11 November, 2009

TOKOH: USTAZ HJ ABU HURAIRA ABD RAHMAN

Share
sumber: http://abunuha.wordpress.com/

Apabila kami bersetuju mengadakan Nadwah Pewaris Nabi, antara pengisian program ialah satu forum yang santai.

Kami tidak bercadang untuk mengadakan pengisian yang berat dan terlalu ilmiah, memandangkan mungkin 80% yang hadir itu adalah mereka yang sudah pencen dan berpengalaman dalam dunia dakwah ini.

Panel yang kami persetujui ialah Ust Hj Abu Huraira Abd Rahman, Ust Hj Mohd Iyen Atim, Ust Hj Mustakim Mohd Noor dan Datuk Hj Din Sulai – yang kemudian diganti pada saat akhir oleh Datuk Seri Panglima Dr Hasbullah Md Taha kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.

Catatan ini akan menceritakan secara bersiri biodata ringkas mereka.

UST HJ ABU HURAIRA ABD RAHMAN

Berumur kini 70 tahun, beliau berasal dari Cotabatu, Mindanao. Mendapat pendidikan di State University of Filiphina di Mindanao sehingga mendapat diploma dalam fakulti pendidikan.

Demi minatnya mendalami bahasa Arab, kemudiannya beliau meneruskan pengajian di Maahad ar-Rahmaniyyah Mindanao selama 7 tahun.

Beliau mengembara lagi ke Universiti Islam Madinah al-Munawwarah pada 1964-1971 untuk mendalami bidang dakwah dan usuluddin.

Amat menarik juga al-Fadhil ustaz pernah membuat penyelidikan tentang perbandingan agama di Baitul Maqdis Jurussalem selama 5 bulan bagi memenuhi kehendak tugasan universiti sebelum Baitul Maqdis dikuasai oleh Israel.

Kami pernah dimaklumkan bahawa ketika di Madinah, antara tokoh negara yang sempat bersama ialah Dato’ Dr Abdullah Md Zin (mantan menteri agama di JPM), Dato’ Hj Harun Taib dan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Selepas tamat di Madinah pada 1971, beliau kembali ke Mindanao untuk mengendalikan satu maahad yang berasaskan bahasa arab. Tidak sampai setahun, kawasan mereka diserang oleh tentera Marcos ketika itu dan mereka terpaksa lari ke hutan selama 3 tahun.

Pada 1974, apabila kerajaan Malaysia di bawah Tun Abd Razak membuka satu siaran radio yang disiarkan ke Filipina dalam bahasa Moro, dicari seorang guru agama dari sebelah Filipina untuk tampil di radio berkenaan.

Oleh kerana berlaku ketegangan antara Manila dan Kuala Lumpur pada saat itu, maka guru agama yang boleh berbahasa inggeris dicari dari sebelah Moro @ Mindanao.

Maka nama Ust Hj Abu Huraira ditunjukkan oleh rakan-rakannya untuk datang ke Sabah pada 1974. Beliau bertugas sepenuh masa dengan RTM dalam siaran radio berbahasa tagalog ke seluruh Filipina selama 9 tahun.

Pada 1983, Tun Mustapha memerlukan tenaga dakwah untuk diserapkan ke dalam USIA. Oleh kerana Ust Abu Huraira adalah keluaran Universiti Madinah, dan Allahyarham Tun sendiri memohon bantuan kerajaan Arab Saudi, maka Ust Abu Hurairah terus menerima pelawaan berkenaan langsung dari Darul Ifta Saudi.

Ust Abu Huraira dikenali sebagai pendakwah yang menghafaz al-Quran dan bible. Beliau pernah memberitahu kami, beliau menghafaz al-Quran di Madinah sebanyak 27 juzu’ sahaja. Yang tidak dihafaz ialah beberapa juzu di pertengahan al-Quran.

Satu keistimewaan beliau ialah beliau mengingati dan menghafaz al-Quran dan bible dengan nombor ayat dan surahnya sekaligus.

Dalam mana-mana ceramah dan tazkirahnya yang biasa berselang seli antara bahasa melayu dan inggeris, beliau akan menyelitkannya dengan hujjah al-Quran dan bible sekali dengan nombor ayatnya sebagai rujukan pendengar.

Tahun lalu, apabila kontrak beliau dengan kerajaan Arab Saudi sudah tamat kerana umur yang meningkat dan sebelumnya pun beliau sudah disambung sebanyak 2 kali, maka kini beliau bergerak sepenuh masa di bawah USIA atas pandangan dan saranan Tun Hj Sakaran Dandai.

CABARAN SEKARANG

Berdasarkan pengalaman dan pengamatan beliau, terdapat dua cabaran utama iaitu dalaman dan luaran. Cabaran dalaman merujuk kepada pertelagahan umat Islam yang enggan menjadikan al-Quran dan sunnah Rasul sebagai rujukan.

Sementara cabaran luaran ialah gerakan Kristianisasi khususnya yang melanda Sabah. Beliau sendiri satu ketika ditemani Dr Hasbullah pernah berdialog dengan 25 orang paderi di Sacret Heart beberapa tahun lalu (2003/2004).

Oleh itu, beliau sangat bersetuju agar para pendakwah bersatu menghadapi dan menangani ancaman-ancaman ini sekaligus meningkatkan kemahiran dalam bidang dakwah masing-masing.

TINDAKAN

Sangat rugi sebenarnya kata beliau melihat umat Islam dan para pendakwah secara khusus tidak meningkatkan kemahiran dalam bidang dakwah khususnya dalam perbandingan agama.

Seorang rakannya dari Sekretariat Dialog Antara Agama di Vatican City memiliki PhD dalam pengajian Islam. Rakannya itu boleh membaca al-Quran, boleh berbahasa Arab kerana pernah belajar di Lubnan dan Kaherah.

Seorang paderi Katholik yang berlatih di Filipina mengakui mereka mempelajari al-Quran meski kita mengetahui bahawa tujuannya untuk kononnya mencari kelemahan dan kesilapan al-Quran dan Islam.

Mengambil pengajaran daripada itu, sewajarnya ada di kalangan pendakwah yang mendalami ajaran Kristian dan agama-agama lain.

Selain itu, kerja-kerja dakwah harus dikoordinator secara bersama dengan institusi, agensi dan NGO Islam yang terdapat di negeri ini.

Teringat dengan ucapan Ust Hj Muchlish pada Nadwah berkenaan, yang menyebabkan ramai audien termasuk saya begitu sebak dan mengalirkan air mata ialah apabila mengenangkan kegigihan Ust Abu Huraira menepis dakyah kristian menerusi hujjahnya yang petah dan mantap dalam keadaan tubuh dan fizikalnya mulai uzur.

Sesiapa yang perasan keadaan solatnya khusus ketika duduknya Ust Abu Huraira sudah tidak begitu lurus dan terpaksa membongkok sedikit.

Dengan nada sayu, Ust Muchlish mendoakan agar Allah SWT sahabatnya itu diberikan umur yang panjang dan kesihatan yang baik untuk terus berbakti demi agama ini.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.