09 August, 2011

Dah Keluarkan Zakat Fitrah??

Share
sumber: http://mujahideen-islam.blogspot.com/




Salam alayk'. Apabila kita mengerjakan tuntutan kewajiban rukun Islam yang ketiga, maka ianya sinonim dengan perlaksanaan rukun Islam yang keempat. Dengan bahasa yang lebih mudah, apabila kita mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, maka tuntutan untuk mengeluarkan zakat fitrah harus dilaksanakan.


RM 7.00 Untuk Sabah!

Bagi penduduk negeri Sabah, kadar zakat fitrah bagi tahun 2011 yang bersamaan dengan 1432H adalah sebanyak RM 7.00. Dari setahun ke setahun, kadar zakat fitrah ini meningkat oleh beberapa faktor antaranya harga beras di pasaran dan lain-lain lagi. Namun begitu dalam hal yang lain, penulis bersetuju dengan pandangan Dr. Asri Zainul Abidin bahawa kita tidaklah mengambil kisah dengan nilai kutipan zakat yang hampir berjuta-juta, namun memfokuskan bagaimana wang zakat itu diuruskan sehingga sampai kepada golongan asnaf. Kita tidak mahu lagi mendengar isu wang zakat hilang, masuk mulut orang yang tidak sepatutnya, penyelewengan dan lain-lain lagi. 

Apabila berlaku masalah-masalah seperti yang disebutkan, maka ia telah menunjukkan ketirisan dalam pengurusan wang zakat secara efektif. Pemerkasaan institusi baitulmal seharusnya diteliti dari semasa ke semasa. Mudah-mudahan, segala masalah dapat ditangani dengan sebaik-baiknya.


Hikmah Zakat Fitrah

Menjelang Aidilfitri, bermakna umat Islam menuju kegembiraan. Inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, iaitu orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Kegembiraan pertama sewaktu berbuka (berbuka puasa dan berhari raya) dan keduanya ketika menatap wajah Allah SWT di dalam syurga (mafhum daripada hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad).
 
Di dalam memastikan umat Islam khususnya golongan fakir dan miskin turut merasai nikmat hari raya inilah, maka zakat fitrah diwajibkan. Ia bertujuan memberikan mereka makanan yang cukup. Bahkan dalam konteks hari ini, fakir miskin bukan sahaja diberikan makanan bahkan wang ringgit. Maka, dapatlah mereka membeli keperluan hari raya dengan wang ringgit tersebut.


Di samping itu, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri. Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi. Ibnu Abbas menyatakan:

“Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

p/s: Jangan lupa keluarkan zakat fitrah sendiri bagi yang telah mampu untuk menyara diri dan tanggungan..

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.