Sumber: http://albelurani.blogspot.com/
Bismillah...
Kebanjiran industri hiburan di negara kita dan kegalakan pihak - pihak tertentu dalam menganjurkan hiburan berbagai bentuk adakalanya boleh mengancam masyarakat di negara ini.
Saya yakin sudah beberapa pihak yang telah merasai situasi dan keadaan ini yang mana mereka telah bertungkus lumus dalam membendung keadaan ini agar ianya tidak terus menerus mengancam dan merosakkan masyarakat di negara kita.
Dalam membicarakan hal hiburan ini, saya tertarik dengan sebuah buku yang bertajuk GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM yang telah diterbitkan pada cetakan pertama tahun 2007 oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Antara kandungannya:
HUKUM HIBURAN
Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian kepada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA yang bermaksud :
" Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang ansar pada hari peperangan Bu'ath. Aku berkata, kedua - dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? sedangkan pada hari ini adalah hari raya idulfitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita."
( Riwayat Ibnu Majah)
( Riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian.
Hiburan nyanyian ini adalah diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata - kata kotor, keji atau yang boleh memberansangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal.273).
FATWA HIBURAN
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke - 2 pada 12-13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:
a. Nyanyian yang seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat ( sesuatu perbuatan yang haram - Kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah ), tidak bercampur gaul antara lelaki dan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah (cubaan, gangguan, hasutan dan kekacauan - Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian al-Quran ) adalah harus ;
b. Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul antara lelaki dan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram ;
c. Pancaragam yang melalaikan ( perkataan dan sebagainya yang tidak mendatangkan hasil serta tidak memberi faedah dan manfaat - Kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah ) hukumnya haram;
d. Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah ; dan
e. Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
Oleh itu, telah jelas hukumnya mengenai hiburan mana yang dibenarkan oleh Islam dan sebaliknya. Pandai - pandailah menilai untuk kesejahteraan hidup masing - masing.
Jika kenyataan dan kajian hukum ini telah dikeluarkan oleh pihak yang beraoutoriti iaitu salah satu jabatan kerajaan maka sewajarnya dan sewajibnya SEMUA ORANG yang mendokong kerajaan yang sedia ada ini menjunjung tinggi hukum yang telah ditetapkan. Jika sebaliknya.... IBARAT ANJING MENYALAK BUKIT.
Insyaallah, selepas ini saya bawakan garis panduan yang memisahkan sama ada hiburan itu boleh atau sebaliknya menurut Islam.
Waallhua'alam.
0 ulasan:
Post a Comment