28 June, 2011

Adun Umno Kemabong mungkir janji - Pengundi

Share
Sumber: http://masdarwahid.blogspot.com/


SAYA berharap kerajaan dan wakil rakyat memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi penduduk kampung kerana jalan sepanjang dua kilometer yang menjadi nadi perhubungan di Kampung Belumbung Ulu, Kemabong, Tenom berada dalam keadaan cukup teruk dan memerlukan penyelenggaraan segera.

Ini menyebabkan perjalanan ke Pekan Kemabong dan Tenom mengambil masa lebih lama dan membazir masa penduduk kampung.

Keadaan jalan itu juga menyebabkan kenderaan cepat rosak.

Orang kampung tidak mampu memiliki kereta pacuan empat roda yang lasak dan hanya mampu membeli kereta kecil.

Setiap kali pilihan raya, calon yang bertanding berjanji untuk membaiki jalan raya ini tetapi sehingga sekarang tiada tindakan diambil untuk menaikkan taraf jalan terbabit dilakukan.

Penduduk sudah bosan dengan janji yang ditaburkan wakil rakyat.

Kami berharap peruntukan yang dijanjikan akan turut diguna untuk memberi kemudahan kepada penduduk Kampung Belumbung Ulu ini.

Kebanyakan penduduk di sini terdiri daripada pekebun kecil atau penoreh getah dan wajar mendapat perhatian kerajaan.

Kami bukannya meminta perkara bukan-bukan tetapi mahukan kemudahan asas di sini dipertingkatkan.

Dalam tempoh beberapa tahun lalu, wakil rakyat bertukar ganti, namun keadaan jalan berkenaan semakin teruk dan tiada perubahan.

Janganlah menjadikan peningkatan taraf kemudahan asas seperti jalan raya sebagai umpan untuk memenangi pilihan raya.

Kami merayu kerajaan akan meninjau keadaan di sini dan selepas itu melaksanakan program peningkatan kemudahan asas, khususnya jalan raya dengan segera yang boleh.

Tidak perlulah menunggu sehingga ada lagi pilihan raya baru hendak membuat janji lagi.

Oleh : KELLY L, dari Tenom, Sabah.

Masdar Wahid : Adun Kemabong ialah Datuk Rubin Balang (gambar) yang memenangi kerusi itu atas tiket Umno pada pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan majoriti 2,437 undi menewaskan calon KEADILAN ketika itu, Peter@Philip Linak @ Lonok yang meraih undi 2,721 undi.

Seorang lagi calon Parti Bersekutu, Auren Tegiko hanya mendapat 337 undi sekaligus hilang wang pertaruhan.

Bersekutu turut dikaitkan parti pembangkang tajaan BN yang bertujuan memecahkan undi Pakatan Rakyat.

DUN Kemabong terletak dalam Parlimen Tenom, antara kawasan yang subur dengan rakyat menyertai KEADILAN sejak Datuk Halik Zaman memimpin Cabang itu Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak akan melawat pekan Kemabong, Tenom pada 30 Jun ini.

"Pada Khamis (30 Jun 2011), Perdana Menteri akan memulakan acaranya dengan menghadiri program Juara Rakyat 1Malaysia di pekan Kemabong, Tenom, di mana beliau akan bersarapan bersama rakyat sebelum menghadiri majlis penyerahan geran tanah komunal," demikian menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri pada 27 Jun lalu.

Pendek kata, di kawasan mana Najib hadir, menandakan kawasan itu bermasalah bagi BN menjelang PRU akan datang.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.