Oleh: JAMIL NASRAH
WALAUPUN sudah 64 tahun tentera Jepun meninggalkan Sabah setelah Hiroshima dan Nagasaki hancur luluh oleh bom atom, namun Yosyiyiki Kawagoe, 71, masih enggan mengaku kalah dan cuba menjajah Sabah dengan merampas sebidang tanah milik Anak Negeri Sabah.
Namun usaha beliau gagal kerana balu dan anak-anak Allahyarham Nazry Yahya terus berjuang mempertahankan tanah pusaka berkenaan dengan merampas kembali tanah tersebut setelah aduan dan laporan polis yang mereka buat hanya dijadikan ‘Warga Tong Sampah’ oleh Polis Daerah Kinabatangan, Sabah.
Dengan penuh tekad dan semangat waja Anak Negeri, anak-anak Nazry telah mempertahankan tanah pusaka mereka yang telah ditukar milik secara tidak sah kepada isteri Kawagoe bernama Rose Lee Lie Mie yang disahkan menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu.
“Kami terpaksa mengupah pengawal keselamatan untuk memastikan tanah pusaka kami tidak diceroboh oleh orang Jepun ini sementara kami menunggu keputusan Mahkamah,” ujar Rosinah, pemegang amanah Nazry.
Bagaimanapun, dengan wang dan pengaruh yang beliau ada, Kawagoe dan peguamnya telah memperdaya Hakim Mahkamah Rendah Sandakan, Puan Monica Linsua untuk mengeluarkan perintah Ex-Parte yang digunakan untuk menghalau keluar balu dan anak-anak Nazry daripada tanah berkenaan; walhal perintah berkenaan adalah tidak sah kerana nilai tanah tersebut melebihi RM100,000 yang sewajarnya difailkan di Mahkamah Tinggi Sandakan.
“Saya kesal kerana penyalahgunaan prosiding mahkamah untuk kepentingan diri menyebabkan nama baik Hakim Monica Linsua telah tercemar, seolah-olah tidak mempunyai kelayakan untuk menjadi hakim dan kredibilitinya tercalar kerana secara tidak sengaja bersubahat dengan ‘penjenayah’ untuk merampas ‘tanah bergeran NT ’ milik Anak Negeri Sabah,” ujar Rosinah yang mendesak agar para Hakim di Sandakan berhati-hati meneliti sesuatu kes sebelum membuat sebarang keputusan.
Siasatan Sabahkini.net mendapati Kawagoe cuba ‘membeli’ bailif Mahkamah Rendah, Abdul Haji yang meminta bantuan Polis daripada Balai Polis Kinabatangan untuk mengiringi mereka menghantar Perintah Mahkamah Rendah dengan tujuan untuk menakut-nakutkan pekerja yang digaji anak-anak Nazry sehingga pemilik asal tanah memberi amaran untuk menyaman Kopral Matthew dan rakannya yang mencampuri urusan tanah berkenaan sekiranya enggan beredar daripada tanah tersebut.
Dalam hal ini, Jabatan Tanah dan Ukur wajar dipersalahkan kerana telah menukar hak milik tanah pusaka berkenaan secara tidak sah, walaupun mengetahui Rose Lee Lie Mei menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu.
Kes rampasan tanah milik Nazry ini telah disiarkan Sabahkini.net sebelum ini, namun Kawagoe masih cuba mencari jalan untuk merampas kembali tanah berkenaan, walaupun beliau tidak berhak untuk memiliki walau seinci tanah Sabah kerana Sabah telah merdeka sejak 16 September 1963.
Persoalan yang timbul sekarang, kenapa Polis Kinabatangan enggan mengambil tindakan terhadap Rose Lee Lie Mei dan Kawagoe sedangkan anak-anak Nazry atau agen mereka telah membuat beberapa laporan polis terhadap ‘penjenayah’ berkenaan yang dilesenkan sebagai ‘Lanun Tanah’ oleh Polis dan Jabatan Tanah dan Ukur?
0 ulasan:
Post a Comment