22 September, 2011

Konvensyen Pakatan Sabah : Dedahkan penyelewengan Umno - Wan Azizah

Share

Sumber:http://masdarwahid.blogspot.com

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah menyeru Pakatan Rakyat Sabah bekerja keras bagi memastikan Umno Sabah tumbang pada pilihan raya umum akan datang.

Antara perkara penting yang perlu diusahakan ialah membongkar dan mendedahkan kepincangan dan penyelewangan pentadbiran Umno di negeri itu.

"Kita sudah lama tahu pentadbiran Umno terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah tetapi tidak semua rakyat tahu. Kita mesti rajin mendedahkannya," katanya pada konvensyen pertama Pakatan Rakyat di Kota Kinabalu 16 September lalu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan kira-kira 2,000 rakyat pelbagai kaum dari pelusuk negeri itu, hadir sama.

Wan Azizah berkata, pendedahan itu membantu rakyat memahami isu sebenar sekali gus memudahkan mereka memilih kerajaan negeri secara adil tanpa ditipu media arus perdana.

Sejak puluhan tahun Umno memerintah, katanya, kekayaan negeri hanya dirasai segelintir kecil kroni sedangkan majoriti rakyat Sabah kekal miskin.

Pada 2010, Pengarah Sektor Unit Pembangunan Manusia, Jabatan Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Emmanuel Jimenez mendedahkan Sabah adalah negeri paling miskin di Malaysia.

Pada 2009, Sabah mencatatkan kadar pengangguran tertinggi negara iaitu 6.1 peratus, lebih tinggi berbanding kadar peringkat kebangsaan iaitu 4 peratus.

Sabah dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang terpalit dengan skandal rasuah tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya membisu.

SPRM ialah antara institusi kerajaan yang direformasikan Pakatan Rakyat jika gabungan itu memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ia terkandung dalam Buku Jingga yang mengandungi sebahagian besar manifesto bersama KEADILAN, PAS dan DAP.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.