12 May, 2011

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Share

sumber: http://abumiftahblog.blogspot.com



Assalaamualaikum wtb...


Salam ceria dan senyum-senyum selalu - SENYUM ITU SEDEKAH...

Benar bagai dikata - Guru Penjana Transformasi Pendidikan. Begitulah besarnya tanggungjawab seorang guru untuk membimbing dan mendidik anak-anak [anak Anda, tuan/puan dan kita semua].

Lantaran itu, elok dan sesuai sangat jasa mereka ini dikenang dan diperingati selalu. Tanggal 16 Mei saban tahun menjadi tarikh penting sempena 'Hari Guru'. Terima kasih dan syabas... cuma janganlah pada hari itu sahaja jasa bakti, sumbangan, penat lelah dan jerih payah mereka yang digelar guru kita peringati. Budi luhur dan perjuangan mereka dalam menyampaikan ilmu itu perlu disemat di abadikan selamanya.

Guru itu umpama bebintang gemerlapan di langit tinggi, memberikan petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan samada di onak daratan mahupun di ombak lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang pulalah arah tujuan. Begitulah Rasulullah saw mengumpamakan kemuliaan guru dalam kehidupan kita sebagaimana riwayat Anas bin Malik ra.

Dalam arus transformasi pendidikan kini, tugas guru bukan lagi semata-mata menyampaikan ilmu pengetahuan, bahkan berperanan sebagai Murabbi untuk membentuk bangsa/ummat menjadi insan yang berakidah benar, dinamik dan berkualiti di dunia dan akhirat.

Secara idealnya, wahai teman-teman seguruku sekalian... sedarilah tanggungjawab yang berat ini. Lengkapkanlah ilmu, binalah keluhuran peribadi. Kita adalah qudwah. Seimbang dan sepadukanlah ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah dengan seadilnya dalam diri dan tampilan kita.

Marilah beringat dan sama-sama bermuhasabah!

Guru adalah 'Mu'allim' - yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang benar dan maklumat yang tepat.

Guru adalah 'Murobbi' - yang bertanggungjawab mengasuh dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang.

Guru adalah 'Muaddib' - yang diamanahkan menyampai dan memupuk adab dalam diri anak-anak.

Guru juga adalah 'Mursyid' - yang menunjuk arah dan mengambil peranan sebagai pemudahcara kepada anak-anak didik.

Bahkan, guru boleh jadi sebagai 'Mubasysyir' - yang sentiasa memberikan galakan dan motivasi agar jiwa semakin semarak dan subur dengan perkara yang terpuji.

Oleh itu, dalam menyampai dan melaksanakan amanah besar sebagai 'Mu'allim', 'Murobbi', 'Muaddib', 'Mursyid' dan 'Mubasysyir' - guru hendaklah menjadi 'Qudwah Hasanah' iaitu contoh teladan dan model yang terbaik kepada anak-anak didik masing-masing.

Untuk akhirnya, fikir-fikirkanlah peringatan ALLAH SWT dalam Surah ke-61 As-Sof, ayat 2-3:

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.