29 September, 2012

Hiburan:Membangun Jiwa atau Membangun Nafsu

Share
Sumber: http://puteramujahid.blogspot.com/

Segala puji kepada Allah SWT kerana dengan kehendakNya kita masih lagi diberikan peluang untuk istiqamah beribadah kepadaNya. Selawat dan salam dihadiahkan kepada junjungan besar umat, Nabi Muhammad SAW kerana dengan lidah dan usaha gigih baginda akhirnya hari ini kita telah menjadi penganut agama benar sebenar-benarnya iaitu agama Islam.

Umat Islam seharusnya memahami bahawa tujuan penciptaan manusia adalah untuk beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah SWT dan juga untuk menjadi pengurus ataupun khalifah di muka bumi ini. Dua perkara dasar ini Allah sebutkan dalam Al-Quran dalam dua ayat yang berbeza di dalam Al-Quran iaitu dalam surah Az-Zariyyat ayat 56 dan surah Al-Baqarah ayat 30:

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku”
(51:56)

“Dan ingatlah ketika Tuhan berfirman kepada malaikat, ‘sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi’...”
(2:30)

Ini adalah dua prinsip besar dalam menggariskan tanggungjawab dan matlamat hidup seorang manusia dimuka bumi ini walaupun sebesar atau sekecil mana pangkat seseorang di dalam masyarakat, iaitu untuk menjadi seorang hamba kepada Allah dan juga menjadi pemimpin yang akan menguruskan bumi ini dengan cara yang dipandu oleh Allah SWT melalui Al-Quran dan sunnah. Kedua-dua perkara ini harus difahami dan dipraktikkan bersungguh-sungguh oleh orang-orang yang beriman.

Berhibur tiada salahnya

Lalu persoalan yang timbul adalah sekiranya tanggungjawab kita sebagai seorang hamba adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah adakah bermaksud Allah mengharamkan kepada manusia untuk melakukan perkara lain?

Allah SWT dengan sifat yang menciptakan(Al-Khaliq) dan Maha Mengetahui sudah semestinya lebih mengetahui selok belok tentang penciptaan manusia dan hati-hati mereka. Allah mengetahui bahawa hati manusia cenderung kepada sesuatu yang indah sifatnya dan dapat memberi ketenangan kepada jiwa mereka. Justeru hal ini antaranya menjadikan manusia sentiasa mencari-cari sesuatu yang dapat menghiburkan hati mereka.

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan ( الشَّهَوَاتِ ), berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik.”

[QS Ali ‘Imran, 3:14]

Islam adalah satu cara hidup yang sempurna dan realistik dalam arahan dan amalannya. Islam merangkumi segala cara hidup manusia dan sudah semestinya memberikan panduan dan prinsip kepada segala gerak geri manusia, termasuklah berhibur. Islam telah menggariskan agar manusia itu bersederhana dalam memenuhi segala keperluannya, termasuklah berhibur. Allah SWT berfirman:

“Orang-orang yang apabila membelanjakan(harta) mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak pula kikir, dan adalah perbelanjaan itu ditengah-tengah antara yang demikian”
(Al-Furqan:67)

Menurut Syeikh Yusuf Al-Qardhawi, sikap ini tidak hanya dalam urusan harta sahaja tetapi dalam semua urusan manusia. Justeru dapat kita fahami bahawa dalam apa-apa urusan hidup manusia hendaklah bersikap dengan sikap yang bersederhana, yakni jalan pertengahan yang harus ditempuh oleh umat pertengahan.

Dengan prinsip ini, manusia yang mencari hiburan tidak bersalahan dengan syarak tetapi hendaklah sentiasa sederhana dalam berhibur. Tidak menjadikan hiburan itu sebagai tujuan malah sebaiknya sebagai salah satu alat atau medium untuk menyampaikan rasa syukur kepada Allah SWT. Allah berfirman:

“....perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan perhatikan pula kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan) Allah bagi orang-orang yang beriman.”
(An-An’am:99)

Sesebuah hiburan itu menjadi baik dan meningkatkan darjat manusia apabila manusia itu berjaya muhasabah diri dan kembali kepada penciptaNya.


Hiburan Kini

Fokus tulisan saya adalah untuk cuba membetulkan semula persepsi kita terhadap hiburan, terutamanya anak-anak muda Islam, yang kini hanyut dibadai ombak hedonisme yang tidak pernah redha untuk mengeringkan hati mereka. Umum maklum bahawa pesatnya teknologi berkembang memberi pengaruh besar kepada sikap dan akhlak manusia. Peningkatan perkhidmatan tanpa wayar(wireless) telah menyebabkan application seperti youtube,dailymotion dan seumpanya lebih cepat untuk dimuat turun dan ditonton secara online. Kini, anak muda lebih mudah terdedah kepada anasir hiburan yang bersifat sekular yang sangat meruntun akhlak dan pedoman mereka.

