Oleh : Hasmadi Hasbi
Assalamualaikum wbt, saya terpanggil untuk membedah sedikit buku yang saya dapat ketika menghadiri Seminar Baldatun Toyyibah (II): Model Uthmaniyyah yang lalu. Buku ini mengandungi lapan subtopik yang mengulas dan mengupas tentang Kerajaan Uthmaniyyah dari pelbagai pandang sisi seperti ekonomi, undang-undang, pentadbiran dan sebagainya.
PENDAHULUAN
Pemerintahan Islam pernah menjadi kuasa besar yang mencorak lanskap pentadbiran dunia selama hampir 14 abad semenjak zaman Rasulullah SAW. Islam tersebar dengan agak pantas, menguasai seluruh Jazirah Arab, seterusnya meluas ke Al-Syam (Jordan,Lubnan,Palestin & Syria), Utara Afrika, Iraq, Parsi, Eropah dan juga Asia termasuklah Alam Melayu.
Kerajaan Uthmaniyyah mula terkenal dan bertambah kukuh apabila Kota Constantinople telah ditakluk oleh Muhammad al-Fatih (1432-1481). Penaklukan kota ini oleh umat Islam telah membawa erti sebuah kejayaan yang besar iaitu menewaskan pihak yang menjadi seteru kepada Islam. Ia menjadi lambang kejatuhan empayar yang terkenal iaitu Empayar Byzantine (Rome) yang berteraskan Kristian. Empayar Rome Byzantine dan Empayar Parsi adalah antara empayar yang berjaya ditakluk oleh Islam. Kejatuhan Empayar Byzantine juga telah membuka ruang dakwah yang luas untuk Islam terus tersebar di Eropah, terutama Eropah Timur.
Pemerintahan kerajaan Islam Uthmaniyyah bermula pada akhir abad ke-13. Pemerintahan ini boleh dibahagikan kepada beberapa fatrah, seperti berikut :
- Peringkat awal penubuhan (1299-1453)
- Perkembangan dan pengukuhan (1453-1682)
- Perkembangan mendatar, kebangkitan nasionalisme dan cabaran pihak Barat (1683-1827)
- Kemerosotan dan kejatuhan (1828-1908)
- Pembubaran pemerintahan (1908-1924)
Buku Baldatun Toyyibah : Model Uthmaniyyah
BERMULANYA PEMERINTAHAN UTHMANIYYAH
Pada peringkat awal, penubuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah telah diasaskan oleh Osman I (Osman Ghazi Khan). Beliau pada awalnya telah memimpin pasukan tenteranya untuk membebaskan diri daripada kerajaan Saljuk (1299). Bermula itulah beliau membentuk sistem pemerintahan tersendiri yang menjadi pewaris kepada kekhalifahan yang memerintah Turki. Beliau mengisytiharkan diri sebagai sultan yang berkuasa ke atas pemerintahan dinasti tersebut.
Golongan Byzantine mengambil pendirian untuk meninggalkan kependudukan mereka menuju ke perkampungan countryside dalam negara seperti Anatolia. Byzantine cuba sedaya upaya menghalang Osman meluaskan kekuasaannya ke Barat tetapi, Osman berjaya menguasai beberapa wilayah barat sepertii Eupheses (Berhampiran Laut Aegen). Pasukan beliau juga turut bergerak untuk menguasai sebelah timur Anatolia, di mana mereka telah berjaya menguasai Laut Hitam, kawasan startegik bagi Byzantine.
Misi terakhir Osman sebelum kematiannya telah menentang tentera Byzantine di Bursa (1324). Kemenangan Islam membuktikan Islam boleh menewaskan pasukan bukan Islam di kawasan kubu kuat mereka. Anak yang mewarisi kepimpinan Osman ialah Orhan, telah menjadikan Bursa sebagai pusat utama pemerintahan mereka.
PERKEMBANGAN DAN PENGUKUHAN
Semasa era ini, perkembangan kerajaan Uthmaniyyah boleh dibahagikan kepada dua kategori :
- Kejayaan penaklukan Kota Constantinople (1453) sehinggalah Sultan Sulaiman Al-Qanuni meninggal pada 1566.
- Kelemahan struktur pentadbiran pasca 1566 sehinggalah kegagalan menguasai Vienna pada tahun 1683.
Kota Constantinople menjadi jambatan penghubung di antara Islam dan Barat, Asia dan Eropah. Sebelum ianya ditakluk, pihak Uthmaniyyah telah menguasai beberapa wilayah penting di rantau Balkan. Antaranya ialah kejayaan dalam peperangan Kosove (1389). Kejayaan tersebut menandakan berakhirnya kuasa Serbia yang merupakan salah satu dari kuasa Eropah yang ada. ia merupakan kemenangan yang strategik bagi membuka jalan ke atas pembukaan Kota Constantinople.
