15 April, 2011

SARAWAK : BULAN BAKAL BERSINAR?

Share

sumber:http://abunuha.wordpress.com

Kali ini rakyat tempatan sudah banyak berubah.

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, abang teksi berbangsa melayu yang menghantar saya ke lokasi yang ditetapkan meluahkan perasaannya sendiri dengan suasana politik di bumi kenyalang. Dia berterus terang kerajaan yang ada kini menghampakan rakyat Sarawak. Baginya, bukan soal lama atau sekejap memerintah tetapi sejauh mana mereka melaksanakan amanah atau menyeleweng daripada amanah yang diberikan rakyat.

Saya datang sebagai pelancong pilihanraya, khususnya melaksanakan aktiviti fotografi yang menjadi kegemaran saya yang semakin menjadi-jadi. Heh, apatah lagi kurang seminggu lalu model kamera saya sudah sudah bertukar kepada yang lebih baik. Ada pula seorang hamba Allah yang sudi membayarkan tiket penerbangan ke bandaraya meow ini. Abang teksi tadi turut menjelaskan kawasan-kawasan panas dan menyatakan ramalannya.

“Hanya dua : BN tumbang atau setidak-tidaknya mereka kehilangan majoriti dua pertiga”.

Sebenarnya, bacaan di media maya menurut kajian pelbagai pihak tidak banyak berubah daripada ramalan abang teksi. Ia barangkali sukar dipercayai bagi penonton setia tv1 dan tv3 sahaja. Jika mereka adalah orang yang terbuka dan berlapang dada, nescaya kajian itu ternyata berasas. Pakatan Rakyat boleh dikatakan menguasai bandar-bandar utama seperti Kuching, Sibu dan Miri dan semakin melebarkan pengaruh ke pinggir bandar dan kampung.

Hari ini saya dibawa seseorang ke Sadong Jaya, sejam dari Kuching. Pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Bebas. Ramai kawan-kawan bertanya, maka jawapan saya : Pertembungan sengit antara BN dan PAS. Jika tidak begitu masakan Presiden UMNO DS Najib datang ke DUN ini selasa lalu. Kami dikhabarkan, sementara BN hampir mengalah di bandar-bandar, mereka menumpukan perhatian di kawasan melayu seperti Sadong Jaya. Bahkan BN mengkategorikan Sadong Jaya sebagai kawasan kelabu.

Mengejutkan saya, kerja-kerja kempen PAS banyak dibantu oleh orang tempatan, tidak kira mereka anak-anak muda atau dewasa berumur 40 tahun keatas. Anak-anak muda tidak segan silu mengangkat bendera bulan hijau putih, atau mengenakan baju t-shirt bercetak pelbagai ayat seperti undilah PAS, kamek mau ubah, dan sebagainya. Petugas juga terkejut dengan layanan mesra penduduk tempatan walaupun mereka adalah ahli parti BN-PBB, menerima kedatangan tetamu dan mendengar penjelasan perayu undi.

Namun kata perayu-perayu undi, apa pun situasinya kerja-kerja kempen akan terus berjalan hingga ke saat-saat akhir apatah lagi BN dijangka akan menggunakan senjata terakhir mereka bagi memikat para pengundi. Saya pula akan terus merakam foto-foto menarik untuk dikongsi bersama.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.