23 August, 2011

Lailatul Qadar: Peluang Keemasan Yang Diabaikan

Share
Sumber: http://anaktokimam.blogspot.com/

Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan al-quran pada malam “lailatul qadar” dan apakah itu malam “lailatul qadar”? Malam “lailatul qadar” itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".(surah al-qadr: 1-5)

Malam lailatul qadar adalah satu anugerah Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Ianya mempunyai kelebihan yang amat besar. Setiap orang mukmin pastinya tidak akan melapaskan peluang keemasan ini untuk meraih keuntungan pahala yang berlipat ganda. Beribadat pada malamnya lebih baik daripada 1000 bulan.

Diriwayatkan bahawa pada satu hari Rasulullah telah menceritakan tentang 4 orang Bani Israel yang beribadah kepada Allah SWT selama 80 tahun. Para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Malaikat Jibril memberitahu Rasulullah bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka. Jibril pun membaca surah al- qadar.

Inilah anugerah yang Allah SWT berikan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Sepatutnya anugerah ini tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa pengisian yang boleh mendekatkan diri kepada redha Tuhan. Kita tidak mampu menandingi ibadat umat terdahulu. Justeru kelebihan inilah yang dinantikan.

Jika di dunia kita akan merebut tawaran keduniaan yang berupa pangkat, ganjaran wang dan sebagainya sehingga ada yang sanggup mencantas antara satu sama lain maka kenapa untuk akhirat yang lebih baik dan kekal itu kita tidak bersungguh-sungguh merebutnya.

Bila terjadinya malam lailatul qadar tidak disebut secara tepat sama ada dalam quran mahupun hadis nabi. Pendapat yang paling sahih ialah ia akan berlaku satu kali setiap tahun pada bulan Ramadhan. Banyak hadis yang mengisyaratkan bahawa pada 10 malam terakhir adalah paling diharapkan berlakunya lailatul qadar. 

Disebut dalam satu hadis bahawa rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 malam akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya. Hal ini demikian kerana baginda berharap terjadinya malam lailatul qadar. 

Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya, menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah dan tidak menggauli isteri.

Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi kita. Walaupun baginda adalah seorang maksum yang terlepas daripada noda dan dosa namun masih lagi beribadat dengan bersungguh-sungguh lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir dari bulan Ramadhan. Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah.

Ironinya, kita sekarang telah leka dan lupa tentang ganjaran dan kelebihan yang dijanjikan ini. Di mana-mana masjid dan kita dapati para jemaah akan berkurangan apabila tiba penghujung Ramadhan. Mereka telah mula sibuk untuk membuat persiapan menyambut hari lebaran.

Jiwa orang mukmin sebenarnya akan merasa sedih dan sayu apabila Ramadhan akan pergi. Hari-hari terakhir ini dijadikan sebagai pecutan terakhir untuk merebut tawaran keemasan yang tidak akan diperoleh apabila perginya Ramadhan. Jika boleh orang mukmin tidak mahu bulan lain selain Ramadhan.

Antara amalan sunah pada 10 terakhir bulan Ramadhan ialah beriktikaf, mandi antara Maghrib dan Isyak’ dan mengenakan pakaian yang indah serta memakai bauan yang harum. Disunatkan menghidupkan sepanjang malam dengan amalan seperti solat, membaca al-quran, berzikir, berdoa dan lain-lain.

Marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada sekarang ini. Janganlah kita abaikan peluang ini. Mungkin Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan terakhir bagi kita sebelum dijemput oleh Yang Maha Esa. Janganlah kita menjadi hamba yang celaka, memasuki fasa Ramadhan dan melewatinya dalam keadaan diri masih bersalut dengan noda dan dosa.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.