29 November, 2011

PAS Sabah adakan lawatan muhibbah ke negeri Pakatan Rakyat


sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mengadakan lawatan kerja seminggu ke negeri-negeri yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Lawatan yang berteraskan muhibbah dan semangat setiakawan itu akan mengadakan perbincangan dua hala mengenai tawaran Pakatan Rakyat, pilihan raya dan kerjasama ekonomi.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan berkata, PAS Sabah sedang berusaha membawa keluar rakyat di negeri itu dari kepompong kekuasaan dan kerakusan pemimpin di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Kita mengadakan lawatan ke negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat ini, bukan sahaja akan mengambil manfaat keseluruhan peluang malah akan membincangkan juga mengenai apa tawaran kita selaku parti dalam komponen Pakatan Rakyat kepada rakyat Sabah,” jelasnya.

Menurutnya, generasi muda pada hari ini sudah mula sedar dengan suasana perubahan yang turut dirasai oleh rakyat Sabah yang berada di semenanjung.

“Kita melihat ini merupakan mood perubahan dalam diri rakyat, terutama golongan muda.

“Mereka tidak sekadar melihat dan menonton apa yang dihidangkan... tapi apa yang mereka lakukan ialah mencari sebanyak mana sumber isu untuk dijadikan pelengkap kepada sesuatu dakwaan,”  ujarnya.

Kata Zulfikar, lawatan ini juga secara langsung akan membincangkan persediaan menghadapi pilihanraya yang akan berlaku pada bila-bila masa.

“Kesediaan pilihanraya pada tahun ini merupakan sesuatu yang amat mencabar.

“Kita akan menggunakan seluruh medium penyebaran yang ada untuk menyebarkan apa sahaja maklumat yang benar mengenai Sabah dan Malaysia kepada rakyat,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak menolak kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa pilihanraya pada kali ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya umum.

“Pemuda akan memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan dengan perlawanan satu lawan satu.

“Kita juga percaya, mereka tidak senang dengan kerja kita. Tapi, apa salahnya kalau kita bekerja dan bersaing secara sihat,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Sepanggar.

Lawatan yang disertai Ketua Pemuda, Lahirul Latigu bersama kepimpinan PAS Sabah itu bermula di Selangor pada 26 Nov lalu hingga 29 Nov akan turut berkunjung ke Kedah (30 Nov – 1 Dis) dan berakhir di Kelantan (2 Dis – 3 Dis).

27 November, 2011

Mangsa kebakaran terima bantuan

Sumber: http://dppsabah.blogspot.com/


KOTA KINABALU, 27 Nov: Mangsa kebakaran 55 buah rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, dekat sini Khamis lalu menerima sumbangan daripada PAS Kawasan Putatan pagi tadi.
Sumbangan yang berbentuk pakaian dan keperluan harian itu disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli yang juga AJK PAS Malaysia.
Dr. Hatta berkata, sumbangan yang diberikan itu diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa.
Menurutnya, selain bantuan tersebut, pihaknya juga menggesa kerajaan Sabah agar lebih memberi perhatian termasuklah mengenai kesihatan, kemudahan tempat tinggal dan sebagainya.
“PAS menyampaikan ucapan dukacita dan simpati kepada mangsa kebakaran. Setakat hari ini, apa yang telah kita ketahui bahawa masa depan mereka ini masih tidak terjamin.
“PAS mengharapkan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan untuk terus memantau kesihatan mangsa bagi memastikan air yang digunakan itu selamat untuk diminum dan digunakan.
“PAS khuatir, kemungkinan terdapat jangkitan penyakit berjangkit sekiranya langkah awal pemeriksaan ini tidak dilakukan,” katanya.
Menurut Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu yang turut menemui wakil mangsa kebakaran berkata, pihaknya bersimpati atas musibah yang dialami dan berusaha untuk membantu sedaya upaya bagi meringgankan beban yang terpaksa dihadapi.
“Kita juga dapat maklum bahawa, ada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil peperiksaan tahun ini terpaksa mengulangkaji dalam keadaan yang kurang selesa,” ujarnya yang juga Naib Yang DiPertua PAS Putatan.
Turut hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling; Naib Ketua Muslimat PAS Sabah, Faizah Antong dan Setiausaha PAS Sabah, Awang Laiman serta beberapa pimpinan PAS Sabah.
Khamis lalu, lebih 1000 orang kehilangan tempat tinggal apabila sekurang-kurangnya 55 buah rumah di kampung tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku menjelang subuh pada jam 2.15 pagi.
Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal sepasukan bomba yang menggunakan lima buah jentera daripada Balai Bomba Sembulan, Lintas dan Penampang. Kebakaran itu juga berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 6.30 pagi.
Dalam kejadian itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

24 November, 2011

Tips Kiblat di Hotel dan Resort


sumber: http://albelurani.blogspot.com

Bismillah...

khasnya kepada penduduk dan masyarakat Sabah atau para musafir yang bermusafir ke Sabah dan menginap di hotel atau resort. Beberapa tips atau panduan bagi anda memastikan arah kiblat di hotel atau resort yang anda diami.