Kini, drama-drama dan filem-filem yang ditayang, tajuk besarnya adalah cinta antara sepasang kekasih yang mencari pasangan yang sepasang dan sepadan dengan jiwa mereka. Drama dan filem seperti ini telah memfokuskan minda dan hati pemuda-pemudi untuk bercinta sahaja, dan menjadikan agenda cinta kepada manusia, atau lebih khusus cinta terhadap lelaki atau perempuan, menjadi matlamat utama hidup. Sementelah, drama ini dihiasi pula dengan pelakon-pelakon yang cantik dan kacak serta lagu-lagu melalaikan hati sangat menjadikan anak muda terkhayal berseorangan di depan laptop masing-masing dua tiga jam setiap hari. Terkhayal memikirkan siapa dia akan menjadi ratu hati.

Lagu-lagu pula kini tidak cukup sekadar nyanyian,’benda’ ini dihiasi pula dengan tarian-tarian yang sekiranya kita berfikir dengan waras sudah tentu kita akan rasa seperti kera kena belacan. Kini tarian terbaru dalam arena hiburan adalah Gangnam Style yang mencecah ribuan juta penonton! Lirik-lirik lagu entah kemana sehingga mengagungkan cinta kepada manusia melebihi cinta kepada Tuhan dan menyuburkan sifat liar dalam jiwa manusia .

Saya tidak ingin berbincang mengenai hukum hiburan tetapi cukuplah kita menyedari bahawa hiburan yang membadai anak muda sekarang cukup merosakkan apabila ianya berpaksikan nafsu syahwat. Kebanyakan elemen yang ditonjolkan adalah untuk memberahikan nafsu manusia dan melepaskan manusia daripada kawalan akal fikiran yang waras.

Saya mengajak anak-anak muda untuk merenung perumpamaan Allah terhadap manusia yang hanya mengikut nafsu:

Sudahkah engkau melihat orang yang menjadikan keinginannya sebagai tuhannya? Apakah engkau akan menjadi pelindungnya? Atau apakah engkau mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat jalannya.”
(Al-Furqan:43-44)

“Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi Tuhan dan dia disesatkan Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya) lalu di tutup Allah pendengarannya (telinga batin), mata basirnya dan tetap tertutup.”
(Al-Jaathiyah:23)

Hiburan yang sepatutnya

Hiburan boleh diumpamakan sebagai ubat. Dikala hati sedih dan gundah, puisi-puisi dan lagu-lagu yang mempunyai bait-bait indah dan membina menjadi penawar kepada perasaan yang tidak keruan. Dikala sedang marah, hati mungkin sedikit terubat dengan melihat keindahan alam ciptaan Allah secara langsung. Dikala dilanda masalah, mungkin sedikit nyanyian dan gurauan dapat menceriakan suasana tegang yang dihadapi.

Ubat sekiranya digunakan dengan kadar yang secukupnya dan kaedah yang sepatutnya akan menyihatkan penyakit yang dihadapi. Orang yang menghidapi sakit kepada misalannya mungkin akan hilang kesakitan yang ditanggung dengan menelan sebiji Panadol Actifast. Namun begitu, apabila ubat yang diambil berlebihan, ia bakal menyebabkan batang tubuh yang sedang sakit itu bertambah sakit, bahkan lebih parah seandainya seseorang itu terus menjadi ketagih dan akhir sekali menjadi penagih dadah.

Begitu juga dengan hiburan.

Apabila hiburan diambil secara terlampau, tanpa sukatan dan acuan daripada Islam, bakal merosakkan diri sendiri sehingga menyebabkan seseorang itu lupa Tuhan dan hilang pedoman. Mungkin juga seseorang itu melonggarkan hukum sehingga menyebabkan budaya yang dulu dipandang sebagai dosa kini ‘sudah tidak apa’ seperti bercouple sebelum kahwin, berdating, clubbing, culas untuk solat(wajib dan sunat) dan lain-lain lagi cara hidup bukan Islam. Ianya banyak diamalkan oleh generasi muda dan dipandang biasa oleh generasi ibu bapa kini.

Alangkah baiknya sekiranya kita menapis dahulu hiburan yang bakal sampai ke pancaindera kita. Bezakanlah antara hiburan yang tidak mesra syariat dengan hiburan yang lebih bertepatan dengan acuan agama. Saya tidak memaksa semua untuk mendengar nasyid sahaja, tetapi pilihlah hiburan yang lebih memberi makna kepada jiwa kita.


Sahabat Rasulullah bersyair ketika peperangan
Sahabat sebagai orang yang ditarbiyyah secara langsung sudah semestinya menjadi model terbaik yang umat patut contohi. Diceritakan dalam banyak sirah peperangan bahawa terdapat sahabat-sahabat nabi yang mendendangkan syair-syair untuk membangkitkan semangat jihad mereka ketika hati sedang takut untuk mati. Di dalam Perang Uhud, Rasulullah SAW telah memberikan pedang baginda kepada seorang sahabat bernama Abu Dujanah R.A. Abu Dujanah terkenal dengan serban merah yang selalu dipakai oleh beliau ketika waktu perang. Semasa perang sedang ganas berlaku, Abu Dujanah R.A mendendangkan syair tekad beliau untuk menghapuskan musuh Allah. Beliau bersyair:
 
Aku adalah orang yang telah berjanji kepada kekasihku,
 
Ketika kami beristirehat dibawah pokok kurma,
Aku berjanji tidak akan ada di barisan akhir sepanjang masa,
Aku akan menyerang dengan pedang Allah dan Rasulnya.

