22 November, 2009

PAS Desak Siasat Sijil Anak Negeri Tanpa Pilih Buluh

Share
sumber: http://hjhamzahabdullah.blogspot.com/

TIMBALAN Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah menyambut baik tindakan kerajaan negeri untuk menyiasat penggunaan sijil anak negeri (SAN) yang diperolehi melalui jalan tidak beretika.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi satu laporan akhbar tempatan di mana isu yang berpunca dari perdebatan di DUN Sabah berkaitan seorang ADUN DAP dari Sri Tanjong, Jimmy Wong Sze Phin (DAP) yang didakwa mempunyai taraf Sijil Anak Negeri yang meragukan menyebabkan anggota BN dari UMNO, Datuk Samsuddin Yahya, telah mendesak Polis, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat Adun tersebut.

PAS Sabah menegaskan agar kerajaan tidak memilih bulu dan hanya menjadikan individu yang tidak sehaluan dengan parti Barisan Nasional sebagai mangsa.

“Ramai dikalangan taukeh-taukeh besar yang memiliki sijil anak negeri palsu bagi membolehkan mereka memiliki tanah adat dan membuka ladang-ladang besar serta membolot projek-projek kerajaan yang dikhususkan untuk Bumiputera serta anak-anak mereka mengikuti pengajian di UiTM tetapi terselamat hanya kerana mereka dikaitkan dengan menyokong UMNO/BN,” ujar Hamzah yang mempunyai banyak bukti berhubung amalan songsang ini.

Berita mengenai pemalsuan dan penggunaan Sijil Anak Negeri Palsu ini kata Hamzah, tersebar secara meluas di laman-laman blog serta akhbar tempatan tetapi pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO, tidak menunjukkan keghairahan mereka untuk menyiasat jenayah keji ini yang sinonim dengan perangai UMNO.


"Kalau nak tipu boleh, nak selamat dari disiasat pihak berwajib akibat dari perangai menipu boleh, yang penting mesti sokong UMNO/BN", ujarnya lagi.



Hamzah berkata SAN tidak diperlukan kerana mana-mana anak yang dilahirkan oleh suku kaum yang diiktiraf sebagai anak negeri pastinya nama suku kaum tersebut akan dicatit dalam sijil lahir mereka. Jadi apa perlu untuk memohon SAN?

"Pengumuman oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Hajiji Mohd Noor tentang pembekuan pengeluaran SAN sebenarnya hanya mendedahkan individu-individu tertentu yang memiliki kuasa, menyalahgunakan proses pengeluaran SAN tersebut kerana dibimbangi ia dibuat bukan berdasarkan kelayakan pemohon tetapi lebih kepada berapa harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan SAN tersebut", katanya lagi yang membidas Pengarah Majlis Hal Ehwal Anak Negeri yang menjadi dalang mengesahkan Sijil Anak Negeri Palsu kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan sesuatu sijil yang dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri.





Beliau selanjutnya menegaskan bahawa pendedahan mengenai perangai buruk orang-orang yang berkuasa di Majlis Hal Ehwal Anak Negeri akan dibuat dalam waktu yang terdekat.

Sijil perakuan Bumiputera (sijil anak negeri) ini telah dibekukan oleh Kerajaan BERJAYA pada tahun 1982 ekoran daripada penyalahgunaan kuasa dan pemberian dokumen tersebut kepada golongan yang tidak layak memilikinya.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.