Saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang muallaf dalam satu siri ceramah dan pengajian. Sebelum ceramah santai disampaikan, kami berbual ringkas berkenaan peribadi mereka.
HIDAYAH MELALUI MIMPI
Puan Nur Izzati, 42 tahun baru setahun memeluk Islam. Dahulunya ia seorang pagan.
Perjalanan hidup daripada tidak beragama kepada seorang muslimah bermula beberapa tahun lampau, apabila dia sering bermimpi cerita aneh.
Seorang imam berpakaian lengkap jubah dan berserban putih hadir dalam mimpinya mengajar al-Quran. Dalam masa yang sama, sawah kering di kampungnya menjadi subur dengan kehadiran orang misteri berkenaan.
Mimpi itu dialaminya beberapa kali. Akhirnya dia memutuskan untuk memeluk Islam. Kesungguhannya terhadap agama Islam terserlah apabila Nur Izzati memilih kekal dalam Islam walaupun terpaksa berpisah dengan suami yang enggan bersamanya.
Walaupun demikian, hubungannya dengan semua ahli keluarganya adalah baik dan dia berdoa agar suatu hari nanti mereka semua akan bersama-samanya di dalam Islam.
***
DENGKI DENGAN ORANG ISLAM
Nur Syafiqa, 19 tahun sudah dua tahun bergelar muslimah. Seronok mendengar kisahnya memeluk Islam hanya kerana dengki.
Keluarga Syafiqa begitu terbuka. Oleh yang demikian ada kalangan ahli keluarganya yang sebelum ini beragama Kristian kemudiannya memeluk Islam.
Syafiqa suka melihat kakaknya yang terlebih dahulu memeluk Islam mengenakan tudung dan bertelekung ketika solat. Perasaan ingin tahu membuak-buak di hatinya khususnya pada bulan Ramadhan.
Orang Islam berbuka puasa beramai-ramai bersama keluarga masing-masing dan solat berjamaah begitu meriah dalam bulan itu khususnya pada waktu malam. Dia seronok melihat orang Islam gembira dengan aktiviti ibadah mereka.
Dengan perasaan ‘dengki’nya itulah dia meluahkan hasrat untuk memeluk Islam. Kepada saya, diluahkan perasaan syukur dan gembiranya dan dia berharap terus konsisten dalam agama ini dengan mengikuti kelas-kelas pengajian agama Islam.
0 ulasan:
Post a Comment