15 April, 2011

7 penggal sebagai Menteri, Dewan Masyarakat tiada

Share
sumber: http://masdarwahid.blogspot.com

MASDAR WAHID

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dimenangi Datuk Amar Abang Johari Openg selama tujuh penggal berturut-turut. Namun, sepanjang tempoh itu, tiada satupun Dewan Masyarakat disediakan.

Itu antara masalah yang dihadapi rakyat di kawasan itu, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak, Ahmad Nazib Johari.

Nazib yang juga calon KEADILAN DUN Satok berkata, selain dewan, ketiadaan geran tanah dan bekalan elektrik turut dihadapi penduduk di kawasan itu.

"Di Kampung Kudei Baru misalnya, rakyat tidak diberikan geran tanah walaupun menduduki kawasan itu bertahun-tahun. Sementara beberapa kawasan perumahan masyarakat Melayu sehingga kini tiada bekalan elektrik," jelas Nazib kepada Suara Keadilan.

Menurut rekod, Abang Johari merupakan Menteri Perumahan dan Perancangan Bandar negeri Sarawak.

Selain itu, kata Nazib, krisis penganguran dan gaji rendah turut membelenggu anak muda di kawasan itu.

"Mereka yang bekerja sebagai kerani misalnya hanya dibayar RM400 sebulan sekaligus menjadikan mereka miskin tegar.

"Lebih parah lagi, dengan gaji sebanyak itu amat sukar meneruskan hidup kerana DUN Satok terletak di kawasan Bandar yang kos hidup cukup tinggi," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Nazib berkata, tahap kemiskinan rakyat di kawasan ini juga menyebabkan peratus keluarga khasnya bumiputera yang menghantar anak mereka ke sekolah semakin rendah.

Menyentuh mengenai krisis Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Satok, Nazib menjelaskan, sekutu BN itu turut berdepan masalah dan perkara itu turut dimaklumkan kepada beliau dari ahli PBB sendiri.

PBB ialah satu dari empat sekutu BN di Sarawak dengan Abang Johari merupakan Timbalan Presiden PBB sejak bertahun-tahun.

Antara masalah PBB di DUN Satok ialah krisis struktur organisasi dan berpuak-puak termasuk beberapa kumpulan yang menolak kepimpinan Abang Johari.

Buktinya, walaupun Abang Johari merupakan pemimpin parti itu, tetapi hanya pada November lalu sahaja pejabat PBB Satok yang terletak di tengah Jalan Kulas mula beroperasi selepas dirasmikannya.

"Ini menunjukkan Abang Johari cuai dalam membangunkan kawasannya sendiri.

"Kalau parti sendiri pun diambil mudah pengurusannya, apatah lagi rakyat," tegas Nazib.

Sehubungan itu, beliau menyeru setiap rakyat Sarawak berani melakukan perubahan pada pilihan rayakali ini dengan memastikan setiap calon Pakatan Rakyat menang di mana-mana kerusi yang mereka tandingi.

Majoriti pengundi di DUN Satok merupakan masyarakat Melayu yang membentuk 70 peratus, Cina hampir 20 peratus manakala selebihnya kaum-kaum lain.

Nazib merupakan graduan undang-undang dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kini merupakan Peguam Syarie di firma guamannya, Ahmad Nazib and Associates.

Ayah kepada lima anak ini juga antara pengasas Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan beliau pernah menyandang Timbalan Setiausaha Agung Persatuan itu.

Ayahnya, Tuan Haji Johari Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Haji Bejek merupakan bekas Ketua Kampung Temedak yang turut terletak dalam DUN Satok.

Anak keenam dari lapan beradik ini kerap dijemput mengimamkan solat dikawasan itu termasuk pada bulan Ramadhan lalu selain menyampaikan khutbah di Surau Qarar, Jalan Patinggan baru-baru ini.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.