Alhamdulillah boleh dikatakan telah banyak kami tentusahkan arah kiblat di bilik-bilik hotel atau resort di negeri Sabah ini samada yang berbintang atau tidak ada langsung bintangnya. Kami berdasarkan permohonan bukan berdasarkan taraf bintang sesebuah hotel atau resort. Juga perkhidmatan kami adalah 100% percuma.

Setiap hotel atau resort yang telah diberikan pengesahan arah kiblatnya maknanya telah memenuhi syarat dan telah kami lawati ke hotel dan resort tersebut. Antara syarat yang perlu diketahui adalah :

1. Penandaan arah kiblat dibuat di keseluruhan bilik hotel dan resort tersebut, maknanya kami masuk ke bilik-bilik hotel tersebut tanpa ada terkecuali walaupun satu bilik untuk diletakkan tanda (stiker) kiblat yang betul.

2. Penanda arah kiblat diletakkan/dilekatkan di atas syiling bilik hotel atau resort. Jika anda melihat stiker arah kiblat dilekatkan selain dari syiling seperti dalam laci/almari maka hotel tersebut tiada pengesahan daripada kami ( Pejabat Mufti Negeri Sabah ). Jika pihak hotel mendakwa pihak kami ada memberikan pengesahan maknanya pengesahan dan sijil pengesahan terbatal serta merta disebabkan berlakunya gangguan terhadap penanda arah kiblat.

Jika syarat tersebut telah dipatuhi, surat dan dan sijil pengesahan dianugerahkan kepada hotel dan resort tersebut dan mereka akan paparkannya di ruang atau lobi hotel sebagaimana sijil halal. Ini memudahkan para pengunjung ke hotel tersebut mengerjakan solat berpandukan arah kiblat yang terdapat di dalam bilik hotel dan resort tersebut.

Jika surat dan sijil tidak dipaparkan anda berhak meminta untuk ditunjukkan sijil dan surat pengesahan tersebut agar dapat menghilangkan rasa was-was dalam melaksanakan solat. Itu pun jika pihak hotel dan resort mendakwa hotel dan resort mereka telah ditentusahkan kiblatnya oleh pihak kami. Berhati-hati, kerana kes sebegini pernah berlaku.

Setelah itu, jika pihak hotel dan resort telah menunjukkan sijil atau surat pengesahan arah kiblat, teramat penting juga anda hendaklah memerhatikan stiker arah kiblat di dalam bilik hotel tersebut ianya memenuhi syarat seperti di atas. Jika sebaliknya, anda hendaklah melaporkan perkara ini kepada kami di alamat berikut :

Pejabat Mufti Negeri Sabah
Tingkat 2, Blok B, wisma MUIS
Beg Berkunci 2070
88999 Kota Kinabalu

tel : 088218322
faks : 088263679

Atau anda boleh berhubung langsung dengan saya melalui FB : albelurani alfalaki atau ditalian 0195367902 untuk tindakan lanjut daripada kami. Kami juga amat berharap di atas kerjasama anda atas dasar " Bertolong-tolong dalam kebaikan dan tidak bertolong-tolong dalam kemungkaran dan kejahatan".

Seperkara lagi, stiker kiblat ( penanda arah kiblat ) di setiap hotel atau resort adalah berlainan ini kerana atas dasar menghormati pihak hotel dan resort agar penanda tersebut bersesuaian dengan mereka. Namun, sedikit masa lagi STIKER KIBLAT akan diselaraskan dan akan sama semuanya menunjukkan bahawa pengesahan tersebut adalah daripada pihak kami.

Semoga dengan sedikit tips dan panduan ini membantu dan memudahkan anda melaksanakan solat apabila anda menginap di hotel dan resort di negeri Sabah.

Barakaallahu fiikum.


