13 June, 2011

ADUN nafi kebakaran dirancang

Share
Sumber: http://masdarwahid.blogspot.com/


Penempatan di Kampung Titingan, Tawau yang terbabit dalam lima kebakaran sejak awal tahun ini, tidak termasuk dalam kawasan pembinaan Bandar Baru Titingan.

Perkara itu ditegaskan Pembantu Menteri Kewangan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, bagi menolak spekulasi kebakaran berkenaan dirancang pihak tertentu.

"Projek pembinaan berada di luar penempatan kampung itu.

"Kita bukan saja menolak keras spekulasi itu, malah penduduk mangsa kebakaran dibenar membina semula rumah di kawasan sama tanpa halangan dengan pembiayaan sendiri.

"Sebagai wakil rakyat kawasan itu, saya membenarkan mereka mendirikan kediaman baru tetapi kita nasihatkan jangan bina terlalu rapat dengan jiran," katanya pada 9 Jun lalu.

Kampung Titingan terletak kira-kira lima kilometer (km) dari bandar Tawau, sudah lima kali mengalami kebakaran tahun ini dengan yang terbaru Sabtu lalu, membabitkan Blok 5 yang menyebabkan kira-kira 100 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Kawasan yang turut dikenali sebagai ‘Kampung Ice Box’ itu dibahagi tiga iaitu Kampung Titingan Pasir, Kampung Titingan Tengah dan Kampung Titingan Hujung.

Penduduknya merangkumi pelbagai kaum dengan sebahagian besar rakyat tempatan.

Tawfiq berkata, penempatan itu mudah terbakar kerana terlalu sesak dan padat, selain penduduknya memperoleh tenaga elektrik menerusi penyambungan kabel elektrik secara haram.

Selain itu, katanya, penggunaan papan lapis sebagai dinding rumah juga berisiko tinggi kepada kebakaran, manakala keadaan yang sesak menyukarkan bomba memadam kebakaran.

"Jika berlaku kecuaian walaupun disebabkan lilin, risiko kebakaran amat tinggi," katanya.

Rekod menunjukan, dakwaan penduduk bahawa pihak tertentu sengaja membakar kawasan perumahan mereka bukan sesuatu yang baru kerana ia sudah pun kedengaran sejak pertengahan 90-an.

Sementara itu, Tawfiq berkata, pembinaan Bandar Baru Titingan fasa pertama membabitkan bangunan komersial akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di kampung berkenaan yang sebahagian besarnya adalah nelayan.

Tawfiq merupakan Adun Apas pertama selepas memenangi kerusi itu pada Pilihanraya Umum (PRU) dengan menewaskan calon KEADILAN selain seorang calon bebas yang menarik diri di saat akhir.

Kekuatan Adun Umno ini kerana beliau kerap turun padang terutamanya menghadiri setiap masjid dan surau utama di kawasan Apas.

Selain itu, jentera Pakatan Rakyat di kawasan ini juga gagal di kesan malah mencari cawangannya pun sukar.

Tawfiq sebelum ini turut dikaitkan antara penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim sehinggakan beliau terpinggir seketika dalam politik di Sabah sebelum meningkat naik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jika Pakatan Rakyat komited untuk menang di kawasan ini, mereka perlu menampilkan calon dikenali ramai atau setanding dengan kredibiliti Tawfiq.

Komen Via Facebook

0 ulasan:

Post a Comment

Hak Cipta & Penafian

SBS MEDIA (Sahabat Blog Sabah) - 2011 Digalakkan untuk sebarang sebaran. Sebarang bentuk salinan kandungan daripada laman ini mestilah disertakan link Sahabat Blog Sabah bagi memudahkan proses rujukan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang disertakan daripada pengunjung dan menjadi tanggungjawab pengunjung sepenuhnya. Sekian.