05 October, 2011

Lima tahun hidup bergelap

Share

Sumber: http://masdarwahid.blogspot.com/


Sarikei, 3 Okt. - Ketiadaan kemudahan asas terutamanya bekalan elektrik di Rumah Panjang Selat, Ulu Sungai Janting, dekat sini, ternyata menyukarkan lebih 180 penghuninya melakukan aktiviti pada waktu malam.

Meskipun terletak hanya empat kilometer dari Pekan Bintangor, rumah panjang yang dibina pada 2004 dan siap dua tahun selepas itu, masih bergelap sehingga kini.

Lebih menyedihkan, generasi muda di rumah panjang berkenaan yang rata-ratanya pelajar sekolah tidak dapat mengulang kaji pelajaran dengan selesa pada waktu malam sehingga terpaksa menggunakan pelita atau cahaya lampu kereta di luar rumah.

Tuai rumah, Selat Lai, 47, berkata, pihaknya telah beberapa kali memohon untuk mendapatkan bekalan elektrik di kediaman tersebut, namun sehingga kini belum ada sebarang maklum balas positif.

Beliau berkata, pihaknya juga ada bertanyakan perkara tersebut dengan wakil rakyat dan dimaklumkan permohonan mereka sudah dikemukakan kepada pihak berkaitan namun apabila dirujuk kepada Sarawak Energy Berhad (SEB), mereka memberitahu tidak tahu apa-apa mengenainya.

"Tuai Rumah sebelum ini, mendiang Nilau Sat sudah memohon untuk mendapatkan elektrik tetapi sehingga kini belum ada sebarang khabar yang menggembirakan.

"Bagi kami, bekalan elektrik itu begitu penting bukan untuk penghuni sahaja bahkan kepada anak-anak yang mahu menelaah pelajaran, mendapatkan maklumat menerusi komputer atau sebagainya supaya mereka tidak lemah dalam pelajaran," katanya ketika ditemui pada 3 Oktober lalu.

Sebelum ini, Rumah Panjang Selat menjadi tumpuan media selepas dua daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor dari rumah berkenaan telah dihalang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Mereka tidak dibenarkan menduduki UPSR kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejaskan prestasi keseluruhan sekolah itu.

Selat berkata, rumah panjang 17 pintu dan dibina hasil gotong-royong penduduk juga belum menikmati bekalan air paip ke setiap rumah kecuali saluran paip utama di luar rumah yang dikongsi oleh semua penduduk di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, penduduk di rumah panjang tersebut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Sarikei, Ding Kuong Hiing kerana menghulurkan sumbangan RM250 kepada setiap keluarga untuk membina saluran paip ke rumah masing-masing selain menaik taraf jalan di kampung berkenaan.

"Kita berharap kerajaan dapat mempercepatkan permohonan bekalan elektrik ke rumah panjang ini supaya kami boleh hidup dengan selesa seperti penduduk kampung atau rumah panjang lain," katanya

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.