Pada Peperangan Nicopolis (1396), yang dianggap sebagai peperangan berskala besar, pihak tentera salib menentang Uthaminyya, tidak dapat menyekat kemaraan Uthamniyyah menguasai wilayah-wilayah yang berada di bawah Byzantine. Pihak Byzantine agak lega sedikit kerana Kerajaan Uthmaniyyah di sebelah Anatolia mengalami pergolakan di mana Timur (Juga dikenali sebagai Tamerlane, sebuah kuasa dari sebelah Timur yang wujud pada abad ke-14 di Asia Tengah. Mereka mempunyai kaitan jalur yang panjang dengan Dinasti Mughal) telah menjajah Anatolia dalam peperangan Ankara (1402), menyaksikan Sultan Beyazid I telah dipenjara. Ini menyebabkan sebahagian wilayah yang dikuasai Uthmaniyyah jatuh buat sementara, antaranya Macedonia dan Kosovo. Pergolakan itu menyebabkan perancangan penguasaan ke atas Constantinople mengalami gangguan.
Pasukan tentera Uthamniyyah turut bersaing dengan kuasa Eropah lain di Lautan Hindi. Mereka pernah menghantar pasukannya melalui jalan laut Afrika dan juga ke Aceh di Indonesia untuk mempertahankan wilayah tersebut dari serangan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dari aspek pemerintahan, Sultan Murad I dalah sultan Uthmaniyyah pertama yang menggunakan gelaran 'sultan' , manakala mulai tahun 1517, sultan di kalangan pemerintah Uthmaniyyah turut menjadi khalifah kepada umat Islam dengan pelbagai gelaran yang digunakan bagi menunjukkan kekuasaan mereka dalam pentadbiran.
Zaman kegemilangan Utmaniyyah berterusan di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman Al-Qanuni (1520-1566), beliau merupakan :
- Pemerintah paling lama dalam sejarah kesultanan Uthmaniyyah. Beliau banyak melakukan perubahan terutama dari aspek perundangan sehingga beliau mendapat gelaran al-Qanuni,pembuat undang-undang.
- Beliau turut berjaya memimpin pasukan Uthmaniyyah menguasai wilayah Byzantine seperti Hungary, Balgrade dan Rhodes.
- Beliau berjaya memperkasa armada laut dengan menguasai Laut Mediterranian, Laut Merah dan teluk Parsi.
Perkembangan pada zaman kedua iaitu zaman kemunduran bermula apabila pihak Uthmaniyyah tidak berjaya menawan Vienna (1683) di Zaman Sultan Sulaiman al-Qanuni yang menyebabkan mereka terpaksa berundur dari sebahagian wilayah di Eropah tersebut. Kekalahan itu juga membuka jalan kepada Kristian untuk merencana tindakan baru bagi berdepan dengan Uthmaniyyah. Antaranya Paus yang memimpin kelompok Kristian Katolik di Rome dalam usaha membentuk pasukan tentera salib baru bagi tujuan menentang tentera Uthmaniyyah. Beliau mencetuskan kebangkitan semangat anti Islam agar golongan salib bengun menentang penguasaan islam dan Kerajaan Uthmaniyyah tersebut.
Kawasan Taklukan Kerajaan Uthmaniyyah
ZAMAN MENDATAR DAN KEBANGKITAN NASIONALISME
Antara faktor yang menjadikan pengembangan yang dilakukan oleh Uthmaniyyah tidak aktif ialah :
- Kekalahan menguasai Vienna (1683).
- Penglibatan mereka di dalam peperangan yang menelan belanja besar.
Mereka turut mengalami kekalahan dalam siri-siri peperangan di Eropah seperti :
- Peperangan menentang Poland-Lithuania.
- Rusia & Autria-Hungary
- Peperangan Kerajaan Uthmaniyyah dengan Rusia berlangsung selama 3 abad (kurun 17,18 & 19)
Kemenangan yang didambakan tetapi kekalahan yang terpaksa diharungi amat memeritkan pemerintahnnya lantaran kos persenjataan yang amat tinggi.
