18 June, 2012

Bangkitlah Wahai Anak-anak Sabah

Share
Sumber: http://tintashabab.blogspot.com/

BANGKITLAH WAHAI ANAK-ANAK SABAH
Ahmad Khairul Ikhwan Abdullah Jr
(sertai facebook AHMADKHAIRULIKHWANABDULLAHJR
dan twitter AHMADKHAIRULIKHWANJR)

ULASAN-Dunia semakin maju dihadapan, pelbagai penemuan sains dan teknologi berjaya diterokai. Hari ini pelbagai istilah dicipta untuk melambangkan tahap kemajuan manusia yang berjaya dicapai, dunia tanpa sempadan, globalisasi, dunia IT dan banyak lagi yang terkadang tidak difahami oleh masyarakat. Tun Dr Mahathir Mohammad ketika masih memegang jawatan Perdana Menteri telah melancarkan satu wawasan yang dipanggil “Wawasan 2020” yang mana pada tahun tersebut negara kita akan menjadi sebuah negara maju.

Idea tersebut adalah satu wawasan yang baik, siapa yang tidak mahukan kemajuan dan pembangunan, semua manusia tanpa mengira latar belakang politik sama ada dari penyokong pihak kerajaan mahu pun pembangkang itu sendiri. Inginkan kehidupan yang selesa itu adalah fitrah manusia, tetapi persoalannya adakah kemajuan yang ingin dicapai melalui wawasan 2020 tersebut dapat dikongsi dan dinikmati bersama oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira ideologi politik.

Gagasan Malaysia


Sabah merupakan negeri yang bersatu bersama negeri-negeri di semenanjung melalui satu gagasan Malaysia, apabila Malaysia dibentuk maka negeri Sabah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri lain. Maksudnya disini ialah tidak ada perbezaan di dalam sudut ekonomi, pembangunan, pentadbiran semuanya diagihkan sama rata. Sabah bukan negeri jajahan tetapi Sabah sebuah negeri berdaulat yang bersama-sama membentuk persekutuan negara Malaysia.

Sejak merdeka tidak dinafikan Sabah agak ketinggalan disudut pembangunan berbanding dengan negeri-negeri lain, tetapi kaya dengan hasil bumi seperti kayu balak, petroleum, pelancongan, pertanian dan hasil laut. Sekiranya semua ini dimanfaatkan Sabah akan menjadi sebuah negeri yang maju setanding dengan negeri-negeri lain seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Saya tidak menimbulkan isu Perkara 20 kerana sekiranya kerajaan yang ada benar-benar berkerja secara adil, telus, berhikmah dalam mentadbir dan mengurus negara, walaupun Perkara 20 tidak dijalankan tetapi rakyat Sabah mendapat manfaat dan nasib rakyat terbela. Perkara 20 tidak menjamin kebajikan dan hak rakyat sekiranya pemerintah tidak menjalankan amanah yang diberikan dengan baik dan berwibawa.

Menghairankan

Cukup menghairankan negeri yang memiliki nilai kekayaan yang luas biasa tiba-tiba menjadi negeri yang termiskin di negara kita. Perkara seperti ini memang tidak masuk akal, disebalik kehairanan tersebut timbul persoalan dimana perginya duit hasil dari kayu balak, petroleum, sawit dan sebagainya. Apakah wang tersebut hilang? Dimana wang tersebut disalurkan?. Semua persoalan tersebut menghantui fikiran setiap anak Sabah. Anak Sabah sepatutnya dapat merasai hasil negeri tumpah darahnya, tetapi anak Sabah hanya melihat dari jauh. Apa yang mampu dilakukan menelan air liur sedangkan yang kenyang dengan hasil Sabah adalah orang lain. Apakah wawasan 2020 boleh tercapai dengan keadaan seperti ini?.

Saya tidak menolak selama ini rakyat Sabah diperbodohkan dengan janji manis pihak-pihak tertentu. Pelbagai tawaran diberikan sekiranya memberikan sokongan kepada kumpulan tersebut, slogan “Sabah Baru” dan banyak lagi slogan akan timbul setiap kali musim Pilihan Raya. Rakyat telah melalui 12 musim Pilihan Raya Umum tetapi sehingga kini apa yang rakyat perolehi daripada janji-janji manis tersebut. Rakyat terus miskin yang kaya adalah pemimpin yang tidak berhati perut, mereka merompak harta negara sepuas-puasnya tanpa memikirkan masa depan generasi akan datang.

