21 September, 2011

16 September 2011 : 20 Janji untuk rakyat Sabah

Share
Sumber: http://adzlyna86.blogspot.com/


pamplet jingga PR Sabah yang dirasmikan
Hadir sebagai pemerhati dan selaku rakyat Sabah yang mahu melihat apa yang ditawarkan untuk Negeri Sabah tercinta ini. Adakah sekadar janji-janji pra PRU 13 ataupun sememangnya ianya adalah apa yang mahu dilakukan untuk menjadikan Sabah lebih baik dan paling penting, adakah PR Sabah sudah bersedia memimpin negeri Sabah?
Berikut 20 janji untuk rakyat Sabah yang terkandung di dalam buku jingga PR Sabah :
1. Agama
2. Kedaulatan Negeri Sabah
3. Menangani PATI
4. Pemuliharaan Tanah Sabah
5. Borneosasi
6. Pengambilan blok L dan M
7. 20 perkara autonomi Sabah
8. Royalti minyak dan gas
9. Dasar kabotaj
10. Pengawalan cukai hasil dalam negeri Sabah
11. Kajian fungsi FELDA dan FELCRA
12. Yayasan Orang Asal
13. Pembasmian kemiskinan
14. Perumahan rakyat
15. Pelaburan dan pelancongan
16. Tuntutan hak perairan pulau-pulau kecil
17. Tabung warisan Sabah
18. Syarikat PETROSABAH
19. Pengwujudan kementerian Pendidikan, Pengangkutan dan Kesihatan Sabah.
20. Optima peranan Yayasan Sabah 
Selepas mendengar sesi pembentangan boleh dirumuskan 20 perkara ini merupakan kelompangan-kelompangan yang ada pada masa sekarang dan PR Sabah cuba menyediakan alternatif bagi menampung kelompangan yang ada.
Secara idealnya, sememangnya jika 2o perkara ini dapat dilaksanakan, manfaat paling besar adalah untuk Rakyat Sabah. Langkah pertama melancarkan Buku Jingga versi Sabah telah menjawab persoalan - 'APA' yang ditawarkan oleh PR Sabah, namun yang lebih penting selepas pelancaran 20 janji ini, adalah persoalan - 'BAGAIMANA' 'BILA' dan 'SIAPA'. BAGAIMANA 20 perkara ini dapat direalisasikan? BILA perlu bermula usaha ke arah melaksanakan 20 perkara ini dan SIAPA yang perlu menjadikan semua janji ini menjadi realiti? 

REALITI YANG PERLU DIHADAPI

"Lagi miskin rakyat di Sabah ini lagi hebat mereka menyokong BN"
-Tuan Hj. Mat Sabu

Ada kebenaran daripada apa yang dilontarkan oleh beliau. Cumanya persoalan seterusnya yang perlu difikir dan dicari jawapan. 
Mungkinkah mereka menyokong kerana mereka hanya mengenali BN sebagai satu-satunya tempat mereka bergantung? 
Mereka tidak melihat pilihan yang lain yang mampu membela nasib mereka. Jadi adakah mereka yang dipersalahkan kerana mengundi pihak yang dirasakan membela nasib mereka? 
Walaupun rumah cuma beratapkan rumbia, wang poket yang hanya datang semasa musim pilihanraya, ianya sudah mencukupi buat mereka. Dan yang sampai kepada mereka cuma dacing berwarna biru putih. Lambang bulan putih berlatarkan hijau tua, lambang roket, dan warna biru bermata putih langsung mereka tidak kenali. 
Saya cukup tidak bersetuju, jika dikatakan orang Sabah 'bodoh' kerana masih memilih BN sebagai pemerintah walaupun SABAH semakin miskin dan papa kedana bahkan rela bertahun-tahun dijadikan 'fixed deposit'. Bukankah dalam ISLAM, ada pengecualian dalam persoalan jatuhnya hukum atau tidak. Salah satu sebab pengecualian jatuh hukum adalah 'KEJAHILAN' dan 'TIDAK TAHU'. Saya yakin, ramai rakyat Sabah yang masih belum terbuka hati untuk membuat perubahan kerana maklumat yang sebenar belum sampai kepada mereka. 
Mereka masih tidak tahu, belum diberitahu. Bahawa ada pilihan lain yang boleh dipilih menjadi kerajaan selain BN. Bahawa harta kerajaan bukan harta milik tetap BN, kalau PR menjadi kerajaan sekalipun, harta kerajaan tetap akan diagihkan kepada rakyat. Terlalu banyak kepercayaan karut yang ditanam di minda mereka dan menghalang mereka dari membuka minda dan hati mereka kepada selain BN.
APA YANG PERLU DIKETAHUI OLEH RAKYAT SABAH?
Mengumpul beberapa fakta penting yang dirasakan perlu diketahui oleh rakyat Sabah. Sekitar 20 perkara yang dimuatkan di dalam buku Jingga PR Sabah. 
1) PENDIDIKAN

Isu pendidikan merupakan salah satu permasalahan yang kritikal kepada rakyat Negeri Sabah selepas isu PATI dan kemiskinan. 
Masalah peratus keciciran anak-anak yang tidak mendapat pendidikan, Sabah hanya mencatat 55.2% pelajar berumur 6-18 tahun yang mendaftar persekolahan berbanding peratusan peringkat nasional sebanyak 77.4%. Masalah kemudahan infrastruktur pendidikan juga masih membelenggu sekolah-sekolah di kawasan pedalaman. 
Melihat kepada keperluan PENDIDIKAN negeri Sabah untuk terus diberi perhatian, demi meningkatkan taraf hidup rakyat negeri Sabah, saya sangat bersetuju dengan dengan janji PR Sabah untuk mewujudkan kementerian khusus untuk pendidikan - Kementerian Pendidikan Negeri Sabah. Sangat menghairankan bahawa Kabinet Negeri Sabah tidak mempunyai kabinet khusus untuk pendidikan, hanya diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam sekitar? sedangkan isu pendidikan di Sabah merupakan satu permasalahan kritikal untuk diatasi.

