20 February, 2013

Ulamak PAS Putatan: Elak Masjid Jadi Alat UMNO-BN Menjelang Pilihanraya

Share
Urusan Ulamak PAS Putatan hari ini tampil menyeru agar institusi masjid dan surau di sekitar kawasan Putatan supaya tidak menjadi alat kepada UMNO-BN dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Ini adalah susulan beberapa kes yang menunjukkan bahawa UMNO-BN mengambil kesempatan menggunakan masjid sekitar Kota Kinabalu  dengan menggantung kain rentang dan bendera Barisan Nasional seperti yang terjadi di Masjid Negeri Sabah (MNS) dan Masjid Al-Aman berdekatan Pasar Filipina di bandar Kota Kinabalu.

Ketua Urusan Ulamak PAS Putatan, Ustaz Shafiq Mohd Ismail berkata tindakan menjadikan masjid sebagai lokasi bagi meraih sokongan politik adalah satu tindakan yang amat terdesak. Ini sekaligus mencemarkan institusi masjid sebagai pusat penyebaran syariat Islam apabila wujudnya kain rentang dan bendera dari sebuah parti yang tidak menjadikan Islam sebagai dasarnya.


“Bagaimana boleh dibenarkan sebuah parti yang dasarnya bertentangan dengan Islam iaitu sekularisme boleh menggantung kain rentangnya di masjid yang menjadi pusat penyebaran syariat Islam? Ini sesuatu yang tidak masuk akal,” kata Ustaz Shafiq.

Urusan Ulamak PAS Putatan juga melahirkan rasa kebimbangan mengenai kuliyyah-kuliyyah ilmu di Masjid Negeri Sabah (MNS) yang kian dibatalkan dan dihalang hasil tekanan dan desakan dari UMNO-BN.  Maka, Ulamak PAS Putatan turut menggesa agar pihak pengurusan masjid dan yang berkenaan khususnya supaya mengambil tindakan sewajarnya secepat yang mungkin bagi menangani masalah-masalah yang dicetuskan oleh UMNO dan Barisan Nasional.


“Kita melihat Masjid Negeri Sabah yang dahulunya subur dengan majlis dan kuliyyah ilmu kini kian sepi akibat tindakan khianat UMNO-BN. Ramai penceramah yang ikhlas menjalankan kerja dakwah kini tidak dapat berbuat demikian di Masjid Negeri Sabah".

"Kita menggesa kepada pihak pengurusan masjid  supaya lebih tegas terhadap perkara ini agar UMNO-BN tidak mencemarkan institusi masjid dengan pengaruh dan politik songsang yang diamalkan oleh mereka selama ini”, tambahnya Ustaz Shafiq lagi.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.