sumber: http://www.malaysiakini.com
Sebagai anak jati Kampung Bukau saya merasa terpanggil memberi respons terhadap laporan media tentang banjir kilat yang mengganggu perjalanan.
Saya ingin meluahkan rasa kesal terhadap banjir yang terlalu kerap melanda jalan utama Beaufort-Sipitang di sebelah persimpangan Kampung Bukau dan sekitarnya yang menyebabkan jalan terputus.
Ia turut memberikan kesan terhadap kerosakan harta benda dan kehilangan sumber pendapatan di kalangan penduduk kampung.
Banjir yang sudah terlalu kerap, tidak berkala malah terlalu mudah berlaku - hanya disebabkan hujan lebat - menyebabkan wujud persepsi di kalangan pengguna jalan raya yang menggelar jalan itu sebagai laluan maut.
Sekiranya berlaku hujan lebat, banjir akan menengelami jalan.
Namun, paling teruk terjejas ialah penduduk kampung Bukau di samping kampung sekitarnya iaitu Tambalang Along, Tunah Valley, Pulai Manang dan Lumadan yang mengalami kerosakan harta benda dan tanaman, sekali gus menyebabkan hilang sumber mata pencarian.
Sekolah dan klinik terpaksa ditutup kerana berlaku kerosakan harta benda dan kelengkapan institusi berkenaan.
Terdapat juga rumah yang bergenang dengan air banjir hampir sepanjang tahun disebabkan kekerapan banjir dan air yang yang tidak dapat dialirkan keluar.
Keadaan ini amat dikesali memandangkan ia seolah-olah tiada berpenghujung.
Walaupun terdapat peruntukan yang besar, tiada secara khusus disebutkan projek untuk Sungai Bukau dan Sungai Api-api yang menjadi laluan utama air di kawasan ini.
Sebelum ini tembatan banjir bagi lembaran Sungai Padas bernilai RM2 juta siap dibina pada 2010 dan RM6.8 juta diperuntukan setahun sebelumnya bagi melebarkan sungai Ulu Klias dan menjayakan projek pencegahan banjir skim Saliran Limbawang.
Keadaan parit dan sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik juga menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik dan sering dengan mudah melimpah sekiranya hujan yang berterusan. Di samping itu, air yang bertakung menghasilkan bau busuk.
Keadaan ini amat memalukan. Apatah lagi laluan Kampung Bukau merupakan jalan utama ke pekan Beaufort dan bandar lain yang menjadi laluan oleh pelancong-pelancong dari negara Brunei Darusssalam.
Pelbagai janji telah ditabur khususnya oleh 'ang Berhormat yang meminta penduduk bersabar untuk projek baru dapat dilaksanakakan.
Masalahnya, setiap kali berlaku hujan dan banjir, penduduk menanggung kesengsaraan dan kepayahan, sedangkan projek yang dinantikan seolah menanti bulan jatuh ke riba.
Oleh itu saya berharap perlu ada jawapan dan penyelesaian konkrit. Nyatakan peruntukan dan tarikh secepat mungkin perlaksanaannya supaya kehidupan penduduk kampung tidak terus dihantui dengan masalah banjir yang tidak berpenghujung.
Bantuan kepada penduduk kampung yang terjejas juga perlu diberikan supaya dapat meringankan bebanan mereka.
Penulis merupakan ketua Pemuda PAS Sabah dan Yang Dipertua PAS Beaufort.
0 ulasan:
Post a Comment