24 February, 2011

Aku dan Ikhwan Muslimun ( Yusof Qardhawi )

Share
Sumber: http://albelurani.blogspot.com/

Bismillah...


Buku " AKU DAN AL IKHWAN AL MUSLIMUN " karya Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi baru saya terima kiriman sahabat saya Ust. Zakaria, D' Halal Shope dari Kelantan. Baru 2 hari bersama buku ini dan dalam proses untuk menghabiskannya yang mempunyai 364 muka surat.

Buku ini telah dicetak pada disember 2010 berbahasa Malaysia dan sebelum ini ianya telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia. Asalnya adalah berbahasa arab.

Alhamdulillah, saya membaca dan menghayatinya menimbulkan motivasi dalam diri. Buku ini menceritakan bagaimana Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi mendapat tarbiyyah dan didikan daripada Ikhwan Muslimin seperti kata - katanya ini :

" Aku ingin berterus terang mengatakan, bahawa aku memperolehi manfaat agama yang begitu besar dari Al-Ikhwan Al-Muslimun. Aku memperoleh faedah yang sangat banyak dari dakwah ikhwan. Dakwah Ikhwan telah memperluas cakerawala fikiranku memahami Islam secara utuh, sebagaimana disyariatkan Allah SWT, sebagaimana tertera dalam kitab-NYA, seperti diserukan Rasul-NYA dan difahami oleh para sahabatnya. Islam adalah agama dan dunia, dakwah dan negara, aqidah dan syariat, ibadah dan kepimpinan, mushaf dan.....".

Seusia muda beliau telah menerima tarbiyyah al-Ikhwan dan bertemu dengan ulama - ulama besar Ikhwan seperti Hasan al-Banna, Muhammad al-Ghazali, Muhammad al-Bahi, Sayyid Sabiq, Sayyid Qutb dan ramai lagi.

Saya cukup tertarik kata - kata Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi ketika mana mereka menerima berita mengenai syahidnya Hasan al-Banna ditembak dalam usia 42 tahun :

" Al-Banna tidak berkesempatan untuk mengarang atau menulis buku ilmiah yang besar. Tetapi beliau telah mencetak ribuan tokoh besar yang mengisi dunia dengan buku-buku dan ilmu yang bermanfaat. Cukuplah ribuan tokoh yang dicetak oleh Hasan Al-Banna itu telah memenuhi seluruh pelusuk dunia. Cukuplah dakwah menyeluruh yang disampaikannya tersebar ke setiap penjuru Timur dan Barat, Utara dan Selatan! Cukuplah nama baik yang ditinggalkannya telah menambah usianya seolah - olah beliau memiliki usia yang panjang ".

Jika diimbau kata - kata di atas maka realiti hari ini sepertimana yang terjadi di Mesir ada benarnya. Hasan al-Banna telah menanamkan benih dalam memperjuangan Islam dan menggerakkan umat Islam yang tidur ibaratkan buih - buih di lautan untuk bangun menentang penjajah barat dan musuh Islam. Bermula era 1940 an dan akhirnya Hosni Mubarak jelmaan pemimpin sekular di antara pemimpin di Mesir tumbang tersungkur awal tahun 2011.

Maknanya kemenangan itu bukan diimpikan secepat kilat tetapi biarlah gerak kerja Islam itu tetap berterusan walaupun sehabis nyawa kita.

Saya mengesyorkan agar kalian dapat memiliki buku ini untuk memotivasikan diri anda samada anda seorang pelajar, mahasiswa, penjawat awam, ahli akademik, pemimpin atau anda yang menganggap Ikhwan Muslimin itu pengganas atau sebagainya. Dengan membacanya anda akan ketemu jawapannya.... insyaAllah.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.