju 1 Borneo Shopping Mall agar segala bentuk aktiviti di Shopping Mall tersebut tidak bercanggah dengan peradaban Islam yang menjadi pegangan kita sejak lahir.
Saya juga bertanya berapa banyak keuntungan yang telah diperolehi oleh USIA daripada aktiviti ekonomi seperti penjualan hasil balak di atas tanah miliknya di Bonggaya? Berapa hasil yang diperolehi daripada aktiviti di ladang sawit miliknya? Beberapa bidang tanah komersil yang masih dimiliki USIA di Sandakan, siapa yang mendapat keuntungan hasil daripada sewa yang dibayar oleh mereka yang menyewanya? Bangsa apa yang menyewa tanah-tanah milik USIA ini?
Satu ketika saya terbaca dalam akhbar tempatan bahawa USIA sedang dalam rangka untuk menubuhkan sebuah Kolej Islam di Sabah. Kenyataan ini tersiar dalam akhbar tempatan kira-kira 3 tahun lalu.
Bolehkah USIA menjelaskan di mana kolej tersebut didirikan? Apakah USIA sedar bahawa sekolah-sekolah rendah Islam yang terdapat di seluruh Sabah masih berkeadaan dalam serba kekurangan serta daif.
Apa pula usaha proaktif USIA untuk mempastikan agar sekolah-sekolah rendah Islam ini mempunyai kelengkapan yang setanding dengan sekolah-sekolah rendah Cina serta imbuhan untuk tenaga pengajarnya berwajaran dengan kos sara hidup semasa?.
Akhir sekali, saya suka menyarankan agar para pemimpin USIA meningkatkan iltizam untuk menjadikan pertubuhan tersebut sebagai sebuah pertubuhan yang mempunyai wawasan untuk ISLAM, bekerja demi Islam, bukan untuk kepentingan pemimpin sekular yang secara jelas menolak Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang diredhai Allah.
Bekerja tanpa memikirkan berapa imbuhan dan tuntutan perjalanan yang mesti dibayar oleh USIA terlebih dahulu, kemudian barulah boleh buat kerja. Pemimpin dan pendokong pertubuhan USIA mesti bersedia untuk mempersoalkan kepincangan yang berlaku dalam USIA supaya jangan nantinya ada pemimpin yang menjadikan ilmu pengetahuan dan inovasi untuk menggadai hakmilik USIA yang juga hakmilik umat Islam!
0 ulasan:
Post a Comment