Beritanya hangat. Sehangat hati mereka yang menjadi mangsa. Perobohan rumah manusia seagama begitu menyayat hati. Mangsanya orang Islam. Yang tukang roboh juga orang Islam.
Saya kurang maklum, di mana mereka meletakkan hadith Nabi bahawa umat Islam itu bersaudara. Seperti satu badan yang turut merasa sakit anggota yang lain, seperti sebuah bangunan yang saling melengkapi.
Khabarnya, ada manusia-manusia rakus dibalik tragedi menyedihkan ini. Pekerja DBKK dan RELA hanya sebagai alat sahaja. Ada pembesar yang berhati kecil menempah kawasan tanah untuk kepentingan sendiri. Mengaut keuntungan di atas penderitaan orang lain.
Perobohan rumah mereka bermula sejak 12 April lalu dan ia terhenti pagi jumaat setelah mahkamah menerima injuksi sementara terhadap DBKK. Hujung minggu lalu kebetulan ada urusan di kawasan berdekatan, saya singgah dan mendengar cerita-cerita duka mereka.
Saya cadang, yang simpati berkunjunglah ke sana walau seketika. Berikan mereka khabar gembira bahawa Allah SWT bersama orang yang sabar.
Akhbar Daily Ekspress hari ini, selasa 27 April 2010 :
49 penduduk dapat injuksi sementara terhadap DBKK
Jo Ann Mool
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan injuksi sementara untuk 49 penduduk kampung Bakau di Likas untuk menghalang Dewan Bandaraya Kota Kinabalu daripada memasuki, mengusir dan merobohkan rumah mereka serta struktur bangunan di kampung tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman Dato’ Abdul Rahman Sebli mengeluarkan perintah itu di kamarnya selepas mendengar saman ex-parte oleh plaintif, diketuai Dimulu @ Nasir Ahid dan 48 penduduk lain.
Penduduk kampung itu melalui peguan Erveana Ansari memfailkan permohonan mereka dan menamakan Datuk Bandar Kota Kinabalu sebagai defendan tunggal mengikut Perintah 29, Peraturan 1 (2) dan Perintah 92 Peraturan 4, Peraturan Mahkamah Tinggi 1980.
Para penduduk kampung itu, dalam afidavit sokongan mereka, mendakwa mereka terdiri daripada pelbagai suku kaum asal dan memiliki sebidang tanah di bawah Geran Tanah Natif No 011243330 dikenali sebagai Kampung Bakau, Likas.
Mereka mendakwa telah tinggal secara kekal atas tanah tersebut sebelum ia dipindahmilik kepada defendan oleh pihak berkuasa Negeri.
Plaintif itu juga mendakwa, Kerajaan dan DBKK telah mengiktiraf dan meluluskan hak adat penduduk apabila mereka meluluskan antara lain bangunan sekolah, lot parkir, rumah ibadat, pengubahsuaian serta menyediakan kemudahan telefon dan elektrik.
Mereka mendakwa, rumah-rumah mereka sedang dirobohkan tanpa perintah mahkamah sewajarnya dan tanpa defendan memastikan sempadan tanahnya dengan tanah Negeri, merobihkan struktur dan kemudahan tanpa garis panduan sempadan yang sempurna.
Plaintif mendakwa mereka telah dimaklumkan Jabatan Tanah dan Ukur pada 2008, bahawa jabatan itu tidak ada diberitahu oleh defendan yang defendan akan merobihkan rumah atas tanah Kerajaan sekitar tanah tersebut.
Mereka mendakwa, defendan telah memusnahkan 70 peratus daripada rumah di situ tanpa mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu dan akan merobohkan rumah-rumah selebihnya.
Plantif berkata, perlakuan berterusan defendan dan atau ejennya merobohkan struktur dan rumah atas tanah itu adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan peraturan ‘keadilan asasi’ dan menggesa mahkamah memberikan injuksi kepada plaintif terhadap defendan.
Mengangkut barangan yang berbaki..
0 ulasan:
Post a Comment