Pada awal abad ke 18, pihak Uthmaniyyah membuat satu perjanjian yang dikenali sebagaiPerjanjian Passarowitz , di mana ia telah mewujudkan suasana yang aman pada tahun suasana yang aman pada tahun 1718-1730 (selama 12 tahun). Melalui perjanjian ini, mereka berupaya mendirikan benteng pertahanan di sekitar negara Balkan bagi menyekat serangan pihak Eropah ke atas wilayah Uthmaniyyah. Mereka mula menukar pendekatan pemerintahan dengan mengemukakan polisi mesra rakyat dengan mengambil kira pandangan masyarakat umum, mengurangkan cukai, meningkatkan taraf infrastruktur awam, dan bermacam-macam lagi.
Pihak Uthmaniyyah juga melakukan pembaharuan terhadap sistem pendidikan dengan memperkenalkan institusi kemahiran seperti Universiti Teknikal Istanbul dan lain-lain. Namun begitu, mereka tidak dapat menandingi kemajuan teknologi yang telah meletus di Barat. Rentetan dari itu, banyak wilayah Uthmaniyyah yang telah tewas kepada Barat terutama kepada Rusia dan Austria pada abad ke-18.
Selain itu kerajaan Uthmaniyyah turut mempunyai masalah dalaman wilayah-wilayah Islam lain yang berada di bawah pemerintahannya, mereka menghadapi kebangkitan umpamanya dari Egypt dan Algeria, tetapi kedua-dua negara ini telah dijajah pula oleh British dan Perancis.
Mereka turut terpaksa berhadapan dengan kebangkitan di negara-negara Balkan seperi Revolusi Serb (1804-1815. Revolusi ini menjadi pengasas kepada kebangkitan menentang Uthmaniyyah. Pada tahun 1821, mereka terpaksa pula berdepan dengan pengisytiharan perang terhadap Sultan oleh Greek. Mereka berjaya menjadi wilayah pertama di bawah Empayar Uthmaniyyah yang dibebaskan.
Kebangkitan nasionalisme berteraskan bangsa telah menyebabkan Kerajaan Uthmaniyyah tidak mampu untuk mengendurkan ketegangan satu demi satu wilayahnya menuntut untuk bebas dan keluar dari pemerintahan Uthmaniyyah. Ini termasuk dalam kes negara Saudi Arabia di mana pemimpinnya pada waktu tersebut Sharif Husin ditawarkan dengan pemerintahan sebagai ganti kepada pemberontakan untuk bebas dari Uthmaniyyah. Namun diskusi Sharif Husin dengan Mc Mohan di Egypt hanya menjadi bahan ketawa setelah kelicikan pihak British telah mempersendakan intelek masyarakat Arab. Golongan Arab ini mudah dipermainkan oleh musuh yang suka memberi janji palsu.
ERA KEJATUHAN DAN PROSES MODENISASI (TANZIMAT)
Dalam era ini, empayar Uthmaniyyah terpaksa berhadapan dengan cabaran hebat untuk berdepan dan menghadapi tentangan, serangan dan penjajahan dari kuasa luar. Uthmaniyyah juga banyak terlibat dalam kerjasama membentuk pasukan pertahanan dengan kuasa-kuasa lain dari sebelah Eropah seperti kerjasama dengan Perancis, Belanda, Britain dan Rusia. Contohnya, ketika Peran Crimea (1853), Uthmaniyyah membentuk pasukan bersama dengan Britain dan perancis dalam menentang Rusia.
Ada sebahagian penduduk Crimea ini yang juga dikenali sebagai Crimean Tartar, berhijrah ke Turki untuk mendapatkan perlindungan. Mereka terus berada dan tinggal di situ. Mereka turut terlibat di dalam membangunkan Turki dan membantu dalam proses modenisasi pendidikan yang dilakukan pada akhir abad ke-19.
Proses penyusunan semula dan pembaharuan (tanzimat) sekitar tahun 1839-1876, bermula dengan satu polisi rasmi yang dikenali sebagai The Imperial Rescript of The Rose Chamber of 1839. Ia merupakan permulaan kepada reformasi di bawah proses tanzimat ketika pemerintahan Sultan Abdulmecid I dari tahun 1839-1861. Ia juga penanda penting perubahan sistem pentadbiran kepada sistem yang lebih sekular.Polisi ini menghapuskan cukai pertanian. ia menjadikan para askar mengawal sesuatu wilayah berdasarkan jumlah penduduk. Secara ringkasnya ia telah membentuk kehidupan sosial baru dalam kalangan masyarakat.
Mereka turut memasukkan jaminan hak-hak asasi seperti jaminan samarata (equality) kepada semua penduduk Uthmaniyyah tanpa mengambil kira soal bangsa dan kepercayaan agama. Polisi ini menghapuskan sistem millet dalam empayar Uthmaniyyah. Sistem Millet adalah sistem sosial yang berteraskan kepada agama seseorang., di mana setiap komuniti agama diberi kebebasan autonomi untuk bergerak, adakalanya mendapat perhatian istimewa, berdasarkan rumah ibadat yang mereka anggotai.