Rakyat harus sedar, zaman kini adalah dunia tanpa sempadan maklumat boleh diperolehi dengan begitu mudah. Rakyat Sabah tidak sepatutnya terus menjadi bahan mainan pihak tertentu, rakyat Sabah wajib bangkit daripada kelemahan selama ini untuk menuntut hak yang dinafikan selama bertahun lamanya. Sudah tiba masanya kita mengambil hak milik yang dirampas oleh orang lain, anak Sabah harus merasai nikmat kekayaan yang ada dan bukan orang lain yang dapat manfaatnya.

Apakah kita mahu anak Sabah merempat di negeri sendiri? Sudah pastinya tidak. Oleh itu apabila kita tidak mahu berlaku seperti itu sudah tiba masanya kita bangun dan membuat satu perubahan yang jelas dan berani, bukan untuk siapa tetapi untuk rakyat dan anak-anak Sabah masa akan datang.

Tahap Kemiskinan Yang Tinggi

Bila menyebut masalah kemiskinan, memang tidak boleh dinafikan dimana-mana hatta negara maju sekalipun wujud kemiskinan di kalangan rakyat. Tetapi apakah kemiskinan disana dan di negara kita sama? Sudah tentu tidak sama. Rakyat kita miskin kerana disebabkan sikap segelintir pemimpin yang memiskinkan rakyat dan negara.

Kembali kepada suasanan di Sabah, kita boleh melihat khususnya di luar bandar tahap kemiskinan yang agak parah. Ada kawasan yang langsung tidak mempunyai bekalan elektrik, air, jalan raya, tidak ada sekolah, tidak ada klinik dan kemudahan asas yang lain. Bahkan sekolah yang ada diluar bandar agak dhaif dan tidak melambangkan ianya sebuah sekolah. Dengan tidak ada bekalan elektrik, paip air, kemudahan pembelajaran yang mencukupi seperti mana kemudahan yang ada pada sekolah di kawasan bandar. Akibat masalah tersebut, bagaimana pelajar luar bandar bersaing dan mendapat keputusan peperiksaan yang baik.

Apa yang lebih memalukan dikawasan luar bandar ini, masih ada pelajar yang berkaki ayam ke sekolah, masih ada pelajar yang tidak mengenali dan tidak pernah menggunakan apa itu Komputer, Laptop, internet. Apakah ini menggambarkan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Pastinya tidak sama sekali.

Pru 13: Peluang Terbaik

Bilakah Parlimen akan dibubarkan menjadi teka-teki, tidak ada seorang pun yang tahu kecuali Perdana Menteri sahaja. Dan yang lebih penting rakyat boleh membuat penilaian semula terhadap parti dan pemimpin yang akan bertanding. Jika selama ini rakyat tersalah membuat pilihan maka kesalahan yang lampau boleh dimaafkan dengan membuat pilihan terbaik agar masa depan lebih baik berbanding sebelum ini. Rakyat seharusnya faham dan sedar bahawa antara sebab kenapa rakyat terus ditindas kerana salah dalam membuat perhitungan ketika memilih parti dan calon.

Andainya pada Pilihan Raya Umum ke 13 ini rakyat masih memilih parti dan pemimpin yang sama dan penindasan dan kezaliman terus berlaku, rakyat tidak boleh marah kerana itulah pilihan yang dilakukan. Rakyat memilih parti dan pemimpin yang suka dan mahu menindas rakyat. Oleh itu, walau apa pun keadaan rakyat wajib membuat satu perubahan yang besar di dalam aspek kepimpinan dengan membuat pilihan terbaik melalui peti undi yang rahsia.

Masa Depan

Masa depan rakyat di Sabah ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri, sekiranya rakyat memilih kehidupan gelap pada masa akan datang maka teruslah memberikan sokongan kepada parti dan pemimpin yang korupsi, rasuah, suka memakan harta rakyat, dan sebagainya. Dan sekiranya rakyat Sabah mahukan masa depan yang lebih baik pada masa akan datang, maka buatlah keputusan terbaik dalam memilih parti pemerintah.

Ingat gelap atau cerah masa depan kita, orang lain tidak akan dapat menentukannya tetapi kitalah yang menentukkannya. Semoga berfikir dengan hati dan minda yang terbuka untuk menunju masa depan yang lebih gemilang. Bangkitlah Wahai Anak-anak Sabah.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.