18 February, 2010

Tiga wanita Islam dah disebat 9 Feb 2010 (kata Menteri Dalam Negeri). Ikut cara islam kah? Hanya 13 pegawai pelbagai agensi hadir? emm...

Share

Tiga wanita Islam disebat


Oleh HELMI MOHD. FOAD
PUTRAJAYA 17 Feb. - Di sebalik kontroversi hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, yang tertangguh sehingga kini, tiga wanita Islam telah menjalani hukuman sebat mengikut kaedah syarak pada 9 Februari lalu.

Dalam pelaksanaan hukuman sebat syariah kali pertama ke atas pesalah wanita itu, dua orang daripada mereka dikenakan hukuman enam kali sebatan manakala seorang lagi empat kali sebatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka telah disabitkan di bawah Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Selain itu, beliau berkata, terdapat empat pesalah lelaki turut menjalani enam kali sebatan pada hari tersebut atas kesalahan yang sama.

''Pada 9 Februari lalu, kira-kira pukul 10 pagi, hukuman sebat syariah telah dilaksanakan dengan sempurna ke atas tujuh pesalah syariah.

''Berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, didapati mereka telah reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman yang diterima.
''Sebatan itu tidak mendatangkan kesan luka pada badan tetapi wanita tersebut mengakui ia memberikan kesan amat mendalam dalam diri mereka," katanya.


Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pihaknya telah bekerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dalam melaksanakan tugas tersebut. Katanya, seramai 13 pegawai pelbagai agensi hadir semasa hukuman sebat syariah itu dilaksanakan.
Mereka terdiri daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), para pegawai agensi agama itu selain pegawai daripada Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Mahkamah Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

''Saya ingin memaklumkan persiapan bagi melaksanakan hukuman sebat secara syariah telah lama dibuat oleh Jabatan Penjara.

''Persiapan itu antara lainnya termasuk pelantikan dan latihan pegawai sebat rotan wanita untuk pesalah syariah yang telah dimulakan pada penghujung 1990-an," katanya.
Katanya, apabila timbul isu mengenai sebatan secara syariah terhadap pesalah wanita pada 20 Julai lalu, pihaknya telah memanggil Ketua Pengarah Penjara serta pegawai sebatan bagi mendapatkan penjelasan selain melihat demonstrasi sebatan syariah pada 27 Ogos tahun lalu.

''Pada 4 September 2009, Jabatan Penjara telah mengadakan perbincangan melibatkan Jakim, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Peguam Negara.
''Hasil perbincangan dan demonstrasi yang ditunjukkan, semua bersetuju dengan tatacara pelaksanaan sebatan syariah yang digunakan oleh Jabatan Penjara," katanya.
----------------------------

yusz : Kalau tengok ulasan di atas, macam mudah untuk dilaksanakan hukuman Islam.. mengapa tidak ditayangkan secara 'live' hukuman sebagaimana ruh/semangat hukuman tersebut? nampak masih belum Islamik hukum Islam tersebut.. apa pandangan tuan/puan?Jakim pun tak faham @ takut?

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.