30 June, 2010

KASINO di Kundasang??

Share
sumber: http://www.newsabahtimes.com.my

Azizah tidak setuju cadangan bina kasino

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd Dun, tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan kasino di Kundasang.

Beliau berkata ini kerana, Sabah mempunyai banyak destinasi pelancong yang unik dan menarik kepada pelancong tempatan dan luar negara.

“Oleh itu tidak perlulah mewujudkan tempat perjudian kerana kekayaan flora dan fauna yang asli dan unik di negeri ini mampu menarik pelancong untuk berkunjung ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan untuk mewujudkan kasino di Kundasang, yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Edmund Chong di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Edmund berkata sebelum ini beliau pernah mencadangkan perkara yang sama supaya sebuah Kasino diwujudkan di Kundasang.

Beliau mencadangkan Kundasang kerana ada persamaan persekitaran dan iklim dengan Genting Highland.

Azizah yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Sabah berkata, kekayaan sumber alam semula jadi dan kemesraan masyarakat tempatan mampu menarik minat pelancong berkunjung ke Sabah dan tidak perlu ada tambahan pusat perjudian.

“Pelancong datang ke Sabah untuk melihat apa yang unik di negeri ini iaitu yang tidak terdapat di negara lain. Keaslian dan keunikan ini seharusnya dipelihara dan dipulihara,” katanya.

Dalam masa yang sama juga, kemudahan-kemudahan asas perlu ditingkatkan bagi memberi keselesaan kepada para pelancong.

“Menurut Profesor Kim, pembentang Blue Ocean Strategy ada mengatakan Sabah adalah Garden Of The World yang istimewa untuk pelancongan dan tidak perlu dicampurkan dengan perjudian,” katanya.

Dalam hal lain, Azizah turut mengulas berita kes kehamilan tinggi di daerah Penampang.

Beliau berkata, kementeriannya akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bukan sahaja di Penampang tetapi juga di seluruh Sabah.

“Sesuai dengan program yang telah dilaksanakan iaitu program kekeluargaan, kita juga akan mengambil kira isu ini,” katanya.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.