Islam nizam yang lengkap
Islam adalah nizam atau sistem yang lengkap dan menyeluruh. Islam terbina di atas asas yang kukuh. Islam terdiri daripada rukun-rukun yang besar, cabang-cabang dan ranting-ranting yang kecil saling memaut dan tertegak di atas asas yang kuat. Islam laksana pokok, berasal daripada sebiji benih, kemudian mengeluarkan akar, seterusnya tumbuh batang, dahan, cabang, ranting dan daun sehingga menjadi pokok rendang. Namun setiap helai daun berhubung rapat dengan akar pokok itu.
Islam bererti penyerahan diri
Islam bererti penyerahan diri. Islam menarik manusia daripada menyembah sesama hamba kepada menyembah Allah Yang Maha Esa dalam semua urusan hidup. Islam dibawa oleh Rasulullah SAW bertujuan untuk memperbetulkan perhambaan manusia sama seperti ia datang melalui para rasul sebelum baginda. Islam datang untuk mengalihkan kepatuhan manusia kepada kehendak dan pemerintahan Allah SWT seperti alam ini yang sentiasa berjalan di atas landasan pemerintahan Allah SWT. Manusia adalah sebahagian daripada alam. Justeru itu manusia dan alam mestilah selaras dalam kepatuhan kepada Pencipta.
Hamba yang memperhambakan diri kepada Allah
Semua manusia adalah hamba Allah SWT. Namun, manusia tidak akan menjadi hamba Allah SWT yang sebenar melainkan apabila dia tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah dengan memegang panji-panji Lailaha Illallah mengikut fahaman: “Tiada kekuasaan yang lain selain daripada kekuasaan Allah SWT. Tiada peraturan yang lain selain daripada peraturan Allah SWT. Tiada syariat yang lain selain daripada syariat Allah SWT. Tiada kekuasaan seseorang ke atas seseorang yang lain, kerana kekuasaan itu seluruhnya kepunyaan Allah SWT.” Hamba-hamba yang beginilah yang akan membentuk rupa bangsa (ummah) yang dikehendaki Islam.
Tauhid menolak jahiliyyah
Mentauhidkan Allah SWT atau mengesakan Allah SWT sebenarnya menolak jahiliyyah. Ini kerana tauhid membawa implikasi mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata dalam semua lapangan hidup, sedangkan jahiliyyah ialah keluar daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT, atau tidak melakukan pengabdian kepada-Nya semata-mata. Aqidah yang tidak betul akan melahirkan jahiliyyah. Juga akan terbina di atasnya segala rupa bentuk penyelewengan dalam konsep hidup, tingkah laku dan aktiviti manusia.Aqidah yang betul akan ...
Aqidah yang betul akan meletakkan manusia pada darjat sebenar dan membetulkan tindak-tanduk manusia pada setiap zaman dan tempat. Aqidah yang betul mengarahkan manusia kepada matlamat hakiki melalui jalan sahih. Aqidah yang betul hidup dan nampak kesannya yang sempurna dalam perasaan, tingkah laku, pegangan, konsep dan amalan manusia, tanpa terpisah antara satu sama lain.
Aqidah yang salah melahirkan jahiliyyah
Sekiranya kesan dalam kehidupan manusia berlaku dalam bentuk yang lain daripada yang dinyatakan di atas, bererti ada ciri-ciri jahiliyyah meskipun pelaku-pelakunya mengaku beriman kepada Allah SWT. Kesan jahiliyyah itu lambat laun akan terserlah dengan nyata lantaran aqidah yang salah atau tidak tepat. Orang Arab jahiliyyah pun mengakui ketuhanan Allah SWT, tetapi natijah jahiliyyah tetap tertonjol dalam kehidupan mereka. Firman Allah SWT: “Sekiranya engkau bertanyakan mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Nescaya mereka berkata: Allah.” (Luqman: 25) Walaupun orang Arab jahiliyyah mengetahui Allah SWT, mengakui segala sesuatu ciptaan-Nya dan di bawah tadbiran-Nya, tetapi mereka tidak beriman dalam ertikata sebenar. Mereka menolak peraturan dan hukum Allah S.W.T dalam kehidupan. Mereka tahu tetapi tidak mengikuti apa yang mereka tahu. Mereka memperhambakan diri kepada ilah-ilah yang lain daripada Allah S.W.T. Mereka melaksanakan syari’at yang lain daripada syari’at Allah S.W.T. Mereka disebut Jahiliyyun (golongan yang jahil).
