Jauh dari lensa kamera, tempatnya juga bukan berpijak di permaidani merah, atau bukan membuka bicara di podium raksasa, tapi hakikatnya kehadiran berharga yang jarang menjadi sasaran lensa inilah menyaksikan kelibat petugas berbaju merah aktif bergerak kesana-sini membantu kelancaran majlis.
Dari aspek keselamatan, protocol, kebersihan, parking, kawalan disiplin peserta cilik dan susun atur majlis banyak dibantu oleh para petugas ini.
Mereka seakan tidak bernama, hadirnya membawa manfaat, tenaganya ditagih , komitmennya ditunggu hingga ke akhir dan senyumnya menceriakan angkasa Majlis konvokesyen Pasti pagi itu.
Hadiah Ilmu adalah Amal, Hadiah Amal adalah Ikhlas
Tahniah kepada Unit AMAL Sabah yang banyak membantu kelancaran setiap program. Kekalkan imej bersih dan tanpa nama ini.
Ianya satu langkah menuju takwa dan keikhlasan, antara yang disebut oleh Dr Yusof Qardhawi dalam bukunya Konsep Niat dan Ikhlas Menurut Islam, mari kita menyorot pandangan ilmuwan terkemuka ini apabila beliau menyatakan :
Bukti penguat ikhlas bagi orang yang beriman ialah :
- Takut populariti dan kemasyhuran kerana ia boleh membawa kepada bangga/ujub dan merosakkan pahala amalan.
- Sentiasa menuduh diri sebagai manusia yang hina, jahat dan banyak kekurangan.
- Beramal secara sembunyi dan jauh dari liputan kemasyhuran.
- Tidak memerlukan pujian dan tidak tenggelam dengan pujian.
- Tidak kedekut untuk memuji mereka yang sememangnya layak diuji.
- Jika diberi peluang memimpin, maka tugasannya akan disempurnakan sebaik mungkin tanpa mengendahkan kedudukan dan kepentingan dirinya.
- Mencari keredhaan Allah dan bukannya keredhaan khalayak manusia.
- Suka dan marah kerana Allah, bukannya berkepentingan.
- Sabar sepanjang jalan dakwah.
- Merasa senang jika ada yang bergabung dan mengkritik.
- Rakus dan tamakkan amalan yang bermanfaat.
- Menjauhi ujub dan suka dipuji orang.
- Sentiasa memperingati diri dan bermuhasabah agar membersihkan diri dan tidak leka dengan kehidupan.
Antara kata bidalan hikmah intelektual Islam ini menyatakan, "Mereka yang ikhlas lebih suka memilih menjadi perajurit bayangan yang rela berkorban tanpa diketahui gerangannya, lebih suka menjadi bahagian yang memberi kesan pada jamaah tanpa disedari dan tersembunyi , seperti akar menunjang bumi menjadi penyokong dan sumber kekuatannya, tetapi tidak zahir terlihat dek mata, tersembunyi dibalik tanah dan kegelapan misteri".
Dari kejauhan, lensa kamera ini sempat merakam…
Moga anggota unit ini terus beristiqamah bukan sahaja dalam beramal, bahkan memotivasikan diri dengan ilmu dan imej Islam serta berusaha untuk menjadi insan yang terbaik dalam memberi dan berkorban, bukannya menerima dan menunggu habuan.
0 ulasan:
Post a Comment