07 December, 2011

CINTA ASYURA

Share

.[PERTANYAAN] Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ya ustaz.. Saya ingin bertanyakan soalan, ustaz. Maaf jika mengambil masa ustaz. Isunya tentang Karbala. Tentang Asy-Syahid Sayyidina Al-Husein bin Sayyidina Ali r.a., yang kita cintai.
Sebelum itu, saya ingin nyatakan pengamatan saya (yang masih sedikit).. saya rasa kurangnya pendedahan di rantau ini, dari kalangan ulama tradisi Ahlus-Sunnah wal Jamaah tentang perkara yang akan saya sebutkan ini. Harap ustaz dapat ulaskan, (jika benar pemerhatian saya), mengapa terjadi yang sedemikian itu, dan hikmah di sebaliknya.
Bagaimana kita seharusnya memandang peristiwa Karbala dan syahidnya Sayyidina Al-Husein r.a. ini, supaya tercermin cinta kita kepada Ahlul-Bait baginda Rasulullah s.a.w. Bagaimana jua harus kita berpendirian tentang para pembunuhnya, dan sang pemerintah, Yazid kala itu..
Ya ustaz, apakah cara terbaik untuk menunjukkan kepedulian kita (perlukah dibangkit-bangkitkan peristiwa ini?, contohnya), dan setakat mana patutnya perasaan kecintaan & kebencian kita.. berhubung peristiwa ini, supaya selari dengan pegangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah, dan tidak melampaui batas-batas yang memagari akidah kita. Sangat-sangat berharap agar ustaz dapat membantu.. Terima kasih atas perhatiannya.
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Mohd Shafiq)
[JAWAPAN, oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis b Raja Jamaludin]
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Sungguh hari Asyura juga mengingatkan kita tentang peristiwa syahidnya Jaddina Al-Husein bin Sayyidina Ali r.a., cucu Baginda s.a.w.. Peristiwa Syahidnya Sayyidina Al-Husein ini adalah antara peristiwa yang sangat memilukan hati para pencinta Ahlul-Bait Nabi s.a.w.. Namun, para ulama’ Ahlus Sunnah tidak menjadikan peristiwa ini untuk dikenang dengan cara golongan Syiah yang mencederakan diri mereka semata-mata untuk menghayati penderitaan Sayyidina Al-Husein r.a..
Bahkan, para ulama’ Ahlus-Sunnah memperingati peristiwa Asyura dengan memperingati banyak peristiwa lain seperti peristiwa Nabi Nuh a.s., peristiwa pembebasan Nabi Musa a.s. dan sebagainya. Oleh sebab itulah, dominasi emosional para ulama’ Ahlus-Sunnah bercampur antara kegembiraan dan kesedihan kerana Rasulullah s.a.w. meraikannya dengan kegembiraan (kerana belum berlaku peristiwa Karbala).
Bahkan, menurut sebahagian ‘Arif biLlah, Rasulullah s.a.w. sengaja memperingati Asyura dengan kegembiraan walaupun Baginda s.a.w. tahu tarikh tersebut, setelah kewafatan Baginda s.a.w., akan menjadi tarikh syahidnya cucu Baginda s.a.w. yang tercinta. Ini kerana, Rasulullah s.a.w. sudah diberitahu oleh Jibril a.s. tentang cucu Baginda s.a.w. yang akan dimusuhi oleh kaumnya sendiri. Namun, Baginda s.a.w. memperingati Asyura dengan dominasi kegembiraan kerana umat Islam adalah ummat yang sentiasa berfikiran positif dan menjadikan segenap peristiwa yang sedih untuk mengambil pelajaran.
Kita lihat sebagai contoh, peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w. diingati dengan peristiwa kelahiran Rasulullah s.a.w. kerana tarikhnya sama, bagi mendominasikan rasa kegembiraan terhadap nikmat kelahiran Rasulullah s.a.w.. Bahkan, sebahagian ulama’ berkata, kegembiraan umat Islam pada maulid Nabi walaupun tarikh tersebut juga adalah tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w. kerana Rasulullah s.a.w. tidak pergi meninggalkan kita sebaliknya masih bersama-sama kita di alam yang berbeza.
