Sumber: http://rubbertapperz.blogspot.com/
بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Alhamdulillah, hari ini Laman-Seri berkesempatan untuk berkongsi info tentang tumbuhan yang tidak asing bagi masyarakat kita iaitu daun kari.
Pokok kari adalah tumbuhan tropika hingga sub-tropika, yang berasal India. Tumbuhan renek ini yang adalah daripada spesies murraya koeniggi dalam keluarga rutaceae yang mengeluarkan daun-daun kecil berwarna hijau dan berbunga putih. Tumbuhan ini agak lasak walaupun sebenarnya ia menyukai tanah yang subur dan kaya dengan mineral. Nama spesies herba murraya koenigii yang diambil sempena memperingati ahli botani Johann König.
Pokok kari juga dikenali sebagai 'kariveppilai' dalam bahasa Tamil, juga dikenali sebagai karipulei, kari-kari, veppu-neem dan daun ilai. Dalam bahasa Kannada, ia dipanggil ‘neem hitam’, kerana daunnya mirip dengan pohon neem yang pahit, walaupun ia tiada kaitan langsung dengan pokok neem. Pokok kari juga tiada berkaitan dengan daun salam (bay leaf) dan daun kemangi (basil leaf) iaitu daun yang aromatik dari Mediterranean.
Pokok kari
Pokok kari boleh tumbuh sehingga ketinggian antara 4 hingga 6 meter, dengan ukur lilit batang yang boleh membesar sehingga 40cm. Daunnya menyirip dengan 11-21 helaian pada satu-satu sirip atau lebaran, setiap helaian daun berukuran antara 2-4 cm panjang dan 1-2 cm lebar. Daun kari sangat aromatik.
Pokok kari biasanya ditanam di halaman rumah kerana kegunaan sebagai rempah dalam masakan terutamanya dalam masakan kari. Daun kari mempunyai aroma yang kuat dan mempunyai rasa agak pahit. Ia disebut daun kari kerana digunakan untuk membuat kari dan ia digunakan secara meluas dalam kebanyakan masakan di Tamil Nadu di selatan India. Ia tidak hanya digunakan dalam masakan kari tetapi dalam masakan lain seperti rasam, vada, thoran, chutney, kadhi, murukku dan lain-lain lagi.
bunga pokok kari
Bunganya kecil berwarna putih kekuningan dan mempunyai aroma yang sangat harum. Buahnya kecil, sebesar terung pipit, berwarna hijau ketika muda dan bertukar ke ungu berkilau setelah matang. Buahnya boleh dimakan, tetapi biji benihnya dikatakan beracun. Agaknya, sebab itulah buahnya yang ranum ini tidak diganggu serangga atau burung...
Pokok kari boleh membiak melalui biji benih, keratan batang dan anak yang tumbuh dari akarnya. Selain ditanam di halaman rumah kerana daunnya ia juga ditanam sebagai tumbuhan hiasan.
Hasil kajian mendapati daun kari mengandungi:
* 66.3% kelembapan
* 6.1% protein
*1.0% lemak
*16.0% karbohidrat
*6.4% fiber
Daun kari juga mengandungi mineral dan vitamin seperti kalsium, fosforus, zat besi, asid nikotinik dan vitamin C. Ia juga mengandungi volatile oil dan sejenis glukosid yang dipanggil koenigiin.
Daun kari mempunyai khasiat perubatan yang tinggi dan digunakan dengan meluas dalam perubatan Ayurveda di India. Daun kari mempunyai nilai sebagai antioksidan, anti-diabetes, antimikrob, anti-inflamasi, Hepatoprotektor, anti-hiperkolesterolemia dan lain-lain lagi. Daun kari juga dikatakan baik untuk penjagaan rambut yang panjang dan sihat. Selain dari itu daun kari juga dapat mencegah uban. Kulit pokok, daun dan akar pokok daun kari digunakan sebagai tonik. Pucuk daun muda juga boleh dibuat ulam.
Daun kari boleh dijadikan tonik herba untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaannya serta mengatasi masalah penghadaman. Ia juga boleh digunakan sebagai laksatif (julap) lemah untuk mengatasi masalah sembelit. Jus daun kari yang dicampur dengan madu juga dapat menjadi penawar kepada cirit birit dan buasir.
Jus daunnya yang segar dicampur dengan jus limau nipis digunakan untuk mengatasi masalah loya dan pening terutamanya akibat makan lemak yang berlebihan. Caranya dengan mencampurkan satu sudu teh jus daun kari dan satu sudu teh jus limau nipis. Daun kari juga berkesan dalam mengatasi masalah haid dan penyakit gonorea (gonorrhea), menghilangkan rasa loya dan pening-pening lalat bagi wanita mengandung.
Air rebusan kulit batangnya yang kering dapat digunakan untuk mengubat diabetes. Amalan memakan 10 helai daunnya setiap hari selama 3 bulan dikatakan dapat mencegah kencing manis yang disebabkan oleh keturunan dan kegemukan.
Buah kari
Buahnya yang didihkan dengan minyak kelapa hingga kehitaman boleh dihancurkan dan digunakan untuk merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa. Daunnya yang dihancurkan dan dijadikan pes boleh digunakan untuk merawat lebam dan bengkak dengan cara menampalnya pada bahagian yang sakit.
Daun kari juga berkesan menyembuhkan penyakit cirit-birit dan penyakit berak darah yang juga disebut disentri. Daun kari dan akarnya juga dikatakan baik untuk peredaran darah dan boleh bertindak sebagai sedatif.
Walaupun terdapat pelbagai kegunaan tumbuhan ini, namun penggunaannnya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan untuk mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak. - Bawang Goreng
Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Hak Cipta & Penafian
SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.
0 ulasan:
Post a Comment