10 July, 2010

Piala Dunia Songsang

Share
Sumber: http://nurilhakim.blogspot.com/



Setiap kali menyampaikan usrah, tazkirah atau mengisi mana-mana ruang dalam program seminggu dua ini saya akan memulakan dengan lagak serius..

'Kita hidup pada hari ini dalam dunia yang sangat songsang. Perkara-perkara yang berlaku di sekeliling kita tidak lagi mengikut fitrah kejadian yang sebenar. Yang kecik tidak lagi di bawah dan yang kuat tidak semestinya di atas. Malah, baru-baru ini kita digemparkan dengan dua peristiwa yang sangat menghairankan dan memeranjatkan seluruh umat manusia. Peristiwa tersebut ialah....' saya menghela nafas panjang bagi menimbulkan suasana dramatik, 'kekalahan 'Brazil kepada Belanda 2-1 dan kekalahan Argentina 4-0 kepada Jerman'. Ketawa audiens berderai. Kemudian saya menyambung, 'Mujur sahaja ego Jerman dapat ditundukkan oleh Sepanyol yang pasti akan menjadi juara Piala Dunia pada tahun ini.' Deklarasi yang tidak di'syura'kan bahawa Persatuan Siswazah Sabah menyokong pasukan Sepanyol di pusingan akhir.

Tujuan saya bukan itu. Perkongsian saya sebenarnya dipimpin ke arah keajaiban yang lebih besar yang berlaku pada bulan Rejab, bulan Piala Dunia ini iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj. Saya biasanya hanya menyebut sekilas peristiwa-peristiwa yang berlaku, daripada Rasulullah S.A.W dibawa ke Masjidil Haram, dibedah dan dibersihkan hatinya, sampailah baginda ke Masjidil Aqsa mengimamkan sekalian anbiya' dan mursalin di sana seterusnya diangkat ke Sidratul Muntaha bertemu dengan Allah dan diamanahkan dengan ibadah solat.

I'brah haraki yang terkandung dalam peristiwa Isra' Mi'raj meruntun penggerak-penggerak dakwah menilai intipati tersirat di sebalik peristiwa tersebut:

1. Pensyariatan solat secara terus oleh Allah kepada Nabi Muhammad menggambarkan betapa besar ibadah tersebut sebagai amalan tunjang yang menjadi kayu ukur keimanan dan benteng kekuatan umat Islam. Justeru sebagai da'ie solat tidak boleh dilengahkan dan pemahaman terhadap solat haruslah dipupuk dengan bersungguh-sungguh agar mesej besar di sebalik solat dapat disampaikan kepada madhu'u.

2. Tujuan Isra' Mi'raj antaranya ialah mengubat hati Rasulullah S.A.W yang berdukacita selepas kewafatan isterinya Khadijah Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib, dua orang yang paling gigih mendukung perjuangan baginda, selain kegagalan usaha dakwah yang dibawa ke Taif. Ia meyakinkan kita bahawa setiap kesusahan dan kerumitan yang dilanda oleh penggerak dakwah, pasti akan dituruti dengan kesenangan dan kegembiraan. Persoalannya bila? Tentu sekali apabila kita sudah cukup berusaha. Malangnya kita pada hari ini, belum pun berhadapan kematian orang-orang tersayang secara berturutan, belum pun berdarah-darah dilontar batu oleh penentang, sudah mengeluh dan mengadu susah berjuang.

3. Rasulullah tetap menyampaikan kebenaran peristiwa yang dialaminya walaupun baginda tahu bahawa mustahil untuk kafir Quraisy menerima berita tersebut dengan rasional akal. Hari ini pendokong dakwah merasa goyah dan takut-takut dengan apa yang mahu disampaikan. Susah bercakap meyakinkan orang dengan hukum hudud yang kalau mengikut logik akal sukar diterima, susah menasihatkan orang terdekat dan ahli keluarga yang jelas melakukan maksiat membuka aurat dan tidak bersolat, berkira-kira untuk mempamerkan akhlaq yang baik kerana takut dituduh 'temberang' dan sebagainya.

Kita optimis sebagaimana tumpasnya pasukan gergasi Brazil dan Argentina oleh pasukan 'underdog', gergasi nifaq, syirik dan batil turut akan rebah mengikut putaran alam, selagi mana usaha-usaha 'underdog' duta-duta kecil Islam daripada kalangan ahli KRU dan PSS khususnya, tidak mengenal erti jemu dan putus asa.

Selamat berjaya Sepanyol.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.