Abdullah b Rawahah R.A yang seperti dijangkakan oleh baginda SAW ajalnya semasa Perang Mu'tah juga bersyair untuk mengerah kembali keberaniannya setelah mendapat panji daripada Jaafar b Abi Talib setelah Jaafar R.A syahid. Sambil menunggang kuda beliau sesekali bersyair mengkritik dirinya yang takut:
 
Aku bersumpah hai jiwa, turunlah kamu,
Sama ada terpaksa atau rela hati,
Tidakkah manusia sudah bertempik menjerit melolong,
Mengapa kulihat engkau bencikan syurga
 
Ini adalah sedikit contoh bagaimana sahabat 'menghibur' diri mereka untuk bertemu Allah!Mereka bersyair untuk membangkitkan semangat mati syahid dan juga menempelak diri mereka yang seakan-akan tidak mahukan syurga yang terpampang di depan mata. Mereka bersyair bagi menenangkan hati mereka supaya sentiasa takutkan Allah. Benarlah kata-kata hikmah yang mengatakan sahabat adalah bintang di langit.
 
Peranan dan Tanggungjawab

Semua yang membaca artikel ini sebenarnya berperanan dalam membentuk manusia yang sedar dan faham tentang apa sebenarnya tujuan asal penciptaan manusia di muka bumi ini. Kita berperanan dalam membentuk manusia yang kenal serta dapat membezakan antara alat dan tujuan. Hiburan itu alat dan tujuannya agar hati manusia mengingati Allah SWT sebagaimana firmannya:

“....perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan perhatikan pula kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan) Allah bagi orang-orang yang beriman.”
(An-An’am:99)

Peranan juga lebih berat kepada budayawan dan karyawan yang membuat filem, drama, dan lagu supaya menghasilkan hiburan yang dapat membangun jiwa masyarakat untuk lebih mencintai agama,bangsa dan negara kita. Filem-filem tentang permasalahan agama, institusi sosial, sejarah dan sirah boleh diketengahkan sebagai modal. Hiburan sebegini bukan sahaja memberi didikan kepada jiwa, malahan dapat membentuk umat yang celik sejarah dan sirah serta memahami realiti masyarakat. Hiburan sebenarnya sedikit sebanyak melakar sikap dan pemikiran anak bangsa melalui idea-idea yang tersirat di dalamnya.


Saya tertarik dengan cara pembikinan filem Ketika Cinta Bertasbih karya Habiburahman El-Shirazy yang sangat menitik beratkan roh Islam semasa proses pembuatan filem ini. Pelakon, skrip dan lakonan semuanya ditapis agar tidak menyalahi syariah. Alangkah baiknya sekiranya perkara ini dapat diamalkan oleh pengamal hiburan di tanah air kita.

Kerajaan sebagai badan yang bertanggungjawab melahirkan generasi yang mempunyai modal insan yang baik juga seharusnya lebih proaktif dan dinamis dalam menggariskan dasar-dasar yang dapat membentuk hiburan yang menjadi hidangan kepada generasi anak muda sekarang. Kotak televisyen yang sampai kepada jutaan rakyat sebaiknya dipaparkan rancangan-rancangan yang boleh menyihatkan iman kepada Allah SWT. Konsert-konsert yang menyanggahi syarak tidak sepatutnya di benarkan untuk membuat persembahan di negara kita yang majoriti umatnya adalah Islam.

Segalanya kembali Al-Quran dan Sunnah

Walau apa aktiviti kita seharian, kita hendaklah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Kita patut mencontohi bagaimana nabi dan para sahabat menjalani kehidupan seharian mereka. Baginda dan para sahabat sangat memahami bagaimana seorang manusia itu sepatutnya berkelakuan agar tidak menjadi seperti haiwan yang hanya menurut nafsu sahaja. Kadang-kadang hiburan itu dapat menenangkan kita dan menjadikan kita kembali segar untuk bekerja dan menjalani hidup. ?

Umat Islam ada agenda yang lebih besar iaitu menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Adapun segala yang dapat membantu diri untuk kembali fokus kepada misi ini menjadi harus untuk kita mengambilnya, termasuklah berhibur. Berhibur dan ceriakanlah dirimu berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Berhiburlah agar Islam itu dipandang sebagai pembangun jiwa dan akhlak mulia.

Sahabat-sahabat mendendangkan syair untuk menambah semangat mereka agar mati syahid dalam medan peperangan supaya Islam tertegak. Lalu layakkah umat kini bernyanyi dan menari sehingga tercabutnya Islam dari hati?

Wallahua’lam

Rujukan:
1.Seni dan hiburan dalam Islam, Syeikh Yusuf Al-Qardhawi
2.50 Kata-kata Tokoh Berpengaruh dan Cerita di sebaliknya, Mohd Dzul Khairi Mohd Noor

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.