Bekas OCPD sertai PAS


sumber: http://monazmuslim.blogspot.com

Bila penulis terbaca tajuk utama "Bekas OCPD sertai PAS" dalam Harakah edisi 1693, serta-merta teringat pada bekas OCPD Batu Pahat, Tuan Hj Latifi sebab penulis pernah dipanggil olehnya atas urusan permohonan permit ceramah Mat Sabu di Batu Pahat sekitar tahun 2005. Malah beliau sendiri kerap datang makan roti canai dan kaki ayam di kedai makan ahli PAS di Rengit. Kalau penulis nampak kelibatnya di kedai sahabat tu, pasti penulis pergi menemuinya untuk bersalam dan bertanya khabar. Soalan pertama yang ditanya pada penulis ialah "Bila lagi kau nak buat ceramah. Kalau nak buat, mohon permit dulu. Jangan risaulah, aku akan luluskan."
Sikap profesional beliau sebagai OCPD pernah mendapat pujian daripada Almarhum Ustaz Fadhil Noor di Parlimen semasa Almarhum menjadi Ketua Pembangkang.

Jadinya, bila terbaca tajuk utama Harakah tadi, penulis ingatkan bekas OCPD Batu Pahat yang masuk PAS, rupanya bekas OCPD Daerah Slim River, Abdullah Omar. Mudah-mudah Tuan Hj Latifi akan mengikut langkah rakan sejawatannya itu.

Dalam satu program Liqa' Fikri PAS Perak di Air Kuning pada 18 November lalu, bekas OCPD Slim River itu telah mengisytiharkan diri menyertai PAS.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau mahu berjuang bersama PAS untuk menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang sudah menjadi barah dalam pentadbiran kerajaan BN.

Nampaknya kempen BN untuk mencemar imej PAS di kalangan anggota Polis dan tentera tidak berhasil apabila seorang demi seorang anggota pasukan keselamatan negara mengorak langkah melakukan hijrah menyertai PAS. Sebelum ini, seorang bekas pegawai tinggi TLDM berpangkat Laksamana telah menyertai PAS.

Rakyat Perlukan 'HIMPUNAN BERSIHKAN MALAYSIA'


sumber: http://almuslim-alharaki.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.

Awal pagi ini seperti biasa selepas menunaikan kewajipan sebagai muslim, aku berhadapan dengan lap top bagi melayari internet. Pastinya facebook, Harakahdaily, blog dan Youtube yang aku buka bagi mendapatkan maklumat isu semasa kerana itu juga kewajipan sebagai muslim untuk mengetahui isu semasa.

Semasa membuka laman sosial dan akhbar, maklumat yang aku dapati ialah perbahasan usul 13 tahanan ISA telah ditolak (Harakahdaily.net). Bila aku terbaca berita, tersangat benci rasanya kepada kerajaan yang dipimpin oleh UMNO dan BN. Bertambah lagi benci apabila mengetahui bahawa adanya Akta Perhimpunan Aman 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam semakin mengecilkan lagi sistem demokrasi di tanah air (Harakahdaily.net), Youtube .

Bagiku, sudah terlalu kejam yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia kepada rakyat. Keadilan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Slogan 'Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan' hanya propaganda UMNO-BN.

Dek terlalu geram dengan UMNO-BN, aku terbaca pandangan Ketua DPP Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi agar Perhimpunan BERSIH 3 perlu diadakan (Harakahdaily.net). Aku tersenyum membacanya. Namun, terlintas di fikiranku agar bukan sekadar perhimpunan untuk BERSIHkan pilihanraya, tetapi BERSIHKAN MALAYSIA daripada kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN.

Perlu sangatlah bagiku perhimpunan BERSIHKAN MALAYSIA ini diadakan bagi membantah kezaliman UMNO-BN untuk kesejahteraan rakyat Malaysia. Kita tidak mahu lagi digula-gulakan seperti sebelum ini. Media perdana sibuk memburukkan pemerintahan Pakatan Rakyat seperti di Kelantan (Harakahdaily.net). 

Secebis harapan dariku kepada Ketua DPP Malaysia agar mengadakan Perhimpunan Bersihkan Malaysia dan mengetuai anak muda bagi perhimpunan ini.

Allahu'alam.

