KUALA LUMPUR, 27 Feb: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak Najib supaya meminta maaf secara terbuka kepada Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Ikhwanul Muslimin kerana menuduh tokoh dan gerakan Islam itu sebagai pengganas dan mendokong keganasan. Naib ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz merasa kecewa kerana ucapan tersebut lahir dari mulut Perdana Menteri Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah umat Islam. DPPWP, katanya kesal bagaimana ucapan sedemikian lahir dari pemimpin negara terhadap tokoh ulama kontemporari yang menjadi rujukan dunia Islam itu, bahkan Malaysia pada tahun lepas telah menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada tokoh itu. “Tuduhan dengan mengaitkan Prof Dr Yusof Al Qaradhawi sebagai pengganas adalah tuduhan berat yang tidak boleh diterima. “Tuduhan ini juga memalukan umat Islam khususnya di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan. DPPWP, katanya percaya rakyat khususnya umat Islam amat menghormati Prof Dr Yusof Al Qaradhawi, serta kenal dengan peribadi serta doktrin ajaran beliau. Tambahnya, ratusan bahkan ribuan anak murid telah beliau lahirkan dari Malaysia dan tidak pernah didengari ada kalangan muridnya yang terlibat dengan keganasan. Selain itu, Perdana Menteri juga menggesa Ikhwanul Muslimin disisih dari agenda perubahan di Mesir kerana terlibat dalam keganasan. Tambahnya, tuduhan itu sangat berat dan Perdana Menteri perlu buktikan bagaimana Ikhwanul Muslimin boleh terlibat dengan keganasan. Ikhwanul Muslimin, ujarnya telah menyertai pilihanraya dan proses demokrasi di Mesir secara aman sejak sekian lama dan menjadi oposisi di bawah penerintah rejim Hosni Mubarak. “Bagaimana Datuk Seri Najib boleh kaitkan pertubuhan ini dengan keganasan?” soalnya. DPPWP percaya, Najib tidak membaca sejarah perjuangan gerakan Islam itu serta mengenali Prof Dr Yusof Al Qaradhawi secara lebih dekat. DPPWP juga yakin, Perdana Menteri tidak diberikan nasihat yang betul oleh para penasihat agama beliau. “Memang wajarlah Datuk Seri Najib bertaubat dengan segera, menarik balik ucapan beliau serta memohon maaf secara terbuka kepada Prof Dr Yusof al Qaradhawi dan Ikhwanul Muslimin,” ujarnya. sumber: Harakahdialy |
“SAYA LIHAT ATUK SAYA SOLAT”
16 hours ago
0 ulasan:
Post a Comment