Idea untuk mewujudkan kelas ini sebenarnya sudah disuarakan beberapa tahun lalu namun barangkali ketika itu belum ada kekuatan dan sokongan pelbagai pihak. Di pihak Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah, sudah beberapa kali seminar berkaitan perubatan Islam diperkatakan khususnya tentang rawatan dan gangguan makhluk halus, sihir, saka, azimat dan seumpamanya. Ia bagai satu promosi dan pendedahan awal kepada masyarakat.
Minggu kedua februari lalu, Kuliah Perubatan Islam secara mingguan anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah pun bermula dengan penyertaan dibuka kepada umum selama tiga minggu berturut-turut sebelum ditutup. Jumlah akhir peserta kuliah ini menjangkau 132 orang, memenuhi ruang bilik kuliah Masjid Negeri Sabah.
Pihak Syukbah Dakwah berbesar hati dengan penyertaan semua pihak yang pelbagai latar belakang, ada ketua-ketua jabatan, bahkan para guru agama ramai yang turut serta dalam kuliah ini. Pengerusi Syukbah, Ustaz Haji Muchlish pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, sedayanya pihak penganjur berharap tiada peserta yang disingkirkan kerana kelemahan-kelemahan tertentu selagi ia boleh diperbaiki. Begitu juga para peserta diharapkan bersabar dan istiqamah serta tidak mudah putus asa dalam mendalami ilmu ini.
Ustaz Nik Anwar Zakaria yang membimbing kelas ini sejak 3 minggu lalu juga berharap kuliah ini menjadi medan untuk semua peserta berdakwah kepada masyarakat melalui perubatan Islam kerana ramai di kalangan umat Islam yang terpedaya dengan penipuan bomoh dan pawang, terlibat dengan penggunaan azimat, tangkal dan pelbagai lagi kesalahan yang boleh menjejaskan aqidah.
Pihak urusetia juga sedang berunding dengan Pusat Perubatan Darussyifa di Bangi di bawah pimpinan Ybhg Dato’ Dr Haron Din agar kelas ini dijadikan sebagai cawangan yang berdaftar di bawah Darussyifa berdasarkan syarat-syarat tertentu kelak. Semoga urusan ini dipermudahkan oleh Allah SWT.
0 ulasan:
Post a Comment