Dengan maksud ini juga, seorang syiah bertanya Sayyidina Abdul Qadir Al-Jailani:
“Mengapa Ahlus-Sunnah menyambut Asyura dengan kegembiraan dan berpuasa, padahal hari tersebut adalah hari berduka?”
Sayyidina Abdul Qadir Al-Jailani menjawab:
“Orang yang berduka pada hari ini melihat Sayyidina Al-Husein dibunuh, padahal kami bergembira kerana melihat hari ini Sayyidina Al-Husein diberi anugerah Syahid yang sangat agung di sisi Allah s.w.t.”
Dalam sejarah umat Islam, banyak lagi peristiwa yang menyedihkan seperti syahidnya Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali r.a.. Namun, peristiwa-peristiwa tersebut tidak dijadikan sebagai peristiwa khusus untuk memperingatinya kerana umat Islam mengambil pelajaran dan pengajaran terhadap peristiwa-peristiwa tersebut untuk terus membagun ummah, bukan sekadar menzahirkan kesedihan saban tahun. Rasulullah s.a.w. juga mempunyai banyak peristiwa sedih dalam kehidupan Baginda s.a.w., namun tidak memperingatinya secara berulang-ulang kerana mempunyai banyak tanggungjawab yang terus dilakukan. Ini tidak bererti Rasulullah s.a.w. tidak peduli tentang kewafatan Sayyidatina Khadijah, kematian anak-anak Baginda s.a.w., kesyahidan Sayyidina Hamzah r.a. dan sebagainya.
Bahkan, ketika Sayyidina Uthman r.a. dibunuh, Sayyidina Ali r.a. lebih berusaha menumpukan perhatian terhadap pembangunan ummah berbanding mencari pembunuh Sayyidina Uthman r.a. kerana ianya sukar dilakukan dan akan menjadikan sibuk dengan perkara tersebut berbanding urusan pentadbiran yang lebih besar. Hal ini juga tidak dipersetujui oleh Sayyidina Mu’awiyyah yang menganggap Sayyidina Ali r.a. tidak mempedulikan Sayyidina Uthman r.a., padahal jauh dalam hati Sayyidina Ali r.a., kecintaan beliau terhadap Sayyidina Uthman lebih besar berbanding kecintaan Muawiyyah terhadap Sayyidina Uthman r.a..
Kita digalakkan untuk memperingati segala peristiwa yang berkaitan dengan sejarah Islam. Tetapi, umat Islam mempunyai banyak tanggungjawab yang lebih besar dalam membangunkan ummah berbanding menzahirkan kesedihan dalam peristiwa-peristiwa tertentu. Kesedihan dalam diri secara individu adalah suatu tanda mahabbah terhadap apa yang disedihkan tersebut. Namun, ianya lebih bersifat individual semata-mata, berdasarkan ukuran mahabbah seseorang.
Menzahirkan kecintaan sudah cukup berbanding menzahirkan kebencian. Inilah ukuran para ulama’ Ahlus-Sunnah wal Jamaah. Tidak mengapa memperingati peristiwa-peristiwa sedih tersebut, dalam masa yang sama ianya bertujuan untuk mengambil pelajaran terhadap ketentuan hukum Allah s.w.t. tersebut dan menzahirkan kecintaan kepada mereka yang disebut. Tetapi, perlu disertai dengan pelajaran yang dapat diambil agar masa lepas boleh menjadi pedoman untuk membangun masa hadapan. Inilah konsep Ahlus-Sunnah wal Jamaah.
Cara terbaik untuk melahirkan kecintaan dan kepedulian kita terhadap peristiwa Karbala adalah dengan mencintai dan menzahirkan kecintaan kita kepada keturunan Rasulullah s.a.w. (Ahlul-Bait) setiap waktu. Inilah yang diingini oleh Rasulullah s.a.w., iaitu mawaddah pada kaum kerabat Baginda s.a.w.. Perlulah kita mendekati dan mencintai Rasulullah s.a.w. melalui kecintaan kita kepada Ahlul-Bait Nabi s.a.w. dan pada memuliakan mereka.
 Wallahu a’lam.
[*] http://firusfansuri.blogspot.com/2009/12/cinta-asyura.html

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.