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

22 November, 2011

Serita Bola : 'Emas Impian' - Harimau Muda Menang

Sumber: http://www.azizullemin.com/


Tahniah Harimau Muda
Tahniah Kepada Pasukan Harimau Muda atas kemenangan berganda ke atas Indonesia dalam Sukan SEA edisi ke 26. Tahniah juga kepada Ong Kim Swee kerana berjaya membimbing Harimau Muda menuju kejayaan demi kejayaan. Final Impian akhirnya berakhir dengan mempertahankan Emas Impian yang dimiliki oleh Harimau Muda pada dua tahun yang lalu ketika menentang Vietnam dengan kemenangan diperolehi melalui sepakan penalti. Kemenangan ini cukup bermakna sekali kepada semua rakyat Malaysia, kemenangan yang membuktikan bahawa Malaysia adalah satu kuasa bola sepak yang kuat di Asia Tenggara. 
PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan
menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir
bola sepak Sukan SEA di Stadium Bung Karno,
Jakarta, Indonesia, sebentar tadi. Harimau Muda
menang 4-3 pada penentuan penalti
 selepas perlawanan terikat 1-1

Imbas kembali, pada peringkat kumpulan Harimau Muda bermain hambar pada perlawanan pertama ketika menentang Singapura dengan perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan. Pembukaan perlawanan yang hambar ini memberikan Malaysia laluan yang agak sukar meneruskan perlawanan. Namun pada perlawanan kedua, Malaysia akhirnya mula menunjukkan kematangan apabila berjaya mengalahkan Gergasi bola sepak Asia Tenggara iaitu Thailand dengan kemenangan 2-1. Harimau Muda terus menunjukkan taringnya apabila membaham Kemboja pada perlawanan ketiga mereka dengan jumlah jaringan yang besar 4 berbalas 1.

Selepas menempuhi tiga perlawanan tanpa kalah, Malaysia bertemu Indonesia pada perlawanan peringkat terakhir untuk menentukan juara peringkat kumpulan seterusnya menentukan samada Malaysia layak ke separuh akhir ataupun tidak. Namun, Indonesia seolah-olah memandang rendah kekuatan pasukan Malaysia yang akhirnya memberikah padah kepada mereka apabila dikalahkan dengan jaringan 1-0. kemenangan ini akhirnya memecah kemarau 8 tahun Malaysia tidak pernah mengalahkan Indonesia di tempat sendiri. Kini mereka bertemu lagi diperingkat akhir yang akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan melalui penentuan sepakan penalti. Khairul Fahmi (Apek) & Kapten Pasukan Badrol Bakhtiar menjadi hero pasukan apabila menyempurnakan tugas untuk mengekalkan emas yang diperolehi dua tahun lalu.

Zul : Tahniah Harimau Muda, Tahniah Ong kim Swee dan Tahniah Kepada seluruh pasukan/pegawai yang terlibat dalam acara bola sepak ini. Anda semua adalah juara bagi seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan kalian dipelbagai peringkat perlawanan. Tahniah juga kepada pasukan Garuda Muda, pasukan anda berjaya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi pada perlawanan akhir menentang Malaysia ini. Semoga sukan ini mampu mengeratkan lagi silaturrahim antara dua buah negara dan bukan menambahkan kekeruhan. Buang yang keruh dan ambil yang jernih.

TOLONG : MELENGKAPKAN BILIK GURU

Sumber: http://abunuha.wordpress.com/



Ini salah satu bilik kelas di PPI an-Nur.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
KERTAS KERJA MOHON BANTUAN DANA UNTUK  MEMPERLENGKAPKAN BILIK GURU PUSAT  PENDIDIKAN ISLAM AN NUR

 1.      MUQADDIMAH
Pusat Pendidikan Islam An Nur (PPIAN) adalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang  berorientasikan Pengajian Al Quran dan Bahasa Arab  berpandukan sukatan pelajaran dan Kurikulum Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)

la ditubuhkan dengan tujuan mendidik pelajar-pelajar agar dapat menghayati kebesaran Al Quran melalui penulisan, pembacaan dan hafalan Al Quran serta ilmu-ilmu berkaitan seperti Bahasa Arab, Tajwid, Qiraat, Khat  dan Tarannum.

PPIAN telah memulakan sesi pembelajarannya pada 15 Februari 2006 dengan 10 orang pelajar berdaftar berumur 5 tahun – 10 tahun dan 2 orang tenaga pengajar.

Di atas peningkatan kesedaran masyarakat yang inginkan anak-anak mereka terdidik, institut ini telah menerima pertambahan pelajar dari masa ke semasa. Sehingga kini, jumlah pelajar telah mencecah kepada 151  orang pelajar, 7 orang guru dan seorang guru besar. Pertambahan ini sangat menuntut kepada peningkatan tenaga pengurusan, ruang pembelajaran dan lain-lain fasiliti tambahan. Atas perkembangan ini dan harapan untuk mewujudkan suasana pendidikan yang terbaik, maka kertas kerja bagi memohon dana pembangunan ini dikemukakan.

