Di negeri Sabah ini, gereja lebih banyak  daripada masjid. Sepanjang jalan tumbuh gereja. Signboard menyatakan   ada gereja juga jelas dan besar terbentang di tepi jalan. Hal ini  dapat  dilihat oleh sesiapa yang melakukan perjalanan dari Sandakan ke  Kota  Kinabalu. Malah, rata-rata perjalanan antara daerah di negeri  bawah bayu ini  menampakkan kepada kita gereja yang berceretek sepanjang  jalan. Itu  belum lagi dikira gereja yang ada diceruk rantau kampung.
Malangnya  pula, jumlah  masjidnya terbatas. Sudahlah terbatas, sesebuah masjid  sukar pula  dibina. Jika rumah ibadat umat Islam telah berjaya dibina,  terutamnya  di taman perumahan dan kampung-kampung, mengambil masa yang  lama untuk  diiktiraf dan dinaiktaraf sebagai masjid. Ini berkaitan dengan kuasa  Jabatan Agama yang dikatakan bertujuan mengawal kesatuan umat Islam di  Sabah. Yang bersatu bukan umat Islam tetapi ummat Kristian!
Kata orang agenda kristianisasi  subur dan marak di negeri di bawah bayu. Itu memang ada benarnya. tetapi  bukan sebab mereka kuat. Ia adalah disebabkan kita lemah. Ummat kita  dipenuhi oleh golongan agamawan defensif  dan umara yang opurtunis.
Di negeri Selangor timbul pula isu gerakan kristianisasi menggunakan alat "solar powered talking bible". Ia adalah satu lagi kebimbangan yang diluahkan dan diumumkan menerusi kenyataan Exco Agama Negeri Selangor, YB Dato' Hasan Ali. Sebelum ini, dalam pelbagai kenyataan dan komentar, kebimbangan terhadap agenda kristianisasi acap diperkatakan. Kenyataan bahawa ada ratusan ribu orang Islam yang murtad, isu gereja Methodist di Damansara Utama, penggunaan kalimah Allah dan bible berbahasa Melayu adalah sebahagian daripada kerisauan mengenai agenda kristianisasi.
Pertama sekali, perlu diingatkan  bahawa kita berada dalam sebuah negeri besar bernama dunia. Dalam  dunia, pencipta dunia iaitu Allah Yang Maha Agung telah merentangkan dua  jalan untuk dipilih. Pilihan sama ada untuk diikuti atau diperjuangkan.  Itulah jalan syukur dan jalan kufur. Adalah tidak realistik jika kita  mengharapkan dunia ini menjadi syurga. Apa yang ada hanya insan-insan  beriman mengikut jalan syukur sahaja, sedangkan manusia kafir dan  derhaka yang merintis jalan kufur dibasmi dan sirna langsung.
Bercakap mengenai agenda  kristian, kita perlu sedar bahawa sejak zaman berzaman gerakan kristian  telah merencanakan agendanya serta melaksanakannya. Agenda kristian ini  telah wujud di atas muka dunia sebelum Islam dihidupkan dan  disempurnakan menerusi dakwah baginda Rasulullah SAW. Apabila Islam  menguasai sebahagian besar bumi, agenda kristian menjadi lemah.  Sebahagian besar belahan bumi yang pernah dikuasai teologi  kristian tunduk kepada akidah Islam. Namun, kemudiannya pula, dunia  Islam ditewaskan oleh penjajahan negara Barat. Bersama penjajahan Barat,  agama kristian  mengembangkan sayapnya. Kini, setelah merdeka dari  jajahan dan naungan Barat, Islam kembali cuba diangkat di bumi yang  dulunya Islam berkuasa.
Kristian tidak musnah. Ia masih  menjadi agama terbesar penduduk dunia. Perangkaan hari ini menyebutkan  bahawa Islam adalah agama kedua terbesar dianuti oleh warga dunia.  Namun, perkembangan Islam marak dan pesat, terutamanya di bumi tradisi  Kristian, iaitu negera-negara Barat. Banyak pihak menjangkakan bahawa  dalam sedikit masa lagi Islam akan menjadi agama anutan teramai manusia  di dunia.
Ironinya, di negara Malaysia,  sebahagian umat Islam dihantui perasan takut mengenai masa depan Islam.  Maka, timbullah tuduhan mencari pihak yang bertanggungjawab atas  kebejatan akidah yang terjadi. Cara mudah dan simplistik adalah dengan meletakkan kesalahan kepada dakyah kristian, agenda kristian antarabangsa dan sebagainya.
Saya secara peribadi,  sudah  bosan mendengar luahan dan keluhan ini. Lebih-lebih lagi dari mereka  yang telah dikurniakan Allah kuasa untuk menancapkan Islam dan akidahnya  di muka bumi.  Seharusnya, sekecil mana kuasa yang didapati, ia harus  digunakan untuk melebarkan dakwah Islam. Seharusnnya pihak berkuasa  agama di negeri tidak menjadi penghalang dakwah dengan bid'ah tauliah yang menggencatkan perkembangan Islam.
Allah berfirman:
الَّذِينَ  إن مَكَّنَّاهُمْ فِي الأرْضِ أَقَامُوا الصَّلاَةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ  وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ
(Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.
(Surah Al-Hajj: Ayat 41)
Sering mengatakan "ini agenda  kristian", adalah alasan-alasan orang yang tidak berjuang untuk Islam.  Kristian bukan agama  kecil. Masakan ia tidak ada agenda. Sedangkan  ajaran sesat di sebuah kampung di Ulu Selangor pun ada agenda, inikan  pula agama Kristian. Bercakap mengenai agenda Kristian adalah buang  masa. Sepatutnya kita membahaskan apakah agenda kita.
Saya amat bersetuju dengan bidasan Dr. Asri Zainal Abidin terhadap mereka yang menyifatkan bahawa alat "solar powered talking bible"  menjadi sebab kepada sebahagian kemurtadan.  Ia adalah kenyataan  escapisme, iaitu ingin melepaskan diri daripada kelemahan agenda dakwah  Islam. Negeri Selangor memang banyak mencalar perkembangan Islam dengan  sekatan-sekatan melampau berbau politik. Sepatutnya, beban kesalahan itu  bukan kepada gerakan Kristian, tetapi kepada penguasa agama Islam itu  sendiri. Cukuplah masalah tauliah sebagai contoh di mana ia menjadikan  dakwah Islam "dormant" sedangkan gerakan kristianisasi bertambah aktif.
Sikap  menggelisahi gerakan dan agenda kristianisasi hendaklah dihentikan.  Pedulikan dengan agenda kristian. Fikirkan apakah agenda diri sendiri.  Kitab bible itu tidak dapat menandingi Al-Quran. Ia bukan mukjizat. Kalau ramai orang baca kita bible, lagi bagus. Ia membuka ruang kepada pihak para da'i kita untuk menerangkan penyimpangan bible dan menegaskan kebenaran Al-Quran kepada orang ramai.
Mereka yang takut bible dibaca orang ramai, sudahkah membaca bible?





0 ulasan:
Post a Comment