Saya terlambat untuk menghadiri slot-slot awal dalam program ‘Bengkel Dakwah Berkesan’ di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang pada pagi sabtu lalu kerana memenuhi undangan di SK Petagas. Saya hanya tiba apabila program hampir berehat di pertengahan program. Bengkel ini adalah anjuran Unit Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dengan kerjasama Masjid Nurul Hikmah dan JK Panatia Pendidikan Islam Kota Kinabalu.

Empat slot ceramah dibentangkan di hadapan hampir 100 peserta kebanyakannya guru pendidikan Islam sekolah kementerian sekitar Kota Kinabalu. Slot pertama bertajuk ‘tarbiah remaja’ disampaikan oleh wakil Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN), manakala slot slot kedua hingga keempat disampaikan oleh Cikgu Haji Tawil Haji Syakir membawa tajuk ‘dakwah non muslim’, ‘solat saudara baru’ dan ‘modul bacaan al-Quran saudara baru’.

Semoga bengkel ini membawa peserta agar lebih bersungguh mendekati golongan bukan Islam seterusnya menyebarkan risalah Islam kepada mereka. Setinggi tahniah kepada penganjur terutama Ustaz Arbaen Shawal yang mengendalikan program ini sehingga selesai menjelang zuhur. Alangkah baiknya kalau saya mendapat rakaman slot ‘dakwah non muslim’ yang dikatakan menarik itu…