Barangsiapa yang berkehendakkan dunia hendaklah ia memiliki ilmu, barangsiapa yang berkehendakkan akhirat hendaklah ia memiliki ilmu dan barangsiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali maka hendaklah ia memiliki ilmu”(al-Hadis)

 2.       OBJEKTIF BANTUAN DANA
Tujuan utama penubuhan tabung ini adalah untuk mengumpul dana bagi membolehkan PPIAN memperlengkapkan kemudahan dalam bilik guru demi keselesaan para guru. Dana ini ini diperlukan kerana pada masa ini yuran sekolah hanya mampu untuk menampung operasi sekolah dari segi pembayaran gaji guru dan kos pentadbiran.

 3.       STATUS PEMBANGUNAN
Lokasi : Surau Taman Austral, Taman Austral, Kepayan, Kota Kinabalu (Jalan Penampang by pass)

 4.      LEMBAGA PENGURUSAN SEKOLAH
Pengerusi : Encik Hambali Bin Saad
Timbalan Pengerusi : Encik Abd Jaid Bin Paki
Setiausaha : Ustaz Mohd Radzi Bin Amaran
Bendahari : Ustaz Idzhar Jaafar
AJK
Dr Nidzam
Dr Adlin Zafrulan Zakaria
Ustaz Muhasibi Razali

 5.      SUMBANGAN ANDA DIPERLUKAN
Pihak Jawatankuasa sedang berusaha memohon derma daripada individu dan tokoh-tokoh korporat yang sudi menyumbang. ( Lampiran disertakan )

 6.      AKAUN BANK
Sumbangan boleh disalurkan terus kepada pihak kami samada dalam bentuk wang atau material ke alamat kami. Atau sumbangan kewangan, anda boleh hulurkan kepada

Pusat Pendidikan Islam An Nur
Maybank Islamic Berhad (Cawangan Sadong Jaya)
No. Akaun :  151137819732

Sebarang pertanyaan boleh hubungi :
  • Encik Hambali Saad                      017  818 2728
  • Encik Idzhar Jaafar                        019  871 1837

 7.      PENUTUP
Semoga usaha murni ini dapat dilakukan dengan jayanya. Kepada pihak yang sudi dan telah menyumbang kepada perkembangan Islam di bawah kendalian PPIAN, didahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Moga Allah menerima semua amal kita dan menjadi bekalan di akhirat.

Disediakan oleh
Pengerusi
Pusat Pendidikan Islam An Nur

ISA: Keluarga serah memo kepada SUHAKAM

Sumber: http://anakbulanmoden.blogspot.com/

KOTA KINABALU, 22 Nov: Anggota keluarga mangsa yang ditahan pihak polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah baru-baru ini menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Penyerahan itu dibuat di pejabat suruhanjaya itu di Kota Kinabalu kepada Pesuruhjaya SUHAKAM, Jannie Lasimbang kira-kira jam 9 pagi kelmarin.
 
Turut mengiringi penyerahan itu AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling, Ketua Penerangan, Hisammudin Sulaiman serta Ketua Pemuda Lahirul Latigu.

Dalam pertemuan sejam dengan SUHAKAM itu, anggota keluarga menuntut pihak SUHAKAM campur tangan dengan mendesak tahanan dibebaskan segera.
"Keluarga mahu pihak SUHAKAM jumpa tahanan. Kita dapat maklumat, kemungkinan mereka yang ditahan akan dipaksa mengaku bersalah," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.
Menurutnya, keluarga juga melahirkan kebimbangan jika mangsa yang ditahan itu dibawa keluar dari Kota Kinabalu sama ada ke Kuala Lumpur atau ke luar Sabah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam mendakwa kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah awal minggu ini amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau.
Menurut beliau, kumpulan 13 individu terbabit termasuk enam warga asing "tidak takut mati" dan "mahu mati jihad" dan menyifatkan isu penahanan 13 individu terbabit sebagai "amat serius" dan berkata, pada ketika ini mereka sedang ditahan di pusat tahanan di Tawau.
Hishammuddin juga mendedahkan, operasi penahanan 13 individu yang dilaksanakan oleh unit khas anti keganasan polis turut menemui sejumlah besar senjata api dan bahan letupan.
Tuduhan jahat
Mengulas lanjut, Mazlan berkata tuduhan oleh Hishammuddin itu berniat jahat dan mendahului siasatan.

Menurutnya, anggota keluarga dalam pertemuan dengan SUHAKAM juga memaklumkan, mereka yakin mangsa tidak terlibat dengan aktiviti keganasan seperti didakwa oleh pihak KDN.
"Saya yakin mereka ditangkap untuk disiasat, tetapi bagaimana boleh menteri membuat kesimpulan mendahului siasatan polis.
"Bagi saya, ini sangkaan berniat jahat yang memalukan mangsa dan keluarga mangsa," katanya sambil mendesak mangsa tahanan dibawa ke mahkamah segera jika dibuktikan bersalah.

