14 December, 2009

Krisis Air : Mahasiswa selar sikap membisu MP Labuan

Share
Sumber: http://masdarwahid.blogspot.com/


KUALA LUMPUR : Krisis air di Wilayah Persekutuan Labuan yang tiada penyelesaian sejak Jun lalu memaksa sekumpulan Pro-Mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menghantar memorandum kepada pejabat Perdana Menteri (PM), Najib Razak agar satu penyelesaian segera dilakukan terhadap permasalahan itu.

Exco Kebajikan, Kesihatan dan Kemasyarakatan MPP-UMSKAL, Qatrun Nada Mohd Latfi berkata, permasalahan air di Pulau bebas cukai itu bukan sahaja melibatkan universiti itu tetapi melibatkan keseluruhan penduduk Kira-kira 85,000 orang.

Menurutnya, bagi mahasiswa di UMSKAL, pihak universiti ada menyediakan lori untuk menghantar air sebanyak tiga kali sehari ke kediaman mereka tetapi sejak September lalu penghantarannya tidak konsisten selain jumlah air yang dihantar kian berkurangan dan air tersebut tidak sesuai untuk diminum.

“Wujud kes seorang mahasiswi yang menjalani pembedahan akibat masalah didalam perut pada September lalu antaranya berpunca daripada air yang diminum daripada lori tangki terbabit.

MPP juga membuat pemerhatian dan temuramah di Hospital Baru Labuan ketika penghantaran pelajar itu dan mendapati, individu dan keluarga yang dijangkiti selesema babi atau Influenza A (H1N1) mengatakan rumah mereka tiada bekalan air bersih selain kurang mampu untuk membeli air mineral dipasaran setiap hari,” katanya.

Qatrun berkata, akibat krisis air itu juga kos hidup mahasiswa bertambah kerana terpaksa membeli air mineral setiap hari selain seorang perempuan patah kaki akibat terjatuh ketika mengangkat air ke kediamannya.

Sehubungan itu, mereka menuntut agar Najib campur tangan dalam hal itu memandangkan usaha mereka mengadukan permasalahan itu kepada pelbagai pihak berwajib menemui jalan buntu.

Malah, usaha sekretariat MPP dimarahi dan disoal siasat hanya kerana ingin membuat temujanji dengan Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan dan Ahli Parlimen (MP) Labuan, Yussof Mahal.

Delegasi mahasiswa pada 8 Disember lalu turut disokong oleh mahasiswa seluruh negara termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-M Nasional), Gabungan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) seluruh negara, Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) dan Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan tanda tangan sokongan masyarakat Labuan.

Salinan memorandum itu turut diserahkan kepada Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan Yussof Mahal pada 7 Disember lalu. Namun, sehingga kini kedua-dua pimpinan Umno itu kekal dengan sikap membisu.

Sementara itu, bagi Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shahrin berkata, jika komponen terpenting dalam masyarakat iaitu mahasiswa di Labuan langsung tidak diendahkan oleh mereka, apatah lagi dengan rakyat terbanyak?

Beliau melihat tindakan membisu oleh pimpinan rejim Umno/BN itu kerana isu air bagi mereka mungkin tidak memberi kesan kepada pengundi dalam kawasan parlimen itu.

Sehubungan itu, beliau berharap warga Labuan melihat isu ini dengan serius dan hati yang terbuka kerana inilah wajah sebenar wakil rakyat BN yang hanya menyelesaikan masalah rakyat menjelang pilihanraya tetapi buat bodoh selepas itu dengan kesibukan menguruskan perut dan diri sendiri.

Labuan yang asalnya milik kerajaan negeri Sabah diserahkan kepada kerajaan persekutuan pada tahun 1984 melalui “Perjanjian Labuan” yang ditandatangai bersama oleh PM ketika itu Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Sabah, Harris Mohd. Salleh walapun ia dibantah penduduk Sabah.

Presiden Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS), Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil yang turut menyokong usaha MPP UMSKAL menuntut Yussof memberi perhatian serius berkaitan permasalahan itu dan menggesa beliau segera memberi penjelasan.

Bagi Presiden MARSIS, Hendri Hamsah berkata, jangankan setengah tahun, setengah hari tanpa air pun, manusia akan rimas memandangkan air ialah sumber penting bagi kehidupan manusia.

Beliau yang berkelulusan Kejuruteraan Elektrik Mekatronik berkata, syarikat petronas yang beroperasi di wilayah itu diakui memerlukan air dalam jumlah yang banyak dan 42 juta liter sehari yang dibekalkan kepada penduduk Labuan tidak mencukupi kerana ia turut dikongsi oleh kilang Methanol Petronas.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata, pulau itu kekurangan 20 peratus daripada 56 juta liter bekalan yang sebenarnya diperlukan setiap hari dan krisis bekalan air yang dihadapi penduduk di situ hanya dapat diatasi apabila projek paip air dasar laut siap sepenuhnya menjelang akhir 2010.

dipetik daripada erapakatan.com

berita ini akan berada di pasaran (edisi cetak)bermula 14 Disember ini.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.