Proses ini dicetuskan oleh Sultan Mahmud II yang memerintah dari tahun 1808-1839, diteruskan oleh Sultan Abdulmecid I, dengan harapan dapat membawa kebaikan dan faedah daripada pengurusan yang cekap ke seluruh wilayah di bawah kerajaan Uthmaniyyah. Antaranya :
- Pihak Uthmaniyyah berjanji menjaga penduduknya dengan jaminan keselamatan, kesejahteraan diri dan harta.
- Memperkenalkan wang kertas pertama Uthmaniyyah (1840).
- Menyusun semula ketenteraan, kaedah pengambilan, gaji dan penentuan tempoh khidmat (1843-1844)
- Memperkenalkan lagu kebangsaan dan bendera negara (1844)
- Menyusun semula sistem kewangan berdasarkan model Perancis.
- Menyusun semula Undang-undang sivil dan jenayah mengikut model Perancis
- Mewujudkan Meclis-i Maarif-i Umumiye (1845) yang menjadi dasar penubuhan Parlimen Uthmaniyyah Pertama (1876)
- Mendirikan universiti moden yang pertama (1848)
- Menghapuskan Jizyah ke atas non-Muslim, dengan memperkenalkan sistem cukai bersepadu (1856)
- Mewujudkan Bursa Saham di Istanbul pada 1866
- Mendirikan jalan-jalan keretapi, pemodenan kilang industri, pelbagai penambahbaikan dalam perkhidmatan awam dan kemajuan perdagangan.
Perlembagaan Pertama Uthmaniyyah ini ditulis oleh 'golongan muda Uthmaniyyah' pada tahun 23 November 1876 sehingga 13 Februari 1878. Ia tidak melibatkan sistem parti. Pada masa tersebut, parlimen dilihat sebagai tempat untuk menyuarakan pandangan dan hasrat rakyat, bukan tempat untuk parti politik atau pertubuhan untuk berbahas. Sebab itulah dalam sistem demokrasi moden, apa yang dibuat oleh Uthmaniyyah ini mirip kepada Monarki Berpelembagaan, bukan sistem perwakilan rakyat.
Idea-idea kumpulan ini tidak disenangi sesetengah pihak sehingga kewujudan Young Ottomans terpaksa diharamkan. Sultan Abdul Hamid II yang pada awalnya menerima idea Perlembagaan Pertama, menolak kembali idea-idea tersebut. Selepas dari itu, kumpulan intelektual ini terus mencari idea untuk membantu Kerajaan Uthmaniyyah, di mana terbentuknya kumpulan yang dikenali sebagai Young Turks. Mereka memikirkan polisi-polisi untuk negara sehinggalah kerajaan Uthamniyyah menyertai Perang Dunia I.
AWAL ABAD KE 20 : ZAMAN TENAT DAN PEMBUBARAN PEMERINTAHAN
Kebangkitan Arab (Arab Revolt) yang berlaku pada tahun 1916, menyaksikan kerajaan Uthmaniyyah kehilangan kawalan ke atas wilayahnya di negara Arab terutama di Jazirah Arab (Saudi) . Ketika perjanjian pembahagian wilayah kepada kuasa-kuasa besar dilakukan pada 30 Oktober 1918, sebahagian wilayah di Semenanjung Arab yang masih berada di bawah Uthmaniyyah hanyalah Yaman, Asir, Mdinah, sebahagian kecil Syria dan sebahagian kecil Iraq.
Perjanjian ini seakan-akan suatu paksaan ke atas Kerajaan Uthmaniyyah untuk mengiktiraf satu perjanjian sulit yang dilakukan oleh United Kingdom, Perancis dan Rusia pada tahun 1916, iaitu Perjanjian Sykes-picot. ia adalah perjanjian sulit untuk membahagi-bahagikan wilayah di bawah Uthmaniyyah kepada kuasa-kuasa tersebut, termasuklah Palestin. Ia dibuat ketikamana Sir Mc Mohan, wakil British di Mesir menghubungi Sharif Hussain di Mekah untuk menjayakan Arab Revolt, dengan menjanjikan wilayah pentadbiran Jazirah Arab untuk beliau. Namun, sebaliknya berlaku kerana British terlibat dalam perjanjian rahsia tersebut. hasilnya, selepas Arab Revolt, Sharif Hussain pula yang terpaksa keluar dari negaranya ke Jordan.