Langkah Bermula Akademi Siasah Tun Datu Mustafa


sumber: http://bayugunung.blogspot.com



Alhamdulillah, Wacana Rakyat selesai..

Wacana Rakyat adalah antara beberapa pengisian yang menjadi program bersiri untuk mencapai misinya. Jadi, saya berharap ia bukan sekadar program yang kita hadiri sebelum ini.

Secara sedarnya, memang kita telahpun menghadiri banyak program yang berbentuk pemantapan kefahaman, tetapi saya dan sahabat-sahabat yang lain insaf akan betapa perlunya agar setiap program ini disusun dan dirangkum kepada suatu yang ber'visi' sifatnya.

Ia bermula dengan begitu emosi, apabila penangkapan Ketua Pemuda PAS Sabah, sdr Lahirul Latigu hanya kerana sentimen anti-BERSIH yang tidak berasas. Pada jangka masa 5 tahun akan datang, saya dapat melihat sedikit sebanyak gambaran bagaimana landskap lapangan tempur siasah pemuda di Sabah ketika itu. Hal ini menyuntik insaf agar menyusun idea-idea untuk diterjemahkan kepada bentuk realiti.

Pada masa sama, Bro Saifuddin dan Sdr Abdillah ada melontarkan pandangan yang serupa iaitu untuk membentuk satu institusi siasah yang bertujuan melahirkan pemimpin-pemimpin muda masa depan yang bijak caturan siasahnya.

Cetusan ini belum lahir sebagai sebuah dokumentasi yang boleh dibelek dari awal hingga akhir perinciannya. Sebagai langkah awal ini, kami menghimpun idea dan pandangan serantak dengan pelaksanaan yang difikirkan sesuai dengan visinya. Sedikit demi sedikit, keadaan ini akan tercantum satu persatu dan menjadi lebih tersusun pada fasa-fasa berikutnya.


Proses ini adalah proses 'up to date' kepimpinan di peringkat negeri, kawasan sampailah ke peringkat cawangan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang. Walaupun jangkauannya masih sangat luas dan nampak diawangan, saya yakin proses seterusnya akan disempurnakan oleh generasi akan datang. Yang penting, kita sudah bermula.

Cabaran pemuda hari ini adalah tempias cabaran pada masa akan datang. Saya menyimpulkannya kepada 2 perkara berikut iaitu :

1)Cabaran berbentuk perbezaan fikrah
2)Cabaran berbentuk Taktikal

Cabaran pertama, ia melihat bagaimana kita me respon terhadap isu-isu pemikiran samada perbezaan sesama fikrah mahupun teman-teman dalam Pakatan Rakyat Sabah. Sentimen kaum, agama dan 'semenanjung vs sabahan' adalah beberapa isu yang memerlukan penyelesaian yang berbeza secara tepat. Ia juga melibatkan perbezaan se fikrah kita dalam menafsir tindakan terbaik bukan dengan tindakan 'orientasi label'. Kita cuba memanfaatkan peluang secara optimal dan mengurangkan risiko dalam semua keadaan.

Cabaran kedua, bagaimana tindakan yang perlu diambil mengikut prosedur perlembagaan dan undang-undang negara ini dan perlembagaan negeri yang begitu rumit dan unik. Kita tidak dapat mengelak daripada menghalusi setiap akta dan ordinan mahupun sejarah yang membentuk sesebuah insitusi undang-undang. Justeru, kefahaman perlu dibina dengan lebih mantap lagi supaya setiap tindakan adalah satu 'mile age' politik yang melonjak pemuda ke hadapan.

Hari ini kita di hidangkan dengan pelbagai permasalahan dan saya berharap pada keesokkan harinya kita menyediakan plan yang lebih objektif langkah penyelesaiannya. Kerana saya percaya, setiap ujian selain sekadar ujian, ia adalah peluang untuk kita lebih baik pada hari-hari seterusnya.

Walaupun masih bertatih dan merangkak, Insya Allah bak kata iklan Milo tak silap saya, kita semua akan membesar dengan kuat dan sihat...alamilah 

SABAH: MASJID VS GEREJA


sumber: http://www.tintamuallaf.net
SABAH: MASJID VS GEREJA
Ahmad Khairul Ikhwan Abdullah Jr
(sertai facebook TINTAMUALLAF  dan twitter AHMADKHAIRULIKHWANJR)


Sabah negeri salib ataupun pusat gerakan Kristian di Malaysia itulah mungkin jolokan yang paling sesuai bagi negeri di bawah bayu ini. Siapa tidak mengenali Sabah dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun bahawa Sabah merupakan lubuk kepada perkembangan Kristian di Malaysia dan di Asia Tenggara. Berdakwah di Sabah merupakan satu pengalaman yang cukup berharga dan pengalaman yang diperolehi di sini tidak akan boleh diperolehi di tempat lain.

