11 March, 2011

Mencapai Ketenangan Jiwa dan Minda Melalui Pengabdian Kepada Allah s.w.t.

Share

sumber: http://abumiftahblog.blogspot.com

Saudaraku yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah bertakwa kepada Allah s.w.t. Laksanakanlah segala perintah-Nya. Hindarkan segala larangan-Nya. Tingkatkanlah keimanan dalam diri kita, dengan memupuk rasa cinta yang mendalam terhadap Allah dan Rasul-Nya melalui pelaksanaan ibadah yang berterusan. Semoga dengan demikian, kita akan bakal mampu mendapat ketenangan jiwa dan emosi, selain tergolong di kalangan hamba-hamba-Nya yang dicintai dan diredhai oleh Allah s.w.t.


Saudaraku yang dikasihi,

Menjadi satu rutin atau kebiasaan bagi kebanyakan dari kita di sini, untuk keluar pada setiap pagi dan hanya pulang pada lewat petang bagi mencari sesuap rezeki. Malah, adakalanya sehingga berlanjutan sehingga lewat malam. Begitu juga halnya bagi para pelajar, yang juga tidak kurang sibuknya dalam menuntut ilmu serta menyelesaikan tugasan-tugasan pelajaran mereka.


Namun sebagai seorang manusia biasa, dalam kita menjalankan aktiviti-aktiviti rutin kita ini, ada kalanya kita akan berdepan dengan tekanan dalam kehidupan sama ada di tempat kerja, sekolah atau juga di rumah. Lantas timbul kerunsingan, kecelaruan minda serta hati yang tidak tenang.


Lebih-lebih lagi jika hati kita ini, sudah lama tidak diisi dengan kalimah suci serta puji-pujian kepada Allah, atau lebih menyedihkan lagi, segala kewajipan dan perintah Allah sudah sekian lama tidak ditunaikan, atau ia hanya dilakukan sekali-sekala.


Ketahuilah saudaraku, keimanan kita terhadap Allah s.w.t. sebenarnya amat penting dalam hidup kita, bahkan keimanan terhadap-Nya lah yang membezakan antara kita dengan hamba-hamba-Nya yang lain. Ia bagaikan satu sumber motivasi untuk kita, dengannya kita menjadi lebih optimis dalam mengharungi hari-hari kehidupan kita di dunia.


Maka sewajarnya sebagai seorang yang beriman, apabila kita menghadapi kesukaran dalam kehidupan, hendaklah kita menyerahkan diri kita pada Allah s.w.t. Mendekatkan diri kita dengan mengabdikan diri pada-Nya, Tuhan Yang Maha Esa. Bermunajat kepada Allah dengan zikir-zikir pujian, bersujud kepada-Nya dan berdoa agar Allah membukakan pintu rahmat dan ketenangan dalam hati-hati dan jiwa kita, inilah sebenarnya merupakan cara seorang Mukmin berhubung dengan Allah s.w.t.


Renungkanlah firman dalam surah al-Ma'arij ayat 19-22:



Ertinya: "Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat."


Lihatlah saudaraku sekalian, betapa indahnya kesan pengabdian dan penyerahan yang kita tujukan kepada Allah s.w.t. Pada hakikatnya, kelebihan yang diraih daripada amal ibadah kita ini, hanyalah dikhususkan buat hamba-hamba-Nya yang beriman.


Sebagai contoh, melalui pelaksanaan solat beserta doa yang dipanjatkan, tersemat di sanubari kita bahawa Allah bakal membukakan jalan keluar bagi segala kesulitan kehidupan yang dihadapi. Itulah keyakinan yang tertanam di dalam hati orang-orang yang beriman. Keyakinan yang timbul dari keimanan ini pula, akan kemudian menimbulkan ketenangan emosi dan juga jiwa. Renungkanlah firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 45:


Yang bermaksud: "Dan pohonlah bantuan dengan bersabar dan dengan melaksanakan solat."


Malah dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, dinyatakan bahawa perkara pertama yang akan dilakukan oleh Baginda s.a.w. ketika berdepan dengan sebarang pergolakan atau masalah adalah dengan melaksanakan ibadah solat.


Ketahuilah saudaraku, solat bukan hanya sekadar untuk kita mengamalkan ibadah sahaja, tetapi ia sebenarnya lebih dari itu. Ia turut juga melibatkan pelbagai aspek fizikal, intelektual, emosi serta rohani.


Sebagai contoh, apabila kita tunduk menyerahkan diri kepada Allah ketika ruku' dan sujud, ia bukan sekadar satu amalan perbuatan biasa, tetapi sebenarnya membawa maksud mendalam bahawa kita sedang berhubungan dengan Allah, dan berhadapan dengan Tuhan Yang Maha Agung. Ini bersesuaian dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Apabila seseorang itu melaksanakan solat, maka ia sedang bermunajat dengan Tuhannya." Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim.


Dengan memahami hakikat betapa mendalamnya sesuatu ibadah yang kita lakukan, ia akan memberikan suatu pengalaman yang indah dalam pelaksanaan ibadah kita. Keindahan dan kemanisan yang dikecapi itu pula, pasti akan memberikan keyakinan, ketenangan dan peningkatan iman kepada diri kita. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra'ad ayat 28:


Ertinya: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Selain dari kesan peribadi, ketenteraman hati juga akan melahirkan seorang yang bersifat lebih ihsan, lebih bersimpati, lebih menghormati dan prihatin kepada masyarakat dan keadaan sekelilingnya. Akhirnya, seseorang yang beriman itu akan merasa lebih selesa dengan dirinya dan juga dengan masyarakat hasil dari kelapangan dada dan ketenangan jiwa yang diperolehinya.

Semoga melalui ilmu yang lebih mendalam, pengukuhan keimanan dan kerohanian ini, dapat melahirkan seorang insan Mukmin yang gigih beribadah, dekat kepada Allah, selain menjadi seorang insan yang ihsan, rendah diri dan disenangi manusia. Amin, Ya Rabbal 'Alamin.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.