Syari’at dan aqidah tidak boleh dipisahkan
Syariat tidak boleh dipisah dan diceraikan daripada aqidah. Garis pemutusnya ialah sama ada berhukum dengan apa yang Allah SWT turunkan atau sebaliknya (berhukum dengan jahiliyyah). Syariat-Nya sahaja yang berhak dipatuhi dan diikuti. Jika tidak, maka lahirlah jahiliyyah. Oleh kerana jahiliyyah itu tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT, sudah pasti jahiliyyah itu mengikut hawa nafsu. Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara kamu menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu mereka. (Al-Maidah: 49)
Hanya satu yang benar
1) Kedatangan Islam untuk menetapkan satu tali atau satu alat sahaja yang menghubungkan manusia dengan Allah SWT. Apabila tali itu putus maka tidak ada lagi tali dan alat penghubung yang lain. Firman Allah SWT:“Kamu tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun mereka itu bapa-bapa atau anak-anak atau saudara-saudara atau keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah Allah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sunagi, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka puas terhadap limpah (rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa golongan Allah itulah golongan yang beruntung.” (Al-Mujadalah: 22)
2) Terdapat satu sahaja golongan Allah SWT. Golongan Allah SWT tidak berbilang-bilang atau berbelah bahagi. Golongan atau puak lain adalah golongan atau puak syaitan dan thaghut. Firman Allah SWT: “Orang-orang yang beriman berperang pada jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang pada jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (An-Nisa’: 76)
3) Hanya terdapat satu jalan yang boleh sampai kepada matlamat keredhaan Allah S.W.T. Jalan-jalan lain tidak akan sampai kepada keredhaan-Nya. Firman Allah SWT: “Dan yang Kami perintahkan ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan lain, kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya.” (Al-An’am: 153)
4) Hanya satu sistem yang benar iaitu sistem Islam, manakala sistem-sistem lain adalah jahiliyyah belaka. Firman Allah SWT: “Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik dari hukum Allah bagi orang-orang yang yakin? “ (Al-Maidah: 50)
5) Akhirnya, hanya satu negara atau masyarakat yang diredhai Allah SWT iaitu negara Islam atau masyarakat Islam. Masyarakat Islam ialah masyarakat yang di dalamnya tertegak Din Islam, berjalan syariat Islam dan berkuatkuasa peraturan-peraturan Allah. Semua warganya bersatu dan saling hormat menghormati. Negara atau masyarakat yang dimaksudkan itu pernah wujud dan terbentuk pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Tenaga pembentuknya adalah aqidah tauhid yang dibawa oleh Rasulullah SAW mengikut arahan Allah SWT. Jalannya bermula dengan penegakan kalimah tauhid Lailaha Illallah yang membawa manusia tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah SWT.
Jalan yang terpaksa menempuh kesusahan
Tiada jalan lain melainkan satu jalan sahaja untuk mengembalikan Islam dan masyarakat Islam, iaitu jalan iman. Jika di permulaan Islam, iman telah menjadi tenaga pembangunan Islam, maka iman juga mesti menjadi tenaga pembangunan Islam pada zaman mutakhir ini. Jalan untuk sampai kepada pembentukan masyarakat Islam ini terpaksa menempuh kesusahan, rintangan, kesakitan dan sebagainya. Allah SWT Yang Maha Suci, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana tidak bermaksud menyeksa orang-orang mu’min. Malah Allah SWT Maha Mengetahui bahawa inilah satu-satunya jalan untuk menegakkan masyarakat Islam yang tunduk dan patuh kepada-Nya. Jalan inilah yang dapat memebersihkan muka bumi daripada thaghut. Bumi tidak akan bersih melainkan setelah terkibarnya panji-panji Lailaha Illallah.
Senario yang sama
Angkatan pejuang Islam kini sedang menghadapi keadaan yang sama seperti yang dihadapi oleh angkatan Islam pertama. Umat Islam ketika itu adalah golongan yang kecil. Mereka menghadapi empayar besar iaitu Rom di barat dan Farsi di timur. Kedua-dua empayar itu memiliki kekuatan tentera, senjata, kekayaan, kepandaian berperang, pengalaman dan politik yang lebih hebat daripada umat Islam. Walaupun demikian, suatu yang luar biasa dan paling mengagumkan telah berlaku dalam sejarah. Umat yang kerdil ini telah berjaya mengalahkan dua empayar itu dalam masa tidak sampai setengah abad. Bagaimana hal ini boleh terjadi? Hanya satu sahaja dapat memberi penjelasan yang kukuh, iaitu kekuatan Iman. Iman mendorong umat Islam untuk berjihad dengan penuh keberanian.
Perlukan persediaan yang lengkap
0 ulasan:
Post a Comment