Benarlah apa yang selalu diperkatakann oleh guru-guru dari Semenanjung yang pernah berkhidmat di Sabah, ingin menimba pengalaman dan ilmu dakwah datanglah di Sabah, segala-galanya akan ditemui di Sabah. Ingin menjadi seorang pendakwah di bidang ilmu perbandingan agama, ingin berdebat, dan menjadi pendakwah yang nekad datanglah di Sabah segalanya ada disini. 


bekas gereja yang kini menjadi masjid


Sekarang saya berada di Sabah, balik bercuti di negeri kelahiran sambil menjalankan kempen dakwah 'jom masuk agama Islam'. Satu program dakwah yang telah lama dirancang dan alhamdulillah dapat juga di lakukan walaupun banyak halangan yang terpaksa di harungi.Halangan kewangan, tenaga dan masa cukup mencabar bagi diri saya untuk meneruskan kempen dakwah tersebut seorang diri. Ketika saya mengiklankan program dakwah ini di dalam facebook, tidak ada seorang yang tampil untuk membantu yang ramainya mereka yang memberikan komen terhadap iklan program yang telah dirancang. Saya teringat pesan seorang pensyarah saya di KUIS pada suatu ketika dahulu "Ikhwan orang yang terjun di medan dakwah merupakan golongan yang dipilih oleh Allah SWT dan anta kena bersyukur kerana terpilih". Itulah kata-kata semangat yang sentiasa saya ingati ketika menerima ujian di dalam medan dakwah. 


Pada 16hb/11/2011, saya bertolak dari LCCT ke Kota Kinabalu. Destinasi pertama yang saya tujui ialah daerah Keningau. Seminggu sebelum balik ke Sabah saya telah dimaklumkan oleh sahabat saya saudara Sufian Bin Awang, lokasi ceramah pertama saya ialah di Masjid Taqwa bandar Keningau. Saudara Sufian merupakan sahabat lama saya ketika belajar di sekolah Pondok Darul Bayan di Terengganu pada suatu ketika dahulu. Dan ketika sampai di Keningau kebetulan sahabat seperjuangan di KUIS saudara Safaruddin turut berada di Keningau. Mereka berdualah yang banyak membantu saya di dalam program dakwah tersebut. Seperti yang telah dirancang alhamdulillah saya berjaya memberikan ceramah di masjid tersebut dengan tajuk ceramah yang saya bawa ialah "Islam agama fitrah". 

Sepanjang dakwah yang saya jalankan di Keningau apa yang dapat saya simpulkan ialah betapa penduduk Islam di sana amat dahagakan ilmu agama. Sambutan yang mereka berikan amat menggalakan, walaupun saya tidak dikenali akan tetapi mereka cukup senang dengan kuliah yang saya cuba sampaikan. Respon yang mereka berikan melalui sahabat saya saudara Sufian, mereka cukup berpuas hati dengan cara penyampaian saya. Malah mereka ingin menjemput saya pula untuk memberikan ceramah motivasi kepada remaja supaya lebih berminat datang ke masjid. Walaupun saya tidak menerima apa-apa bayaran akan tetapi saya cukup gembira kerana dakwah saya diterima dan apa yang pasti selama saya berdakwah dimana-mana pun saya tidak pernah meminta sebarang bayaran.

Apa yang lebih menarik di sepanjang dakwah ini ialah, jauhnya remaja Islam terhadap masjid dan surau. Saya cukup sedih apabila mereka yang datang ke ceramah saya ialah semuanya golongan tua seolahnya orang-orang muda tidak akan mati dan hanya orang-orang tua sahaja yang akan mati dahulu itulah sebabnya kenapa mereka datang ke masjid dan surau. Mungkin inilah realiti umat Islam akhir zaman ini, Islam semakin asing di dalam kehidupan mereka.Benarlah apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW seribu tahun yang lalu:

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing”.H.R. Muslim

Masjid vs Gereja

Seperti di semenanjung isu pembinaan gereja yang agak banyak turut berlaku di Sabah. Cuma yang berlaku di Sabah telah lama berlaku berbanding di Semenanjung. Di Semenanjung pembinaan gereja yang agak banyak berlaku setelah kebangkitan penganut agama Kristian itu sendiri yang bermula pada awal tahun 90-an selepas pengharaman Darul Arqam. Di Sabah gereja boleh dilihat di mana-mana sahaja dengan begitu banyak. Di Semenanjung kita dapat melihat setiap 5 kilometer akan ada satu masjid atau surau akan tetapi di Sabah setiap 5 kilometer yang boleh dilihat ialah gereja dan bukannya masjid atau surau. Inilah realiti yang hanya berlaku di Sabah dan Sarawak. 

