19 March, 2010

Manifestasi Mazlan

Share
Sumber: http://musliminmukhlisin.blogspot.com/

Bertuah rasanya apabila pada 15 Mac yang lalu, PAS Kawasan Lahad Datu dikunjungi oleh Saudara Mazlan Aliman yang merupakan Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), dan juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Beliau yang dalam rangka lawatan kerja rasmi bersama rombongan seramai lapan orang terdiri daripada ahli Lajnah Pembangunan Tanah, untuk meninjau permasalahan di Negeri Bawah Bayu ini. Selaku Pengerusi ANAK, yang memeperjuangkan hak para peneroka, beliau sering mendapat tentangan daripada kerajaan. Klimaksnya terbukti melalui penahanan reman beliau dua hari sebelum berlepas ke Sabah.

Mujurlah nusrah Allah tiba tatkala pucuk dicita, ulam mendatang. Beliau dibebaskan tanpa syarat. Dalam perjumpaan beliau bersama masyarakata Lahad Datu, beliau mendedahkan berkaitan kepincangan pengurusan tanah oleh kerajaan termasuklah isu Felda. Felda yang dulunya adalah satu projek perladangan untuk menjana ekonomi rakyat dibawah program DEB kini diuruskan oleh Syarikat milik Kerajaan iaitu FELDA Holdings yang memiliki lebih 60 buah anak syarikat yang beroperasi di dalam dan luar negara. Pada tahun 2008 jumlah hasil perniagaannya mencecah jumlah RM15.4 bilion.

Menurut beliau, walaupun pendapatan Felda Holding begitu besar, namun peneroka menjadi mangsa apabila para peneroka tidak dibenarkan menanam semula sendiri kelapa sawit. Mereka diberikan hutang untuk membayar semua kerja ini yang diswastakan kepada anak syarikat Felda Holding iaitu Technoplant. Selain itu, Felda melakukan pelbagai strategi bagi memaksa peneroka menyerahkan tanah mereka. Felda Plantations menawarkan mereka untuk menjadi pemegang saham dengan kadar bayaran pulangan bulanan tanpa perlu bersusah payah bekerja di ladang seperti dahulu. Mereka yang bersetuju dipaksa membuat pinjaman kos menanam semula kebun dan membina rumah baru. Jumlah hutang ini sekitar RM 90,000.

Itu adalah sebahagian kecil fakta yang menjadi rintihan peneroka Felda. Namun, usaha membongkar lebih banyak penindas semakin cuba dihalang. Umno juga dilihat mempergunakan sentimen Melayu bagi menghasut peneroka menolak Anak, walhal Pengerusinya sanggup ke penjara untuk perjuangkan masa depan mereka. PAS Kawasan LD menyokong perjuangan ANAK. Peneroka Felda bukan banduan, mereka adalah rakyat yang merdeka dan berhak untuk bertemu sesiapa yang mereka suka kerana hak untuk berpersatuan dijamin oleh perlembagaan negara ini. Semoga Saudara Mazlan terus istiqamah memperjuangkan hak ANAK yang semakin diratah tanpa betah.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.