Kabinet Negeri Sabah tanpa Kementerian Pendidikan




2) PATI 

Ramai mahu menjadi hero untuk menyelesaikan isu PATI yang menjadi darah daging di Sabah ini. Desakan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja khusus untuk mengatasi masalah ini sudah sekian lama dilaungkan. Namun, tiada perkembangan yang menyedapkan hati. Jika PR Sabah serius untuk menangani isu PATI ini seharusnya kini sudah berbincang dan bersepakat berkenaan cadangan polisi-polisi yang terbaik untuk mengurus dan mengatasi kebanjiran PATI di bumi Sabah.
Setakat ini, jumlah rakyat bukan warganegara yang dicatatkan oleh Statistik Banci Penduduk 2010, Sabah mencatat peratus tertinggi 27.7% berbanding negara Sarawak yang hanya mencatat 4.7%. Isu PATI ini boleh diurus dan diselesaikan dengan baik jika ada 'political will' yang bersungguh-sungguh dan telus. Apa guna tangan kanan berdegar-degar mahu memutihkan PATI yang sedia ada sedangkan tangan kiri merelakan mereka terus menjadi 'Pengundi Hantu'. 
3) ISU-ISU BERKAITAN PEMBANGUNAN DAN KEMISKINAN RAKYAT SABAH

Negeri Sabah cukup kaya dengan hasil mahsul alam semulajadi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Sabah. Sekian lama kekayaan Negeri Sabah tidak sampai kepada rakyat. Kita punyai minyak petroleum walaupun cuma 5% royalti yang diberikan kepada rakyat Sabah. Kita punyai kayu balak, kelapa sawit, dan pelbagai hasil bumi yang jika diurus dengan baik. Ianya akan kembali dirasai oleh rakyat. 

Namun, masih menyedihkan kerana sejak 1999-2007 Sabah masih mengungguli carta teratas  peratus kemiskinan tegar di seluruh negara. Kerajaan BN masih berbangga mengumumkan bajet berjuta-juta tapi tidak merasa apa-apa bila rakyat Sabah masih berada di tangga teratas kemiskinan tegar?

Mengambil contoh kerajaan PR Pulau Pinang yang mempunyai 'political will' untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat. Tanpa menaikkan apa-apa cukai kepada rakyat, mereka berhasil menambah pendapatan negeri sebanyak 88 Juta dan 77 juta, pada 2 tahun awal memerintah negeri Pulau Pinang.

Bila lagi rasanya kerajaan Negeri Sabah mahu mencontohi kerajaan Pulau Pinang? Belajar bahawa pendapatan negeri boleh ditambah dengan menutup lubang-lubang yang bocor di mana-mana. 


Menaikkan royalti Minyak kepada 20%, Penilaian semula sistem kabotaj, Pengawalan cukai hasil dalam negeri Sabah, kajian fungsi FELDA dan FELCRA, Tabung Warisan Sabah, Optima peranan Yayasan Sabah.  Antara jalan penyelesaian kepada masalah pembangunan dan kemiskinan yang digagaskan oleh PR SABAH. Perancangan nampak cantik di atas kertas, namun yang lebih pentingnya perlu adanya fokus dan keseriusan untuk merealitikan segala bentuk janji ini kepada realiti.
PENUTUP
Cukup optimis, dengan bermulanya langkah pertama memperkenalkan Buku Jingga PR Sabah merupakan perintis kepada jalan menuju DUN Negeri Sabah. Namun, merasakan persoalan paling penting yang mengiringi kemunculan buku jingga ini adalah, Bagaimana memastikan RAKYAT Negeri Sabah TAHU bahawa ada pihak yang menawarkan alternatif menjadikan negeri Sabah lebih baik dari apa yang ada sekarang? Mesej perubahan melalui 20 Janji Buku Jingga Sabah ini perlu sampai kepada rakyat dengan apa cara sekalipun.

Akhirnya, yang terpaling penting juga adalah kesediaan barisan pemimpin PR untuk berdiri dengan gahnya menyatakan "Kami bersedia memimpin Sabah ke arah yang lebih baik". Kesediaan ini dirasakan belum dihayati sepenuhnya. Betul, mahu mengganti kerajaan yang ada, tapi adakah sudah siap membina kerajaan yang cukup kompetan mengganti kerajaan sedia ada? Siapa bakal Ketua Menteri? Berapa DUN dan PARLIMEN yang mampu di tawan pada PRU 13 nanti? persoalan-persoalan sebegini perlu diberi jawapan untuk memastikan kita realistik dan berjejak di bumi yang nyata.



Tinta Saya,

Komen Via Facebook

1 ulasan:

dyg (-_-) said...

janji jgn hnya tgl jji..apa y trkandung dlm buku jingga itulh yg sbnrnya d perlukan olh rakyt sabah buknnya shopping complx yg blambak2..

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.