Lakaran Wajah kesemua 36 Sultan Kerajaan Uthmaniyyah
Secara ringkas, kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah boleh digambarkan berpunca daripada beberapa perkara, antaranya seperti berikut :
- Masalah ekonomi di mana kerajaan Uthmaniyyah berhadapan dengan kesukaran untuk membayar kembali hutang mereka dengan bank-bank Eropah.
- Kebangkitan nasionalis wilayah-wilayah tadbiran Uthmaniyyah termasuk di Negara Arab dengan tercetusnya Kebangkitan Arab pada tahun 1916.
- Perjanjian Sykes-picot 1916 yang dibuat secara rahsia telah menjadi plan strategik pihak kuasa barat untuk memecahbelahkan kerajaan Uthmaniyyah. Ini juga berlaku disebabkan kuasa-kuasa Barat ini beranggapan Uthmaniyyah akan jatuh apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914.
- Penyertaan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama. Mungkin mereka tidak mempunyai pilihan untuk tidak terlibat kerana desakan untuk mempertahankan wilayahnya yang cuba dirampas. Selepas Uthmaniyyah menandatangani persetujuan pada bulan Oktober 1914 untuk menyokong Jerman menentang Rusia dengan sokongan dari United Kingdom.
Sultan Abdulmecid II menjadi sultan terakhir dari dinasti pemerintahan Uthmaniyyah. Beliau sempat memerintah selama 17 bulan bermula 19 November 1922-3 Mac 1924. Ketika itu, tiada apa yang mampu dilakukan setelah Republik Turki diisytiharkan dalm polisi negara mereka juga telah berubah kepada mengadaptasikan sistem yang lebih terbuka, liberal dan mengamalkan sekular. Agama tidak lagi menjadi perkara penting di dalam pertimbangan sebarang polisi negara.
PENUTUP
Seperti membenarkan 'teori kitaran' Ibn Khaldun, Kerajaan ini mengalami kitarannya yang tersendiri. Setelah mengalami beberapa masalah, di samping kesukaran menjaga wilayah mereka yang luas tersebut, Uthmaniyyah mengalamai kemerosotan. Zaman tersebut telah diambil kesempatan oleh pihak kuasa Barat untuk bertindak semula mendapatkan wilayah-wilayah yang pernah jatuh ke tangan Uthmaniyyah. Kejatuhan Uthmaniyyah ini menandakan berakhirnya penguasaan empayar islam ke atas dunia. Cuma pengharapan kita agar kejatuhan ini adalah sementara, bukan 'syahid' yang tidak boleh bangkit lagi. Kebangkitan seterusnya perlukan perencanaan. ia mungkin sahaja berbeza bentuknya dengan penguasaan ke atas teknologi, perdagangan,pendidikan dan seumpamanya. Apa yang penting, sejarah ini perlu diambil iktibar, bukan semata-mata menjadi catatan yang tersemat di dalam buku.
2 ulasan:
sampah uthmaniyah ni
Sujud syukur saya ucapkan kepada ALLAH SWT, saya sekeluarga sangat berterimakasih banyak kepada ( MBAH JOYO RATMO ) atas bantuannya saya bisa menang togel ghoib/riktual yang diberikan MBAH alhamdulillah itu bener-bener tembus,sekarang ini kehidupan saya jauh lebih baik dari sebelumnya dan semua utang2 saya sudah pada lunas semua, dan saya sudah buka usaha sendiri berkat bantuan ( ,MBAH JOYO RATMO),,!!! jika anda mau bukti bukan rekayasa silahkan hubungi ( MBAH JOYO RATMO ) di NMR (0822_9399_4847)atau ANDAH KURANG YAKING KLIK AJA DISINI! ini lah kisah nyata dari saya. Thenk”z Room,x Sobat…
Sujud syukur saya ucapkan kepada ALLAH SWT, saya sekeluarga sangat berterimakasih banyak kepada ( MBAH JOYO RATMO ) atas bantuannya saya bisa menang togel ghoib/riktual yang diberikan MBAH alhamdulillah itu bener-bener tembus,sekarang ini kehidupan saya jauh lebih baik dari sebelumnya dan semua utang2 saya sudah pada lunas semua, dan saya sudah buka usaha sendiri berkat bantuan ( ,MBAH JOYO RATMO),,!!! jika anda mau bukti bukan rekayasa silahkan hubungi ( MBAH JOYO RATMO ) di NMR (0822_9399_4847)atau ANDAH KURANG YAKING KLIK AJA DISINI! ini lah kisah nyata dari saya. Thenk”z Room,x Sobat…
Post a Comment