Isu lambakan gereja yang banyak di Sabah bukanlah satu perkara yang serius bagi umat Islam, mungkin disebabkan kefahaman agama yang agak kurang menyebabkan mereka tidak terasa diancam oleh gereja walaupun pada hakikatnya umat Islam memang terancam dan diancam. Apa yang lebih menarik di Sabah ialah gereja di bina berdekatan dengan masjid ataupun surau. Di mana adanya masjid dan surau disitulah wujudnya gereja. Dan yang cukup mencabar umat Islam, gereja tersebut penuh dengan program ibadat Kristian sedangkan masjid dan surau terkadang sunyi daripada dikunjungi oleh penganutnya. Daripada Kota Kinabalu ke Keningau, Kota kinabalu ke Kudat sepanjang jalan dipenuhi dengan gereja. 

Ramai umat Islam di Malaysia yang berpendapat penganut Kristian di negara ita sama seperti penganut agama Kristian di barat yang tidak kuat beragama. Pandangan tersebut sebenarnya agak tidak tepat, ini kerana pada saya sebagai bekas penganut agama Kristian penganut di negara ini lebih alim, fanatik dan agresif di dalam mengamalkan agama dan mengembangkanya kepada orang yang bukan beragama Kristian. Antara sebab berlakunya sedemikian ialah kerana pengaruh Islam itu sendiri, mereka cukup terasa terancam dengan perkembangan Islam dan untuk mengembangkan Kristian terhadap orang Islam, mereka mestilah menunjukkan agama Kristian itu lebih baik daripada agama Islam. 


Gereja menjadi masjid

Di barat gereja menjadi masjid merupakan perkara biasa dan tidak ada yang peliknya. Akan tetapi di negara kita, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di Sabah telah berlaku bagaimana gereja menjadi masjid. Inilah yang menarik minat saya sebenarnya, setiap kali balik ke Sabah saya akan singgah di masjid tersebut untuk menunaikan solat. Saya cukup kagum bagaimana gereja tersebut boleh menjadi sebuah masjid dan ini merupakan satu kemenangan besar bagi umat Islam di Sabah.

Masjid Bandar Kota Kinabalu merupakan bekas gereja Adventis (SDA). Penduduk Kota Kinabalu memanggilnya SDA, iaitu Seven Days Adventis.

Malah tulisan tentang SDA masih jelas kelihatan.Bekas gereja ini, dahulunya terdapat tanda salib di bahagian kemudian telah diganti dengan lambang bulan bintang. Dan inilah masjid pertama di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.
 
Sejarah gereja ini bertukar menjadi masjid sejak tahun 1970an. Gereja itu telah dibeli oleh seorang dermawan Islam di sana dan diwakafkan kepada kaum muslimin. Sehingga kini masjid itu masih berdiri dan digunakan untuk beribadah. 

Masjid yang terletak di atas bukit dan berdekatan dengan padang merdeka Kota Kinabalu wajib di kunjungi oleh para pendakwah yang ingin berdakwah di Sabah. Pertukaran dari gereja ke masjid merupakan satu motivasi besar bagi para pendakwah untuk menukarkan Sabah daripada jolokan negeri salib kepada negeri Serambi Mekah, Insyaallah.

Masa depan Islam di Sabah

Masa depan Islam di Sabah bergantung sepenuhnya dibahu umat Islam sendiri. Andainya umat Islam tidak ada perasaan sayang dan cinta terhadap agama anutannya maka tidak mustahil umat dan Islam akan tertindas di bumi sendiri. Sejarah telah merakamkan bagaimana Islam lenyap di bumi Sepanyol dan Filipina apabila umat Islam sudah tidak mencintai agamanya.

Esok saya akan meneruskan program dakwah di Bingkor yang merupakan kawasan ramainya penganut agama Kristian. Doa dan sokongan daripada para sahabat amat di perlukan di dalam menjayakan program dakwah ini. Selepas program di Bingkor saya akan meneruskan kempen masuk Islam di Sandakan dan pada 1hb/12 nanti saya akan kembali semula di Kuala Lumpur.

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.